Halaman

Rabu, 18 Ogos 2010

Ummah Perlukan Pimpinan Meneruskan Perjuangan - Bil 91/Safar 1431



~* الحضارة


`Sesungguhnya orang-orang yang beriman, ialah orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang` al-Baqarah 218.
Selawat dan salam penghormatan ke atas Rasul junjungan Muhammad saw, kaum kerabat baginda serta para sahabat yang dimuliakan semuanya. Seterusnya kepada semua muslimin dan muslimat (juga diri ini) semoga diberi Allah swt taufiq serta hidayahNya termasuk di dalam golongan orang-orang yang beriman… amien !



Alhamdulillah! Bertemu kembali kita dalam siri buletin kali ini yang masih cuba membawa persoalan pokok perjuangan ummah di mana-mana pun jua, yang memerlukan pemimpin untuk membimbing, mengawal, mengurus dan seterusnya mentadbir perjuangan ummah (Islam) berdasarkan al-Quran dan al-Hadith yang benar-benar mengikut perjalanan Rasul saw serta para sahabat ra. Pemimpin yang diangkat oleh ummat dengan memegang amanah bagi pihak ummat Islam kebanyakan dan mendapat wala` serta sokongan dari ummah.Bagi saya inilah sebenarnya persoalan asas yang harus difahami oleh setiap yang mengaku Islam lagi beriman. Sebaliknya jika persoalan asas ini tidak dapat dilihat sebagaimana yang sepatutnya, ummah atau sebahagian ummat akan hanyut dibawa arus perjuangan yang lain dari perjuangan ummah sendiri. Mereka akan mudah menjadi pekerja atau buruh malah abdi kepada perjuangan musuhnya sendiri tanpa disedari. Akhirnya… mereka telah menjadi sebahagian dari musuh yang tolong menolong membina hadharah jahiliyyah dengan melupakan hadharah Islamiyyah. Mereka secara sukarela mengajak manusia meninggalkan cahaya petunjuk untuk bersama-sama syaitan mengambil dan membina sistem hadharah jahiliyyah yang sepatutnya mereka runtuhkan. `Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.` al-Baqarah 257.

Saudara dan saudari ummah sekelian, saya teringat suatu waktu dulu ketika masih muda belia, kata orang utara masih`kanyiaq` lagi, kami sering diperingatkan oleh generasi yang lebih awal berjuang bahawa perjuangan ini ialah `meruntuhkan jahiliyyah untuk ditegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah itu`. Pada ketika itu kami mendapat gambaran bahawa ummat Islam siang malam sentiasa di dalam keadaan `pertarungan` antara yang haq dan yang batil. Pertarungan berterusan ini pula tidak mampu untuk dihadapi dengan kebijaksanaan sendiri. Setiap ummat perlu berkerjasama dengan saudaranya yang lain untuk survival bersama. Pada ketika itu para pejuang Islam bergerak ke arah bantu membantu mengukuhkan ukhuwah, menjalin silaturrahim, menjana ekonomi ummah, mentarbiyyah generasi pewaris dan seterusnya bersama-sama memecahkan benteng-benteng jahiliyyah. Aliran arus perkembangan yang diurus sebegitu biarpun lambat tetapi nampak keberkesanannya mulai berkembang dalam masyarakat ummah.
Dari kacamata ummat bawahan, mereka sentiasa terdedah untuk membuat pilihan, samada Islamik atau jahiliyyah. Arus Islamik berkembang subur, arus jahiliyyah tetap wujud tapi mula terasa adanya persaingan.

Contohnya dalam masyarakat kampung yang saya diami seperti di Kepala Batas dan Seberang Perai, apabila kenduri kendara tiada lagi `bunyi rekod` dan persandingan. Malah sambutan `kugiran` atau `ghazal parti` pun  terlebih awal berjaya dibasmikan oleh kesedaran masyarakat ummah ketika itu mahu kepada alternatif yang lebih baik. Pusat-pusat pendidikan seperti PASTI dan Taski serta Taska menjadi tumpuan ibubapa muda menghantar zuriat-zuriat mereka. “Sekurang-kurangnya anak-anak ini tahu juga membaca doa-doa daripada hanya pandai menyanyi serta menari” bualan mudah sesama mereka. Sekolah-sekolah rendah Islam pun muncul di sana-sini biarpun terlalu dhaif sifatnya, tetapi masih mendapat sambutan dari masyarakat ummah. Ibubapa ini tidak berhajat anak-anak mereka bergaji besar atau berjawatan tinggi apabila tamat pengajian nanti. Mereka yakin dengan keyakinan yang tinggi bahawa biasanya lepasan sekolah-sekolah begini payah nak lupa diri, tahu berdikari dan yang penting mudah-mudahan jadi penyejuk hati ibubapanya sendiri. Tidak setakat itu sahaja usaha-usaha yang lebih berani dan ke depan oleh masyarakat ummah mengujudkan markaz, perusahaan, perniagaan muslim hatta perkampungan-perkampungan untuk menjana kekuatan ummah berskala besar dan berdaya saing mula menjadi perhatian ummah dan orang awam. Nama-nama perkampungan dan tempat seperti Darul Arqam Sungai Pencala, Darul Hijrah, Darul Atiq, Batu Hampar, Memali, Merbok, Muasasah, Sungai Pau dll sebagai bukti usaha dan pencapaian ummah ke arah itu.

Walaupun tidak dinafikan berlaku pergeseran-pergeseran kecil sesama kelompok-kelompok ummat Islam tetapi mereka tetap bangun bersama atas kepentingan ummah apabila timbul tuntutan atau kepentingan bersama perjuangan contoh issu Palestine, Iraq, Afghanistan, Salman Rushde, Bosnia, Chechnya, Pattani, Ambun, Moro dan sebagainya. Bagi saya generasi dahulu, prasarana dan kemampuannya tidak secanggih ummat sekarang namun hasil usaha dan kerja mereka ternyata ke depan dan `smart` banyak memberi manfaat kepada ummah keseluruhan. Berbanding generasi hari ini kebanyakkan nampak macam pandai dan cerdik tetapi bukannya mereka bagi koi bertambah dan kukuh warisan hasil usaha kerja orang-orang dahulu, bahkan koi susut.. memperlingkup dan meruntuhkannya sekaligus. Kenduri kendara sekarang bukan setakat lagu nasyid sahaja bahkan pop yeh yeh, irama 60an dengan karoke-karoke sekali. Pelamin bukan lagi dalam rumah, nah..! lantak aih.. tengah halaman. Siap dengan makan beradat sekali. Satu set jamuan pengantin lengkap katakan...! alahai.. ummah !!

Pusat pendidikan dan sekolah jika dahulu pakat berlumba nak memberi didikan mudah-mudahan menjadi generasi bertaqwa, bersyukur dan qanaah dengan kemampuan yang ada. Lain pula sekarang pentadbir dan pengusaha pakat-pakat gila nak berniaga serta mengkoperatkan segala apa yang ada. Ibubapa yang susah dan marhaen dah mula terasa, apa lagi anak mereka bukan seorang dua. Pendidikan alternatif dahulu yang selalu dijaja tapi sekarang nampaknya terlalu membebankan mereka seolah-olah tiada yang mahu membela, pergi ke mana… juara-juara perjuangan golongan tertindas ?? Jika sektor pendidikan yang bukan bidang perniagaan secara tak langsung pun dah jadi begitu, apa lagi perusahaan dan perniagaan tak hairan semua jadi sistem jualan langsung belaka…ligat atau pakat kejar `point` bulanan. Bukan  setakat `siang` saja yang `level`, sampai ke `MLM` pun `level`. Bila dah banyak sangat `multi-level` tuu.. pastinya kepentingan ummah adalah `level` yang paling tercorotlah jadinya… macam kasta paria dibuat mereka. Pandai dan bijaknya generasi sekarang mentadbir dan mengurus perjuangan ummah berbanding orang tua-tua dulu.

Apa yang saya boleh buat kesimpulan tentang perjuangan ummah yang akhir-akhir ini susut ataupun menguncup itu ialah kerana kesedaran ummah untuk menggerakkan perjuangan bersama-sama dengan pembinaan hadharahnya sendiri sudah tidak ada atau mengalami defisit yang cukup ketara. Jika dahulu sering kali terdengar siswa dan siswi sanggup bekerja sendiri untuk mengelak dari pengaruh-pengaruh syubahat. Ada pensyarah atau pegawai bank yang berhenti lalu menggerakkan perusahaan atau perniagaan sendiri, alasannya mudah, untuk mengelak riba dan sistem jahiliyyah. Yang penting dahulu semangat serta kesungguhan untuk bebas dan membangunkan rangkaian keupayaan ummah (hadharah Islamiyyah) cukup tinggi. Itu baru mereka yang dari latar belakang pendidikan sekular, kalau ustaz atau ustazah balik dari timur tengah jauh lebih berani dan ke depan lagi, dahulu... Sekarang.. tidak.. dapat bersandar kat tiang seri masjid dan surau pun, dah penuh kocek bulan-bulan. Apa lagi yang jadi guru KAFA dan JQaf.
`Maka tatkala Tholut keluar membawa tenteranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk dengan seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Tholut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya." Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.` Al-Baqarah 249. InsyaAllah bersmbng  Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan