Halaman

Rabu, 18 Ogos 2010

Golongan `Berdarjat` Bagai Duri Dalam Daging Bagi Ummah - Bil 97/R.Akhir 1431



الحضارة
`Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (agama) Allah, dan dia mengerjakan amal yang baik, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk golongan orang-orang Islam (yang menyerah diri)" Al-Fusilat 33. Nabi saw bersabda,`La thoo`ata lilmakhluqi fi maksiatil Khaliq` maksudnya; Tidak ada taat atau ketundukan serta kepatuhan di antara sesama makhluk dalam perkara-perkara yang membawa maksiat kepada Khaliq (Pencipta). Selawat dan salam penuh penghormatan kepada Junjungan Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat sekelian. Seterusnya kepada alim-ulama` serta mereka yang terus berani memperjuangkan kebenaran walau di mana sahaja, mendepani para tirani.


Ummat Islam di Malaysia seolah-olah terbelenggu oleh sumpah Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun dalam perjanjian keramat Sejarah Melayu Klasik supaya tidak menderhaka, mencampuri tugas dan bidang kuasa masing-masing, antara raja dan rakyat jelata. Doktrin klasik itu terus berperanan sebagai `makhluk halus` dalam kehidupan di alam melayu bagi menjamin kekuasaan institusi-institusi yang dipertahankan itu. Apa yang berlaku sekarang di Kelantan atau negeri-negeri lain sebelum ini adalah contoh yang jelas bagaimana issu ini tidak pernah mahu dibicarakan di pentas terbuka alam ummah oleh PAS sendiri, berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Puak-puak yang berserban dan berjubah pun pada ketika-ketika tertentu seperti Demang Lebar Daun juga sanggup tunduk menyembah keturunan Sang Sapurba demi daulat `agama baru` mereka politik demokrasi (bertopeng agama). Mereka akan menyanjung dan memberi apa sahaja permintaan golongan itu, permit balak ka atau projek-projek kelas `A` ka, dengan bijak berselindung, menggunakan proksi-proksi kerabat.

Yang pro UMNO (sekular) pula memang telah lama kita maklum dari dulu lagi mahir melayani kemahuan dan kehendak golongan berdarjat apabila mengambil alih tugas `orang putih`. Ummah.. rakyat bawahan tetap hanya mendapat `kuah` sahaja dalam `kek ekonomi` yang puak sekular ini agihkan. Yang bertopengkan agama pun sampai dah berpuluh tahun memerintah sanggup memejam mata dan memekakkan telinga memfaraid harta ummah, baru sekaranglah nampak macam tak tahan nak melayan kemahuan `Sang Sapurba Tua` tetapi begitu intim pula dengan `Sang Sapurba Mahkota`. Tetapi kalau golongan berdarjat itu menguntungkan puaknya seperti di Kedah, tak jadi masalah lagi nampaknya. Hanya.., kalau dah sampai macam di Perak tuu, baru la pakat riuh…kata macam-macam, sampai ada yang angkat kaki tunjuk ke istana.  

Beginilah lagak dan kelakuan orang yang meletakkan politik puaknya mengatasi agama Islam itu sendiri. Sedangkan kalau benar-benar memperjuangkan Islam, raja ka, rakyat jelata ka, siapa ka, kita kena ajak mereka supaya ikut dan taat akan perintah Allah swt serta contohi rasulNya Muhammad saw dalam semua perkara. Jangan berbelit-belit bersandewara politik, agama Islam mengajarkan supaya mengutamakan ummah.. tak kan para alim ulama` tak tahu kut! Tetapi kalau ikut agama politik, harus bagi mereka buat-buat tak tahu pun.. malah siap ada nas lagi… mereka akan bacakannya kepada ummah. Menurut rasa hati.., saya tak mau dah menulis hal-hal yang sensitif ini…buang masa saja, tetapi cuma nak ceduk balik, buletin 46 dan 47 dulu.Dengan sedikit tambahan.., ummah tataplah sendiri.

Sebelum penjajahan berlaku ke atas ummat Islam di Kepulauan Melayu, ummat hanya mengenali sistem pemerintahan Islam yang diterajui oleh raja atau sultan yang menjalankan undang-undang syariat Allah swt dalam semua bidang kehidupan. Pemimpin, raja atau sultan ketika itu menjadi ketua bagi ummat Islam dalam semua hal. Semasa era penjajah, raja atau sultan telah dijadikan simbol @ boneka sahaja sebagai ketua agama bagi mewakili ummat keseluruhan. Manakala penjajah sendiri melalui residennya menguasai, mentadbir hal ehwal negara dan rakyat termasuk ummat Islam dengan undang-undang thoghut Inggeris.

 Pada ketika ini kuasa @ hak ummah telah mulai diceroboh oleh musuh Islam yang bernama penjajah laknatullah, bila mana semua urusan yang berkaitan dengan ummat Islam telah mereka perkecilkan skopnya dan hanya berunding dengan pihak raja atau wakil sultan sahaja. Sedangkan ummah yang kuat semangat jihadnya tetap masih menentang dan menyusun taktik-taktik penentangan. Ini terbukti dengan kes Sheikh Abdul Rahman Limbung dan ulama`-ulama` yang dikenakan tindakan buang negeri ke Mekah. Begitu juga dengan bukti-bukti sejarah tempatan serangan-serangan oleh ummat Islam ke atas kapal-kapal dan kepentingan kompeni Inggeris di Pulau Pinang yang tidak dicatitkan oleh sejarah moden.

Pada ketika ini ummah benar-benar diuji, apabila ketua atau pembesar yang selama ini diharapkan memimpin ummah telah terkulai layu diulit kesenangan dan kemewahan yang diberikan penjajah. Para ulama` pun mula terbahagi dua yang terpengaruh dengan kemewahan sultan mengeratkan hubungan dengan istana dan secara tak langsungnya bernaung di bawah penjajah dengan segala sistemnya. Ulama`-ulama` yang memperjuangkan kebenaran tetap ada melaksanakan kewajipan mereka kepada Allah swt dan ummat Islam dengan menjadi tulang belakang institusi pendidikan pondok. Sebaliknya ketika itu, bukan sahaja penjajah Inggeris yang memusuhi mereka tetapi pihak sultan dan ulama`-ulama` pengampu pula yang berperanan lebih dari penjajah. Tidak hairan jika banyak kitab-kitab yang telah diharamkan oleh negeri-negeri tertentu atas kehendak sultan dan pengarangnya dihalau dari negeri berkenaan contoh Tuan Hussain Kedah dan Syeikh Daud al-Fatani.

Jangkamasa berlalu…dengan pelbagai peristiwa berlaku di hadapan ummat Islam, sepatutnya ummah mulai mengerti siapa sebenarnya yang bersama-sama ummah mempertahankan kehidupan beragama dan  memperjuangkan Islam serta kepentingan ummat di kampung-kampung dan di desa-desa. Atau siapa dan golongan mana yang masih berlakon serta menjadi regu sandewara mengelabui ummat Islam bernaung di bawah istana dan sistem penjajah, hidup bergaya malah selesa menerima segala… termasuk pendidikan penjajah. Buktinya sekolah-sekolah `missionary` dahulu, menunjukkan pelajar-pelajar perintisnya adalah terdiri dari anak-anak golongan beraja dan bangsawan. Tidak ketinggalan ada juga ulama`-ulama` yang terpengaruh dengan kecenderungan semasa melayan tuntutan pendidikan moden terhadap anak-anak mereka sendiri, supaya besar nanti senang dapat kerja dengan `orang putih`. 

Oleh itu salah satu sebab penting perjuangan awal ummat Islam dulu menuntut kemerdekaan, berusaha menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Islam bagi Tanah Melayu (MATA) yang benar-benar bebas dari telunjuk penjajah. Ummat Islam mahu memilih sendiri ketua mereka yang akan menjaga kebajikan semua ummah. Inilah suasana yang terdapat dibelakang tertubuhnya Hizbul Muslimin dan Persatuan Ulama` dalam UMNO yang menjadi PAS. Sebab itu bagi saya jika ummat Islam sekarang masih lagi tidak mampu untuk melihat permasalahan ini atau membiarkan ummah diperbodohkan oleh golongan `berdarjat` ini kononnya merekalah ketua bagi urusan Agama Islam adalah sesuatu yang terlalu malang. Selama beratus tahun, mereka ini tidak pun pernah hidup bersama-sama kesusahan ummah. Seruan atau kalimah `ummah` bagi mereka ialah ketika memberi ucapan perasmian atau perayaan hari-hari kebesaran ummat Islam dan khutbah-khutbah yang rasmi sahaja.

Jika kewujudan golongan ini di dalam dunia ummat Islam seperti `pengemis atau peminta sedekah` sahaja tidak menjadi masalah besar kepada ummah bagi saya, kerana sesiapa yang bersimpati boleh sahaja menghulurkan pemberiannya. Tetapi golongan ini bukan seperti itu, mereka adalah lintah darat yang menghisap darah ummah, malah lebih teruk lagi, merekalah yang hidup bersenang-lenang, mentekedarah hasil mahsul ummah yang sepatutnya dimiliki oleh semua ummat Islam selama ratusan tahun hingga sekarang. Tak percaya cuba tanya  MB-MB termasuk Kelantan dan Kedah kerana mereka yang tahu perbendaharaan negeri diurus bagaimana.!? Nabi saw pernah mengingatkan tanda-tanda akhir zaman seorang ibu akan melahirkan tuannya… Tidakkah kejahilan dan kealpaan ummah selama ini yang melahirkan golongan berdarjat yang membuli kehidupan ummah itu sendiri? Dari-Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan