Halaman

Khamis, 19 Ogos 2010

Meraba-raba... Tasawwur Perjuangan Ummah ? - Bil 108/ Syaaban 1431


     
 ~*
الحضارة


Dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang! Selamat bertemu kembali kepada semua khalayak ummah sekalian. Marilah kita bersama mengagungkan Allah swt sebagai Yang Maha Esa yang mengaturi setiap langkah kehidupan kita. Seterusnya marilah juga kita menyatakan  keyakinan serta terimakasih kita kepada Rasul Junjungan Muhammad saw, yang telah menyampaikan semua ajaran Islam ini kepada kita melalui keluarga dan para sahabat baginda serta generasi  selepas mereka. InsyaAllah kita dan generasi kemudian akan ikuti liku-liku perjuangan Islam yang sebenar itu, sampailah ke hari qiamat.

Pada kali ini saya ingin mengajak semua khalayak ummah, yang prihatin, menganalisa kembali pengertian `tasawwur` perjuangan Islam yang kita perjuangkan selama ini dalam realiti perjuangan dan pergerakan ummah kontemporari.


Sejauh mana erti sebuah perjuangan Islam ummah itu mendasari serta memandu perjuangannya. Ia banyak bergantung kepada kefahaman pendokong-pendokong serta dikuatkan lagi oleh sejauh mana berjaya atau tidaknya pemimpin-pemimpin mereka mengembang-biakkan makna tasawwur tersebut.

Dari segi bahasa tasawwur membawa erti `gambaran` atau `pandangan` terhadap sesuatu. Dalam konteks perbincangan, iaitu tasawwur perjuangan Islam membawa maksud gambaran keseluruhan perjuangan Islam ataupun semua ruang lingkup atmosfera perjuangan ummah tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah swt bahawa al-Islam itu sendiri diturunkan sebagai `Rahmatan lil a`lamin`- sebagai rahmat keseluruhan alam buana ini. Terlebih dahulu seharusnya kita dapat membezakan antara maksud tasawwur Islam dengan tasawwur perjuangan Islam. Tasawwur Islam ialah rupa bentuk ajaran Islam itu sendiri, manakala tasawwur perjuangannya ialah bagaimana segala usaha atau ikhtiari manusia mukmin mengembangkan ajaran tersebut sehingga berjaya menepati tujuan ajaran Islam itu diturunkan. Iaitu sebagai rahmat ke seluruh alam. Yang bukan Islam / mukmin- amalnya sia-sia.  

Dalam keadaan-keadaan tertentu kadang kala ianya nampak sekali atau sama sahaja tasawwur Islam dan tasawwur perjuangannya. Apa yang sepatutnya dilihat bersama dalam perbincangan ini ialah sejauh.. mana atau usaha  serta liku-liku yang boleh dilalui oleh pejuang-pejuang Islam ketika menjalankan tugasnya. Dalam `rangka besar` itu setakat mana pula yang menjadi had atau sempadan kepada mujahid-mujahidah dalam merealisasikan perjuangan mereka. Peri pentingnya kefahaman pendokong serta kepimpinan gerakan ummah terhadap tasawwur perjuangan mereka sendiri agar mereka terlebih dahulu mempunyai panduan-`guardline`, secara gambaran umum halatuju sesebuah perjuangan. Sementelahan itu juga supaya mereka tidak mudah tewas atau lemas dengan lakonan-lakonan iblis di sepanjang perjalanan perjuangan.

Selanjutnya supaya mereka bersama-sama ummah dapat memastikan perjalanan pergerakan ummah sentiasa berada di landasan yang betul dan yang terlebih penting agar mereka sentiasa menawarkan Islam yang menepati perjuangan para Ambiya` kepada keseluruhan khalayak massa pada zaman mereka. Memanglah mustahil untuk kita mengetahui semua atau dapat melihat keseluruhannya sebagai mana mustahil juga seseorang individu mukmin itu mengetahui segala-galanya ajaran Islam dengan segala selok beloknya secara terperinci. Apa yang perlu dan menjadi tanggungjawab ummah ialah diusahakan supaya gambaran umum secara lakaran plan kasar difahami oleh kebanyakan ummat Islam. Dengan tidak menafikan ada yang dapat mengetahui secara lebih khusus dalam sesuatu bidang tertentu berdasarkan keluasan ilmu Allah yang diberikan kepada hamba-hambaNya. Itu adalah hakikat kelebihan dan kelemahan manusia yang Allah swt ciptakan sebagai khalifah fil ard.

Bagi memastikan suasana sihat ini wujud, maksud saya ialah suasana semua ummah menjadi mata dan telinga serta hati nurani kepada perjuangan Islam. Kita yang mewakili kelompok-kelompok ummah mestilah sentiasa menghidupkan budaya sihat seperti `menjaga tepi kain ummah`, berdailog, bermuzakarah, bertukar-tukar pandangan, mencari ilmu-ilmu yang `hidup` atau mengadakan seminar serta diskusi, bukan sahaja sesama kelompok sendiri malah lebih perlu dengan kelompok-kelompok lain yang masing-masing menggerakkan perjuangan ummah. Apa yang penting matlamat kepada semua usaha tersebut mestilah kepentingan serta kebajikan ummah keseluruhannya. Bukan kelompok sendiri atau `menyelak dalam kain ummah` untuk memenangkan kelompok sendiri, bak enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Maaf ! Ummah hari ini tidak melambangkan mereka mewakili ummah yang sihat atau cerdik kerana rata-rata mereka dibentuk dan dihasilkan oleh penipu-penipu dan penguasa-penguasa yang zalim, yang memang sengaja mahu mengekalkan suasana keliru @ bengong @ tak ketahuan hala ini, untuk kelangsungan hayat status dan sistem mereka.

Bagi mengembalikan ummah atau masyarakat menjadi cerdik tidak dapat tidak, mestilah semua kelompok ummah mengujudkan suasana sihat yang pernah ummah kenali dalam sejarah mereka iaitu suasana pada zaman permulaan serta kegemilangan kepimpinan ummat Islam. Semua kelompok ummah sepatutnya berterusan membina syakhsiah/keperibadian muslim yang beramal dalam apa keadaan sekali pun dan sungguh-sungguh berdakwah, berjihad supaya semua golongan menganut dan menerima Islam…

Ummah akan terus kekal dalam suasana keliru jika gerakan yang mewakili ummah terus-terusan tidak mampu keluar dari kepompong keegoan sendiri. Dalam situasi begini sepatutnya setiap kelompok ummah itu berani mengambil tanggungjawab ummah seterusnya melangkah ke aras yang lebih sesuai dan mendasari paradigma ummah, bukan lagi paradigma kelompok masing-masing. Lebih malang lagi jika sekiranya kelompok-kelompok ummah yang ada …bukan maju ke depan! Sebagai gerakan yang memimpin ummah… tetapi mundur ke belakang menjadi pengikut puak-puak, cucu-cicit sekular pula.

Gerakan ummah kena sedar yang mana penganut atau pendokong yang kita kena hasilkan dan yang mana pula penyokong sahaja kepada perjuangan kita. Jika di zaman Rasulullah dahulu golongan penyokong ini diwakili oleh Abu Talib yang tidak beriman itu. Bukan tugas Nabi dan para sahabat mencari atau meramaikan penyokong tetapi mereka siang malam menyampaikan Islam supaya orang ramai menerima dan menganut Islam. Tetapi disebabkan kepentingan-kepentingan tertentu  penyokong itu sendiri, mereka tidak mahu menerima tapi tidak pula menentang Islam. Itu masalah mereka. Tugas kita tetap mengajak supaya mereka beriman dan beramal menjadi seperti golongan beriman insyaAllah. Itulah kesungguhan usaha Nabi saw kepada Abu Talib hingga ke saat akhir hayat Abu Talib.Ummah perlu ingat! Nabi saw tidak pernah menyuruh Abu Talib memimpin atau memandu ummah bagi menyelamat dan mengembangkan Islam.

Perbezaannya jelas.. malah cukup ketara antara penganut, pendokong berbanding penyokong dan simpatisan. Sebagai sebuah perjuangan Islam, gerakan atau harakah yang menggerakkan perjuangan sebenarnya memikul amanah `kenabian` kepada ummah semasa, sebelum sesebuah hadharah Islamiyyah yang bersifat watan terbina atau wujud. Kepimpinan Islam akan bekerja membina ahli muslim serta kepimpinan di bawahnya supaya komited kepada ajaran Islam. Setiap muslim yang menjadi ahli serta dah ditarbiyyah pula akan menjalankan tugasnya membina dan membentuk ahli keluarganya serta masyarakat setempat supaya menerima Islam seterusnya komited pula kepada ajarannya. Itulah agenda tetap yang fundemental sebagai Harakah Islam atau Gerakan ummat Islam zaman mana sekali pun mesti dilaksanakan tak boleh diubah-pinda atau di`kiv` bagi mendapat kekuasaan tempatan terlebih dahulu.

Wallahua`lam bissawab! Hampir keseluruhan isi perbincangan kali ini adalah suntingan semula buletin bil 14 & 15 yang lalu. Sekian, dari Ibnu Ramadhan.    ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan