Halaman

Khamis, 19 Ogos 2010

Demi Ummah PAS-UMNO Perlu Bersemuka Berbincang ! - Bil 106/ Rejab 1431





           ~*الحضارة
 Berbuih mulut Nik Aziz mempertahankan Karpal Singh. Ini bukan sekarang saja, tapi sejak bertahun-tahun lalu. Setiap kali Karpal mempertahankan pendiriannya “langkah mayat saya dulu jika mahu tubuhkan Negara Islam”, setiap kali itu jugalah Nik Aziz terpaksa mempertahankan abang bhai berkenaan. Saya cukup hairan dengan Nik Aziz ini. Walaupun itulah pendirian DAP, tapi Nik Aziz kata mereka betul. Bagi Nik Aziz, UMNOlah yang selama-lamanya salah.



Nik Aziz akan mengeluarkan pelbagai ayat untuk mempertahankan Karpal. Ayat-ayat itu boleh diadun mengikut acuan yang mahu dibentuk. Itu pasallah saya pernah mengatakan Nik Aziz ini ialah a political animal. Tapi budak-budak yang taksub dengan Nik Aziz menyerang saya kiri-kanan atas-bawah dalam blog. Mereka ingat maksud saya ialah Nik Aziz ‘binatang’.

Animal dalam konteks ini ialah orang politik totok. Hidup Nik Aziz bergelumang dengan politik. Gelaran Tok Guru ialah kerana beliau belajar agama, tapi kehidupannya, mata pencariannya ialah dengan politik. Kita sudah tahu siapa Nik Aziz. Beliau ialah political animal yang amat cerdik dalam permainan politik. Kalau tidak takkan beliau boleh bertahan lebih 20 tahun memerintah Kelantan.

Para pemimpin yang properpaduan (sesama ummat Islam) dalam PAS, sebenarnya cukup risau dengan sikap Nik Aziz itu. Tapi mereka malu alah mahu mengatakan depan-depan. Sebenarnya ramai yang sudah bertentangan haluan dengan Nik Aziz. Bukan rahsia lagi, dalam PAS sendiri pun sudah ada dua puak. Satu totok mempertahankan ideologi Nik Aziz, satu lagi lebih liberal yang mahu melihat Melayu Islam bersatu-padu.

Puak Nik Aziz melihat puak yang satu lagi itu cukup berbahaya bagi politik mereka. Nik Aziz acap kali berkata jangan berkawan dengan UMNO kerana di zaman 70-an dulu, UMNO menikam belakang PAS. Tapi orang PAS yang liberal itu menganggap apa yang ditakrifkan oleh Nik Aziz itu sebagai cerita lama. Dalam politik semua boleh jadi. Hari ini musuh, 24 jam kemudian berkawan semula.

Melihatkan fiil PKR dan DAP dalam pakatan, beberapa gelintir pemimpin PAS mulai tawar hati untuk bekerjasama terus dengan mereka. Banyak yang dilihat tidak betul dalam pakatan itu. Dalam hati mereka apa salahnya berpakat dengan UMNO untuk menyelamatkan ummah dan negara ini daripada jatuh ke tangan yang lebih berbahaya.

Mereka sedar itu semua. Tapi Nik Aziz adalah penghalangnya. Mereka malu alah dengan orang tua itu. Sebenarnya sebelum ini sudah ada cakap-cakap mengenai konsep perpaduan PAS-UMNO. Tapi puak yang bercakap mengenainya dihentam teruk. Terus orang itu berdiam diri, dan idea itu dibekukan. Tapi hakikatnya kumpulan ini tidak berdiam diri. Mereka mahu gagasan perpaduan ini diteruskan. Masa terlalu suntuk sebelum terlambat.

Seorang pemimpin PAS pernah memberitahu saya lambat laun kita, PAS dan UMNO perlu bersatu juga. Tapi saya kata bila? Jangan tunggu nasi menjadi bubur. Beliau terdiam. Ada yang mencadangkan Nik Aziz perlu disingkirkan daripada PAS. Beliau ialah penghalang terbesar ke arah perpaduan itu. Tahun depan ialah tahun pemilihan PAS. Saf baru PAS perlu diatur dari sekarang. Sebelum PRU-13, PAS memerlukan kepimpinan baru yang properpaduan. UMNO dan PAS perlu disatukan. Demikian tulisan Sdr Zaini Hassan dalam ruangan `Cuit` Utusan Malaysia 7 Julai.

Saya masukkan tulisan beliau tersebut kali ini adalah kerana saya amat bersetuju dengan saranan perpaduan ummah. PAS dan UMNO perlu mencari titik-titik persefahaman ke arah mencapai matlamat yang lebih besar iaitu perpaduan ummah lebih dari kepentingan kelompok sendiri. Bagi saya tidak pelek bagi PAS atau UMNO malah mana-mana pihak yang mewakili ummat Islam sekali pun untuk bersemuka dan berbincang bagi kepentingan seluruh ummah. Lebih-lebih lagi idea atau gagasan perpaduan ummah telah pernah berjasa besar kepada PAS sendiri semasa era kepimpinan al-Marhum Fadhil Noor. Jasa besar itulah yang Nik Aziz kecapi sehingga kini memerintah Kelantan dengan APU melalui PRU 1990.

Yang pelek bagi saya ialah orang-orang yang ada ilmu dan kesedaran perjuangan Islam samada dalam PAS, UMNO, NGO dan lain-lain pertubuhan tidak mahu berusaha ke arah mencapai perpaduan sesama ummat Islam. Dan satu perkara penting yang kebanyakkan ummat sering terlupa dan khilaf ialah tidak semestinya usaha-usaha perpaduan ummah ini akan mendapat sokongan besar PAS maupun UMNO.
Kenapa saya berkata begitu? Kerana golongan yang berkepentingan yang lain dari kepentingan ummah dan Islam samada dalam UMNO atau PAS di zaman mana sekali pun tidak akan mampu memperjuangkan cita-cita ummah. Begitulah yang terjadi pada zaman awal permulaan Islam golongan yang mengikut Nabi saw ialah golongan bawahan dan marhaen. Golongan berkuasa dan berkepentingan tidak sanggup ‘kehilangan’ status-qou masing-masing.

Begitu juga yang terakamkan oleh sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air ummat Islam dari penjajahan kuasa asing. Yang bersungguh-sungguh dan bermati-matian mempertahankan tanah air dari permulaan perjuangan ialah ummat Islam bawahan golongan kebanyakan. Yang tampil di saat-saat akhir menyambut kemerdekaan ialah golongan opurtunis yang mengelirukan ummat Islam.

Bukan pula maksud saya di sini, bahawa usaha-usaha murni mewujudkan perpaduan ummah itu tidak perlu melibatkan kedua-dua kelompok besar sedia ada tersebut, tetapi yang saya nak tekankan di sini ialah ummat Islam perlu sedar dan bersedia untuk meneruskan perjuangan murni mereka jika ditakdirkan tanpa kehadiran kelompok besar tersebut. Mereka mahu atau tidak mahu, bersama-sama dengan perjuangan kepentingan ummah, sama sahaja di antara kita semua. Itu adalah pilihan kita masing-masing.

Namun apa yang menyedih dan menggusarkan saya, sejak akhir-akhir ini PAS seperti melonggarkan ikatan perjuangan ummahnya dan menjalinkan simpulan baru, tali ikatan pakatan rakyat. Perubahan inilah yang saya dapat rasakan, menyebabkan kebanyakkan mereka yang berilmu dalam PAS menjadi kelu lidahnya dan tumpul pemikiran mereka dengan idea-idea segar perjuangan Islam. Mereka tidak lagi memimpin perjuangan tetapi mereka pula yang dipimpin tangan serta didorong orang lain supaya melalui lorong-lorong gelap di belakang ummah yang penuh hanyir dan tengit.

Firman Allah swt bermaksud; `Dan Sesungguhnya telah Kami buat dalam Al Qur'an ini segala macam perumpamaan untuk manusia.`

`Dan Sesungguhnya jika kamu membawa kepada mereka suatu ayat, pastilah orang-orang yang kafir itu akan berkata: "Kamu tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat kepalsuan belaka."
Demikianlah Allah mengunci mati, hati orang-orang yang tidak (mahu) memahami (kebenaran).`

`Dan bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah adalah benar dan sekali-kali janganlah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran ayat-ayat Allah) itu menggelisahkan kamu.` ar-Rum 58-60.

Sebagai mengakhiri buletin kali ini, saya ingin menyatakan bahawa saya begitu tersentuh sekali dengan hasil rumusan borak panjang mereka (zaini, kickdefella, bigdog & rocky’s bru) di Bangsar petang itu. Tulis Zaini, “Kami semua bersetuju. PAS dan UMNO perlu disatukan demi kepentingan ummah. Insya-Allah, kami akan berusaha ke arah itu.”
Persoalan saya, ke mana pula usaha saya… dan teman-teman lain ??? Sekian dari Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan