Halaman

Ahad, 1 Ogos 2010

Buletin al-Hadharah Bil 21-30

BULETIN الحضارة~*BIL:21/Zulqaedah 1429
AL-HADHARAH
`Kemenangan` Yang Membawa Fitnah ?

SubhanalLah ! Maha suci bagi AlLah SWT yang telah melimpahi segala nikmatNya kepada kita seluruhnya. Selawat dan salam perjuangan penuh penghormatan buat RasululLah SAW, ahli keluarga Baginda serta para sahabat yang semuanya diredhai AlLah hendaknya. Ampunilah diri kami, sesungguhnya kami telah banyak menzalimi diri kami sendiri.

Jika mahu dihitung akan segala nikmat AlLah nescaya keringlah seluruh lautan di dunia ini sebagai dakwat dalam mencatatnya, maka didatangkan sebanyak itu lagi, nescaya belum habis lagi catatan-catatan kamu itu. Itulah gambaran perumpamaan dalam al-Quran betapa tak terhitungannya segala nikmat AlLah Azzawajalla kepada kita sebagai makluknya, Surah al-Kahfi ayat 109.
` Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan ? ` - Al-Rahman 13,16, 18….

Keputusan pilihanraya 8hb Mac 2008 telah dilihat dan diterima sebagai `kemenangan` oleh sebahagian besar pihak yang mewakili pembangkang serta penyokongnya. Tiga, empat bulan berikutnya dipenuhi dengan majlis jamuan atau kenduri kesyukuran di segenap pelosok negara dan di berbagai peringkat sehingga tak termakan para hadirin, ramai yang masuk hospital angkara penyakit (nafsu) terlebih mentekedarah ! Tidak mustahil sekiranya dikumpulkan seluruh perbelanjaan jamuan dan perjalanan mereka ke majlis jamuan dan rumah terbuka Aidil Fitri baru-baru ini contohnya di seluruh negara saya rasa tidak kurang setiap negeri di Malaysia dapat dibangunkan sebuah sekolah rendah atau menengah Islam pada setiap musim perayaan.
` Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan ? ` - Al-Rahman 13,16, 18….
Tidakkah pernah sampai pesan Nabi kepada kamu bahawa punca segala penyakit ialah perutmu…

Marilah kita jujur dan bersikap realistik, `tsunami politik` yang melanda kebanyakan negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung sebenarnya ialah kemenangan atau kemampuan orang-orang bukan Islam bersatu dan menunjukkan kuasa `demanding power` mereka dalam proses sistem demokrasi di Malaysia. Saya teringat sebuah parti politik bukan Islam yang berpengaruh 2,3 hari selepas kemenangan tersebut, telah mengadakan satu majlis dialog bersama pimpinan mereka di Ipoh dengan tema atau tajuk fokus mereka `Whats Next ?` (Apa pula selepas ini?) Mereka telah mengarahkan semua aktiviti dan program parti semua peringkat yang telah dirancang sebelum ini dibatalkan, kerana sudah tidak relevan dengan realiti baru. Dalam masa terdekat mereka akan mengadakan konvensyen bagi menentukan halatuju mereka 50 tahun yang akan datang. Saya percaya mereka telah pun mengadakan berbagai peringkat perbincangan dan program dalam memastikan cita-cita mereka itu. Di pihak parti yang mewakili ummat Islam masih tenggelam dalam sambutan`berbulan madu` mereka.` Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan ? ` - Al-Rahman 13,16, 18….
Kamu asyik melayan syahwat makan minum, pakaian dan gaya hidup baru lalu melupai amanah ummah…

Apa yang lebih mendukacitakan saya ialah parti yang sepatutnya dominan kerana sokongan ummat Islam selama ini, menjadi `habuan ratahan` kepada mereka yang bijak menguasai rentak politik sekular. Golongan sosialis yang dah nak pupus di seluruh dunia terpaksa mengubahsuai pegangan sosialis mereka samada berkerjasama dengan puak liberal sekular atau mengikut arus Islam. Tiba-tiba seperti tidak percaya diangkat idealisma perjuangan mereka oleh pimpinan tertinggi parti ummat Islam. Lalu terbentuklah Pakatan Rakyat yang namanya bukan dicadangkan oleh pihak sosialis, rupa-rupanya oleh pimpinan yang mewakili ummat Islam sendiri. Inilah mungkin yang selalu saya dengar daripada rakan-rakan sebaya pada zaman kanak-kanak dahulu `ular lidi boleh jadi naga` dapat menelan apa-apa saja!
` Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan ? ` - Al-Rahman 13,16, 18….
Tidakkah kerana kamu meninggalkan perjuangan Islam yang syumul, menumpukan kepada matlamat politik sekular semata-mata ?

Dari sudut yang terpencil dan kaku bersama penyokong sendiri serta khalayak awam, kepimpinan yang mewakili ummah ini mendabik dada bahawa kitalah yang dominan dalam PR untuk menghadapi BN. Kita memegang `golden share` kitalah yang akan memandu perjuangan PR. Secara peribadi sebagai ahli saya berasa sungguh malu dengan kenyataan-kenyataan `syok sendiri` sebegini, apabila mereka yang bukan Islam dan aliran liberal sekular tersenyum sinis mendengar celoteh `pemandu` mereka yang `gila steering`. Memanglah dalam dunia sekular yang menjadi drebar tuu tempatnya di depan pak! pegang steering pusing kanan atau ke kiri, tetapi yang bossnya malah pak majikannya kan tempatnya di belakang, duduk rehat-rehat bersama memnya! Waduh! Waduh! Politik sebegini pun ngak mengerti..? Apa-apaan… kamu ini…. goblok…..tolol….!
` Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan ? ` - Al-Rahman 13,16, 18….
Tidakkah kerana kita meninggalkan pesanan Saidina Umar bahwa jangan mencari kemuliaan selain Islam ?

Lebih malang dan meremang bulu romaku wahai saudara ummah, apabila aqidah asas agama telah terjual atau digadai dengan harga yang tersangat murah iaitu untuk mendapat sokongan politik orang-orang bukan Islam. Bukan kes terpencil lagi malah sudah menjadi agenda peringkat nasional yang bersungguh-sungguh dilaksanakan tanpa ada rasa segan silu serta rasa berdosa. Ya Allah ya Rabbi ! biarpun kerdil diri ini tetapi aku tetap bangun ! dengan kemampuan yang Engkau berikan kepadaku untuk menyanggah gejala riddah mutakhir ini yang tidak ada `Abu Bakar` menangganinya.Wahai saudara-saudara ummahku sekelian ayuh ! bangunlah ! dari lamunan mu, marilah selamatkan aqidah sendiri, aqidah generasi kita, aqidah perjuangan kita, hantarkan mesej bantahan kita terhadap riddah yang melanda walau dengan apa cara sekali pun. Jangan kita menjadi dayus ! tewas sebelum berjuang menghalau golongan oportunis yang mempergunakan Islam. Malulah diri kita kepada Si burung pipit yang telah cuba dan berusaha memadamkan api Namrud !
AlLahuakbar !........ AlLahuakbar !.......... AlLahuakbar !
` Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan ? ` - Al-Rahman 13,16, 18….
Tidakah kita sekarang berada di zaman fitnah yang pernah RasululLah SAW gusarkan iaitu ada di antara kamu pada pagi-paginya beriman tetapi pada petangnya kafir, pada petangnya beriman lalu sebelah malamnya kufur ! (NauzubilLah Minzalik)

Wahai saudara-saudara Muslim sekelian renungkanlah maksud firman-firman AlLah ini; ` Yang demikian itu disebabkan kerana sesungguhnya mereka mencintai kehidupan di dunia lebih daripada akhirat dan bahawasanya AlLah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir ` - an Nahli 107

` Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudaramu menjadi wali jika mereka lebih mengutamakan kekafiran di atas keimanan, dan sesiapa di antara kamu yang berwalikan mereka maka mereka itulah orang-orang yang zalim.` - at Taubah 23

Sebagai penutup ambil pula pengajaran hadith berikut; ` Mereka memerangi orang-orang yang beriman dan membiarkan penyembah-penyembah berhala. Sekiranya Aku( Nabi SAW) menjumpai mereka nescaya aku akan perangi mereka seperti memerangi kaum `Ad. Muttafaqun `alaih.
Sekian dahulu untuk kali ini semoga AlLah SWT menjauhkan kita semua dari kerosakan dan kecacatan iman. Dari - Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

BULETIN الحضارة~*BIL:22/Zulqaedah 1429
AL-HADHARAH
VIRUS RIDDAH vs `BANI ABA BAKR`

LailahaillalLah MuhammadurrasululLah ! Tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan AlLah dan Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh AlLah. Segala puji dan puja bagi AlLah SWT yang telah memberi taufiq serta hidayahNya kepada kita semua untuk menerima Islam, sebuah agama yang haq melalui titis-titis perjuangan generasi -generasi yang sebelum kita sehinggalah kepada generasi yang pertama yang diketuai oleh Abu Bakr ra yang menerima langsung dari lisan lidah RasululLah SAW yang mulia, yang tidak menuturkan sesuatu melainkan kebenaran.

Kenyataan iman atau aqidah inilah yang menjadi `harta` yang tak ternilai bagi ummat Nabi Muhammad SAW walau di mana saja mereka berada yang mereka akan pertahankan walaupun nyawa sebagai taruhan. Sebaliknya harta ummat yang berharga inilah juga, yang menjadi sasaran virus riddah dari musuh untuk menyerang serta merobek-robek kesuciannya. Disebabkan persoalan ini tidak pernah selesai maupun menemui jalan perdamaian atau perkongsian aqidah maka saya suka melanjutkannya lagi sebagai perbincangan buletin kali ini. Apatah lagi usaha dari pihak musuh bukan lagi memesongkan pengikut-pengikut bawahan yang rata-ratanya lemah, tetapi peneraju-peneraju ummat yang lemas dan `zauq` dek kehalusan dan kesenian virus `made in` jahiliyyah.

Baru-baru ini dalam satu konvensyen besar-besaran peringkat Negeri Pahang sebuah parti politik yang disokong oleh kebanyakan ummat Islam, apabila ditanya kepada Tuan Presidennya sendiri; `Boleh atau tidak kita sebagai ummat Islam menghadiri atau bersama-sama orang bukan Islam di dalam majlis menyambut perayaan mereka ?`, dicontohkan oleh peserta yang bertanya tersebut sebagai perayaan Deepavali. Kebetulan perayaan hari kebesaran bagi penganut Hindu itu berlaku selepas ummat Islam menyambut Aidil Fitri. Saya berfikir peserta tersebut yang mengemukakan soalan itu kerana beliau memang mahukan satu kepastian dari seorang pemimpin, lebih-lebih lagi pemimpin yang selama ini mereka anggap seorang ulama` atau mempunyai ciri-ciri ulama`.

Saya juga berkeyakinan peserta tersebut tidak akan bertanya soalan yang sebegitu jika mereka adalah dari parti politik sekular atau parti kebangsaan ataupun dari parti baru multireligious liberal sekular. Pandangan umum faham dan peserta itu pun faham parti-parti yang lain itu tidak ada sensitiviti agama dalam parti mereka, agama adalah hal peribadi setiap orang ahli parti tersebut itulah prinsip fahaman sekular. Yang mengejutkan para peserta dan ummat Islam yang lainnya ialah jawapan yang diberikan iaitu `boleh dengan syarat mesti ada niat untuk berdakwah`. Dengan kedudukan dan pandangan ummat terhadap beliau sebelum ini, menjadikan semua pihak kelu, kaku atau memendamkan rasa resah gelisah mereka dengan kata-kata lapik hujah yang nampak `molek` sekurang-kurangnya pada ketika itu, `dengan syarat mesti ada niat untuk berdakwah`.

Saudara-saudaraku dan juga `Tuan Presiden` kamu juga yang pernah menyatakan dalam tulisan kamu bahawa perkara-perkara yang boleh membatalkan aqidah seseorang muslim itu ialah menghadiri upacara atau sambutan agama lain yang bukan Islam. Kamu mengemukakan sebuah hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari Saidina Umar al-Khattab yang bermaksud - ` Jauhilah kamu daripada musuh AlLah pada hari raya mereka.` (Muqaddimah Aqidah Muslim -Tulisan Jawi cetakan ke-4 tahun 1993 Pustaka Aman Press mukasurat 94, Rumi Gedung Gua cetakan pertama tahun 1985 mukasurat 101.) Sebuah hadith yang ringkas dan agak mudah untuk memahaminya, Nabi SAW menyuruh supaya orang-orang Islam yang beriman supaya menjauhi diri masing-masing dari musuh Allah (orang kafir) pada hari raya mereka. Banyak perkara yang kita sebagai ummat Islam hari ini boleh mengambil atau membuat pedoman dari hadith yang pendek tersebut tanpa perlu menjadi pengikut yang taasub membuta-tuli.
1- Perayaan-perayaan yang bukan Islam ini memang telah ada sejak dahulu lagi, malah antaranya sebelum kelahiran Nabi SAW.
2- Nabi SAW amat-amat maklum akan peristiwa-peristiwa yang berkaitan perayaan agama lain.
3- Sebagai Rasul, Nabi tidak pernah mengesampingkan tugas berdakwah kepada semua khalayak.
4- Sebagai Rasul juga, Nabi tidak pernah sesaat pun hidup tanpa berdakwah atau niat tidak berdakwah.
5- Cara berdakwah yang Nabi SAW tunjuk dan suruh orang-orang mukmin lakukan ialah dengan menjauhi perayaan mereka (kafirin).
6- Itulah satu cara yang tepat dan haq bagi menyatakan pendirian serta keyakinan seorang muslim tanpa perlu membazirkan sepatah perkataan pun, kerana setiap saat kita adalah berdakwah.

Sebenarnya banyak lagi, jika kita berkesempatan membuat kajian yang menyeluruh dan mendalam walaupun terhadap hadith yang pendek ini. Oleh kerana itu `topeng` yang diletakkan iaitu `mesti ada niat untuk berdakwah` mungkin pada awalnya nampak `molek` akhirnya akan tertanggal dengan sendiri, nampaklah wajahnya yang kemaruk itu. Sebab apa saya berkata begitu saudara-saudaraku, sebab mana mungkin Nabi `tidak pandai` mengambil peluang berdakwah kepada orang bukan Islam dahulu. Pada perhimpunan perayaan merekalah baru terdapat perhimpunan yang dihadiri oleh musyrikeen paling ramai, kan senang (mengikut logik oportunis) jika Nabi pun pergi dan berdakwah langsung kepada mereka yang tersedia ramai itu macam pemimpin-pemimpin yang `cerdik` hari ini.

Satu perkara lagi saya fikir perlu dimasukkan juga di sini iaitu syarat yang diada-adakan itu pun sebenarnya tidak pernah pun ada di zaman para sahabat, tabien, atba’ut tabien, seterusnya……sampailah ke masa kita kini. Tidak pernah kita dengar pandangan-pandangan yang mengatakan saranan Nabi supaya menjauhi perayaan-perayaan orang bukan Islam pada hari raya mereka tidak relevan dengan tugas berdakwah. Dalam jangka masa yang panjang ribuan tahun sebelum ini seolah-olah juru dakwah atau pendakwah masih terhijab satu lagi `channel` yang tidak ada di negara ummat Islam lain tetapi hanya baru sekarang diterokai dengan `jayanya` oleh `jurujual dan penjual-penjual` made in Malaysia.

Kepada mereka dan rakan-rakan yang sejenisnya, tiada daya dan upaya ummah untuk menyelamatkan mereka dari azab AlLah SWT jika mereka sendiri tidak mahu kembali bertaubat dan membersihkan diri dari kesilapan serta keterlanjuran akibat dikuasai oleh hawa nafsu dan mengikut sangkaan-sangkaan belaka. Firman AlLah yang bermaksud;

` Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang yang di atas muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan AlLah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanya berdusta terhadap AlLah. ( al- An`aam ayat 116 )

` Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukminat apabila AlLah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. ( al - Ahzab ayat 36 )

Semoga AlLah SWT mengampuni dosa-dosa kita dan memberikan taufiq serta inayahNya bagi meneruskan perjuangan yang penuh pancaroba ini, walLahua`lam ! – Dari Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


BULETIN الحضارة ~*BIL:23/Zulqaedah 1429
AL-HADHARAH
Idola, Ikon PENYESAT Aqidah Ummah

Alhamdulillah, Puja dan Puji hanya berhak dan layak dipersembahkan kepada Allah Taala, Pencipta dan Pentadbir sekelian alam. Selawat dan salam buat Junjungan Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga, para sahabat serta mujahidin mujahidat yang telah berjuang untuk menegakkan cara hidup Islam di dalam segenap segi kehidupan mereka.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah, pada kali ini mari kita melihat betapa bahayanya ` penyesatan-penyesatan bentuk baru` yang berligar serta berkisar dalam masyarakat ummah dewasa ini. Istilah-istilah seperti idola, ikon dan sebagainya yang sering digunapakai generasi kini, tanpa menyedari dan mengetahui hakikat sebenar istilah tersebut atau hanya terikut-ikut telah memerangkap dan mengundang ke arah tergelincirnya aqidah ummah dan generasinya. Kalimah idola diambil daripada ‘idol’ istilah bahasa Inggeris yang bermakna patung, berhala, pujaan, di mana ‘idola’ ialah seseorang atau sesuatu yang disanjung berlebihan, dipuja dan didewa-dewakan.

Idola membawa maksud ‘manusia sembahan’ generasi kini, idola suatu kalimah ‘jahat’ yang tidak bertanggungjawab dan tidak terikat dengan tuntutan mengikut kebaikan. Ia adalah ucapan yang terbit daripada runtunan hawa nafsu dan perasaan menyanjungi, mendewa-dewakan atau terlampau menyukai seseorang samada penyanyi, pelakon, pemerintah yang berkuasa atau bangsa-bangsa yang sesat ( yang dianggap maju) hatta tok-tok guru dan alim ulama’ sendiri. Lantas idola itulah menjadi ikutan ataupun tempat menggantung harapan tanpa menoleh adakah kebaikan atau keburukan, kebenaran atau kebatilan yang dipersembahkan. Sesungguhnya mereka ini akan menyesatkan pengikutnya, pemujanya dan penyanjungnya tetapi mereka akan berlepas diri apabila berhadapan dengan pengadilan Allah SWT di akhirat nanti.

Hakikatnya kalimah ini telah diperangi oleh Islam lebih 1400 tahun yang lalu daripada menguasai pemikiran, perasaan dan aqidah ummah ketika itu di mana pada masa itu mereka menjadikan berhala, patung, batu, orang bangsawan, pemimpin kenamaan dan sebagainya sebagai ‘idola’ sembahan dan pujaan. Sedangkan di dalam Islam, Rasulullah SAW sendiri yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT bukanlah diangkat untuk menjadi manusia pujaan (pujaan hanya untuk Allah) dan idola ummah bahkan Baginda adalah qudwah atau uswah (bukan disebut idola ) sumber suri tauladan mulia yang menjadi petunjuk jalan kebenaran dan pemberi peringatan kepada semua manusia supaya mengingkari sebarang penyembahan dan pemujaan kepada selain daripada Allah.

Sesungguhnya ‘trend’ pemujaan idola terutamanya artis-artis dikalangan remaja dan muda-mudi Islam seluruh dunia sudah termaklum dan amat membahayakan kepada aqidah dan akhlak generasi ummah. Ia bukanlah satu kebetulan , tetapi ia adalah perancangan jahiliyyah antarabangsa bagi menyesatkan dan melalaikan ummat Islam seluruh dunia dengan mewujudkan idol-idol peringkat global atau tempatan - Malaysian idol, Indonesian idol hatta Afghanistan yang beberapa tahun baru ‘dimerdekakan’ oleh jahiliyyah telah berjaya meraikan kelahiran idol Afghanistannya beberapa bulan yang lalu dengan disaksikan oleh berjuta muda-mudi ‘generasi baru’ walaupun idol wanitanya masih lagi tidak dapat melepasi benteng ummah. Bukan idol peringkat dewasa sahaja yang dicungkil dan diukir bintangnya bahkan diperingkat kanak-kanakpun tidak ketinggalan dengan bintang kecil atau idola cilik dan sebagainya. Siapakah yang kita akan harapkan menangani permasalahan yang meruncing dan menyesakkan dada ibu bapa muslim hari ini…???????

Kenapa perlu saya sebut di sini adalah kerana perkara yang lebih malang lagi, apabila budaya pemujaan terhadap idola ini telah menular dan meresap masuk ke dalam gerakan ummat Islam dewasa ini, di mana ahli-ahlinya telah dibiarkan terjurus kepada pemujaan pemimpin-pemimpin dan tok-tok guru atas dasar kekaguman, fanatik, taasub atau terlampau menyanjungi sehingga menutupi dan mengaburi kebenaran.

Mereka tidak diajar untuk menggunakan aqal secara sihat dan berfikir secara terbuka dan matang, yang mereka tahu hanya menganjur program yang stereotaip, rasmi di sana potong riben di sini , jamuan makan dan sampaikan hadiah. Semuanya melali dan menidurkan aqal, natijahnya telah memberi kesan kepada perjuangan ummah yang selama ini diasas dan dibina atas dasar perjuangan Islam akan terpesong dari landasannya kerana tuntutan ‘Islam sebagai agama nasihat menasihati’ dalam membina hadharah tidak dapat dilaksanakan sebaiknya apabila perasaan ini telah menguasai sebahagian ahli dan pemimpinnya.

Kesan fenomena ini boleh kita lihat kepada 2 pihak yang terlibat, di mana pengikut atau golongan bawahan yang memuja dan menyanjung pemimpin mereka ini (samada secara ikhlas atau ada udang di sebalik batu) akan wujudlah golongan yang berjiwa kerdil dan pengecut untuk menyatakan kebenaran, takut terlepas peluang dalam kepimpinan, takut disisihkan atau memberi alasan mudah walak kepada pemimpin maka akan terungkai dan terburailah pengharapan yang mutlak yang wajib digantungkan kepada Allah SWT dan pudarlah semangat mempertahankan hakikat perjuangan Islam. Ini terbukti apabila salah seorang kepimpinan pemuda yang bersuara lantang apabila ditanya tentang sikapnya terhadap pimpinan atasan apa yang dijawabnya mereka semua adalah idolanya. Jadi apalah yang boleh kita harapkan kepada mereka untuk menyelesaikan permasalahan ummah, aqidahnya, akhlaknya, pemikiran ummah yang diserang bertubi-tubi oleh jahiliyyah.

Manakala di pihak yang menjadi idola pula, virus ini telah men‘zauq’kan (karam) pemimpin-pemimpin ini hingga terlupa diri di mana bumi sepatutnya dipijak tetapi terangkat kaki ‘terawang-awang’, sudah tidak pandai menghargai walak yang diberikan ummah, teraju perjuangan yang diamanahkan ummah dipermainkan apabila keputusan-keputusan yang diputuskan bukan untuk kemaslahatan ummah lagi, wadah perjuangan ummah dianggap seperti hak peribadi boleh mempersilakan keluar sesiapa sahaja yang tak berkenan dihati,

Malang sekali kepada perjuangan ummat Islam dan generasi ummah akan datang sekiranya perkara ini diizinkan berterusan ……Justeru itu ummah yang ada kesedaran perlulah bertindak membenteras gejala yang merosakkan aqidah serta akhlak ummah ini, sebarang ungkapan, kenyataan atau soalan berkaitan idola, ikon dan sepertinya ini perlulah dihentikan penggunaannya.

Inilah 3 faktor yang telah disebut oleh Sayyid Abul A’la AlMaududi Rahimahullah yang akan menyesatkan aqidah ummah iaitu : 1) Mengikut hawa nafsu atau kemahuan sendiri.
2) Mengikut adat kebiasaan tanpa berfikir.
3) Kepatuhan dan pemujaan kepada selain Allah SWT
Akhir sekali marilah saudara ummahku muslimin serta muslimat, kita gerakkan kembali hakikat perjuangan Islam dengan mengembalikan segala asas-asasnya dalam membina kehidupan kita, biarpun dibenci oleh hawa nafsu sendiri dan para tirani. Sekian salam perjuangan dari Ummu el-Husna.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

BULETIN الحضارة~*BIL:24/Zulhijjah 1429
AL-HADHARAH

Hadharah Hari Esok
Antara Perjuangan, Pengorbanan & Wadah


Dengan memohon taufiq serta hidayah dariMu ya AlLah, Tuhan semesta alam, selawat dan salam terhadap Rasul Junjungan Muhammad SAW serta kaum keluargamu yang dikasihi seterusnya kepada semua para sahabat yang bagaikan bintang-bintang menghiasi kegelapan malam hari. Terasa begitu cepat dan pantas masa berlalu meninggalkan kita, bagaikan baru semalam buletin al-Hadharah keluaran pertama menyapa khalayak pembacanya, rupa-rupanya bulan Zulhijjah ini telah memasuki bulan ke-6 dari usianya. Walau apa pun penerimaan khalayak ummah, setinggi-tinggi kesyukuran pihak kami panjatkan kepadaMu ya Rabbi di atas segala ketentuan dariMu ini.

Saudara-saudaraku kehidupan di dunia fana ini akan terus berjalan tanpa memperdulikan sesiapa pun, sampai tempoh masa yang ditentukan ILahi kepada setiap orang atau mahkluk tersebut akan bertemulah ia dengan noktah atau pemberhentian atau kematian atau kemusnahan atau kehancuran kerana itulah selayaknya kepada sesuatu yang bersifat `baharu` di alam fana ini. Setiap mahkluk tersebut, terutamanya kita wahai saudara-saudaraku ! Kitalah yang seharusnya memastikan setiap detik kehidupan yang kita lalui ini bermanfaat untuk perjuangan yang telah kita sepakati dan yakini akan kebenarannya, yang mampu memberikan kebahagian di dunia serta di akhirat nanti.

Bila membicarakan perjuangan, ia bukan lagi ikut-ikutan atau mengisi masa terluang atau menjangkakan perkembangan-perkembangan politik semasa. Itu semua `perjuangan` bagi mereka yang keliru dan tak tahu apa yang hendak diperjuangkan dalam masa yang cukup suntuk serta terbatas ini. Sebenarnya kita sebagai ummat Islam tidak punya banyak masa untuk berteori dan berkhayal melayani kehidupan mereka yang tidak yakin dengan adanya akhirat. Ummah tidak punya masa untuk dibazirkan waktu serta segala potensi ummah bagi mengikut dan menjayakan agenda musuhnya atau mereka yang tidak yakin tersebut. Perjuangan bagi ummat Islam ialah apabila hadirnya makna keimanan kepada Pencipta dan Pentadbir sekelian alam ini di dalam jiwa mereka, lalu membuahkan keyakinan yang akan dipegang dan diperjuangkan dalam seluruh kehidupannya samada secara peribadi ataupun bermasyarakat, dengan mengambil contoh utusan AlLah, iaitu RasululLah SAW dan para sahabat Baginda serta mereka yang mengikut akan mereka itu sampailah ke hari terakhir bagi kehidupan di alam sementara ini.

Bagi ummat Islam, perjuangan juga ialah keyakinan dan kehidupan yang mereka lakukan dengan bersungguh-sungguh untuk membina hadharah hari esok, yang pastinya Hadharah Islamiyyah, seperti yang pernah tertegak di atas mukabumi AlLah ini suatu waktu dahulu. Hadharah hari esok akan lebih cepat sampai dan dapat khalayak ummah memiliki jika semua kita memulakan perjalanannya hari ini. Teruja saya akan kepetahan Si anak kecil Johan Khutbah Ihtifal PASTI Kebangsaan sebulan yang lalu. Kata Si khatib -
`Jika kamu merancang untuk setahun yang akan datang, cukup dengan menanam padi ! Jika kamu merancang untuk sepuluh tahun yang akan datang, cukup dengan menanam pohon-pohon ! Tetapi jika kamu merancang untuk 100 tahun yang akan datang ! Maka didiklah anak-anak generasimu hari ini mengikut acuan yang kamu inginkan.`
Hadharah hari esok bagi setiap ummah itu bermula dari titik atau garis permulaannya hari ini dengan kata lain ketika dan saat ini, yang kita hidupkannya bersungguh-sungguh dengan penuh kesedaran kerana AlLah.
Perjuangan yang haq dan panjang pasti membutuhkan perancangan serta pengorbanan dari setiap pendokong-pendokongnya. Firman AlLah bermaksud; ` Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang sederhana jauhnya pastilah mereka mengikuti kamu tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.` - at-Taubah 42.

`Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya( beriman) kepada AlLah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan berjuang dengan harta dan jiwa mereka pada jalan AlLah. Mereka itulah orang-orang yang benar.` al-Hujurat 15.

`Jika kamu meminjamkan kepada AlLah pinjaman yang baik, nescaya AlLah melipat gandakan balasannya kepadamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan AlLah Maha Pembalas jasa lagi Maha Penyantun.`- at-Taghaabun 17.

Untuk sampai kepada kemampuan melakukan pengorbanan sepertimana yang dituntut oleh agama Islam dalam perjuangan kita, tidak dapat tidak mestilah mempunyai keyakinan yang tinggi serta ikhlas hanya untuk AlLah Azzawajalla. Pengorbanan mungkin sesuatu yang mudah dan selalu di sebut, terutamanya apabila untuk orang lain atau pihak bawahan yang ditagih melaksanakannya. Pengorbanan menjadi terlalu sukar malah sering dilupakan begitu saja apabila diri sendiri atau pimpinan atasan sepatutnya memulakan. Saudara-saudaraku sebenarnya itulah rahsia yang tersirat di sebalik kalimah `pengorbanan`.

Pengorbanan Nabi Ibrahim as, pengorbanan Ismail as, dan pengorbanan Hajar ra bukanlah semudah kita mendengar segala kisah-kisah mereka. Pengorbanan yang terpaksa mereka pasrahkan demi sebuah keyakinan tuntutan penghambaan kepada AlLah SWT. Pengorbanan Nabi Muhammad SAW, pengorbanan kaum keluarga ahlul-bait dan pengorbanan seluruh generasi sahabah demi melengkapkan sebuah keyakinan laiLahaillalLah MuhammadurrasululLah. Semuanya ini terakam sebagai bukti dan saksi yang terus hidup di dalam jiwa mereka yang dihidupkan oleh AlLah dengan keyakinan sebagaimana yang diperintahkanNya.
Begitulah sebenarnya saudara-saudaraku lumrah kehidupan yang AlLah SWT ciptakan di dunia fana ini sentiasa menuntut ia akan pengorbanan bagi menguji keyakinan para hambaNya yang benar-benar beriman dengan hari akhirat. Ada kalanya pengorbanan tersebut terlalu mahal harganya mengikut kacamata biasa nilaian dunia, tetapi insyaAlLah akan ada manusia yang beriman tetap menyahut tuntutannya sebagai hambaAlLah di sepanjang masa. Firman AlLah bermaksud ;
`Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu.`
- Az-Zaariyat 56.
` Sesungguhnya AlLah telah membeli dari orang-orang Muslim, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…` - at-Taubah 111.

Dalam suasana dunia yang sudah tidak ada Nabi dan para Rasul untuk membimbing kita ummat akhir zaman, supaya menjadi hamba yang sebenar kepada Tuhannya. Maka amanah kenabian tersebut akan dipikul oleh Jemaah Islam ataupun Harakah Islam yang benar-benar menepati ciri- ciri dan sifat-sifat para Nabi dan Rasul alaihimussalatuwassalam. Itulah wadah yang akan menjadi harapan ummat marhaen, pembela para mustada`fin, penolong fuqara wal masakin, pembimbing para mukhlisin, penunjuk jalan kebenaran kepada a`bidin serta a`milin dan teman rapat kepada para mujahidin serta solehin. Wadah ini digeruni oleh kuffar dan mustakbirin, dimusuhi oleh para fasiqin dan munafiqun serta dibenci oleh para zalimun dan jahilun. Firman AlLah bermaksud : ` Muhammad itu adalah utusan AlLah dan pengikut-pengikut yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama orang-orang mukminin…al-Fath 29. Sekian, dari - Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

BULETIN الحضارة~*BIL:25/Zulhijjah 1429
AL-HADHARAH

UMMAH TONGGAK WADAH `KENABIAN`

Bersyukur kehadhrat AlLah SWT kerana dengan limpah rahmatNya kita dapat meneruskan kehidupan ini biarpun menghadapi segala pancarobanya. Salam penuh kasih sayang kepada Rasul Jungjungan Nabi Muhammad SAW, kaum keluarga serta para sahabat yang dimuliakan semuanya. Tidak dilupakan kepada `pembantu-pembantu kepada Agama AlLah` dari seluruh dunia dan di sepanjang masa, salam perjuangan serta salam ukhuwah.

Wadah yang menjadi payung kepada ummat Islam di sesuatu tempat atau masa bukanlah sesuatu yang pelek dan janggal lagi kepada realiti ummah hari ini. Secara umumnya semua umat manusia yang `bertamaddun` di dunia ketika ini memperjuangkan kepentingan dan melindungi hak-hak kelompok mereka melalui wadah atau pertubuhan-pertubuhan yang kelompok itu sendiri tubuhkan atau cetuskan dan kelompok itu sendirilah yang tahu akan kesahihan yakni ketulenan, serta yang akan memastikan kelangsungan dan kejayaan mereka mencapai apa jua matlamat yang masing-masing perjuangkan.

Terdapat jua pertubuhan atau perjuangan-perjuangan yang dihasilkan oleh pihak ketiga yang mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu mereka sendiri (kontra) lalu mencetuskan atau membiayai atau mengambil alih tugas dan kuasa sesuatu `perjuangan` bagi tujuan mengeliru atau menggerhanakan sesuatu perjuangan yang sebenar, itulah realiti dunia hari ini yang dipaksakan kepada khalayak ummah dan juga manusia sekarang menghadapinya. Firman AlLah bermaksud - ` Adakah manusia menyangka bahawa ia akan dibiarkan berkata, “ Kami telah beriman ”, pada hal mereka belum diuji. Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka AlLah SWT mengetahui orang- orang yang benar dan orang- orang yang dusta.` (al-Ankabut 2-3).

Bagi ummah yang sedar dan insaf bahawa peranan mereka dalam kehidupan ini begitu berat iaitu berperanan sebagai khalifah AlLah di muka bumi untuk mengabdikan diri kepada AlLah dan membangunkan kehidupan. Ianya satu tanggungjawab yang besar dan berat seperti digambarkan dalam firman AlLah bermaksud -
` Bahawasanya Kami akan mengajukan kepada mu ( Muhammad dan pengikut-pengikutnya) perkataan yang berat.` (al-Muzammil 5).

Peranan seorang manusia muslim yang sedar jauh lebih besar dan berat dari peranan orang biasa yang lain. Para muslim telah mewarisi peninggalan semua Nabi dan Rasul dalam menegakkan risalah kebenaran. AlLah SWT pula telah mengkhususkan ummat Islam dengan risalah yang terakhir ini (al-Islam) yang merangkumi segala syari`at untuk dilaksana dan merealisasikan di dalam kehidupan serta menyebarkannya kepada orang lain seluruhnya. Dalam suasana zaman yang penuh dengan pancaroba, di mana nafsu mengatasi jiwa, kesamaran meliputi pemikiran dan kebendaan bermaharajalela dalam kehidupan, tugas serta peranan kita yang ikhlas dan sedar ini akan lebih mencabar dan teruja. Orang yang kuat untuk berpegang teguh dengan agamanya seperti menggenggam bara api. Kita yang menyeru kepada Islam yang sejati menjadi asing dan tersisih dari arus `perdana`. Sebaliknya mereka yang menganjurkan kemaksiatan dan menyebarkan fitnah serta kecelaruan fikrah mendapat tempat dan berleluasa.

Saudara-saudaraku yang ikhlas, yakinlah! `Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya( beriman) kepada AlLah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan berjuang dengan harta dan jiwa mereka pada jalan AlLah. Mereka itulah orang-orang yang benar.` al-Hujurat 15.

Terimakasih kepada Ust Idris Ahmad yang mengingatkan kembali kepada saya dan kita semua akan pesanan seorang tokoh ulung gerakan Islam iaitu Asyahid Syed Qutb ` Kebatilan itu nampak hebat, kuat dan gagah tetapi sebenarnya lemah kerana tidak akan kekal. Sebaliknya kebenaran itu zahirnya nampak lemah, terasing dan tidak mendapat sambutan tetapi sebenarnya kuat dan akan kekal kerana itulah janji AlLah.`

Firman AlLah yang bermaksud, ` Dan orang-orang yang mengambil AlLah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman sebagai pemimpin sesungguhnya golongan AlLah itulah golongan yang menang.` (al-Maedah 56)
Wahai saudara muslimku, kemenangan di sini bukanlah bermaksud `kemenangan` seperti Obama atau orang-orang yang sehadharah dengannya menyambut dan menafsirkan kemenangan. Kemenangan bagi kita ialah dapat mempertahankan atau menegakkan suruhan AlLah SWT, aqidah kita yang muslim. Kita tidak terikut dengan ukuran atau nilaian jahiliyyah. Kita tetap yakin dengan tugas dan usaha kita membentuk hadharah Islamiyyah dengan cara dan kepimpinan kita yang ditunjukkan oleh Rasul SAW.

Bertepatan dengan maksud firman AlLah yang sering juga diperdengarkan kepada kita, tetapi mungkin penghayatannya sahaja yang terlalu kurang,` Kamu tidak akan dapati satu kaum yang beriman kepada AlLah dan hari akhirat berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang AlLah dan RasulNya walaupun mereka itu bapa-bapa mereka, anak-anak mereka, saudara-saudara mereka atau kaum keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang AlLah tanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadaNya dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya.`(al-Mujadalah 22)

Inilah ciri-ciri wadah warisan para am-Biya` yang sewajibnya seluruh ummah bangun dan pertahankan, dan saya percaya inilah cetusan atau harapan ulama` tersohor Dr Yusuf Qardhawi catatkan dalam buku Harakah Islamiyyah, `Jangan taasub (fanatik) kepada individu tetapi berpegang kuat kepada prinsip dan dasar, kepada isi bukan kepada bentuk lahirnya, kepada perjuangan bukan kepada kumpulan, kepada apa yang dinamakan bukan kepada nama.`

Ummah seluruhnya perlu disedarkan perihal memilih serta membezakan yang haq dari yang batil, yang benar dari yang salah dan dusta, yang tetap dan teguh dari yang bermain-main dipinggiran menyokong apabila perlu dan berkepentingan. Para pejuang juga perlu dikejutkan dari lamunan bahawa apa ada pada nama, yang penting ialah apa yang dinamakan (perjuangan Islam itu sendiri), wadah secara sendirinya tidak membawa apa-apa erti, yang mustahaknya ialah setiap diri pejuang-pejuang itu sendiri yang menghidupkan wadah dengan kebenaran. Mungkin takdir menentukan wadah `berubah atau musnah` tetapi yakinlah perjuangan akan tetap diteruskan oleh para hamba-hambaAlLah!

Firman AlLah bermaksud, ` Wahai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang berpaling dari AgamaNya maka kelak AlLah akan mendatangkan suatu kaum/golongan yang lain yang AlLah mencintai mereka dan mereka pun mencintai AlLah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang mukmin, yang keras terhadap orang-orang yang kafir, yang berjihad di jalan AlLah, dan tidak takut terhadap celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia AlLah diberikanNya kepada siapa yang dikehendakiNya dan AlLah luas pemberianNya, lagi Maha Mengetahui. ( al-Maedah 54)
Sekian dahulu untuk pertemuan kali ini, Salam Perjuangan untuk ummah dari - Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

BULETIN الحضارة~*BIL:26/Zulhijjah 1429
AL-HADHARAH
Peranan Ummah Memilih Pemimpin Mereka

`Bacalah dengan menyebut nama Tuhan engkau yang Mencipta` (al-Alaq 1). Bersyukur kehadhrat AlLah SWT yang telah melanjutkan lagi usia kita dan dapat pula meneruskan sisa-sisa kehidupan dalam mencari redha serta rahmat dariMu. Selawat serta salam kepada RasululLah SAW, kaum keluarga dan seluruh sahabat Baginda yang dihormati sekelian.

Dalam sejarah Islam, ketua atau pemimpin tertinggi mereka ialah Nabi atau Rasul-Rasul yang dilantik `langsung` oleh AlLah SWT bagi sesuatu ummat atau kelompok tertentu. Nabi Muhammad SAW pula ialah pemimpin yang terulung dan terakhir bagi ummat akhir zaman ini yang merupakan Khatimul an-Biya` iaitu penutup bagi sistem kepimpinan yang dilantik langsung oleh AlLah SWT yang maha Agung. `Sistem kepimpinan langsung` ini telah terbukti kejayaan dan kewujudan mereka sebagai penyelamat bagi sesuatu ummat yang terpilih tersebut, biarpun terpaksa menghadapi segala bentuk tirani dan kuasa kejahatan.

Walaupun kepimpinan itu disebut era Nubuwwah, tetapi sebenarnya ummah tetap wajib menjalankan tanggungjawab mereka dalam memilih pemimpin ummah pada ketika itu. Apabila mereka yakin,yakni ummat Islam itu beriman kepada rasul serta risalah kebenaran yang dibawanya, bermakna mereka telah memberikan kepercayaan kepada rasul tersebut memimpin mereka. Mereka sanggup bersama-sama dengan kepimpinan dan ummah seluruhnya menghadapi apa jua rintangan dan cabaran semasa dengan patuh serta mengikut segala arahan dan perancangan kepimpinan Rasul.

Atas apa juga alasan, hujah, dakwaan serta perancangan jahat musuh untuk menggagalkan para Rasul dan ummat Islam, musuh tidak mampu menafi atau menutup akan cahaya kebenaran yang dibawa. Nabi-Nabi telah berjaya menundukkan segala hujah-hujah aqal dan segala pencapaian terbaik aqal yang dikuasai nafsu pada zaman mereka. Malah Nabi Muhammad dan risalah kebenaran yang dibawa Baginda sampai saat ini tidak pernah dan tidak akan bercanggah dengan rasional aqal yang sihat kecuali kepada mereka yang sanggup menjadi hamba kepada hawa nafsu sendiri.

Era kepimpinan langsung para Nabi ini telah berakhir dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW pada tahun ke 11 Hijrah. Ini adalah realiti yang ummah ketika itu dengan tabah menghadapinya dengan penuh rasa kasih dan sayang terpaksa merelakan `kepergian` pemimpin ulung ummat manusia. Era kepimpinan sahabat ar-Rasyidin yang menyusul selepas itu, sebenarnya masih lagi memperlihatkan bagaimana ummah secara kolektifnya bertanggungjawab penuh dan ada campur tangan kuasa serta hak dalam memilih kepimpinan untuk memimpin mereka.

Ini terbukti dengan kata-kata Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dalam khutbah pertama beliau setelah dibaiah,
` Aku telah diangkat untuk memimpin kamu, tetapi.aku bukanlah orang yang terbaik dari kalangan kamu. Jika aku melakukan kebaikan maka sokonglah aku, jika aku melakukan kesalahan maka perbetulkanlah aku. Kebenaran itu adalah satu amanat dan kebohongan itu ialah suatu khianat. Yang paling lemah di kalangan kamu ialah yang paling kuat di sisi aku, sehingga aku mengembalikan segala hak-haknya di antara kamu kepadanya. Yang paling kuat di kalangan kamu ialah yang paling lemah di sisi aku, sehingga aku mengambil hak-hak kamu dari sisinya untuk dikembalikan kepada kalangan kamu.`
Ummat Islam generasi pertama ini rata-ratanya memahami dan mengerti akan hak serta tanggungjawab mereka dalam menentukan kepimpinan ummah ketika itu, sehingga kadang-kadang kita yang datang kemudian ini terasa `gerun` akan suasana yang tercetus dahulu itu hampir-hampir mencetuskan perbalahan dan perpecahan ummah. Semua ini menjadi bukti atau hujah kepada kita bahawa betapa penting dan seriusnya kepada generasi dahulu akan tanggungjawab dan amanah imamah tersebut.

Keadaan ini dapat diperkuatkan lagi dengan kejadian seorang pemuda menghunuskan pedangnya dihadapan Khalifah Umar al-Khattab yang baru memegang jawatannya dengan berkata kami akan perbetulkan Khalifah dengan pedang kami lalu disambut dengan ucapan syukur dari Khalifah kerana masih ada orang yang sanggup memperbetulkannya jika beliau tersalah dan tersilap. Inilah kefahaman dan tanggungjawab yang generasi dahulu faham dan praktikan tanpa ada rasa takut atau bermuka-muka. Para pemimpin pada ketika itu pula berjiwa besar dan kekayaan budi pekerti yang asli tidak perlu dibuat-buat, walaupun tidak memiliki kekayaan dan kemudahan yang melimpah ruah seperti sekarang ini.

Mereka memilih untuk hidup sederhana seperti kebanyakan kehidupan realiti ummah, walaupun mereka berkuasa dan boleh mendapatkannya tetapi jiwa mereka rasa berdosa dan bersalah jika mereka menafi atau mengalih pandangan dari kesusahan serta penderitaan ummah marhaen. Pemimpin-pemimpin ini lebih senang dan selesa mencontohi kehidupan Nabi SAW yang hidup paling sederhana supaya jiwa dan perasaan Baginda sentiasa `dekat` dengan golongan-golongan mustada`fin, para fuqara wal masakin. Sifat-sifat sebeginilah yang menjadikan ummah kebanyakan merasai bahawa pemimpin mereka adalah pemimpin yang mewakili dan memperjuangkan aspirasi mereka, aspirasi ummah !

Mampukah para pemimpin ummah sekarang ini mencontohi kembali suri tauladan agung perbendaharaan ummah ? Atau sekurang-kurangnya bergerak ke arah mengembangkan semula nilai-nilai tersebut ? Ummah yang masih sihat aqal mindanya tidak dapat menerima dan seterusnya mengakui bahawa perbincangan atau `retreat` di Hotel bertaraf 5 bintang, di kawasan peranginan Pantai Tengah sebagai membawa aspirasi sebuah perjuangan ummah marhean. Kenapa ? Lekehkah jika kita berbincang di serambi masjid atau di sekolah agama ? Hati nurani ummah juga tidak dapat menerima pemimpin `high profile` Majlis Syura menyambut Hari Lahir di Marriot Hotel PJ dengan memotong kek 3 tingkat bersama-sama zaujahnya. Nilai-nilaI apa dan bentuk budaya yang sebagaimana pemimpin-pemimpin jenis ini nak kembangkan kepada khalayak ummah ? Adakah semua tingkahlaku dan akhlak sebegini nak disandarkan kepada perjuangan Islam yang suci ? Adakah kes-kes sebegini masih lagi kes terpencil ? Khalayak bawahan disuruh menyimpan rahsia jamaah, ini bukan rahsia lagi tetapi kemungkaran yang kita kena bangun mencegahnya !

Saya menyeru kepada khalayak ummah yang selama ini mungkin hanya melihat dan memerhatikan dari jauh serta tidak terlibat dalam mencorak serta campur tangan dalam urusan kepimpinan ummah. Sebenarnya anda bersalah atau masih tidak memahami peranan serta tanggungjawab setiap individu ummah seperti generasi awalan dahulu menjalankan peranan masing-masing. Hak serta tanggungjawab tersebut tidak pernah diangkat oleh AlLah SWT tetapi kuasa-kuasa politik dan para tirani tersebutlah yang menyempit dan menafikan terus ruang kebebasan untuk ummah bersuara. Mereka selesa jika ummah masih tidur dan nyenyak dibuai mimpi bahawa merekalah `pemimpin ummah` yang membawa `panji-panji kebenaran`, pelopor kepimpinan ulama`.

Segala lakonan dan sandewara pemimpin-pemimpin palsu ini sebenarnya cukup takut jika ummah diberikan kesedaran semula dan bangun menghayatinya lantas berani menyatakan kebenaran. Konsep kepimpinan ulama` sesuatu yang kita terima tetapi ulama` yang tidak membawa aspirasi perjuangan Nabi SAW dan para sahabat sesuatu yang kita sanggah biar sebesar mana pun serban atau jubah mereka.
Sekian, dari - Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


BULETIN الحضارة~*BIL:27/Muharram1430
AL-HADHARAH
ULAMA`& UMARA` DARI PERSPEKTIF ISLAM

AlhamdulilLah ! Bertambah lagi usia kita dengan melangkahnya kita semua ke tahun baru 1430 Hijrah, selawat dan salam kepada Rasul pilihan Muhammad saw, kaum keluarga Baginda dan semua para sahabat yang dimuliakan hendaknya. Tidak dilupakan juga kepada semua mujahid dan mujahidah yang sentiasa menjunjung panji-panji kebenaran di sepanjang zaman.

Bersempena dengan perubahan masa dan waktu yang telah membawa kita ke suatu tahap atau tahun yang baru dalam takwim hijrah, bermakna sudah hampir 1430 tahun peristiwa Hijratur Rasul bersama ummat Islam dari Mekah ke Yathrib (Madinah) sayugianya sarat dengan pelbagai pengajaran dan hikmah yang cukup bernilai kepada ummah seluruhnya. Keadaan ini juga bermaksud sudah hampir melewati 1420 tahun Junjungan Nabi saw pergi buat selama-lamanya meninggalkan ummat yang Baginda kasihi. Kepimpinan Rasul saw selama kurang-lebih 23 tahun, telah berjaya membawa bangsa Arab dan manusia seluruhnya ke suatu suasana kehidupan baru (hadharah) yang telah lama hilang dari susila kemanusiaan dan ketamaddunan yang pernah mereka kenali sebelum ini. Kepimpinan Rasul saw berdiri atas 2 asas atau fungsi utama iaitu:-
1) ar-Risalah iaitu penerima (wahyu) dan pembawa kepada ajaran Islam dari AlLah swt.
2) al-Imamah iaitu sebagai ketua atau pemimpin tertinggi ummah dalam menghidupkan serta merealisasikan kehidupan dengan muamalah Islam yang tersendiri dan berlainan dari suasana jahiliyyah waktu itu.
Inilah kepercayaan yang menjadi pegangan kepada ummat Islam generasi pertama dahulu dan berlanjutan sehingga beberapa abad lamanya,

Apabila Nabi saw wafat tugas serta peranan sebagai ketua umum kepada seluruh ummah diganti oleh Khulafa` ur-Rasyidin yang menjalankan fungsi `Iqamatideen wasiyasatuddunyabih` - Menegakkan Agama dan mentadbir dunia dengannya (Agama). Fungsi 1 `Kenabian` sebagai penerima ar-Risalah (wahyu) sudah tidak berlaku lagi dengan kewafatan Nabi Muhammad saw, tetapi tugas pembawa dan yang lainnya terus berjalan dan terpundak ke atas ummat seluruhnya. Pada ketika ini jawatan adalah amanah AlLah dari ummah dengan berlakunya proses `baiah`. Amanah ini disebut sebagai `khalifat ur-Rasul` pengganti kepada Rasul, belum ada lagi dalam kamus perbendaharaan ummah waktu itu pembahagian yang disebut ulama` di satu pihak dan umara` pula di satu pihak. Ummah memahami `al-ulama` warasatul an-Biya` dari perspektif orang-orang yang a`lim (lebih pengetahuan) sebagai penyambung tugas Nabi menyebarkan dan menyampaikan ajaran-ajaran Islam.

Ketika pemerintahan khalifah yang empat ini Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali radialLahuanhum ajmaen, merekalah ulama` dan merekalah juga umara` sebagai khalifah atau pemerintah ummah seluruhnya. Selama 30 tahun mengikut hitungan hijriyah, pemerintahan khalifah yang 4 ini berkuasa dan mentadbir kehidupan ummah sebagaimana peninggalan RasululLah saw. Para sahabat agung ini telah berjaya menyelamat, meletakkan asas yang kukuh dan murni, mengembang dan membuktikan kepada dunia ketika itu bahawa risalah kebenaran ini adalah dari AlLah swt dan akan dipelihara olehNya walaupun selepas kewafatan Nabi saw. Pegangan seluruh ummat Islam dalam semua segi lapangan kehidupan dengan sendirinya telah begitu jauh dan kukuh meninggalkan pengalaman pemikiran jahiliyyah mereka sebelum ini walaupun dalam jangka masa yang begitu singkat, peralihan iktiqad mereka.

Takdir mengatasi segalanya, maka berlakulah tragedi yang begitu menyayatkan hati para mukmin seluruhnya iaitu peralihan kekuasaan khalifah kepada bentuk serta corak yang berlainan dari sebelumnya. hanya AlLah swt sahaja yang mengetahui apa hikmah di sebalik kepiluan tersebut. Jawatan khalifah telah diwarisi dari satu keturunan ke satu keturunan mengikut kekuatan dan kebijaksanaan pemerintah memanipulasikan suasana serta kekuatan politik dan tentera masing-masing. Pada ketika ini, barulah ummah mula mengenali `pembahagian` tugas `imamah` iaitu ulama` berada di satu pihak dan umara` (pemerintah) pula berada di satu pihak. Namun para pemerintah masih lagi di kalangan mereka yang menghormati ulama` dan para ulama` pula tidak takut untuk menyatakan yang haq walaupun di depan umara`.

Ianya berjalan dalam suasana sebagaimana yang terakamkan oleh sejarah ummah, bagaimana Islam telah berjaya membebaskan sebahagian besar permukaan bumi ini dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam. Empayar pemerintahan Islam telah berkembang dari benua Arab hingga ke timur sejauh Miraukee, ke barat menyeberangi Laut Mediteranian hingga perbatasan Sepanyol dan Perancis, ke utara dari Asia tengah hingga ke Moskow dan China, ke selatan merentasi benua Afrika hingga ke pantai selatan benuanya. Dalam jangka masa melebihi 12 abad lamanya bumi ini menerima serta dibangunkan kehidupan penghuninya dengan hanya 1 sistem (al-Islam) yang diterima semua rakyat muslim atau non muslim sebagai undang-undang tertinggi negara. Memang tidak dapat dinafikan terdapat ramai umara` yang zalim serta fasiq dalam tempoh waktu ribuan tahun itu, sebagaimana ramai juga ulama` yang berkepentingan dan penjilat, tetapi yang pentingnya waktu itu ialah paksi ummah pada keseluruhannya masih lagi memihak kepada kebenaran.

Salah satu faktor penting yang memberikan kesan besar terhadap kekuatan serta tempoh masa yang lama tersebut ialah kebijaksanaan kedua-dua pihak samada ulama` dan umara` yang telah memainkan peranan masing-masing dalam kehidupan ummah ketika itu. Manakala ummah pula hanya mengenali ulama` atau umara` yang mengakui satu agama (sistem) sahaja. Menjadikan risalah kebenaran (al-Islam) terus berkembang walaupun sering kali bertentangan dengan kepentingan umara`. Ulama`-ulama` yang menjadi sanjungan ummah di kemudian hari ialah mereka yang sanggup menyatakan kebenaran di hadapan umara` yang zalim. Ramai di kalangan mereka mengirimkan `haruman kasturi` kepada kita mutakhir ini lewat perjuangan mereka menegakkan Islam yang sebenar. Tidak kurang juga umara` yang begitu menghormati ulama` dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik. Sehingga ada pepatah mengatakan -umara` yang baik ialah yang mendatangi (berkehendak) kepada ulama`, dan ulama` yang jahat ialah yang mendatangi (berkehendak) kepada umara`.

Sebelum dari kejatuhan khilafah Islam di Turki lagi pegangan sebahagian besar ummat Islam menjadi semakin kabur dan longgar dari perspektif Islam. Dengan jatuhnya sistem kekhalifahan itu fungsi imamah yang berkurun lamanya menjadi pegangan ummah mengalami proses `pemadaman` dari minda ummah. Gerakan secara yang lebih tersusun tersebar luas di sebalik berkembangnya fahaman sekular dari barat ke atas semua wilayah-wilayah ummat Islam sehingga ke hari ini.

Oleh itu sebarang usaha dari mana-mana pihak sekalipun untuk mengenal pasti fungsi atau mengembalikan semula peranan ulama` dan umara` amatlah dialu-alukan. Ini kerana bagi ummah Islam, tidak pernah mengenali adanya jurang pemisahan antara keduanya, yang ada ialah masing-masing menegakkan dan mengembang agama AlLah, kerana keduanya dalam sejarah Islam yang lampau menjunjung tinggi undang-undang ILahi. Tetapi jika satu pihak berdiri atas satu sistem ILahi manakala yang satu lagi sistem demokrasi berparlimen ataupun sebaliknya maka usaha ini hanyalah seperti menabur benih di angkasa jadinya. Sekian dahulu untuk pertemuan kali ini. Dari -Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

BULETIN الحضارة~*BIL:28/Muharram 1430
AL-HADHARAH

Perjuangan Islam Hanya Membutuhkan Tindakan`Politik`?

Maha suci AlLah ! Selawat dan salam kepada Rasul Muhammad saw, kaum keluarga dan para sahabat yang begitu menjunjung tinggi perjuangan bersama Nabi saw.

Kini, sekali lagi kita sebagai ummat Muhammad saw melewati peristiwa hijrah Baginda Rasul saw bersama muhajirin ke Yathrib (Madinah) 1430 tahun yang lalu. Sesungguhnya Nabi Muhammad saw merupakan qudwah kepada ummat di sepanjang zaman sampailah ke hari qiamat. Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul pada peristiwa turunnya wahyu pertama di gua Hira` iaitu 13 tahun sebelum hijrah atau sekitar 610 M. Ini bermakna sudah 600 tahun lebih ummat manusia dan penduduk Tanah Arab ketika itu terpisah dari ajaran samawi yang dibawa oleh Nabi Isa as.

Tidak hairanlah jika masyarakat waktu itu rata-ratanya berada dalam kegelapan jahiliyyah, lebih-lebih lagi ajaran Nabi Isa tersebut ditakdirkan masih tidak sempurna. Tetapi ini tidak bermakna masyarakat zaman itu (zaman Kerasulan Nabi saw) tidak bertamaddun atau primitif, seperti yang sebahagian daripada masyarakat membayangkannya. Yang membezakannya atau mencacatkan kemajuan atau ketamaddunan mereka ketika itu ialah tidak mengenal AlLah swt, yang sepatutnya disembah.

Mengikut catatan sejarawan, dunia pada waktu itu telah terdapat beberapa kerajaan atau kuasa-kuasa politik yang saling bersaing antara satu sama lain untuk menguasai dunia sebagai `super power` seperti lagak Amerika Syarikat ketika ini. Kerajaan-kerajaan tersebut ialah Rom di barat, Parsi di timur, Kuasa Pope di Vatican, Imperium Tiongkok di China, Imperium Soga di Jepun dan Kerajaan Dinasti Hindu di India serta beberapa wilayah Asia Tenggara. Sejarah juga sarat dengan peristiwa peperangan dan perebutan antara satu sama lain untuk muncul jagoan.

Dalam perebutan kuasa-kuasa ini, semenanjung Tanah Arab khususnya Mekah yang kering kontang, seperti tidak berharga dari keinginan nafsu para pemuka kerajaan itu. Mekah dan sekitarnya terpelihara daripada tunduk kepada kerajaan-kerajaan besar yang ada. Pada ketika inilah Nabi saw menyampaikan risalah Islam yang mulia ini kepada ummat manusia. Nabi dan para sahabat generasi awalan terus membina keyakinan dan membentuk hadharah mereka sendiri sedikit demi sedikit. Mereka bergerak bersama, mereka hidup bersama bantu membantu, mereka diajar dan belajar membina kekuatan ummah, mereka yakin dan percaya kepada saudara seagama lebih daripada hubungan pertalian darah.

Mereka terus membina keutuhan kelompok ummah ini walaupun melalui jalan jalan yang sukar lagi perit sampailah ke suatu masa apabila diperintahkan hijrah. Hijrah itulah yang ummah kemudian raikan ribuan kali selama ini. Apa yang cuba ingin saya sampaikan pada kali ini kepada khalayak semua ialah Baginda Nabi saw yang memimpin perjuangan ummah pada masa itu tidak perlu mengambil uslub memasuki gelanggang `sistem percaturan` politik kerajaan-kerajaan atau kuasa-kuasa yang ada sezaman dengan Baginda untuk membebaskan ummat manusia yang berada dalam kejahiliyyahan itu. Apa yang berlaku, seruan serta ajakkan kepada semua manusia supaya menerima dan menganut ajaran Islam. Lalu bersama-sama dengan kelompok ummat Islam untuk meneruskan hidup ini dengan budaya dan akhlak ummat Islam (Deenul-Islam).

Baginda saw tidak pernah terlibat dalam `sistem perebutan politik` pihak-pihak tertentu untuk menguasai Kerajaan Rom, begitu juga Baginda tidak pernah berusaha untuk menguasai kerajaan Parsi melalui `susur galur` sistem politik Kerajaan Parsi ketika itu. Malah yang nyatanya kepada ummah apabila pihak-pihak penguasa kerajaan tempatan Mekah menawarkan kepada Baginda jawatan ketua atau raja, Baginda tidak melayannya. Terbukti selepas itu, semua kerajaan-kerajaan besar dan kecil tersebut runtuh serta jatuh ke tangan anakdidik-anakdidik Junjungan mulia Muhammad saw jua akhirnya.

Perkara ini bukanlah membawa maksud memimpin sesebuah kerajaan atau berkuasa di atas mana-mana bahagian mukabumi ini tidak ada di dalam ajaran Islam. Tetapi ajaran Islam adalah ajaran yang unggul, mulia, tersendiri, sempurna, akan menguasai sesuatu yang tersebut itu apabila hadharah Islam menguasainya. Atas sebab yang demikianlah Nabi saw bersama para sahabat berhijrah ke Madinah setelah ada usaha-usaha dari mereka sendiri melalui wakil dan orang-orang yang telah beriman yang terdapat di sana membentuk asas-asas hadharah Islamiyyah. Mereka pergi dengan penuh persediaan dan persiapan aqidah selama 13 tahun untuk menterjemahkan hadharah yang lebih besar, bersifat daulah. Selepas itu barulah Nabi saw mengutuskan surat-surat Baginda yang masyhur itu kepada ketua-ketua kerajaan di sekitar Jazirah Arab walaupun sebelum itu Baginda menolak tawaran di Mekah kerana hadharah jahiliyyah masih kekal berkuasa.

Di sinilah titik persoalan yang saya melihat kebanyakan ummat dan kelompok ummah Islam mutakhir ini keliru ataupun tidak dapat membezakan waqi waktu itu dengan realiti yang ummah hadapi kini. Perjuangan Islam tidak boleh menerima cara seperti kebiasaan parti politik hari ini memperjuangkan cita-cita mereka. Mereka bergerak membentuk jentera politik dan berusaha memenangi pentas politik massa mengikut kemahuan massa. Bila telah berjaya menguasai sesuatu negeri atau negara baru mereka akan melaksana dan mentadbir dengan idealisma pertubuhan mereka kononnya.

Perjuangan Islam tidak begitu saudara-saudaraku, Perjuangan Nabi saw menguasai massa akhirnya, tetapi menuruti kehendak dan bimbingan AlLah swt sedari awalnya. Dua perspektif yang bercanggah satu sama lain. Perjuangan Islam bermula bagi diri seseorang itu apabila ia telah bersedia menjadi hamba kepada AlLah swt dan terus beramal dengan ajaran Islam lalu membina dan terus membinanya serta mengembangkannya. Sebab itu perjuangan menegakkan Hadharah Islamiyyah tidak begitu serasi dan `menjadi` dengan budaya berpolitik hari ini. InsyaAlLah ia akan berkembang serta hidup kembali dengan pembentukkan dan pengukuhan ciri-ciri, sifat-sifat Harakah Islamiyyah seperti yang ditunjukkan oleh Muhajirin dan Ansar.

Tidak hairanlah jika sekelompok daripada ummah ini, apabila beroleh `kuasa politik` yang mereka idamkan, tidak dapat melaksanakan apa-apa pun !.. selain meneruskan agenda-agenda lama jahiliyyah juga. Kenapa saudara-saudara ku ? Kerana mereka selama ini hanya bergerak dan menghidupkan perjuangan politik tidak menyediakan batu-bata atau amilin-amilin atau petugas yang akan membantu mendirikan Agama AlLah. Daulah Islamiyyah di Madinah dahulu tidak terbina dengan teori dan angan-angan politik sistem demokrasi wahai saudaraku. Sistem demokrasi hanya pandai memberi alasan bahawa kita tidak dapat menjalankannya lagi kerana kuasa Si anu itu masih lagi… bla…bla…bla…..bla…. bla….bla….boleh belah laa……

Jika mengikut uruf sistem itu nanti, bila dah dapat kuasai negara pula……akan diajarkan kepada kita bahawa kita masih belum mampu lagi kerana terikat dengan perjanjian Asean la… APEC la….tidak mustahil PBB la… Kuasa besar Amerika akan serang kita la…. ekonomi rakyat mesti diberikan perhatian terlebih dahulu……. bla…bla…bla….bala..bala..bala… bla….bla….bala…bala…bala… OIC pun tak buat lagi… bala.. bala.. bala…Arab Saudi pun tak jalankan semua…bala… bala… bala… bala… bala… bala… baa… balaaaaa…. … ..itulah sistem demokrasi ! Ia adalah bukan hasil perkembangan ilmu-ilmu Islam dan syariatnya! Mohon dijauhkan ummah yang ikhlas dari bala fitnah Dajjal ! Sekian - Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

BULETIN الحضارة~*BIL:29/Muharram1430
AL-HADHARAH

Rasul saw Menghadapi Yahudi

Khaibar ! Khaibar ! Ya Yahud ! Jaisyun Muhammad qad ya`ud ! Khaibar ! Khaibar ! Ya Yahudi ! Tentera Muhammad telah kembali ! Segala puji bagi AlLah swt yang Maha Agung lagi Maha Perkasa. Selawat dan salam buat Rasul junjungan saw, kaum keluarga dan para sahabat yang diredhai AlLah hendaknya.

Takwim Hijrah pada tahun ini disambut oleh ummat Islam seluruh dunia dengan ratap tangis serta perasaan hiba yang tak keruan apabila hanya mampu melihat dan memendam rasa dari kejauhan melihat saudara-saudara mereka yang seagama dibunuh dengan begitu kejam sekali oleh sekelompok bangsa manusia yang mendakwa merekalah satu bangsa yang paling `mulia` di atas muka bumi ini. Dengan status bangsa `mulia` itulah mereka bebas memperlakukan apa saja kepada bangsa-bangsa lain yang menjadi penghalang kepada cita-cita `mulia` tersebut. Inilah bentuk tamaddun (hadharah) atau `civilisation` yang ummat Islam dan manusia umum menghadapinya sekarang, dalam dunia moden ini.

Dari kacamata kita sebagai ummat Islam, mengapa kaum Yahudi yang hanya beberapa juta sahaja yang menjadi penduduk negara haram Israel sekarang dapat melakukan wewenangan begitu rupa sehingga tidak dapat dihalang oleh ummat Islam Arab yang ratusan juta itu. Ke mana dan apa yang dilakukan oleh ummat Arab dan pemimpin-pemimpin mereka ? Lalu bagaimana pula saudara-saudara mereka yang bukan Arab, yang jumlah mereka mencecah ribuan juta lagi, ke mana mereka ini ? Sudah tidak mendiami bumi ini lagi atau sibuk meneroka, menakluk planet-planet lain sebagai tempat tinggal yang baru…..
Sarat dengan persoalan-persoalan yang tidak dapat memberikan jawapan atau tindakan yang berkesan sebagai ummat Islam !

Dari sudut pandangan yang realistik atau dari pandangan Yahudi sendiri, ummat Islam sekarang hanyalah bidak-bidak catur yang menjadi permainan mereka mencapai cita-cita dan agenda protokol. Bertepatan dengan maksud sabda Nabi saw `ummat Islam di akhir zaman seumpama buih-buih di waktu banjir` banyak tetapi tidak mempunyai kekuatannya lagi. Masih lagi kita cuba melihat dari pandangan yang berpijak di bumi nyata, sememangnya Yahudi adalah satu bangsa yang maju, memacu, mencetus dan mencorakkan ketamaddunan manusia atau civilisation yang diiktiraf dunia moden sekarang.
Tidak hairanlah mereka atau bangsa Yahudi itu begitu berkuasa dan berasa mulia !

Sebagai ummat Islam dan ummat manusia mari kita menghadapi kenyataan, bahawa kita sekarang sebenarnya berada di bawah telunjuk bangsa Yahudi laknatulLah itu dalam seluruh kehidupan dan ketamaddunan manusia yang kita sedang membinanya. Cuba kita selidiki semua cabang dan aspek kehidupan kita, ekonomi, politik, pendidikan, perundangan, kebudayaan, sukan, ketenteraan, undang-undang antarabangsa, protokol dan diplomatik semuanya amat bergantung rapat dengan kepakaran dan pengiktirafan bangsa laknatulLah itulah juga.

Ya ! kenyataannya begitulah saudara-saudara ku, sehinggakan jika ada antara saudara kita yang akan bercakap atau menyuarakan pandangan `Islam` mestilah atau terpaksa atau merasa selesa dan berpuas hati jika pandangan dan suara itu mendapat restu serta melalui prosedur mereka. Lalu apa yang ada dan tinggal kepada kita, untuk kita ! sebagai ummat Islam ? Maaf ya jika saya katakan… hanya tinggal batang tubuhnya yang… masih hidup, tetapi memerlukan segala-galanya bantuan dari luar…pernafasan, oksigen, darah, makanan, air, nilai-nilai agama, ibadat dan apa saja dari orang luar terutamanya bangsa Yahudi itu lah juga !
Tidak hairanlah mereka atau bangsa Yahudi itu begitu sombong dan angkuh sekali terhadap kita !

Sampai bila kita cuba mengelak atau menafikan kenyataan-kenyataan yang berlaku dengan berdemontrasi melaungkan perasaan yang penuh emosi, sarat dengan kebencian yang amat sangat, membakar segala bendera dan patung-patung pemimpin-pemimpin mereka ? Lagak dan kelakuan kita tersebut tak ubah macam `ayam Turkey` atau ayam piru yang berbunyi.. kluk ! kluk ! kluk !.. kluk ! kluk !... kluk ! kluk ! apabila disergah oleh budak-budak nakal, lalu mengembanglah semua bulu dan kepaknya memperagakan `kehebatan` si ayam piru.. kluk ! kluk ! kluk !... kluk ! kluk ! Emosi tanpa rasional - gila. ** Rasional tanpa emosi - dungu. Sampai bila pula kita nak rasional berunding dan berdamai dengan satu bangsa yang menganggap bangsa-bangsa selain Yahudi adalah binatang. Gencatan senjata atau perjanjian hanyalah helah untuk mencengkam dan menukar taktik penyerangan atau penguasaan. Tak dapat dengan tentera sendiri, diguna PBB, NATO tak mustahil `OIC`, tak lut dengan senjata dihamburkannya melalui Bank Dunia atau bantuan kemanusiaan.

Reaksi atau tindakan dunia civilisation hari ini sebenarnya satu daripada prosedur atau tunjuk ajar mereka juga saudaraku, sebab itu tak sampai ke mana pun….. Selagi ummat Islam tidak boleh berdiri dengan diri dan keupayaannya sendiri sebagai ummat Islam yang bermaruah yang beriman kepada AlLah swt dan Rasul saw lalu berbangga dengan keyakinan iaitu sistem mereka sendiri serta hidup dengan civilisation mereka yang tersendiri (Hadharah Islamiyyah). Setiap diri ummat Islam itu sendiri mesti menghadapi dan menewaskan `yahudi-yahudi` berupa segala sistem yang mencengkam dan menguasai kehidupan kita sekarang ini yang berada dekat dengan kita, malahan ada dalam diri serta tabiat dan budaya persekitaran kita.

Kita insyaAlLah akan dapat menolong saudara-saudara kita di Gaza (Palestine) atau di mana jua walaupun jauh apabila kita berjaya membebaskan diri kita dari sistem riba, membebaskan diri dan kelompok kita dari perjuangan sia-sia membazir waktu dan usia menyuburkan sistem demokrasi, membebaskan diri dan keluarga kita dari menerima racun sistem pendidikan sekular, membebaskan diri dan rakan dari membina ekonomi kapitalis. Tetapi kita tidak akan dapat menolong dan menyelamatkan saudara kita, kaum kerabat atau anak-anak kita sendiri walaupun berada di depan mata, hatta diri kita sendiri jika kita tidak membebaskan diri masing-masing dari segala sistem Yahudi laknatulLah tersebut.

Jika kita telah berusaha bersungguh-sungguh membebaskan semua rangkaian penindasan itu barulah slogan-slogan seperti - Hancur Israel, Jahanam Amerika, Pergi Mampuih Bush dan kuncu- kuncunya membawa erti yang sebenar dalam diri dan kehidupan ummah. Jika sebaliknya, samalah kita ini macam ayam piru-ayam piru tadi. Sebab itu saudaraku sudah hampir ratusan tahun ummah berdemontrasi membenci Yahudi dan sekutunya tetapi Yahudi semakin kuat. Apa tidaknya ummah hanya berpura-pura membenci Yahudi yang jauh, tetapi Yahudi yang dekat telah sebati, mendarah daging dalam kehidupan ummah sendiri.

Khaibar ! Khaibar ! Ya Yahud ! Jaisyun Muhammad qad ya`ud ! Khaibar ! Khaibar ! (ingat peristiwa Khaibar) Wahai Yahudi ! Tentera Muhammad telah kembali ! InsyaAlLah apabila ummat Islam berasa bangga dan cukup istimewa dengan pengiktirafan AlLah dan RasulNya kepada mereka dengan menjadi tentera Muhammad saw yakni yang mengembalikan semula cara hidup dan berusaha bersungguh-sungguh membina serta menghidupkan Hadharah Islamiyyah seperti yang ditunjukan oleh Baginda Rasul serta generasi sahabat, pada ketika itulah segala sistem Yahudi dan semua bangsa Yahudi akan dapat dihalau atau ditewaskan sebagaimana tewas dan hinanya datuk nenek mereka dahulu Bani Qainuqa`, Bani Khuraizah dan Bani Nadir dalam peristiwa Khaibar pada bulan Muharram tahun ke 7 Hijrah.
RodhitubilLahirraba wabil Islamideena wabi Muhammadin Nabiyau wa Rasula. Sekian dahulu semoga ketemu lagi. Dari - Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

BULETIN الحضارة~*BIL:30/Muharram1430
AL-HADHARAH

Status-quo `Jembalang` Yang Menghantui Ummah

Yaa Siin Wal quranil hakim… Maha Perkasa AlLah dan Maha Mengetahui sekelian yang di langit dan di bumi. Demi al-quran yang mengandungi hikmah-hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh. Selawat dan salam penghormatan kepada al-amin Muhammad saw, kaum keluarga dan para sahabat Baginda yang diredhai semuanya.Tidak dilupakan kepada semua saudara-saudara seIslam, semoga dirahmati AlLah swt hendaknya.

Kehidupan ummah ini berjalan, terhenti, berkembang, terencat, bergerak dan menuju atau berpecah ke pelbagai arah yang ummah sendiri kadang-kadang kebanyakannya tidak begitu faham dan mengetahui dengan baik akan natijahnya. Namun situasi yang sedemikianlah selama ini mewarnai dan menguasai pemikiran serta kehidupan ummah. Secara sedar atau tidak kita terpaksa menelan segala keperitan dan kemelut ini berlarutan…. berpanjangan…….

Telah menjadi `mangli` (biasa) ummah diperdengarkan dengan 70, 71, 72 atau 73 golongan ummat yang berpecah ! Malahan realitinya lebih dari itu lagi perpecahan di sekeliling kita waktu ini. Satu persoalan mungkin timbul, tidak adakah usaha atau inisiatif untuk mengurang atau mengecilkan perbezaan tersebut?
Tidak dinafikan ada usaha kelompok-kelompok ummah menubuhkan persatuan atau jamaah bagi tujuan mengatasi permasalahan tersebut, namun tidak kurang juga yang menambah dan meruwetkan lagi persoalan yang dihadapi.

Setelah sekian lama masa yang terluang, salah satu sebab utamanya ialah `status quo` kelompok-kelompok ummah itu sendiri yang terbina umpama tembok yang memisahkan antara satu sama lain. Ummah sebenar seperti tersepit di celah-celah kewujudan tembok maupun `bangunan` status quo yang berantakkan. Lebih malang lagi apabila ummah bawahan, marhaen, mustad`afin, fuqara` wal masakiin diabaikan malah tersisih……merempat…. terpaksa bertarung menyelamatkan kehidupan ummah itu sendiri dalam dunia yang tidak memandang mereka sebagai manusia lagi kecuali sebagai `hamba perbudakan`, pengguna akhir, pembeli atau `bahan-bahan` awet untuk mengekalkan status quo kelompok-kelompok tadi.

Tidak mustahil dan bukan sesuatu yang pelek, jika ummah bawahan itu sendiri bangun menyusun dan memperjuangkan akan untung nasib mereka sendiri dalam kehidupan yang fana ini. Saya percaya mereka lebih berkemampuan dari kelompok-kelompok yang telah sedia ada kerana mereka rata-ratanya duduk sama taraf, berdiri tidak ada yang akan mengatakan ` engkau lebih tinggi ! lalu engkau kena berdiri di tempat tinggi.` Mereka lebih mampu untuk bingkas bangun dan pantas menghidu bahaya malapetaka, malah yang lebih meyakinkan saya ialah mereka lebih peka dan sensitif kepada seruan atau cahaya kebenaran. Kerana mereka tidak menggalas apa-apa bebanan maupun liabiliti dalam kehidupam selama bertahun-tahun ini.

Jika golongan ini mendapat sedikit habuan dunia mereka akan mengagihkan atau mengutamakan kepada yang tidak pernah merasa di kalangan mereka. Mereka tidak perlu lagi membina status quo yang baru yang akan menyempitkan lagi kehidupan anak cucu ummah sendiri. Mereka tidak perlu menjaga hati golongan berdarjat kerana takutkan mereka murka, lalu tidak mendapat darjah kebesaran gelaran darinya. Persetankan mereka, selama ini ummah melarat terpaksa menjunjung mereka sebagai ketua `agama` sedangkan Deenul Islam tidak mengizinkan sedemikian rupa.
Para mufti dan cerdik pandai agama sudah menjadi pekerja (abdi) ataupun burung kakak tua, tidak mahu lagi memikul amanah agama tetapi sanggup pula memikul amanah penguasa dunia, gaji haknya, elaun diterima, kemudahan-kemudahan disapunya dan peluang-peluang pula, siapa yang cepat dan rapat dialah yang punya.
Ummah ! ya ! ummah bagaimana ? aaahh tidak ada dalam kepala mereka apa itu perjuangan ummah, perjuang Islam, perjuangan Nabi dan Rasul membebaskan golongan ummah kebanyakan. `Perjuangan` atau slogan ummah hanyalah dalam sambutan hari-hari kebesaran kalendar Islam. Mereka tidak takut kemurkaan AlLah swt Penguasa dan Pencipta mereka, tetapi lebih menjaga segala kepentingan diri dan mengujudkan comfort zone spesis sendiri.

Apa khabarnya kelompok ummah yang kononnya memperjuangkan Islam yang syumul selama ini, untuk menegakkan keadilan Islam, menegakkan pendidikan Islam, menegakkan kebudayaan Islam, menegakkan aqidah dan hukum-hukum Islam. Ooh.. rupanya sekali lagi keikhlasan dan harapan ummah marhaen dipermain dan digadaikan untuk status quo mereka sendiri. Ummah sendiri sebenarnya selama ini terpesona dengan slogan dan kerja buat mereka lalu berhempas pulas membina perjuangan bersama-sama, rupanya binaan status quo `liberty` mereka yang muncul akhirnya.

Ummah terlupa bahawa perjuangan Islam tidak pernah membina bersamanya status quo- status quo mana -mana kelompok atau darjat. Hatta Nabi saw pernah bersabda ` Jika Fatimah Binti Muhammad (saw) mencuri nescaya akan aku potong tangannya.` Jelas tidak ada kelebihan kaum kerabat atau pilih kasih dalam kehidupan Islam. Nabi saw juga pernah menegur dan mengingat ummat Islam dahulu bahawa ummat-ummat yang sebelum kamu runtuh atau musnah kerana apabila golongan yang bangsawan mereka melakukan kesalahan atau kezaliman, mereka dilepaskan ataupun dibiarkan sahaja dalam bahasa mudah, buat-buat tak nampak jangan kacau status quo kami sudah…….

Kesimpulannya mereka yang berada di dalam status quo masing-masing akan mempertahankan status-status mereka sahaja wahai saudara ummahku. Apabila kedudukan mereka terancam mereka akan mengajak dan menyeru ummah mempertahankannya, tetapi apabila kedudukan ummah seperti kita yang marhaen, tertindas, miskin dan tidak berpunya diperlakukan apa saja…. Di mana mereka? Diam, membisu, terlena dan kekenyangan…. atau sibuk bertarung dengan penyakit, kekalutan dunia, ketipisan peluang dan ruang. Mungkin juga sibuk untuk merebut tampuk kekuasaan dahulu, insyaAlLah bila berjaya nanti, akan kami bela dan angkat semua martabat kamu juga. Dengar sajalah apa nak buat kitakan golongan yang tidak membina apa-apa status…..

Firman AlLah bermaksud, `Wahai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang berpaling dari memperjuangkan agamaNya maka kelak AlLah akan mendatangkan suatu kaum (golongan) yang lain yang AlLah mencintai mereka dan mereka pun mencintai AlLah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin, yang keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan AlLah, dan tidak takut terhadap celaan orang-orang yang suka mencela. Itulah kurnia AlLah (bukan status quo) diberikanNya kepada siapa yang dikendakiNya dan AlLah luas pemberianNya, lagi Maha Mengetahui. al-Maedah 54.

Tidak ada status quo dalam perjuangan Islam kepada mana-mana kelompok atau bangsa, jika kamu tidak beriman dan meninggalkan seruan jihad pasti AlLah akan menggantikan dengan kelompok yang lain. Inilah janji AlLah yang akan terus berlaku dan berjalan sehingga hari pengadilan. Sekian dahulu untuk pertemuan kali ini, semoga diberikan taufiq dan kekuatan kepada golongan ummah yang bermuafaqat memperjuangkan kedaulatan ummah! Dari -Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan