Halaman

Khamis, 5 Ogos 2010

Buletin al-Hadharah Bil 41- 50

الحضارة~*BIL:41/J.Awal 1430
AL-HADHARAH
Pertembungan Masa Depan-
Hadharah Islamiyyah vs Hadharah Jahiliyyah
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Firman Allah bermaksud; “Dan bahwa sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus yang benar (al-Islam), maka hendaklah kamu menurutnya. Dan janganlah kamu menurut jalan-jalan yang lain dari Islam, kerana jalan-jalan yang lain itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-An`am 153). Selawat dan salam yang selayaknya buat Rasul junjungan Muhammad saw, begitu juga kepada semua keluarga Baginda serta para sahabat yang begitu tinggi kedudukan mereka pada pandangan kita ummat Muhammad saw.

Dunia `moden` atau semasa yang berada di sekeliling kita hari ini telah menganggap `maju` atau `moden` apabila dapat menguasai atau mendahului kelompok-kelompok lain yang sewaktu dengannya dalam pencapaian-pencapaian yang berbentuk material khususnya. Untuk mencapai atau mendahului orang lain supaya kita yang berada di depan dalam segala bidang maka kita terlebih dahulu mestilah dapat menjangkakan, mengandaikan atau meramalkan sesuatu kemungkinan masa depan. Dengan kata lain sesiapa yang berfikiran futuristik pasti mendapat perhatian dan pengikut yang bersamanya.

Sebagai ummat Islam kita mestilah berkeyakinan bahawa masa depan adalah untuk Islam.. yang menguasai dan memerintah bumi ini insyaAllah ialah dengan keagungan Islam. Seterusnya sebagai ummah.. lebih-lebih lagi ummat kebangkitan kali ke 2 perlu menyedari dan keluar dari alam nostalgik atau `syok sendiri` dengan kejayaan serta kehebatan generasi Islam masa lampau. Dan para pimpinan ummat pula keluarkanlah diri kamu dari selaput `alal qadim masing-masing. Ummah hari ini tidak memerlukan kepimpinan yang dihiasi oleh solekan pakaian ulama` atau `dunia` ulama` lalu diberikan hak eksklusif sebagai pemimpin ummat. Pemimpin kepada ummat ialah pemimpin yang diberikan hak oleh ummah yang redha berada di bawah kepimpinan dan tunjuk ajarnya bagi membangunkan ummah beriman kepada Allah. Bukan pemimpin yang terlalu bergantung kepada anak buah untuk mengenali jahiliyyah seteru Allah.

Dunia yang satu ini atau kata orang sekarang, dunia global, dunia tanpa sempadan memang telah wujud dalam ertikata `kehidupan` penghuninya berputar bagaikan roda sejak Adam dan Hawa as hingga Nabi kita Muhammad saw. Para penghuninya sering kali diseret ke dalam pertarungan antara yang haq dan yang batil, pertembungan memilih Agama Allah atau memilih tipudaya syaitan. Para pengikut Rasul dan Nabi-Nabi berada di pihak yang berusaha dengan segala kemampuan dan kebolehan mereka membangunkan Hadharah Islamiyyah dalam kehidupan sehari-hari sehinggalah ummah yang menguasai khalayak massa. Mereka akan berhadapan dengan pertentangan, ejekkan, caci nista dan memandang rendah segala suruhan Allah swt oleh kuncu-kuncu Iblis laknatullah yang memperkosa dan merosakkan kehidupan dengan Hadharah Jahiliyyah.

Putaran roda ini ada kalanya meletakkan Hadharah Islamiyyah di atas dan ada kalanya Hadharah Jahiliyyah yang menindas kehidupan ummah. Sunnatullah telah mentakdirkan sedemikian yang akan bersilih ganti sehinggalah hari perhitungan. Lalu sebagai ummat kebangkitan yang yakin akan agamanya, yang mampu keluar dari kepompong masa silam dan dapat pula mengenali realiti atau memahami waqi` zaman ini, ayuh! marilah saudara-saudaraku muslimin serta muslimat kita maju ke depan berganding bahu ke medan pertembungan 2 hadharah yang sememangnya telah lama kita berada di tengah-tengahnya.

Saudaraku ummat kebangkitan pada masa Rasul Muhammad saw dibangkitkan menjadi Rasul ternyata giliran hadharah jahiliyyah yang berada di atas. Ummat Islam begitu terpencil dan amat sedikit yang masih menganut agama Hanif dan ahli-ahli kitab yang tidak menyeleweng. Lalu kehendak Allah swt yang menentukan kebangkitan Penyelamat ummat terakhir ini dari kalangan berbangsa Arab, Muhammad saw. Maka bermulalah kerja-kerja tradisi pertembungan 2 hadharah yang mewarisi pertembungan klasik Adam as vs Iblis, Habil vs Qabil, Ibrahim as vs Namrudz, Musa as vs Firaun dan seterusnya sampai kepada kita hari ini yang masih lagi melangsungkan pertarungan yang belum dapat diselesaikan lagi itu.

Ya saudaraku ummat kebangkitan seharusnya ingat ! bahawa sejak kejatuhan Khilafah Othmaniyyah dahulu maka Hadharah Jahiliyyah telah sekali lagi berada di atas, manakala ummah pula tertindas… dan merempat di bawah. Bah!.Adik, kakak..Ayuh! kita mesti bangun dengan jatidiri sebagai ummat Islam untuk maju dan mara ke medan, memenangi pertembungan ini sekali lagi dengan membawa dan membina Hadharah Islamiyyah.`The war is never ended, but we have to choose the best or the real battle`. Nabi saw pun pernah mengingatkan tentera-tentera Islam di ketika pulang dari memenangi satu peperangan bahawa kalian telah berjaya memenangi satu medan pertarungan dan selepas ini kalian akan menghadapi medan yang lebih besar lagi. Inilah pertarungan atau pertembungan yang sebenar di dalam kehidupan realiti iaitu pertembungan pembinaan hadharah atau pembinaan budaya hidup. Ummat kebangkitan akan bekerja keras siang malam membangunkan Hadharah Islamiyyah dan pihak musuh pula sedaya upaya mengekal dan mempertahankan status quo budaya hidup Hadharah Jahiliyyah.

Ayuh saudara-saudara ummahku marilah kita hindarkan diri dari terjebak berkali-kali dengan pertarungan-pertarungan `pinggiran` yang tidak menghasilkan apa-apa kecuali membuang masa dan tenaga-tenaga ummah, kerana hakikatnya hadharah jahiliyyah juga yang mereka rebut-rebutkan. Mereka sanggup mempengaruhi dan memperbodohkan khalayak ummat yang lemah supaya bersama-sama mengongkosi perjuangan mereka menjatuhkan musuh pertarungan, bukan musuh hadharah Islamiyyah. Sebab apa saya berkata begitu, cuba saudara ummahku lihat dan perhati betul-betul budaya hidup apa yang kedua-dua pihak yang bertarung itu kembang dan sogokan ke tengah-tengah khalayak ummah...? Mereka mengutamakan gaya hidup sederhana dan berpatutan atau menonjolkan gaya hidup imej-imejan sehingga melupakan masih banyak ummah bawahan yang melarat tak makan tetapi tetap diperahi keringatnya supaya bertempur di medan hadapan. Kalangan pemimpin, jangan tanya soal makan… baju ke ceramah dan program-program potong reben sahaja 2,3 almari.

Sebab itu saya katakan tadi ummah kebangkitan kali ke 2 jangan terpengaruh dengan pertarungan di pinggiran terutamanya pertarungan politik, kerana pertarungan politik ialah pertarungan yang diada-adakan oleh hadharah jahiliyyah itu sendiri untuk mengelabui kefahaman ummah. Jahiliyyah seronok dan berbangga dengan kealpaan ummat bertarung di medan politik berpuluh-puluh tahun sehingga hampir mencecah ratusan tahun sejak kejatuhan Khilafah Othmaniyyah di Turki. Dengan kesibukan dan keghairahan tersebut ummah terlupa untuk membudayakan atau menegakkan kembali asas-asas budaya hidup Hadharah Islamiyyah dalam kehidupan seharian ummah.

Mereka terhijab bagaimana nak bersiasah syarieyyah bagi membolehkan ummah sedar dan bangun membudayakan hidup dengan Hadharah Islamiyyah. Sebaliknya mereka berseronok akibat ketagih berpolitik dalam dunia `pinggiran` yang musuh ciptakan kepada mereka yang suka membiarkan diri menjadi medan bahan kajian. Sekian untuk temu bicara kali ini, akhiru kalam ..INSAFLAH WAHAI UMMAT MUHAMMAD SAW. Dari - Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -

الحضارة~*BIL:42/ J.Akhir 1430
AL-HADHARAH
Ulama`& Profesional Kahwin Songsang?Bhg 1
Alhamdulillah segala puji hanya untuk Allah swt, Pentadbir, Tuhan dan Raja bagi sekelian makhluk. Selawat dan salam buat Junjungan Nabi Muhammad saw sebaik-baik hamba yang diciptakan oleh Allah swt untuk menjadi penyelamat kepada ummat akhir zaman. Selawat serta salam juga kepada kaum keluarga Baginda dan para sahabat yang diredhai Allah swt hendaknya.

Persoalan ulama` atau profesional yang sepatutnya menjadi pemimpin kepada sesuatu kumpulan atau pertubuhan ummat Islam telah menimbulkan polemik yang tak sepatutnya dalam ruang pemikiran ummah, khususnya ummat Islam di Malaysia. Bukan maksud saya di sini untuk mencampuri urusan rumahtangga sesuatu pertubuhan atau kumpulan ummat Islam. Apa yang saya cuba nak bincang atau sebutkan ialah dari konteks kefahaman ummah secara menyeluruh yang terdapat di luar lingkungan mereka yang menjadi punca timbulnya hal yang berkaitan pengertian ulama` dan profesional tersebut. Kita tidak mahu kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga atau kerana seekor dua kerbau yang membawa lumpur, terpalit semua yang lain-lainnya.

Dari segi bahasa secara ringkasnya ulama` ialah perkataan Arab yang bermaksud `alim, mengetahui, pakar atau tempat ummah merujuk persoalan yang berkaitan `kehidupan` ummat Islam secara keseluruhannya. Perkataan ini telah diterimapakai di dalam alam yang berbahasa Melayu sejak ummat Melayu mula menerima Agama Islam tanpa menimbulkan masalah dalam memahami serta menggunakannya.

Manakala perkataan profesional pula ialah berasal dari perkataan Inggeris yang membawa erti pakar, mahir atau berpengalaman di dalam sesuatu bidang tertentu yang lebih khusus secara mendalam. Perkataan ini baru diperkenalkan di alam Melayu semasa era penjajahan dan terus dijadikan perkataan Bahasa Melayu selepasnya sehingga sekarang.

Secara lahiriyyahnya boleh dikatakan ulama` itu profesional dan sebaliknya profesional itu juga ulama`. Tetapi secara praktikal atau maknawinya yang digunapakai dalam alam Melayu yang menjadi tempat `pembiakkan` kepada kedua-dua kalimah tersebut memperlihat atau menumbuhkan `world view` yang berbeza adakalanya tidak selari dan terasing. Ini mudah berlaku kerana asal usul perkataan tersebut sendiri dari dua konteks hadharah yang berbeza dan cuba pula digunakan di alam yang menghubungkan konteks spiritual (agama) dengan Arab dan konteks pencapaian material dengan Inggeris (barat).

Sebagai contoh seorang muslim yang `alim dalam ilmu-ilmu agama dan beliau juga pakar di bidang perubatan tidak menjadi masalah kiranya kita letakkan kalimah keduanya kepada individu tersebut. Tetapi bagaimana pula bagi seorang yang mendakwa` muslim` juga walaupun hanya pada nama dan dia juga pakar dalam pembuatan filem-filem tempatan serta mahir pula menjadi `promoter` kepada artis-artis baru ? Tentulah keadaan ini tidak mengizinkan kita meletak atau menyandarkan kedua-dua kalimah tersebut kepadanya, tetapi kalimah profesional adalah yang paling layak dan serasi dengan dunia atau hadharahnya.

Saudara-saudari yang dikasihi sekelian, bagi saya persoalan ini bukanlah polemik yang hanya perlu dilihat secara zahir sebagai perbezaan atau persamaan makna kalimah sahaja, tetapi lebih dari itu iaitu melambangkan bagaimana kecelaruan pemikiran ummah terperangkap dalam dunia asing (hadharah) sekeliling mereka. Sebagai ummat Islam kita tak sepatutnya menjadi terheret bersama dalam perbincangan siapa yang selayaknya menjadi pemimpin bagi ummat Islam dan paling sesuai untuk menghadapi zaman ini samada ulama` atau profesional ? Atau kita `combine` antara keduanya sekali, dua-dua kita ada ! Hebatkan..!

Saudara-saudari ummah yang dihormati sekelian, jika sekumpulan gajah nak memilih ketua, tentulah mereka memilih gajah yang paling berpengalaman atau kuat di kalangan gajah-gajah itu. Sekawan rusa tidak akan memilih `belang` menjadi ketua kaumnya, atau berkongsi dengan rusa tua memimpin kawanan rusa-rusa.
Jika persatuan kita, persatuan pekebun-pekebun kecil getah layaklah kita memilih orang yang pakar dalam ilmu `getah` dan begitu juga jika persatuan itu persatuan peniaga-peniaga emas tentulah orang yang ahli dalam perniagaan barangan emas atau dinar emas layak dipilih menerajui persatuan.

Apa yang saya cuba bawa kepada saudara-saudari untuk fikirkan ialah jika persatuan kita ialah persatuan yang menghimpunkan ummat Islam, berusaha memperjuangan Islam, membawa nilai-nilai dan keunggulan Islam, mengapa kita janggal atau berasa pelek untuk berketuakan seorang yang terlebih faham akan Agama Islam berbandingkan dengan yang lain. Ya maksud saya ulama`…! yang sepatutnya menggerak atau menyedarkan ummat dan diangkat oleh ummah (baiah) bagi memimpin perjuangan ummat Islam.

Tetapi mengapa sebahagian besar anak-anak ummat Islam sendiri terutama yang berlatar belakang pendidikan sekular mempunyai tanggapan bahawa golongan ulama` yang ditonjolkan hari ini mempunyai banyak kekurangan dan kelemahannya berbanding golongan profesional seperti mereka sendiri. Sebab itu golongan ini menjadi rimas dan tak berpuashati berketuakan seseorang ulama` yang tak boleh mengurus dan memimpin sesebuah organisasi perjuangan. Apalagi nak memimpin ummah yang lebih besar di luar. Bagi pengalaman mereka berpesatuan, bukan mereka yang dibimbing ke dalam medan pertarungan tetapi ulama` yang mengekori cara mereka menghadapi musuh di tengah medan. Lebih baik dan mudah…bagi profesional saja yang menjadi ketuanya kerana praktiknya pun telah lama begitu…

Bagi saya suasana rimas dan tak puas hati dengan kelemahan golongan ulama` yang ditonjolkan hari ini itu pun ada kewajarannya juga, kerana para ulama` itu sendiri pun hanya belajar ilmu-ilmu yang dikatakan ilmu-ilmu Agama Islam dan tahu sedikit sebanyak tatacara kelakuan sebagai menampakkan ciri-ciri ulama` lalu tampillah di tengah-tengah khalayak dengan identiti sebagai seorang ulama`. Khalayak ummah yang rata-ratanya masih terbelenggu fikrah di bawah `par` terus menyambut dan memberi ruang menghidupkan spesies jadi-jadian ini. Sedangkan ulama` yang disebut di dalam al-Quran ialah “ Sesungguhnya yang takut dikalangan hamba-hambaku ialah ulama` ” dan maksud Hadith pula “al-ulama` waris kepada Nabi-nabi” Jadi sifat asasi atau fundemental bagi ulama` ialah hanya takut dan tunduk kepada perintah Allah swt serta mereka pula meneruskan segala kerja-kerja peninggalan semua para Nabi untuk memimpin dan membimbing ummat manusia supaya hidup dengan Islam menuju redha Allah swt. Ulama` pemamdu kepada ummat menghadapi serangan jahiliyyah, kuffar dan segala kuncu-kuncunya.

Jadi kalau yang dilebelkan ulama` hari ini itu boleh disuruh ke sana sini mengikut telunjuk golongan kuffar atau fasiq, boleh seronok dengan sanjungan orang ramai tetapi tak gerun dengan larangan Allah swt. Boleh seronok dengan majlis-majlis `cocktail` perdana atau jamuan santapan di raja, ummah nak kata mereka ini ulama` pewaris kerja-kerja Nabi atau apa ? Bagi saya tidak… Saudara dan saudari ummahku, sebagai ummat Islam kita sepatutnya berbangga mempunyai pemimpin dari kalangan ulama` atau kepimpinan kita ialah kepimpinan ulama` yang benar-benar mewarisi kepimpinan, kehidupan dan perjuangan para Nabi. Tetapi jika ulama` itu hanya tahu agenda politik sahaja, menjadi simbol atau spiritual leader untuk golongan yang lemah aqal, fanatik dan berkepentingan `hubbuddunyya`…

Jika di zaman Saidina Abu Bakar as-Siddiq muncul golongan-golongan nabi-nabi palsu maka saya berani mengatakan bahawa mereka inilah golongan pewaris-pewaris palsu atau pewaris kepada nabi-nabi palsu itu untuk zaman mutakhir ini ! Sekian wassalam. Dari - Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

الحضارة~*BIL:43/ J.Akhir 1430
AL-HADHARAH
Muslimah Usah Tertipu Menjadi Pencuci Longkang Hadharah Jahiliyyah
“Maha Berkat serta Maha Tinggilah Kelebihan Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Ia amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu, Dialah yang mentaqdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah diantara kamu yang lebih baik amalannya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi amat Pengampun (kepada orang-orang yang bertaubat)” – (Al Mulk : 1,2) Selawat dan salam buat Junjungan Nabi Muhammad saw seorang Rasul yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi ummatnya, rahmat dan sejahtera ke atas keluarga Baginda, para sahabat ra juga seluruh generasi ummah yang sentiasa berada di atas jalan kebenaran.

Alhamdulillah, dengan izin Allah swt dapat juga saya menulis kembali biarpun terasa kekok dan agak payah setelah sekian lama (sejak buletin Bil 23) terpaksa `memerap` menguruskan keluarga dan karenah anak-anak yang alhamdulillah ramai. Rasanya tidak bermasalah sekiranya saya luahkan sedikit… perasaan ini.. sebagai mencari momentum untuk menulis kembali. Semua aktiviti harian saya menjadi `berganda` dengan kehadiran anak bongsu saya yang ke 7, enam bulan yang lepas. Ditakdirkan pula selepas itu ayahda saya yang tidak mempunyai anak yang lain, jatuh sakit dan terpaksa menerima rawatan berminggu-minggu di hospital, sehingga tiada jalan lain terpaksa pasrah menunggu ajalnya di rumah. Kini tinggallah ibunda pula seorang diri, meniti senja dan menghitung hari-hari… begitulah sedikit sketsa kehidupan saya beberapa bulan yang lalu. Yang pasti kehidupan ini semuanya adalah milik Allah swt jua adanya.

Dikesempatan untuk kembali bersama ummah kebangkitan kali-2 untuk berbincang, menilai situasi semasa di manakah kedudukan ummah dan khususnya saudariku muslimah, dalam kerja-kerja pembinaan Hadharah Islamiyyah sukalah saya mengutarakan satu tajuk yang sangat ‘menggigit’ minda saya suatu ketika dahulu.
Dari satu sudut pandangan, kerja mencuci longkang, membuang sampah samada sukarela atau ‘makan gaji’seperti kerja Majlis Perbandaran lakukan bagi menjaga kebersihan , menghindari wabak dan jangkitan bukanlah tugas yang hina bahkan ia sangat digalakkan di dalam Islam.

Namun dari segi ma’nawi perjuangan, ia amat mendalam maksudnya. Kata-kata ini telah dilontarkan oleh tokoh pemikir ulung Malaysia abad ini Al Marhum Al Fadhil Ustaz Fadhil Mohd Noor di dalam salah satu tulisan beliau “ ..kita bukanlah pencuci longkang dan penimbus lubang-lubang yang dihasilkan oleh kerosakan sistem jahiliyyah…” cukup menyentak perasaan saya di ketika itu, walaupun 6 tahun telah berlalu. Saya ketika itu adalah seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah agama rakyat terkenal di Kepala Batas kerana dibayangi orang nombor-1 waktu itu, ‘tersentot’ sejenak memikirkan kedudukan saya. Tujuh tahun menghabiskan masa mendidik anak generasi ummah, benarkah kedudukan dan posisi yang saya ambil?

Dengan niat, azam serta tekad menegakkan Islam melalui bidang pendidikan apabila pulang ke tanahair dahulu masih utuh menunjangi di jiwa saya, tetapi.. adakah tapak yang saya pijak untuk membentuk generasi ummah Hadharah Islamiyyah tepat ? Adakah di pundak saya menanggung bebanan amanah Allah dan kepala saya menjunjung kalimatullahi hiyal u’lya dengan kekalnya saya di situ ? Semuanya mula menerpa ke dalam kotak fikiran dan perlu saya rongkaikan satu persatu secara telus. Ternyata amat sukar dan memerlukan kekuatan dan masa yang panjang. Saya perlu menilai duduk perkara sebenar diri sebagai seorang muslimah, isteri dan ibu kepada anak-anak yang Allah swt pertanggung jawabkan kepada saya untuk mengasuh, mendidik mereka dengan penuh keimanan. Harus membaca waqi’ masa dan massa serta berwaspada sebelum meletakkan kaki bagi meneruskan perjuangan membina hadharah yang diredhoi Allah swt.

Apa yang saya lihat kegagalan Hadharah Jahiliyyah dan segala sistemnya yang menguasai dunia selama ini telah meninggalkan kerosakan yang parah dalam semua bidang kehidupan ummah. Bagi mengatasi permasalahan ini, sistem jahiliyyah tadi telah menjadikan Islam sebagai `sparepart` atau alat ganti, pencuci dan penimbus longkang-longkang dan lubang-lubang hadharahnya yang bangkrup, di mana ummat Islam sedar atau tidak merekalah pekerja paling setia dengan ‘tawaran yang lumayan’ untuk membaik pulih hadharah musuhnya. Dalam bidang pendidikan khususnya, diwujudkan KAFA, PAFA, JEQAF dan sebahagian dari sekolah-sekolah agama bagi mengubati wabak-wabak jahiliyyah yang menular ke dalam generasi ummah. Betulkah begitu…? Menangani wabak di dalam kawah wabak adalah satu kerja sia-sia sementelahan wabak itu juga yang kita bawa dalam kehidupan kita. Ya! Muslimah, sebenarnya ummah sekarang ini terperangkap … dan perlu memikirkan cara untuk melepaskan diri…

Justeru itu saya telah mengambil keputusan memilih untuk berhenti `membakar diri` bagi memartabatkan Islam Hadhari (jahiliyyah) enam tahun yang lalu dan berazam tidak akan menjunjung dan mengangkat di atas kepala saya kecuali Kalimah Allah sahaja yang tinggi. Ia adalah satu pengorbanan yang besar berbanding dengan diri saya yang dhoif ini dan pengorbanan ini perlu dibayar harganya. Walaupun bayarannya tidaklah semahal mana pada pandangan orang lain tetapi bagi saya yang tidak punya apa-apa ini terasa perit juga meneruskan kehidupan dan menghadapi segala reaksi rakan-rakan serta saudara mara. Hati kecil saya tetap berkeyakinan bahawa menurut peraturan undang-undang Allah Azza waJalla segala pekerjaan yang besar itu tidak akan berjaya kecuali dengan kesungguhan dan kesabaran serta tabah menghadapi sebarang rintangan dan dugaan. Sebab itu sesiapa yang tetap teguh serta sabar bermakna ia telah menurut peraturan undang-undang Allah dan insyaAllah akan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. “Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." alBaqarah: 155

Berbekalkan sedikit sebanyak ilmu yang Allah swt berikan, saya cuba menjadi seorang ibu yang mengambil berat dan sentiasa mengikuti perkembangan serta menilai pencapaian anak-anak saya dalam kehidupan sebagai seorang anak-anak dari sebuah keluarga muslim. Dalam masa yang sama saya memastikan serangan Hadharah Jahiliyyah dapat dibentengi dengan pertolongan Allah, anak-anak…merekalah kekuatan saya, merekalah sumber yang memantapkan lagi keimanan saya kepada Allah swt.

Sejak awal tahun hijrah 1430, saya sungguh-sungguh bertekad mendidik dan memberi ilmu yang ada sedikit sebanyak kepada mereka dengan mengujudkan Madrasah sendiri. Saya lebih rela dan insyaAllah redho melihat anak-anak membesar dengan penuh keimanan kepada Allah mengikut asuhan serta didikan yang tak setara mana kerana sekadar itu sahaja kemampuan dan keterbatasan kami sekarang ini, dari membiarkan mereka dirobek-robek aqidahnya, disiat-siat akan akhlaknya, dikelar-kelar dan diracun fikrah mereka didepan mata kami oleh orang lain... Walau bagaimanapun saya perlu sedar dan menghadapi pandangan masyarakat yang tentu berbeza, mungkin sebahagian daripada mereka menganggap memisahkan anak-anak dari arus pendidikan yang terpakai sekarang adalah satu kekejaman dan penganiyaan terhadap anak-anak, kerana bagi masyarakat ‘moden’ proses menuntut ilmu itu adalah satu aktiviti berunifom, di bangunan yang lengkap dengan prasarana dan pada waktu yang ditentukan, itulah fahaman yang telah didoktrinkan dalam pemikiran masyarakat selama ini.

Sesungguhnya kehidupan di alam realiti tidak sekali-kali sama dengan kehidupan berteori dan berfantasi, semoga Allah memberi kekuatan dan kesabaran untuk saya meneruskan perjuangan, supaya anak-anak saya sekurang-kurang tidak lagi mewarisi kelemahan dan kesulitan sekarang bagi mengembangkan Hadharah Islamiyyah nanti insyaAllah. Wassalam. Dari – Ummu el-Husna.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

الحضارة~*BIL:44/J.Akhir 1430
AL-HADHARAH
Ulama`& Profesional Kahwin Songsang ?Bhg 2
Assyukrulaka Ya Rabbi... Syukurlah kita kepada Allah swt yang memberi kesempatan untuk kita bertemu sekali lagi. Selawat serta salam penuh takzim kepada Rasulullah saw, kaum keluarga dan seluruh sahabat yang bercahaya bagaikan bintang-bintang. Kepada ummat Islam muttakhir marilah kita menyemai dan menanam benih-benih Islam yang terbaik supaya hasilnya insyaAllah terbaik juga yang bakal dikecapi.

Bagi menyambung sedikit lagi persoalan ulama` dan profesional yang telah saya sentuh sebelum ini sebagai suatu gandingan yang sumbang atau tidak sekufu langsung bagi sebuah persatuan yang menyatakan memperjuangkan Islam sebagai terasnya. Bila sandarannya Islam tentulah latar belakang atau world view yang kita sepatutnya lihat ialah Hadharah Islamiyyah itu sendiri. Persoalan ulama` yang kita bincang dan maksudkan adalah dari perkataan atau kalimah ummat Islam, mungkin ada bahasa lain di bumi ini yang bunyinya sama tetapi tak termasuk dalam perbincangan ini.

Begitu juga perkataan professional dalam bahasa Inggeris tidak digunakan oleh orang-orang Inggeris bagi menyebut atau memaksudkan ulama`. Mereka pun tahu duduk perkara atau latarbelakang budaya (tamaddun/ hadharah) yang berbeza. Mereka lebih faham menyebut `Muslim scholar`. Sebabnya saudara-saudariku, ulama` membawa maksud atau melambangkan `keluasan` ilmu-ilmu yang ada pada seseorang hamba berbanding dengan ilmu-ilmu Allah swt yang MAHA LUAS. Sedangkan takrifan profesional bagi masyarakat barat sendiri cukup dengan satu juzuk ilmu yang khusus atau pecahan yang lebih khusus dan diketahuinya secara mendalam lebih dari orang lain, profesionallah orang itu. Ringkasnya ulama` melambangkan KELUASAN (melaut, melangit, menyelami, menembusi mencapai dll). Profesional pula PENJURUSAN iaitu kelebihan atau kepandaian dalam satu-satu cabutan ilmu yang pelbagai. Semakin kompleks dan mengecil sifatnya semakin tersendiri dan unik.

Bagi saya dalam tamaddun barat semua orang boleh jadi profesional kerana setiap orang ada kelebihannya dan `specialise` dalam bidang masing-masing. Tetapi tidak semua orang boleh jadi ulama` kerana ulama` bukan macam kita naik lif, tekan punat untuk aras berapa yang kita pilih. Ulama` sama tanggung jawabnya macam para Nabi-nabi dan prosedurnya pun macam tuu juga, dipilih oleh Allah swt dan akan dibantu oleh orang-orang yang beriman hanya kepada Allah swt. Jika kamu beriman kepada sosialis kamu akan jumpa ulama` sosialis, kamu beriman dengan demokrasi, kamu akan dibimbing oleh ulama` pilihan demokrasi, jika kamu beriman dengan sistem komunis sekalipun, kamu akan berjumpa dengan ulama`-ulama` atau imam-imam yang dibiayai oleh pihak komunis. Pelekkah begitu…? Ya pelekkah dunia begitu…?

Tidak saudara-saudariku, dunia memang begitu… kita atau kamu yang peleknya, mahu kepada Islam tetapi masih sayangkan kepada yang bercanggah dengan Islam. Mahu kepada Islam tetapi masih berbangga mendabik dada bahawa semangat demokrasi masih subur dalam persatuan kita berbanding dengan mereka. Mahu kepada Islam tetapi kita kena pertahankan demokrasi supaya jangan ditertawakan oleh orang luar bahawa kita kembali ke zaman Greek Purba. Mahu kepada Islam tetapi kita yang bekerja mencuci longkang-longkang jahiliyyah. Mahu kepada Islam tetapi kita yang paling takut kepada suara-suara kebenaran. Mahu kepada Islam tetapi masih tak nampak jalan-jalan Islamnya, masih suka nak ikut lubang-lubang biawak…
Ummat Islam sebenarnya kena bersungguh-sungguh berpegang dengan tali Agama Allah swt, firman Allah yang bermaksud “ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu pertunjuk yang akan membeda antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar ” (al-Anfal 29)

Kepada saudaraku golongan profesional, kita ataupun saudara kena menerima hakikat bahawa saudara termasuk juga saya dan ummat Islam khususnya di Malaysia sekarang adalah produk dari sistem pendidikan yang diasas dan dikembangkan oleh hadharah bukan Islam (jahiliyyah). Jiwa, pandangan, kecenderungan, rasa hebat dan rasa dekat kita, lebih kepada golongan yang masyarakat sendiri anggap ada kedudukan, ada nilai-nilai `common`. Kita dan masyarakat sebenarnya sama, lebih senang menuding jari menunjuk contoh atau melihat golongan profesional sebagai `berjaya` berbanding yang kita lihat golongan ulama`. Lebih-lebih lagi ulama` yang kita kenal dan diperkenalkan ialah seperti `ustaz-ustaz` yang masyarakat lihat sama taraf dengan cikgu sekolah kerajaan sahaja. Paling tinggi yang kita kenal ulama` ialah pensyarah universiti atau mufti-mufti dan pegawai-pegawai Agama Islam, hakikatnya mereka ini adalah kakitangan kerajaan sahaja. Dari sudut lain pula `berjaya` itu sendiri kita lihat dalam kerangka masyarakat yang `establish` dengan nilai-nilai kebendaan, bergaji besar, kereta besar, rumah besar dan lain-lain.

Mungkin yang agak agresif sikit dari kalangan ulama` yang kita kenal terdiri dari kelompok pembangkang atau ustaz-ustaz bebas. Pembangkang ni macam mana…? Pembangkang ni pun sebenarnya kakitangan kerajaan juga, cuma masyarakat tak diajar supaya mengenali pembangkang sebagai `government officer from the other side`. Mudah sahaja kalau kita nak tahunya, elaun MP dan DUN, claim mileage dan lain-lain kerajaan mana yang lunaskan. Sebab tu janganlah kita hairan sangat mana boleh mereka ini marah atau kritik lebih-lebih sampai yang di atas dari kedua-duanya, maksud saya parlimen dan raja berpelembagaan itu majikan mereka juga. Mereka kritik pedas dan terlalu pun hanya kepada saingan mereka sahaja, sampai kita pun rasa takut nak dengar. Bukan perkara begini hebat sebenarnya, biasa laa tuu.. sebagai pelengkap kepada sistem tersebut, baru nampak `real` macam adegan-adegan `stunt` dalam filem-filem aksi. Baru seronok orang ramai tengok dan lama lagilah sistem itu akan laku serta berlegar di pasaran negara ini.

Begitulah juga lebih kurang ustaz-ustaz bebas atau yang tak berjaya dipilih lagi menjadi DUN atau MP. Seterusnya saudara akan nampak lebih jelas lagi bila dah ada yang berpeluang mentadbir negeri, tentu punya apa yang kaum kerabat negeri mahukan akan senyap-senyap diberi. Jika cuba mengajak kerabat beramal dengan sunnah Nabi, alamat tak bergelarlah pembesar-pembesar negeri. Sebab itu dunia mereka ini dibina begitu tersendiri dan tertutup rapat dengan tirai-tirai besi, ummah pula dibiarkan nafsi-nafsi. Cuba ummah renung sejenak siapa yang terlebih aula mengajak mereka kaum kerabat tersebut kembali kepada kebenaran Islam, tidak lagi adat-adat dan kepercayaan tahyul kalau bukan yang dikatakan ulama` yang selalu berurusan dan bersembah patik, bersantap bersama.

Mengapa dari kacamata ummah atau profesional sekali pun masih tidak nampak kelibat ulama` yang menjadi pegawai kepada kerajaan Allah, mufti kepada kerajaan Allah, Mursyid bagi tentera Allah swt iaitu sebagai penyambung tugas para Ambiya`. Bagi saya serupa sahaja dengan profesional, yang dikenali dan dipilih sebagai ulama` khasnya di negara ini, merupakan produk dari sistem yang melahirkan golongan profesional juga. Sebab itu agak payah untuk masyarakat dan ummah melihat mereka ini membawa aspirasi yang berbeza kerana memang mereka bekerjasama sebagai satu cita-cita perjuangan tanpa perlu membina Hadharah Islam.

Ulama` yang sebenar dan muttaqin insyaAllah akan lahir juga apabila ummah bersungguh-sungguh menyemai dan menanam benih-benih yang terbaik dari ummah, di dalam wadah ummah sendiri. Seterusnya dijaga dan diasuh oleh hasiltangan murabbi-murabbi ummah sendiri dan akhirnya menjadi dewasa dengan kedewasaan Hadharah Ummah itu sendiri. Di ketika itu apabila ulama`-ulama` ini tegak! Tegaknya dengan kalimah Allah tidak yang lain, apabila ulama`-ulama` ini bersuara, suara-suara yang menyeru kepada mentauhidkan Allah swt sahaja tiada lagi yang lain. Apabila ulama`-ulama` ini memberi contoh, contohilah Baginda saw, tiada lagi yang lain… Wallahu`alam ! Dari - Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


الحضارة~*BIL:45/J.Akhir 1430
AL-HADHARAH
Semoga Ummah Kembali Ke Jalan Yang Lurus
“Ihdinasirathol mustaqim…” Segala puja dan puji hanya sanya layak bagi Mu sahaja ya Allah. Selawat dan salam kepada Rasul Mu, Muhammad saw dan kaum keluarga serta seluruh sahabat yang tetap istiqamah menjunjung akan risalah kebenaran. Salam perjuangan untuk ummat mutakhir yang sepatutnya istiqamah juga menjunjung akan tanggungjawab mencontohi mereka memperjuangkan kebenaran.

Bertemu kembali kita dalam keluaran kali ini saudara-saudariku, teringat saya hampir setahun yang lalu (Rejab 1429) ketika buletin pertama menyapa khalayak pembacanya, salam ukhuwah kuhulurkan sebagai penghubung bicara di antara kita sesungguhnya Allah SWT berfirman di akhir Surah Al-`Asr yang maksudnya; `` berpesan-pesanlah di atas kebenaran dan berpesan-pesanlah di atas kesabaran``
Pada ketika itu pihak kami cuba mengambil sekelumit sahaja dari ruang masa serta tumpuan ummah sekelian, bagi membicarakan hal-hal yang berkaitan kita sebagai `ummah sejagat`.

Pada kali ini juga saya ingin mengulangi serta memperbaharui akan azam dan tujuan kami, insyaAllah masih tetap sama untuk membicarakan hal-hal yang berkaitan dan kepentingan ummat Islam itu sendiri, sebagai salah satu tanggungjawab ummat Islam dan begitu juga harapan kami kepada saudara-saudari khalayak pembaca yang insyaAllah beragama Islam, sebagai salah satu tanggungjawab yang perlu juga untuk saudara atau saudari memikirkannya bersama.

Ihdinassirathol mustaqim… (al-ayah.) yang bermaksud; “Tunjukilah kami (ya Allah) jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka (Nabi-Nabi, Rasul-Rasul dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh). Bukan jalan orang-orang yang telah Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat” Amein! Sebagai ummat Islam kita sepatutnya senantiasa berada dalam suasana atau keadaan yang sentiasa mengharapkan bimbingan Allah swt untuk kita menjalani kehidupan ini. Kita selalu meminta supaya ditunjukkan laluan yang betul untuk kita ambil bagi menyelamatkan kehidupan dan segala aktiviti harian kita. Kita tidak jemu-jemu meminta dan memohon agar dikurniakan `pengetahuan` untuk mengikut jalan yang lurus tersebut berkali-kali.

Kenapa ya saudara dan saudariku, susah sangatkah nak hidup atas dunia ini ? Susah dan sukarkah mencari serta menuruti jalan yang lurus itu ? Sehinggakan seorang sahabat ra menggambarkan seperti berjalan di suatu kawasan asing, manakala laluannya pula dipenuhi ranjau-ranjau yang berduri. Bayangkan macam mana para sahabat radhiyallahuanhum begitu berhati-hati untuk melangkah dan meletakkan kaki bagi menguasai dunia ini… Maaf! saya sendiri tak dapat nak membayangkan bagaimana generasi awal ini cukup istimewa, kental, tahan uji, sabar, tinggi mujahadahnya dan yakin sungguh akan janji-janji Allah swt.

Dunia sekarang dah benar-benar berubah atau generasi ummat Islam yang telah dapat dirubah ? Bagi saya dunia masih tetap dunia yang seperti dahulu juga sifatnya, dijadikan Allah swt sebagai medan ujian para hamba-hambaNya. Namun segala kegelisahan dan kekhuatiran ummat Islam dahulu semuanya telah hilang lenyap dari kehidupan ummat Islam kini..pergi ke mana ? Orang yang bukan Islam bebas ke sana sini, ummat Islam juga bebas seperti mereka. Orang bukan Islam berlumba-lumba mengumpulkan harta sebanyak mungkin asalkan pandai berniaga, ummat Islam juga tak kurang hebatnya dapat berniaga apa-apa sahaja asalkan dipenuhi laba. Orang bukan Islam sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai dan memenuhi keinginan hawa nafsu mereka, ummat Islam juga tak lekeh dalam perlumbaan dan pertarungan nafsu yang semakin menggila-gila jadinya.

Kadang-kadang fikiran saya ini jadi bingung atau tak dapat membuat kesimpulan sendiri, apabila mengingatkan maksud ayat-ayat terakhir surah al-Fatihah yang selalu kita baca berulang kali itu, Bukan jalan orang-orang yang telah Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat” Apa sebenarnya yang hendak disampaikan oleh Allah swt kepada ummat Islam khususnya ? Bukan apa.. kerana semua saudara mara kita ummat Islam kini boleh dikatakan telah `berjaya` menceburi semua jalan-jalan. Bidang apa yang orang boleh buat, kita pun mesti boleh buat…atau lebih hebat lagi. Jadi seperti semua orang dah menjumpai atau berjaya mengikuti jalan yang lurus itu kah ? Jika benar begitu beruntung besarlah generasi mutakhir ini berbanding para sahabat yang terpaksa bersusah-susah payah dahulu…rupanya kita yang bersenang-senang di kemudiannya.

Nabi saw dan para sahabat radhiyallahuanhum dahulu terpaksa berdikit-dikit ke hulu, tetapi ummatnya termasuk pemimpin mereka sekarang berenang-renang ketepian… kerana semua jalan dan laluan yang ada lurus-lurus belaka sebab itu rata-rata ummat Islam sama sahaja dengan orang lain yang bukan Islam, kerja, cari makan, menikah, beranak, balik rehat, menonton tv, aktif sukan, hi-tea, jualan langsung, buat rumah, beli rumah, main saham, kad kredit visa, mastercard, American express, makan kenduri, cabutan bertuah, hantar anak masuk kolej, melancung, melencong dan entah apa-apa lagilah.. sedikit sahaja lagi yang bengkoknya iaitu jalan politik. Aulawiyatnya kita selesaikan yang ini sahaja.

Sebab itu bukan masalah besar dah, sikit lagi sahaja kita akan menang dan buat apa yang kita perjuangkan selama ini. Apalagi orang bukan Islam dah ramai yang menyokong dan akan menyokong jalan politik kita, cuma buat masa yang genting ini kita jangan peduli apa orang kata, ya ! jangan peduli apa yang orang nak kata kat kita. Mereka itu dengki atau khianat suka tengok kita ni tak dapat perintah negara dengan cara kita bermuwajahah silmiyyah. Kita ada pimpinan ulama`, syura lagi yang memutuskan bahawa cara ini betul, semua gerakan luar negeri belajar pula dengan kita macam mana nak berjuang cara pilihanraya dan tabik kat kita. Mereka pun terasa rugi selama ini tak ikut macam kita.

Semua orang kata politik ada dalam Islam, pastikan kita kena faham waqi. Zaman ini kita tak perlu angkat senjata macam dulu atau tempat lain tu. Kita hanya perlu angkat pensil sahaja, berilah sokongan beramai-ramai sebanyak mungkin kita hancurkan firaun-firaun itu dengan pensil-pensil rakyat! Kita kena gerakkan gelombang rakyat, dia tak sembahyang ka, tak tutup aurat dan pakai seluar pendek ka, biaq pi dulu. Dia pondan ka, jebung ka, tok sami ka jangan kisah sangat kita kena pandai berpolitik. Yang penting semua mereka itu kita daftarkan sebagai pengundi dan pastikan `by-hook or by crook` mengundi kita.

Orang kita kena selalu senyum dekat depa walaupun depa tu jalang atau pelacur, lebih-lebih lagi mat rempit dan hardcore kaki bola. Jangan lupa! apa agama pun tak pa, `kita untuk semua` @ kita ikut semua, memang perlu bawa hadiah tunjuklah prihatinnya kita kepada mereka. Duit tak dak! Apa susah minta sahaja derma jihad dan zakat kat orang kampung dan penyokong setia kita mak aji dan pak lebai. Orang-orang kampung pun susah, laani semua harga barang naik.Tak pa mereka tak banyak meragam sangat dan malu nak meminta-minta, lagi pun kita habag kat depa kita bukan memerintah kerajaan pusat lagi. Bacakan ayat-ayat kelebihan infaq fisabilillah.. bacakan kisah sahabat yang dermakan seluruh hartabenda mereka..

Begitulah sedikit sebanyak pengalaman penulis hidup bersama-sama ummah dan pada kali ini elok bagi saya tidak membuat sebarang saranan penutup bicara.. kerana sengaja saya nak melontarkannya kembali kepada masing-masing pemikiran untuk membuat kesimpulan bagi kehidupan sendiri, sekian.
Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -


الحضارة~*BIL:46/ Rejab 1430
KELUARAN KHAS *ULANG TAHUN PERTAMA
AL-HADHARAH
Siasah Ummat Untuk Kepentingan Ummah Bhg 1
“Sibghahtallah Waman ahsanuminallahisibghah” Maksud; Celupan (pewarnaan / acuan) Allah, Siapakah yang lebih baik sibghahnya (pewarnaannya / acuannya) daripada Allah?. al-Baqarah 138. Segala pujian bagi Allah swt yang Maha Agung lagi Maha Sempurna. Selawat dan salam seorang ummat kepada Rasul yang mulia Muhammad saw, kaum kerabat dan semua sahabat seperjuangan dengan Baginda saw.

Dengan melangkahnya kita memasuki bulan Rejab pada kali ini, berbagai isyarat atau signal telah mula diterima oleh ummat Islam pada umumnya sebagai telah dekatnya kita semua dengan kedatangan bulan Ramadhan. Dalam bulan Rejab itu sendiri banyak peristiwa-peristiwa penting untuk iktibar dan faedah kepada perjuangan ummat Islam khususnya kejadian Isra` wal Mikraj Rasulullah saw. Bagi buletin al-Hadharah sendiri, genaplah usianya setahun. Bagi khalayak pembaca pula dan semua ummat Islam menandakan bahawa kita telah berada di pertengahan tahun hijri, semakin bertambah usia dan kematangan kita semakin dekatlah kita semua dengan titik noktahnya masing-masing…

Firman Allah swt bermaksud; “Dan di antara manusia itu ada orang yang tuturkata / ucapannya mengenai hal kehidupan dunia ini begitu tertarik hatimu mendengar hujahnya. Dan ia sanggup pula mempersaksikan Allah swt dengan perjuangan kebenaran akan isihatinya, padahal ia adalah orang yang sangat-sangat keras akan permusuhan dan penentangannya kepada kamu ” al-Baqarah 204.

Ummat Islam khususnya di Malaysia mengenali politik moden seperti yang ada hari ini apabila melihat, terlibat atau mengikuti perkembangan parti-parti politik seperti PKMM,UMNO, PAS, MCA, MIC, DAP, USNO, SNAP, UPKO, PBB, BERJAYA, PBS, HAMIM, S46, PKM,PSRM, GERAKAN, KEADILAN, IPF dan lain-lain lagi yang ada dalam persada politik negara. Asal-usul, jatuh, bangun, berkembang, berpakat, berpecah, bergabung, menubuhkan parti baru, diharamkan, membubarkan, ditolak permohonan, turun ke jalan raya, malah diISA dan dibuang negeri. Paling mutakhir memperlihatkan semuanya `bersetuju` untuk memihak samada pro pemerintah BN atau pro pembangkang PR. Penampilan ini seolah-olah meletakkan hanya satu pihak saja yang betul dan satu lagi sebaliknya. Pihak yang menyokong pemerintah tentu sekali berkeyakinan bahawa mereka yang betul dan berhak. Pihak yang pro pembangkang pula bermati-matian mengatakan bahawa merekalah yang membawa kebenaran dan berada di atas landasan yang sebenar.

Sebagai ummat Islam apakah benar hanya satu pihak sahaja yang benar dan betul dalam issu ini ? Dalam keadaan kedua-dua pihak bertegas, `kamilah yang betul !` Atau kedua-dua pihak yang bersalah dan tidak ada yang betul ? Atau dalam issu-issu (kes-kes) tertentu kadang-kadang pihak A yang betul dan pihak B yang salah, begitu juga sebaliknya dalam kes atau issu yang lain pula pihak B yang betul dan pihak A yang bersalah ? Atau adakah semua manusia dan ummat Islam hanya terdapat dalam kedua-dua pihak tersebut sahaja ? Atau ada pihak lain yang berkuasa dan berperanan dalam menentukan banyak tindakan-tindakan politik tetapi berselindung dari penampilan politik? Semuanya ini menyediakan beberapa fakulti pengajian untuk pengkaji-pengkaji ilmu politik moden mengkajinya. Bagi saya lebih bertanggungjawab sekiranya ummat Islam melihat dan mengkajinya dari luar kerangka yang telah tersedia ada selama ini di hadapan kita.

Sebagai ummat Islam juga, landasan pengkajian atau perbicaraan kita biarlah, pihak mana sahaja yang memihak atau mendokong kebenaran, insyaAllah akan kita mengakui akan kebenaran mereka itu, kerana kita bukan memihak berdasarkan `label` atau `cop` seperti kebanyakkan pengikut-pengikut yang fanatik kepada kumpulan-kumpulan tertentu. Sikap fanatik biasanya melumpuhkan aqal dan membenamkan kewarasan diri sendiri. Kita juga tidak memihak berdasarkan untuk menjaga `hati` atau kepentingan pihak-pihak tertentu, kerana hati yang kita nak jaga ialah hati orang-orang beriman hanya kepada Allah dan kepentingan yang kita nak pertahan ialah kepentingan ummah yang menjunjung perintah Allah swt jua.

Sebelum penjajahan berlaku ke atas ummat Islam di sebelah sini khususnya Kepulauan Melayu, ummat hanya mengenali sistem pemerintahan Islam yang diterajui oleh raja atau sultan yang menjalankan undang-undang syariat Allah swt dalam semua bidang kehidupan. Pemimpin atau raja dan sultan ketika itu menjadi ketua bagi ummat Islam dalam semua hal yang sepatutnya. Semasa era penjajah menguasai pula, raja atau sultan telah dijadikan simbol sebagai ketua urusan agama bagi mewakili ummat keseluruhan. Manakala penjajah sendiri melalui residennya menguasai dan mentadbir hal ehwal negara dan rakyat termasuk ummat Islam dengan undang-undang thoghut Inggeris.

Pada ketika inilah kuasa atau hak ummah telah mulai diceroboh oleh musuh Islam yang bernama penjajah laknatullah tersebut bila mana semua urusan yang berkaitan dengan ummat Islam telah mereka perkecilkan skopnya dan hanya berunding dengan pihak raja atau wakil sultan sahaja. Sedangkan ummah yang masih kuat semangat jihadnya tetap masih menentang dan menyusun taktik-taktik penentangan. Ini terbukti dengan kes Sheikh Abdul Rahman Limbung dan ulama`-ulama` yang dikenakan tindakan buang negeri ke Mekah. Begitu juga dengan bukti-bukti sejarah serangan-serangan oleh ummat Islam ke atas kapal-kapal dan kepentingan kompeni Inggeris di Pulau Pinang yang tidak dicatitkan oleh sejarah moden.

Pada ketika ini ummah benar-benar diuji, apabila ketua atau pembesar yang selama ini diharapkan memimpin ummah telah terkulai layu diulit kesenangan dan kemewahan yang diberikan penjajah. Para ulama` pun mula terbahagi dua yang terpengaruh dengan kemewahan sultan mengeratkan hubungan dengan istana dan secara tak langsungnya bernaung di bawah penjajah dengan segala sistemnya. Ulama`-ulama` yang memperjuangkan kebenaran tetap ada melaksanakan kewajipan mereka kepada Allah swt dan ummat Islam dengan menjadi tulang belakang institusi pendidikan pondok. Pada ketika ini bukan sahaja penjajah Inggeris yang memusuhi mereka tetapi pihak sultan dan ulama`-ulama` pengampu pula yang berperanan lebih dari penjajah. Tidak hairan jika banyak kitab-kitab yang telah diharamkan oleh negeri-negeri tertentu atas kehendak sultan dan pengarangnya dihalau dari negeri berkenaan contoh Tuan Hussain Kedah dan Syeikh Daud al-Fatani.

Jangkamasa berlalu yang panjang dengan pelbagai peristiwa berlaku di hadapan ummat, sepatutnya ummah mulai mengerti siapa sebenarnya yang bersama-sama ummah mempertahankan kehidupan beragama dan memperjuangkan Islam serta kepentingan ummat di kampung-kampung dan di desa-desa. Atau siapa dan golongan mana yang masih berlakon dan menjadi regu sandewara mengelabui ummat Islam bernaung di bawah istana dan sistem penjajah, hidup bergaya dan selesa menerima segala… termasuk pendidikan penjajah. Sekolah-sekolah `missionary` menunjukkan pelajar-pelajar perintisnya adalah terdiri dari anak-anak mereka golongan beraja dan bangsawan. Tidak ketinggalan ada juga ulama`-ulama` yang `bingung` terpengaruh dengan kecenderungan semasa melayan tuntutan pendidikan moden terhadap anak-anak mereka sendiri, supaya besar nanti senang dapat kerja dengan `orang putih`.

Ketika penjajah mula melonggarkan cengkaman dan memperkenalkan sistem politik moden seperti yang di warisi sekarang, para ulama` yang bertanggungjawab melangsungkan perjuangan Islam dan memelihara kepentingan ummat cukup berhati-hati serta tidak terburu-buru menerimanya. Ini bukan bermakna mereka tidak tahu untuk `berpolitik` tetapi ini adalah disebabkan mereka cukup `hadham` dengan siasah musuh Islam yang menjajah pemikiran, pendidikan, kebudayaan dan segala sistem undang-undang selama ratusan tahun itu. InsyaAllah akan cuba disambung pada keluaran akan datang. Dari - Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -

الحضارة~*BIL:47/ Rejab 1430
AL-HADHARAH
Siasah Ummat Untuk Kepentingan Ummah Bhg 2
Alhamdulillah ! Syukur kita kepada Allah swt yang menentukan segala-galanya. Selawat dan salam kita kepada Rasul saw dan kaum keluarga serta para sahabat yang dikasihi sekeliannya. Semoga kita semua akan diperkuatkan dengan taufiq serta inayahNya jua, amein, ya Rabbal alamin.

Bertemu sekali lagi kita untuk meneruskan perbincangan perihal politik moden yang berlegar di sekeliling ummat. Ummat Islam dahulu mula terasa kelonggaran diberikan apabila rakyat telah dibenarkan menubuhkan persatuan dan parti-parti politik. Para alim ulama` muttaqin yang selama ini masih setia menerus dan menggerakkan perjuangan bersama-sama ummah kebanyakan, menjadi benteng terakhir ummat Islam di ketika itu. Biarpun golongan beraja dan bangsawan serta sebahagian dari ummat Islam sendiri telah mula larut, hanyut bersama arus kemodenan dan kemajuan yang dibawa oleh penjajah. Golongan tersebut ibarat duri dalam daging, gunting dalam lipatan kepada kehidupan ummah. Merekalah generasi-generasi yang menjadi boneka penjajah di mana-mana. Merekalah yang mengembang dan memperlihatkan budaya hidup penjajah menjadikannya lebih `establish`. Golongan inilah yang membunting dan seterusnya melahirkan UMNO di istana Johor pada tahun 1946.

Para cerdik pandai ummat yang mempunyai kesedaran untuk menuntut kemerdekaan terlebih dahulu menubuhkan PKMM antara tokoh pentingnya Dr Burhanuddin al-Helmi. Satu masalah besar golongan ini ialah tidak cenderung kepada raja-raja yang menjadi boneka penjajah tetapi menguasai pentadbiran Agama Islam. Dengan kuasa sultan dan raja mereka menentukan siapa mufti-mufti dan mengeluarkan fatwa-fatwa yang boleh menghalang perjuangan sebenar ummat Islam. Lagi pun setiap negeri-negeri mempunyai kepentingannya sendiri yang kadang-kadang tak selaras dalam menentukan polisi Agama Islam waktu itu. Atas alasan yang demikian PKMM menubuhkan Majlis Agama Tertinggi Tanah Melayu (MATA) bagi dapat menyatu dan mendapat mandat tertinggi ummat Islam, sekaligus cuba menyisihkan boneka penjajah (sultan & raja). Melalui MATA dan sokongan ulama`-ulama` mereka seterusnya berjaya menubuhkan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol, Perak. Sebab itu sejarah sendiri membuktikan `mood` atau rohnya cukup jelas menggamit kesedaran ummah dan malapetaka atau mimpi ngeri buat penjajah serta bonekanya. Dengan kalimah Arabnya dan lahir pula di tengah-tengah pusat pendidikan benteng ummat.

Apa lagi… kalau tidak diharamkan oleh penjajah mungkin perjalanan sejarahnya berlainan. Para ulama` dan pemimpinnya diburu dan ada yang dibuang negeri.Semua ini seharusnya tidak akan dilupai oleh ummat Islam kini. Tinggallah UMNO dan mereka yang sanggup menjadi boneka atau tidak membahayakan kepentingan penjajah yang kononnya berjuang menuntut `kemerdekaan`. Melihat ada sedikit ruang yang terbuka dengan penuh curiga kerana mereka sentiasa berwaspada ketika `berperang` dengan penjajah jahiliyyah, saki baki pengaruh perjuangan yang mempertahan dan hendak memartabatkan Islam serta untuk menyatukan alim ulama` Tanah Melayu meneroka untuk kali yang seterusnya bagi menubuhkan Persatuan Ulama` SeTanah Melayu tetapi kali ini melalui jaringan UMNO. Mereka menjemput mufti dan pegawai-pegawai agama negeri-negeri serta alim ulama`, sejarah mencatitkan berlaku perjumpaan di Muar awal tahun 1950, seterusnya perbincangan dan penubuhan AJK penggubal di Bangunan Kelab Sultan Sulaiman KL, akhirnya perjumpaan seluruh ulama` di Kelab Melayu Bagan (Butterworth) yang bersetuju menubuhkan PAS.

Sebagai sayap penting perjuangan menuntut kemerdekaan dan menjadi biro agama bagi UMNO sendiri. Muktamar pertamanya terus diadakan di Daeratul Maarif Wataniah Kepala Batas. Alamat resmi PAS waktu itu 721 Kepala Batas, Seberang Perai, dipercayai kediaman Sheikh Abdullah Fahim. Antara tokoh-tokoh penting ketika itu ialah Haji Ahmad Puad, Haji Ahmad Maliki, Hj Ahmad Tuan Husin, Hj Ahmad Badawi sendiri serta ramai lagi tokoh-tokoh berpendidikan Timur Tengah. Kepada anak-anak muda terutamanya anak-anak generasi Malaysia jangan terkejut! jika UMNO dilahirkan di serambi istana, maka PAS pula dilahirkan di serambi UMNO yang dibidani dan disambut oleh orang-orang UMNO Seberang Perai.

Dua`bersaudara` yang berlainan cita-cita dan pembawaan akhirnya berpisah juga dek perselisihan pendapat dan pengaruh idealisma politik ketika itu. Issu loteri kebajikan seperti pepatah retak menanti belah, PAS yang dipimpin oleh Haji Ahmad Puad terkeluar dari induknya UMNO. Manakala Dato` Onn Jaafar sendiri yang menubuhkan UMNO pula keluar darinya menubuhkan Parti Negara. Haji Ahmad Puad sendiri selepas itu nampak lebih memihak kepada Dato` Onn lalu meninggalkan PAS. Sedangkan Haji Ahmad Maliki pula kekal dalam UMNO dan menyokong Tunku Abd Rahman dan menentang gagasan `jus soli` dasar sama taraf yang dikemukakan Dato` Onn. Dalam issu `jus soli` ini ummat Islam mutakhir sepatutnya melihat kedua-duanya menguntungkan musuh Islam, yang berbezanya hanyalah pekej sahaja. Sebab itu apabila masa berlalu UMNO Tunku Abd Rahman juga yang melaksanakan dasar-dasar saranan `jus soli` itu sampai sekarang.

Berbalik kepada ruang politik dan akhirnya menjelang diadakan pilihanraya 1955 oleh penjajah, ulama`-ulama` masih lagi menganggap perkembangan ini ada `kesamarannya`. Tetapi ummah jangan lupa bahawa mereka yang berjuang selama ini tetap meneruskan perjuangan dengan cara sedia ada (tradisional), cuma politik pilihanraya sesuatu yang baru bagi mereka waktu itu. Sebab itu sebagai ulama` yang berhati-hati ada yang tidak langsung menerimanya. Bagi mereka yang memberanikan diri mencubanya pun, masih lagi menganggap sebagai suatu tajribah (eksperimen) sejauh mana keberkesanan dan keharusannya dari segi syara`. Sebab perkara ini perkara baru timbul, mahu tidak mahu bagi mereka ijtihad amali adalah jalan keluarnya. Permasalahan ini membuka ruang pengkajian di kalangan cerdik pandai ummat akhirnya menghasilkan satu kaedah atau pegangan bagi perjuangan ummat Islam, iaitu `muwajahah silmiyyah`.

Muwajahah silmiyyah membawa maksud kita boleh mengambil ruang-ruang kebebasan yang ada dalam sistem bukan Islam samada demokrasi atau lain-lain untuk menyampai dan menerangkan perjuangan Islam.
Para ulama` dahulu masih memahami bahawa ruang yang masih dapat dikuasai dan dibentengi oleh ummat Islam seperti di kampung-kampung atau pondok itulah ruang yang sihat yang masih tinggal bagi ummah (hadharah ummah). Sebab itu pandangan umum ummat Islam sendiri semasa era penjajahan ratusan tahun bahawa sultan dan raja telah terpisah jauh dari tapak (hadharah) ummah dengan kehidupan `beraja` dan kemewahan mereka. Manakala ulama`-ulama` yang menjadi pengampu dan memegang jawatan dalam kerajaan ketika itu juga disisih dari arus ummah kebanyakan.

Oleh itu salah satu sebab penting mereka berusaha menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Islam bagi Tanah Melayu yang benar-benar dari kemahuan ummat Islam dan bebas dari telunjuk penjajah. Inilah suasana yang terdapat dibelakang tertubuhnya Hizbul Muslimin dan Persatuan Ulama` dalam UMNO yang menjadi PAS.
Sebab itu bagi saya jika ummat Islam sekarang masih lagi tidak mampu untuk melihat permasalahan ini atau membiarkan ummah diperbodohkan oleh golongan `berdarjat` ini kononnya merekalah ketua bagi urusan Agama Islam adalah sesuatu yang terlalu malang. Selama beratus tahun mereka ini tidak pun pernah hidup bersama-sama kesusahan ummah. Seruan atau kalimah `ummah` bagi mereka ialah ketika memberi ucapan perasmian atau perayaan hari-hari kebesaran ummat Islam dan khutbah-khutbah yang rasmi.

Jika kewujudan mereka ini di dalam dunia ummat Islam seperti `pengemis atau peminta sedekah` tidak menjadi masalah besar kepada ummah, kerana sesiapa yang bersimpati boleh sahaja menghulurkan pemberiannya. Tetapi golongan ini bukan seperti itu, mereka adalah lintah darat yang menghisap darah ummah, malah lebih teruk lagi, merekalah yang hidup bersenang-lenang, mentekedarah hasil mahsul yang sepatutnya dimiliki oleh semua ummat Islam selama ratusan tahun… hingga sekarang. (insyaAllah bersambung) Dari-Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

~*BIL:48/ Rejab1430 الحضارة
AL–HADHARAH
Kesan Politik Pilihanraya Kepada Perjuangan Ummah
Subhanallah! Maha suci Allah, Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu kepada Nyalah kita semua akan dikembalikan. Selawat serta salam sejahtera kepada Nabi Muhammad saw, kaum keluarga dan para sahabat yang diredhai semuanya.

Wahai saudara dan saudariku ummat Islam, jika anda semua diminta untuk memilih siapakah yang sepatutnya menjadi ketua, pemimpin atau `khalifah` bagi mengurus dan mentadbir kita semua ummat Islam. Agaknya siapa atau calon yang bagaimana yang akan anda pilihnya? Orang yang paling tua..orang yang paling kaya.. orang yang paling kuat.. orang yang paling tinggi.. orang yang paling segak.. atau orang yang paling lemah, mungkin juga orang yang paling kedekut.. atau paling pandai berpura-pura menjadi pilihan anda. Orang yang paling taqwa sudah tidak diletakkan dalam `ranking` pemilihan ummat lagi.

Sebagai ummat Islam kita selalu mendengar ustaz-ustaz atau orang yang lebih mengerti memaklumkan ciri-ciri dan sifat yang sepatutnya dipilih atau diangkat untuk menjadi pemimpin ummat, terutamanya apabila kita mendengar ceramah-ceramah PAS di musim piliharaya. Tetapi tahukah saudara dan saudari bahawa pemimpin atau orang atasan PAS pun tidak upaya nak memilih pemimpin seperti yang mereka ajarkan kepada orang bawahan mencarinya. Maksud saya siapa pun kita sebagai ummat Islam khususnya di Malaysia tidak ada atau belum pernah selama ratusan tahun yang lalu, adanya ruang pemilihan tersebut.
Kita semua samada orang PAS, UMNO atau tak berparti sekalipun terpaksa menerima sahaja `ketua` yang Inggeris tunjukkan dahulu dan warisannya turun temurun. Yang pasti sudah beratus-ratus tahun kita dipimpin oleh orang-orang yang `bengap` dan entah berapa ratus tahun lagi pula akan berlalu…keadaan yang terlalu malang ini….

Jika ummah dapat mengimbau kembali sejarah di sekitar tahun-tahun awal penubuhan PAS bagaimana mereka atau PAS ketika itu bersiasah atau menggarapkan uslub muwajahah silmiyyah itu sendiri dalam keadaan pemimpinnya begitu faham akan suasana yang melingkungi mereka waktu itu. Di sini saya kemukakan sedutan ucapan al-Marhum Prof Dr Zulkiffli Muhammad sebagai bahan renungan dan kajian; “Kita adalah ummat Islam, dengan sebab itu kita ingin melihat hukum-hukum Allah itu dapat dilaksanakan di bumi Allah ini. Kalau dulu (sebelum penjajahan) cita-cita Islam ini dapat dilaksanakan, maka tidak ada sebab mengapa kita ketinggalan. Maka dengan dorongan ini, dan dengan kepercayaan bahawa hanya dengan ajaran Islam, dengan dasar hidup Islam itu sahajalah kita boleh selamat, maka inilah sebabnya kita percaya kepada pergerakan kita, kepada persatuan kita sendiri.”

“Kita mahu merdeka sama seperti orang lain, kita mahu makmur sama seperti orang lain, kita mahu sama rata sama seperti orang lain. Akan tetapi semuanya, kemerdekaan kita, kemakmuran kita dan sama rata kita, semuanya itu kita mahu dilingkungi oleh hukum-hukum Islam, oleh kebijaksanaan yang dipesan oleh Allah swt dan oleh Nabi Muhammad saw.”

Seterusnya mengenai keterlibatan PAS dalam sistem demokrasi pilihanraya, katanya;
“Demokrasi, kata pakar-pakar politik adalah satu cara pemerintahan orang ramai. Sebaliknya ialah pemerintahan mereka yang rajin dan giat dari orang ramai. Ya, kalau orang Islam dan ummat Islam yang berjiwa Islam itu lebih ramai tetapi tidak giat, tidak rajin, maka pastilah faham Islam itu akan tenggelam. Kerana sebenarnya siapa yang rajin, yang bekerja dan yang bergiat, itulah yang akan mendapat tempat dalam masyarakatnya. Dalam perkara ini, susunan kegiatan(aktiviti mengembangkan Islam) itulah yang penting dan inilah pula yang penting kita perhatikan.”
“….ingatlah bahawa tidak ada kebenaran yang menang dengan tidak bekerja, dan tidak ada kejahatan yang kalah kalau dia bekerja. Merdeka dan Allahuakbar.”Buku SejarahKebangkitan&Masa Depan PAS oleh Ibnu Hasyim.

Muwajahah silmiyyah itu sendiri bukan bermakna memberi lesen untuk keluar meninggalkan tapak (hadharah) perjuangan. Mereka tetap melaksanakan tugas dan tanggungjawab memimpin dan membimbing ummah membangunkan Hadharah Islamiyyah walau dengan serba kekurangan, pelbagai tekanan dan rintangan. Inilah yang saya faham pemimpin dahulu maksudkan supaya ummat Islam ini mesti rajin dan giat menyusun kegiatan atau aktiviti yang dapat membangunkan kehidupan ummah bermasyarakat. Medan politik adalah sebagai `menambah` kegiatan, sekaligus usaha tambahan penerangan (dakwah) kepada ummat Islam dan manusia seluruhnya.`Base` atau tapak kita ialah memperbanyak dan memperkembangkan semua bidang aktiviti ummat Islam supaya hadharahnya sendiri dapat hidup dan berkembang, secara langsung akan mempengaruhi ummat yang lain dan menambah kekuatan ummah.

Ummah kena faham, aktiviti politik pilihanraya adalah aktiviti kita `masuk` ke dalam kawasan orang (sistem / hadharah jahiliyyah) untuk mengambil sejauhmana dan setakat mana yang dibenarkan oleh kehendak syara`. Tempat atau kawasan yang kita hidup ialah kawasan ummah yang mesti kita bangunkan, seterusnya dijaga dan dipertahankan walau dengan apa cabaran sekali pun. Inilah yang dicontohkan oleh generasi sebelum kita mempertahankan kampung-kampung dan desa-desa serta kawasan pondok sebagai benteng terakhir ummat menghadapi serangan penjajah dalam pelbagai bentuk. Segala aktiviti Islam, yang dipertanggungjawabkan kepada ummat, kita semai dan bangunkan di kawasan yang dikuasai oleh ummah ini secara berjamaah di bawah pengawasan kepimpinan ummah.

Apa yang saya lihat PAS hari ini sudah tidak menitik beratkan lagi roh perjuangan yang sedemikian. PAS telah mula meninggalkan tanggungjawab ini sedikit demi sedikit. PAS lebih senang menjadi parti politik 100% yang berjuang untuk mendapatkan kuasa pemerintahan dalam negara ini sama seperti UMNO. Perjuangan ummat dahulu berlainan, mereka tetap meneruskan perjuangan membangun dan berkhidmat kepada ummah dalam masa yang sama mengambil peluang menggunakan uslub demokrasi. Berbeza dengan realiti hari ini, masuk dan mengajak ummat menumpukan seluruh usaha untuk memenangi melalui saluran itu. Dari kepala yang paling atas hingga ahli yang paling bawah semua dikerah masuk menjalankan aktiviti politik seperti hari ini. Cara hidup individu, keluarga, masyarakat termasuk di kampung dan lebih-lebih lagi di bandar-bandar telah tidak diberi perhatian lagi, semuanya terserah kepada individu-individu ahli atau ummat, pandai-pandailah ummat mencorakkannya sendiri.

Di mana ummah nak menghantar anaknya ke sekolah, bagaimana ummah nak mencari alternatif ekonomi riba dan bagaimana ummah nak menyelamatkan anak-anak serta keluarga dari ancaman budaya liar serta maksiat sudah bukan tanggungjawab serta perhatian serius perjuangan PAS. Agenda utama yang nombor wahid tidak lagi perjuangan berasaskan aqidah tetapi bagaimana nak memenangi pilihanraya. PAS akan serius dan melayan bila ada issu-issu yang mendapat keuntungan politik mereka yang dekat dalam PR. Pemimpin PAS seperti dirasuk oleh mabuknya cinta sanggup menengking sesiapa sahaja…benar juga, kata-kata `cinta itu buta`. Wajarlah ummah menilai semula dan memperbaiki pendekatan muwajahah silmiyyah dan tahaluf as-siyasi tanpa mengabaikan taklif-taklif yang lain kerana `cinta` kepada Allah swt insyaAllah terhindarnya buta. Maksud firman Allah; “ Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan bahwa mereka yang menyembah sesuatu yang lain dari Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut `sesuatu keyakinan` mereka hanya menurut sangkaan-sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.” (Yunus 66)
Wassalam. Dari Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -

الحضارة~*BIL:49/ Rejab1430
AL-HADHARAH
PAS Tersungkur Dek Bahana Demokrasi
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allah swt jualah yang Maha Agung dan Maha Kuasa. Selawat dan salam perjuangan kepada Rasulullah saw Muhammad al-mustaffa. Salam perjuangan juga kepada kaum keluarga dan para sahabat Baginda semuanya.

Firman Allah swt bermaksud; “Sesungguhnya orang-orang yang memberikan pengakuan taat setia untuk berjuang menentang musuh kepadamu (Muhammad saw), mereka sebenarnya memberi pengakuan taat itu kepada Allah. Allah yang akan menilai tentang pengakuan taat mereka itu dan membalasnya. Oleh itu sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya, maka bahaya mengingkari janji itu hanya menimpa diri sendiri, dan sesiapa yang menyempurnakan janjinya kepada Allah, Allah akan memberikannya pahala yang besar” (al-Fath 10)

Para ulama` dan ummat Islam khususnya di (Malaysia)Tanah Melayu pada asalnya melihat demokrasi dahulu ketika mula diperkenalkan sebagai ajaran jahiliyyah bukan ajaran Islam, begitu juga dengan ajaran atau sistem-sistem yang lain dari Islam. Khalayak ummah dahulu secara umum boleh menerima pandangan begitu iaitu sistem demokrasi itu suatu keadaan yang asing, baru, belum jelas dan pelbagai kemungkinan. Ummat dapat menerima hakikat disebabkan era penjajahan yang berlaku terlalu lama yang merangkumi beberapa generasi ummat Islam, maka saki baki ilmu-ilmu Islam sendiri terputus-terputus sifatnya dan mudah dicampur adukkan. Sebab itu lebih mudah memberitahu kepada ummat Islam dahulu yang menyedari mereka telah lama diperguna dan ditipu oleh penjajahan berbanding dengan memberitahu ummat Islam mutakhir yang merasakan mereka telah lepas bebas tetapi tidak sedar mereka sedang diperkudakan.

Seharusnya ummah kena ingat sistem ini (demokrasi) bukanlah sistem Islam, ianya hanyalah ibarat sebatang pokok besar yang terdapat di tepi perenggan yang bersebelahan dengan hadharah kita. Pokok besar ini tetap hak milik Hadharah Jahiliyyah. Disebabkan strategi musuh dari dulu lagi memang sengaja menanam segala pokok besar sistem mereka betul-betul di tepi perenggan dengan hadharah kita supaya segala sumber baja, air dan bahan galian dari wilayah hadharah kita dapat mereka sedut percuma secara halus dari dalam tanah maupun udaranya. Di pihak kita pula tidak menyedari bahawa selama ini ummahlah yang memberi dan membesarkan segala sistem tepi perenggan (perbankan, pendidikan, perundangan, dll) memanglah boleh mengambil buah yang jatuh ke dalam wilayah kita dan mendapat manfaat keteduhan pohonnya yang rendang tetapi apalah sangat yang kita boleh harapkan lebih-lebih, ianya tetap milik jahiliyyah. (sebahagian petikan Buletin Bil 13)

Saudara dan saudari, ummat Islam telah diasak dengan pelbagai ajaran dan teori-teori luar (jahiliyyah) dari dahulu sampailah sekarang, tidak hairan jika pandangan umum khalayak ummah sendiri akhirnya mudah luntur dan berubah. Paling menyedihkan bila ada yang mengatakan atau berkeyakinan Islam boleh ditegakkan dan dibina dalam sistem atau melalui demokrasi. Ummah jangan keliru atau salah faham antara dua keadaan atau kerja (perbuatan) yang berbeza; 1) Kerja beriman, membina, membangunkan dan menghidupkan Islam sebagai praktik kehidupan dalam bentuk peribadi, keluarga, kejiranan, masyarakat dan seterusnya daulah yang lebih besar (Seperti amalan Nabi,Rasul bersama para pengikut atau sahabatnya). Kerja ini semua individu ummat kena buat (ikut kadar dan tahap masing-masing) bermula dari saat lafaz keimanannya (taklif / kesedarannya). Kerja ini dinamakan kerja membina hadharah.
2) Kerja menyampaikan seruan Islam kepada diri sendiri dan orang lain yang Islam dan belum Islam supaya mari bersama-sama menganut Islam lalu membangunkan kehidupan dengan Islam. (Penerangan/ Dakwah seperti tugas Nabi & Rasul dan semua pengikut mereka).

Ringkasnya yang satu tugas `developed` iaitu membangunkan dalam realiti kehidupan ummat dan satu lagi `deliver` atau `distribute` memberi, menyampai. Kerja ini akan berjalan serentak dan saling kuat menguatkan dan menjadi pemangkin kepada perjuangan Islam sekaligus perjuangan ummah. Mungkin lebih mudah membuat perbandingan begini, pihak pemaju akan berbincang dengan jurubina, jurutera, konsultan dan lain-lain untuk tujuan membangun dan menjayakan sesuatu projek yang besar kepada orang awam. Segala urusan membangunkan projek itu telah menjadi tanggungjawab pihak pemaju dan akan dilaksanakan dengan agihan tugas-tugas yang sepatutnya, manakala segala urusan penerangan dan penyebaran maklumat akan dibuat oleh jurucakap atau kakitangan berkaitan dengannya.

PAS disebabkan mereka mendakwa sebagai `gerakan Islam` boleh dianggap sebagai syarikat pemaju tadi kepada orang awam yang tentunya adalah ummat Islam. Mereka melalui jurucakap dan kakitangan berkaitan memproklamasikan kepada ummah bahawa mereka akan dan telah menjalankan satu projek besar iaitu `Negara Islam` di Malaysia sejak 1951. Tetapi yang malangnya sejak akhir-akhir ini semua kakitangan Pemaju (PAS) termasuk pekerja dan buruh sokongannya hanya tahu menjalankan kerja-kerja penerangan (ceramah politik) sahaja kepada ummah dan orang awam. Bila ummah ingin mendapatkan lapuran perkembangan semasa tentang status prestasi, perkembangan dan kedudukan projek terkini semuanya akan menutup kelemahan dan kesilapan sendiri tidak membangunkan projek itu tetapi dengan memberi alasan projek terpaksa ditangguh sementara kerana tidak mendapat kelulusan `kerajaan` (sistem demokrasi), maka sebab itulah projek terbengkalai selama lebih 50 tahun.

Alasan yang disogokkan kepada ummah tak kena langsung kerana `kerajaan` yang memberi lesen kepada pemaju (PAS) ialah `kerajaan ummah` yang selama ini mereka ambil dan sedut segala peruntukan dari perbendaharaan ummat Islam atas nama perjuangan Islam. Kalau mereka mengatakan kerana kerajaan demokrasi tidak membenarkannya samalah macam Kongres Amerika menunggu kebenaran dan kelulusan Politburo Rusia untuk melaksanakan sesuatu projek dalam wilayah Amerika sendiri. Pada fikiran saudara dan saudarilah bila agaknya akan berlaku jika kedua negara itu terus-terusan bermusuhan.

Masalah sebenarnya ialah kerana mereka semua tak buat kerja projek tersebut. Perbincangan peringkat atas untuk bincang `blueprint` projek itu pun tak dak dan memang tak tau nak buat macamana pun... Kadang-kadang betul juga macam Saudara Azizi Abdullah @ Tukya kata; Ulama` PAS hanya pandai bagi penerangan (ceramah) sahaja, tetapi nak menanggani dan menyelesaikan permasalahan macammana nak hidup dengan Islam dalam dunia sekarang mereka tak tau! Sebab tu mereka pakat-pakat bincang buat kerja mudah tu saja. Konsultan, jurutera, jurubina dan pakar-pakar yang ada bincang buat kerja senang tapi glamour, kerja penerangan sahaja (politik). Pekerja-pekerja buruh pun hanya dikerahkan tampal poster dan siap tempat untuk berceramah. Bila ada pilihanraya, apalagi `rayalah` seronoknya pasang bendera.

Jika kita kaji isi ceramah mereka pun bukan ceramah berkaitan macamana projek itu nak didirikan, ummah kena sediakan bahan yang macamana atau kita buat bahagian mana dulu dan lepas bahagian tertentu selesai kita akan sambung bahagian mana pula. Isi ceramah mereka hanya menceritakan hal-hal durjana dan korup kerajaan demokrasi juga, baik yang tak pandai pakai kepiah atau yang berjubah serban meleret.. semuanya balik-balik `point of view`nya sama saja mesti tukar kerajaan yang ada kepada mereka pula.

Paling-paling lekehlah, jika mereka menjuruskan setiap pekerja dan ummah hanya `mengikatkan` seketul bata insyaAllah dalam masa puluhan tahun itu mereka mampu menjawab dengan baik akan status projek terkini ummah tersebut. Inilah bahana beriman dengan demokrasi hingga lupa tugas dan tanggungjawab sendiri Wassalam. Dari Ibnu Ramadhan ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


الحضارة~*BIL:50/Rejab 1430
AL-HADHARAH
PAS Meninggalkan Perjuangan Membina Hadharah
Maksud firman Allah swt; “ Kemudian apabila Thalut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia; `Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang meminum dengan satu cedukan tangannya` Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: `Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya.` Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: `Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar`.” Al-Baqarah 249.

Selawat dan salam kepada Junjungan kita Nabi Muhammad saw sebagai Nabi yang akhir dan selawat dan salam juga kepada kaum keluarga serta para sahabat Baginda yang dikasihi sekeliannya. Salam perjuangan kita berikan kepada para guru dan alim ulama` sebelum ini yang menggerak dan meneruskan perjuangan suci sehingga dapat juga sedikit kita menikmatinya ke hari ini.

Nabi saw pernah mengingatkan ummat Islam, bahawa ummat yang leka akan sedikit demi sedikit mula terpengaruh atau terikut dengan teori dan konsep-konsep jahiliyyah sejengkal demi sejengkal, hatta apabila jahiliyyah itu masuk ke dalam lubang biawak pun akan ada ummat yang lalai meloloskan diri masuk bersamanya.

Sekitar lewat tahun 60an, awal 70an dan berlanjutan hingga 80an ummat Islam telah dilanda oleh arus kebangkitan Islam yang menyaksikan banyak perubahan-perubahan positif berlaku di kalangan ummat. Perubahan-perubahan ini secara umumnya memperlihatkan generasi muda seolah-olah mendapat semangat dan suntikan baru dari luar kelompok ummah tempatan sendiri. Suntikan dan semangat ini dipercayai dari tempiasan perkembangan gerakan-gerakan ummat Islam di luar negeri terutamanya Ikhwan Muslimin, Jamiat Islami, Masyumi, Revolusi Iran dan Mujahidin Afghanistan.

Pada ketika inilah generasi muda yang terpelajar mendominasi perubahan-perubahan cara berpakaian dan bergaul malah cara berpesatuan dengan cara yang lebih baik dari sebelumnya. Walaupun di peringkat awal berlakunya perubahan mereka sering menerima cacian serta sindiran seperti `hantu kum-kum`, `hantu setokin`, golongan tolak dunia, puak kepiah, serban dan jubah, golongan agresif dan berbagai-bagai lagi. Akhirnya perubahan-perubahan tersebut dapat juga ummah secara perlahan-lahan menerimanya dengan sedikit-sebanyak `adjustment` di sana-sini. Syabas! dan sekalung tahniah kita berikan kepada mereka yang mempelopori usaha-usaha yang baik dan murni tersebut.

Begitu juga dalam ummat Islam berpesatuan, Parti PAS sebelum ini banyak menghabiskan kerja dan usaha dalam bidang politik lalu terlepas pandang tanggungjawab membina Hadharah Islamiyyah, menghadapi `serangan`atau saingan golongan muda yang membawa aspirasi perjuangan Islam berlainan dengan sedia ada. Kewujudan ABIM, al-Arqam, IRC atau JIM malah Jemaah Tabligh sekalipun telah menjadikan usaha-usaha menghidupkan semangat baru membina `suasana` atau hadharah tersebut mula mendapat perhatian ummat. Aktiviti-aktiviti seperti usrah, tamrin, rehlah, makan dalam talam, menubuhkan pusat pendidikan, mendirikan markaz tarbiyyah dan meneroka bidang perniagaan ummat Islam tumbuh di mana-mana seperti cendawan selepas hujan. Satu `permasalahan` bagi PAS sebenarnya apabila usaha-usaha ini lebih banyak datangnya dari luar PAS itu sendiri bukan dari idea dalaman PAS.

Pada ketika itu PAS lebih banyak mengambil sikap `keras` dengan jemaah-jemaah ummat Islam yang tidak bersama PAS dalam pertarungan politiknya dengan UMNO/BN. Hatta golongan tabligh yang tidak mahu masuk campur politik pilihanraya pun diserang dengan meriam sebagai menjadi alat yang menguntungkan pemerintah. Pemimpin PAS yang terkedepan bagi menanggani permasalahan ini antaranya Ustaz Harun Taib, Hj Hadi dan pengikut mereka Ustaz Idris Ahmad. PAS dalam era ini bekerja keras menghadapi dua medan serentak iaitu menghadapi musuh UMNO/BN di luar dan menghadapi `saingan` ABIM, al-Arqam, IRC atau JIM dan Jemaah Tabligh dari dalam kalangan ummah sendiri.

Ummah kebanyakan dan pelajar-pelajar IPT menjadi medan perebutan pengaruh serta sokongan setiap pihak. Berbekalkan pengalaman dan hujah-hujah yang agak memihak kepada orang lama, PAS seperti mendahului semua pesaing-pesaingnya jauh di belakang. Satu kebaikan yang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak sekalipun, semasa era `persaingan` inilah ummah secara umumnya mendapat `rahmat` wujudnya perlumbaan membina dan membangunkan Hadharah Islamiyyah terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi. Persaingan ini berlanjutan sehingga terdapat perkampungan atau pusat pendidikan yang diusahakan oleh kumpulan-kumpulan tertentu ummah. Alhamdulillah! PAS sendiri pada eranya di tahun 80an telah berubah wajah terpengaruh dengan arus perdana ummah, kepimpinan ulama` dengan majlis syura diperkenalkan.

Momentum ini diteruskan oleh tokoh terbilang pimpinan PAS waktu itu Almarhum Dato` Fadhil Mohd Noor dengan ketokohan peribadi beliau dan ilmu mantiknya yang tinggi, PAS berjaya menjinakkan saingan dalaman gerakan ummat Islam dan merapatkan pertarungan parti-parti politik dengan berjaya menubuhkan APU dan selepas itu GERAK. PAS pada era Almarhum telah membuktikan ummah mampu digerakkan dan digembeling bagi kepentingan ummat Islam serta rakyat keseluruhan. Kes Memali jika tidak ada Almarhum masakan mahu Sultan Kedah menziarahi pusara syuhada`nya. Kes Muasasah Darul Ulum yang pernah dirampas oleh Kerajaan Kedah waktu itu beliau tangganinya dengan semangat kepentingan ummah dan kepentingan hadharahnya. Kes Anwar Ibrahim dipecat tidak akan berjaya menyatukan ummat dan rakyat jika bukan beliau yang mengemudikan GERAK. Saya tidak nampak Syed Husin Ali, Lim Kit Siang atau Wan Azizah sendiri boleh mencetuskan GERAK. Begitu juga saya tidak nampak pemimpin-pemimpin ABIM, JIM, Rufaqa` atau pertubuhan NGO lain mampu melakukannya. Almarhum membuktikan kepada ummat Islam dan bukan Islam sekaligus, pemimpin ummah mampu melakukan dengan begitu baik tanpa sikap perjudis.

Pemergian Almarhum pada pertengahan 2002 satu kehilangan kepada PAS dan yang lebih terasanya ialah kepada perjuangan UMMAH sendiri, begitu juga kepada rakyat umum. Sebabnya selepas era beliau `menerajui kepimpinan ummah` dan secara kebetulan juga memimpin PAS belum ada lagi pemimpin PAS atau pemimpin gerakan-gerakan ummat Islam yang lain mampu meneruskan kepimpinan ummah yang beliau tinggalkan… Lebih memeranjatkan lagi segala denai dan lorong yang Almarhum terokai telah disalahguna dan dicabut akan roh perjuangan ummahnya oleh mereka yang ditinggalkan. Jika APU diikat dengan Islam sebagai Addin biarpun Tengku Razaliegh boleh menjadi PM, GERAK dengan pengerusinya sendiri dari PAS, Barisan Alternatif yang wujud hanya nama kepada Pakatan Rakyat yang mengizinkan Anwar Ibrahim sebagai ketua dari parti yang membina hadharah `pelbagai agama` bukan Anwar Ibrahim dahulu yang memimpin ABIM. Di mana Islam, di mana Ummah dalam PR ? Hanya bersandar kepada batang tubuh Anwar yang ummah boleh lihat sendiri `wajahnya` sekarang… Begitu hebatnya kepimpinan ummah sekarang… atau ummah mesti meneruskan perjuangannya sendiri dan membiarkan luncai-luncai politik terjun bersama labu-labunya. Allahuakbar ! Allahuakbar ! Allahuakbar ! Tentera Jalut akan kita hadapinya insyaAllah…Dari Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan