~* الحضارة
“Cerdik ambil dekat aku bodoh bagi dekat hang”
Firman Allah swt: “Dan (aku telah diperintah): "Hadapkanlah mukamu kepada agama dengan tulus dan ikhlas dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang musyrik. Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zalim". Yunus : 105, 106.
Segala puji dan puja hanya layak untuk Allah Pentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas Rasul yang mulia, kaum keluarga dan para sahabat baginda yang diredhai.
Adakah politik telah mengambil tempat aqidah dan syariah ? Satu persoalan, samada ia satu kebenaran atau hanya sangkaan perlu dinilai oleh semua pihak yang ada kesedaran terhadap perjuangan menegakkan Islam yang sebenar. Bagi saya dakwaan di atas lebih hampir kepada kebenaran, kerana banyak peranan dalam pembentukan masyarakat ummah dan generasinya sekarang telah ditentukan serta dipengaruhi oleh corak berpolitik. Manakala kaedah atau cara politik hari ini banyak menjerumus ke arah penyelewengan dan kesesatan. Sedangkan masyarakat yang sejahtera yang dicitakan oleh ummat Islam adalah masyarakat yang dipandu oleh aqidah, diperintah dengan syariah dan dijaga oleh akhlak Islam bukan oleh politik berkepentingan seperti yang wujud di sekeling ummat hari ini. Justeru itu, walaupun dalam keadaan cukup sibuk dengan urusan rumah tangga dan pendidikan anak-anak, saya gagahi… juga untuk mengemukakan dan melontarkan permasalahan ini agar dapat dikongsi bersama bagi survival ummat Muhammad saw.
Politik secara umumnya suatu cara atau aktiviti percaturan untuk mendapatkan kuasa, aktiviti orang bijak dan cerdik atau mungkin juga suatu aktiviti membodohkan orang cerdik dan orang dungu sekaligus (jahil tentang kehidupan sebenar) supaya kuasa dapat dekat aku dan mudah untuk dikekalkan. “Cerdik ambil dekat aku, bodoh bagi dekat hang” - Mungkin inilah yang dapat saya fahami daripada tulisan Dr Yusuf Al Qardhawi dalam bukunya As Sahwatul Islamiyyah baina al Juhud wat Tatarruf ; politik itu bagaikan permainan catur, tidak berlaku satu perubahan kuasa melainkan adalah ‘permainan’ dari kekuatan-kekuatan rahsia di atas pentas politik, di mana si pengecut menjadi pahlawan, pandai menyerang dan memukul, bermain taktik dan strategi, padahal ia tidak pernah tahu sedikitpun tentang taktik dan strategi, semuanya hanyalah tipuan dan tayangan. Tambah beliau lagi, mungkin kata-kata ini agak keterlaluan , tetapi banyak tanda-tanda yang menunjukkan bahawa ia mempunyai kebenaran.
Ya! Bagaimana politik suatu aktiviti gerak laku atau wasilah boleh mengambil tempat aqidah dan syariah yang merupakan suatu kepercayaan agama dan peraturan yang lengkap dari Allah swt Penguasa kerajaan langit dan bumi? Sesuatu yang agak pelik tetapi bukanlah suatu yang mustahil bagi orang yang kecanduan politik. Sebelum pergi lebih lanjut lagi, kita perlu melihat adakah politik yang dimaksudkan itu politik Islam atau sebaliknya, ia bergantung kepada tempat sandaran politik tersebut, sekiranya ia disandar kepada sistem sekular tentulah ia politik sekular dan ia bukan terbitan daripada sistem Islam yang dikenali sebagai siasah as syariyyah. Jamaah yang berusaha menegakkan aqidah dan syariah Islam dibolehkan menggunakan saluran politik demokrasi sekular ini sepertimana yang telah di ijtihad oleh ulama’ terdahulu dengan menggunakan kaedah feqh; sesuatu itu tidak sempurna kewajipannya kecuali dengan ia, maka ia juga menjadi wajib . Atas alasan dan matlamat untuk menyampaikan mesej dakwah dan menyampaikan ajaran Islam. Maka memasuki politik pilihan raya dan yang berkaitan dengannya adalah dalam keadaan kita menyampaikan seruan Islam yakni ajaran Islam serta istiqamah menegak aqidah serta syariahnya semampu yang boleh. Walaupun Islam sebagai agama yang syumul sememangnya mempunyai wasilah, cara, kaedah yang tersendiri untuk menegakkan ajaran Islam bagi mencapai matlamatnya dalam membina masyarakat dan hadharahnya. Namun untuk menghadapi tuntutan semasa, Islam begitu fleksibel membolehkan penggunaan wasilah musuhnya (jahiliyyah) walaupun wasilah politik itu hanya sebesar lubang jarum sahaja…
Tetapi jangan sampai, ketika mengambil manfaat kaedah ini (saluran politik) kita lupa atau mengabaikan kaedah serta wasilah-wasilah sebenar ajaran Islam. Nabi saw pergi ke Taif untuk menyampaikan seruan Islam semampu yang boleh… apabila dihalang dan dikasari beliau kembali ke Mekah. Baginda menghantar utusan atau mubalig ke Habsyah dan Madinah bagi menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk-penduduk di sana , disamping terus berdakwah di Mekah. Baginda terus mengambil manfaat suasana tempatan yang ada dan selagi boleh. Jelas baginda tidak pun berebut kekuasaan politik setempat samada di Taif, Habsyah dan Madinah. Hatta di Mekah sekalipun baginda tidak pernah berminat berebut kerusi Darun Nadwah yang dimonopoli oleh suku Quraisy (suku baginda sendiri) dan menjadi kebanggaan Abu Lahab, Abu Jahal juga Abu Suffian walaupun ditawarkan. Saya ulangi baginda saw mengambil manfaat suasana tempatan selagi boleh, baginda tidak berminat berebut kekuasaan tempatan yang ada. Baginda hanya menerima kekuasaan ajakan kaum Aus dan Khazraj dari Madinah kerana kekuasaan tersebut adalah kekuasaan yang terbina oleh usaha baginda serta ummat Islam sendiri selama ini.
Jelas bahawa baginda saw memanfaatkan suasana tempatan ini (yang masih jahiliyyah) adalah bersyarat dan bermatlamat menyampaikan mesej Islam. Apabila ternafi syarat dan matlamat untuk membolehkan menggunakan kaedah tersebut seperti di Taif maka ternafilah penggunaan kaedah itu di situ pada waktu itu. Suatu persoalan ! Adakah penglibatan harakah ummat Islam sekarang dalam politik pilihanraya setempat untuk menyampaikan mesej Islam, mengajak orang yang bukan Islam atau belum Islam menerima seruan Islam ?? Mengajak orang yang dah mengaku Islam beramal dengan ajaran Islam ?? Atau seperti yang berlaku.. mereka sama-sama berebutkan kerusi empuk kuasa politik setempat itu untuk membuatkan dan menjanjikan yang lebih baik sikit sahaja dari cara seteru mereka berpolitik dan berkuasa. Ajaran Islam dan seruan Islam hanya menjadi pemanis mulut untuk menambah selera mereka berebut kuasa politik setempat.
Bagaimana kita melihat unsur-unsur penyalahgunaan harakah Islam untuk kepentingan mendapatkan kuasa politik sekular tempatan bukan suatu yang rahsia lagi. Penukaran neraca aqidah dan syariah kepada neraca politik dalam menentukan prinsip yang perlu dijunjung dan nawaitu dalam tindakan adalah suatu bahaya besar kepada perjuangan Islam. Banyak perkara yang berlaku berasas nilaian politik… jika musuh yang melakukan sogokan wang itu namanya rasuah, jika sekutu kita yang memberikan imbuhan wang itu namanya `derma`. Jika musuh yang mengagihkan kekayaan kepada anak beranak itu namanya kronisma, tetapi jika sekutu yang melakukan unsur yang sama itu namanya kerjasama… Jika pemimpin seteru yang melakukan penyelewengan.. ini penyalahgunaan kuasa, jika pihak sendiri yang melakukan penyelewengan contohnya mengeram telur burung unta yang rugi juta-juta… “ini sikit saja berbanding dengan seteru katanya”.
Politik sekular tidak pernah mengenal erti persaudaraan Islam, siapa cepat dia dapat, siapa yang sebulu boleh masuk satu kelambu. Politik mengajar hanya satu titik persamaan sahaja yang perlu dijaga dan diutamakan iaitu titik kebersamaan politik. Sedangkan titik persamaan Islam begitu banyak sekali dipejamkan mata dan pekakkan telinga bagi menikmati pekatnya candu politik yang meleket pada hati. Seperti sia-sia iqrar tunas-tunas Islam yang disemai, Relalah kami bertuhankan Allah, beragamakan Islam, berNabi dan berRasulkan Muhammad saw, berimamkan al Quran, berqiblatkan Kaabah dan mukmin itu bersaudara. Politik melampau telah melupakan tentang erti kesabaran dan sunnatullah yang disebut oleh
Dr Yusuf Qardhawi : Di antara sunnah-sunnah Allah yang penting yang dialpakan oleh orang yang terlalu bersemangat dan ingin cepat, ialah dua sunnah Allah yang penting iaitu; sunnah beransur-ansur dan sunnah waktu yang telah ditentukan. Oleh kerana yang demikian Nabi saw berpesan kepada sahabat-sahabatnya supaya bersabar dan mendidik mereka atasnya dan jangan meminta disegerakan kemenangan sebelum tiba masanya.
Sekian, salam perjuangan untuk semua. Dari Ummu el-Husna.``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal, 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan