Halaman

Ahad, 15 Ogos 2010

Dracula Greek @ 'Tuhan' Demokrasi Berpelembagaan -Bil 71/ Syawal 1430




Aku berlindung dengan Allah Tuhan yang maha Mendengar dan maha Mengetahui dari gangguan dan godaan serta hasutan syaitan yang direjam lagi terkutuk. Selawat dan salam penuh penghormatan kepada Nabi saw, Muhammad ibni Abdillah. Salam penghormatan jua kepada kaum keluarga dan semua para sahabat Baginda saw.

Sekali lagi kita berbicara untuk keluaran ini dengan topik yang masih berkisar tentang sistem demokrasi yang masih berleluasa dan menyelubungi sebahagian besar pemikiran ummah dewasa ini. Mungkin hadaf sebenar ummat Islam kini ialah kebejatan dan kedurjanaa berhala tuhan demokrasi yang menyebabkan sebahagian kita masih lagi tidak mampu untuk lekang darinya.

Saya insyaAllah akan cuba untuk menuruti sebaik mungkin semangat perbincangan yang tampil ini demi mencari atau mendekati kebenaran Islam yang sebenar seperti yang semua impikan. Merujuk kepada tulisan saya Buletin bil 69 yang lalu mengatakan Sistem Demokrasi samada di Malaysia atau di mana-mana sahaja tetap bukan dari ajaran Islam, tetapi sistem kufur (jahiliyyah) lalu disanggah oleh seorang pensyarah dari Bangi katanya; Di sini saya berselisih dengan saudara. Saya tidak menganggap demokrasi yang diamalkan di Malaysia sebagai satu yang bercanggah dengan Islam dan disifatkan sebagai kufur. Adalah tidak cukup dengan hanya sesuatu yang datang dari orang bukan Islam terus dianggap salah atau kufur. Ini kerana persoalan pemerintahan adalah bukan dari perkara yang melibatkan hubungan dengan Allah secara terus atau diistilahkan oleh ulamak sebagai perkara ibadat. Contohnya orang Islam membentuk pasukan bolasepak sama dengan sistem yang diasaskan oleh orang bukan Islam, bahkan sukan itu sendiri bukan dari orang Islam. Mungkin contoh itu tidak menggembirakan saudara kerana pemerintahan berbeza dengan sukan. Oleh itu contoh kedua ialah orang-orang Islam menaiki kenderaan moden yang dibina di barat bukan Islam. Mekanisma memerintah negara tidak diterangkan dengan terperinci oleh Rasulullah kerana ianya termasuk dalam perkara yang boleh berubah dan mengikut peredaran zaman.

Untuk menjelaskan lagi topik ini, `Democracy` berasal dari perkataan Greek `dUmokratia` (dUmos = the people + kratia = power) ringkasnya `peoples power` atau kuasa rakyat. Kita boleh rujuk dalam mana-mana kamus pun bila sebut demokrasi ia adalah sebuah `system` manakala sistem (system) pula bermaksud; `a complex whole, a set of things working together as a mechanism or interconnecting network` Concise Oxford Dictionary- Ten Edition. Dapat difahami oleh saya begini,1) Keseluruhan terhadap sesuatu itu termasuk zat serta sifat-sifatnya kulliyyat serta juziyyat. 2) Suatu kumpulan yang bekerjasama sebagai sebuah mekanisma atau sesuatu yang mempunyai rangkaian dalaman (luaran) bagi menjalankan sesuatu kerjasama tersebut.

Jadi bila sebut pula sistem demokrasi dapatlah difahamkan sebagai suatu cara atau sistem kerjasama rakyat sesuatu negeri atau tempat dalam memilih dan menentukan pemerintah melalui mandat mereka . Mandat yang mengiktiraf majoriti mengatasi minoriti walaupun hanya kelebihan satu suara (undi). Pergilah ke mana-mana bahagian dunia pun inilah asas bila disebut sistem demokrasi. Yang berlaku `penambah-burukan` terhadapnya oleh setiap pengamalnya hanyalah mengikut keperluan dan kepentingan tempatan dan semasa mereka sahaja. Ini membuktikan sistem itu bukan dari Islam kerana ianya lemah tak sempurna sentiasa berubah-ubah mengikut masing-masing tempat.
Maaf saudara dari Bangi, saya dapati saudara masih keliru untuk melihat demokrasi sebagai satu sistem dan lebih menyedihkan saya lagi apabila saudara tidak dapat melihat dan menerima `kesyumulan al-Islam` yang merangkumi segala sistem-sistem yang ada di dalamnya termasuk satu juzuk pentingnya ialah sistem pemerintahan wilayah. Dari komentar saudara dapat difahami saudara hanya menerima Islam yang tidak merangkumi hal-hal pemerintahan negara, seperti kata-kata saudara bukan melibatkan hubungan dengan Allah. Seterusnya saudara melibatkan ulama` pula apabila mengatakan bukan perkara ibadat.

Saudara, sistem demokrasi disandarkan kepada rakyat (makhluk) maksud saya berasal atau cetusan fikiran manusia manakala al-Islam (termasuk sistem pemerintahan) disandarkan atau bersumberkan wahyu Allah swt. Semua ulama` sepakat setelah kewafatan Nabi Muhammad saw terputus wahyu sebagai sumber tertinggi. Bagi mengisi kekosongan tersebut para ulama` sepakat lagi dari dulu sampai sekarang bahawa al-Quran, al-Hadith, Ijma` ulama` dan Qias yang sahih sebagai rujukan tertinggi ummat bagi mengembang, mengatur segala ajaran serta sistem-sistem terbitan darinya untuk ummah menjalani kehidupan berhadharah.

Saya tidak menafikan terdapat beberapa ciri-ciri dari sistem demokrasi yang mempunyai `persamaan` dengan sifat-sifat ajaran atau sistem Islam seperti syura (mesyuarat). Saudara jangan keliru dengan hanya terdapat beberapa persamaan sifat  saudara mengatakan demokrasi selaras dengan Islam, sedangkan hakikat mereka berbeza dari segi zat entitinya, berlainan. Tebu dan tapai keduanya manis kerana sifat rasa mereka memang sama-sama manis. Saudara makan tapai  rasa manis dan saya pula makan tebu pun rasa manis juga. Saudara cerita bab manis tapai saya pula sebut hal manis tebu tentulah berbeza bukan? Ya! sifat rasa manis sama, tapi hakikatnya tidak serupa, berbeza. Syura dalam Islam mengiktiraf kebenaran yang berpandukan nas al-Quran dan Sunah walaupun hanya dari suara seorang ummat (minoriti), sedangkan kebenaran yang dipakai sistem demokrasi ialah suara majoriti biarpun bercanggah dengan al-Quran serta sunnah.

Seterusnya saudara membawa contoh yang tidak mengembirakan saya iaitu orang Islam membentuk pasukan bolasepak dan orang Islam menaiki kenderaan moden ciptaan barat. Ya! betul memang tidak mengembirakan saya dan saya yakin ramai lagi di luar sana yang turut kecewa dengan hujah dan contoh saudara tersebut kerana orang dok berbincang soal kulliyyat sistem saudara pula bawa mai soal benda, alat atau perkara juziyyat yang ada dalam sistem tersebut. Saya tidak menyalahkan saudara atau mereka yang sewaktu dengan saudara berfikiran atau terkeliru melihat kedua-duanya. Ini terjadi mungkinlah pada pengamatan saya kerana `landasan pemikiran` yang menjadi tapak asas saudara dan mereka yang seperti saudara berfikir ialah `pemikiran moden` hari ini yang lahir dari krisis pemikiran mereka mencari makna hidup, tujuan dan akibatnya. Mereka pula.., maksud saya pemikiran moden ini tidak mengenal siapa Pencipta lalu meraba-raba bersandar kepada `nature` alam semulajadi (termasuk kebiasaan manusia). Saya mencadangkan untuk saudara dan rakan-rakan lain membaca sebuah buku kecil karangan Taha Jabir al-`Alwani  `Krisis Pemikiran Moden` yang dibukukan oleh The International Institute Of  Islamic Thought cetakan Thinker’s Library 1995. Bagi saya pengarang begitu arif membezakan tahap-tahap interaksi pertembungan yang menghasilkan krisis pemikiran dalam khalayak moden hari ini terutamanya generasi ummat Islam. Beliau membahagikan kepada 3 tahap. Pertama tahap kejutan akibat kekalahan, kedua tahap meniru dan menciplak tanpa kemahiran menyaring, seterusnya ketiga menyedari akan kepalsuan, kelemahan diri serta musuh lalu berusaha untuk membangun semula Hadharah Islamiyyah.

Akhirnya saya nak nyatakan bahawa saya tidak pun bersepakat dengan saudara bahawa Malaysia tidak melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya seperti kata saudara; “Kita sepakat bahawa negara Malaysia tidak mengamalkan perlaksanaan undang-undang Islam sepenuhnya.Dapat saya fahami saudara menyatakan Malaysia mengamalkan undang-undang Islam yang tidak penuh (sebahagian).
Tanpa saudara menyedari saya tidak pun pernah mengiktiraf perlaksanaan `sebahagian`, menolak sebahagian. Firman Allah bermaksud;`Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah, yang mensyariatkan untuk mereka di dalam perkara al-Deen yang tidak diizinkan oleh Allah.` as-Syura 21
InsyaAllah bersambung..Sekian.Dari Ibnu Ramadhan.``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal, 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan