Halaman

Rabu, 18 Ogos 2010

Aksi Politik Terlampau... Tumor Otak Kepada Ummah - Bil 92/Safar 1431



~* الحضارة



Firman Allah bermaksud; `Janganlah kamu melampau di dalam agama kamu` an-Nisa` 171. Hadith Nabi saw bermaksud; `Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana melampau-lampau dalam agama` Dari Imam Ahmad riwayat Ibnu Abbas. Selawat dan salam kepada Rasul junjungan ummah, Muhammad saw, kaum keluarga serta para sahabat baginda semuanya. Seterusnya kepada muslimin dan muslimat semoga diberi taufiqNya agar kita semua terpelihara, terhindar dari melakukan dosa.



Bertemu kembali bagi menyambung perbincangan lalu yang saya katakan bahawa perjuangan ummah semakin susut telah mengalami defisit yang ketara kerana para pejuang-pejuang Islam meninggalkan pembinaan Hadharah Islamiyyah dalam kehidupan realiti masing-masing. Saya cuba melihatnya kenapa hal tersebut boleh terjadi sedangkan sebelumnya seperti berada di landasan yang betul.. positif, iaitu suasana yang saya sempat merasai waktu muda dulu sekitar 80an dan awal 90an. Malangnya suasana itu sedikit demi sedikit hilang bersama perkembangan arus deras mengejar `kemajuan`(tafsiran sekarang) dan keghairahan merebut kekuasaan politik (bukan lagi siasah syarieyyah). Generasi dahulu mahu kemajuan dan kekuasaan tetapi kemajuan dan kekuasaan yang bersih, bebas (Hadharah Islamiyyah) tidak menumpang hadharah jahiliyyah, sebab itu saya sebut dulu `meruntuhkan jahiliyyah dan membina Islam di atas keruntuhan jahiliyyah`.

Manakala orang hari ini pula “nak berjuang `Islam` juga” katanya, tetapi tak mahu atau sayang untuk meruntuhkan jahiliyyah yang melingkari kehidupannya. Mereka rela duduk bertenggek atau tumpang sama-sama dengan keseronokkan hadharah jahiliyyah. Menikmati aroma serta warna-warni sanjungan dunia jahiliyyah terutamanya sekular seperti sekarang. Oleh kerana itu saudara-saudari tidak akan terkejut timbulnya idea-idea merapu seperti hendak mengartiskan ulama` dan mengulama`kan artis. `Pointnya` mereka ini nampak artis itu penting kerana popular dan ramai peminat. ….Oleh itu golongan otak merapu ini pikiaq, nak bagi ulama` jadi penting kepada orang ramai kita kena `create` supaya ulama` pun jadi popular macam artis. Sebab itu suburnya kerja-kerja memberi sanjungan lebih-lebih, poster besar-besar, menghidupkan budaya fanatik dan taasub. `Banner` program pun mesti latarbelakang gambar tokoh yang mereka nak popularkan. Malah sampai ada yang buat patung lilin sebiji macam batang tubuh `mullah` mereka dan letak di tempat tumpuan orang ramai supaya kenal akan rupa parasnya dengan cam. Takut nanti jumpa tepi jalan tak kenal pula… Inilah antara contoh penghidap psikik atau tumor otak yang menular ke dalam masyarakat ummah.

Sedangkan para alim-ulama` dahulu mendapat penghormatan dan ikutan orang ramai sampai sekarang kerana ilmu mereka, bukan populariti yang diciptakan atau orang ramai mengenali wajah mereka, tetapi orang ramai mengenali perjuangan dan mengutip ilmu-ilmu mereka, keberanian mereka. Orang ramai dapat melihat dan menerima kebenaran yang mereka perjuangkan. Sebab itu Khalifah Umar menggigil ketakutan apabila seorang ibu yang anak-anaknya kelaparan terpaksa merebus batu… Dengan berani dia mendakwa dihadapan tetamunya bahawa ini semua olah dan gara-gara Umar yang tidak prihatin terhadap rakyatnya sendiri tanpa menyedari tetamu itu adalah Khalifah dan pembantunya. Banyak lagi contoh kepimpinan dan ulama` silam yang tidak dikenali di mata ummah tetapi terpahat kukuh di hati dan sanubari ummat terutamanya yang tertindas dan miskin. Seorang muslimah yang tidak pun pernah melihat dan berjumpa dengan pemimpinnya tetapi apabila dipermainkan oleh musuh Islam sehingga tersingkap auratnya, muslimah itu menyeru; “Wa..!! Muktasim ! Tolonglah aku dari penghinaan yang mereka lakukan kepada ku……” Ringkas kisahnya Khalifah Muktasim ketika itu, yang tidak pun pernah mengenali muslimah malang tersebut tetap dapat menunaikan tuntutan dan tanggungjawabnya mengepalai pasukan tentera membela maruah seorang muslimah. Namun berapa banyak terjadi sekarang jeritan, pekekkan dan laungan serta tangisan dari ummat marhaen, mustad`afin, fuqara wal masakiin akibat hak dan maruah mereka diperkosa, dirampas, dinafikan malah dibunuh sama sekali oleh musuh-musuh Islam. Pemimpim-pemimpin yang memakai topeng ummah masih senang berpelukan dan menjalin hubungan mesra bersama musuh dengan mengikut agenda kafirin. Mereka pandai bersandewara dipentas-pentas politik, berdemontrasi di jalanan dan mengaburi pandangan ummah tetapi mereka takut apabila bersemuka dengan kebenaran di mana sahaja.

Kerana itu tulisan saya kali ini sebenarnya saya tujukan kepada saudara-saudari yang insyaAllah masih sihat tidak mengalami ketumbuhan @ tumor otak di kepala masing-masing, kerana jika dah menjadi pengidap tumor otak, kita habaq apa pun kepada mereka, tak berguna.. jadi `immune` dan mereka tak boleh nampak kecuali ketumbuhan itu sendiri yang menampakkan kepada mereka imaginasinya. Mereka dah rasa selesa dan serasi dengan berbudaya hidup hadharah jahiliyyah. Mereka hanya senang dengan perubahan yang `facial` sahaja, tak perlu teruk-teruk sangat cuma beli alat-alat atau buat program-program kosmetik bagi jenuh. Peralatan dan bahan-bahan memang banyak di pasaran, malah hasil produk nanti senang pula mendapat sambutan khalayak kebanyakan.

Politik! Seperti yang selalu disebut bukanlah sesuatu yang keramat yang segala-gala perlu dilihat melalui kepentingannya. Tetapi bagi mereka yang selalu beraksi dengan politik terr..lampau sehingga sanggup bermuka-muka bertindak hipokrit, berani mengatakan pendirian mereka yang bertentangan dalam sesuatu issu misalnya kalimah Allah, hanyalah seperti `two sides of the one coin`. Bagi saya inilah wajah-wajah atau suara-suara munafiq zaman mutakhir, menjual agama untuk mendapat sedikit keuntungan politik. Mereka sebenarnya takut untuk menegakkan kebenaran kerana kata mereka bagaimana jika seluruh gereja sedunia menggunakan kalimah Allah takkan kita masih nak menentang dan menghalang mereka. Kepada golongan seperti ini saya nak bagi tau tak payah menulis dan berselindung memperjuangkan politik Islamlah, kerana seluruh dunia dan ramai penduduknya sekarang tak mau kepada Islam… majoriti lebih 2/3 ooii! Firman Allah bermaksud; `Dan bila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan: "Kami telah beriman". Dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka , mereka mengatakan: "Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok.` al-Baqarah 14.

Masyarakat dulu walaupun tidak canggih dan terdiri daripada beberapa kelompok ummat yang berjuang (PAS, ABIM, JIM, Arqam, Tablig dll) menghadapi dominasi UMNO, hasilnya masih  mengujudkan suasana kehidupan yang positif kepada ummat keseluruhan. Saya sempat merasai dan melihat bagaimana generasi dahulu puas dengan keizzahan yang ada pada mereka walaupun masyarakat sekular sekeliling, melihat mereka lekeh serba kekurangan. Generasi dahulu tak ramai golongan profesional menghadapi jentera UMNO tetap berjaya mengujudkan alternatif atau saingan dalam bidang-bidang kehidupan ummah, kerana mereka bersungguh hendak membina hadharah alternatif. Sekarang suasana masyarakat semakin berkembang ke arah negatif iaitu tak perlu membina hadharah Islamiyyah sebaliknya digalakkan bekerjasama, membina masyarakat `harmoni dan muhibbah`. Perjuangan sudah berubah mereka mengatakan parti mereka tidak memusuhi mana-mana `agama`, semua `agama` menyuruh atau menganjurkan kepada kebaikan. Takkan semua akibat yang negatif ini kita nak salahkan UMNO kerana masih kekal berkuasa dari dulu tanpa kita bersikap adil kepada akibat kelemahan kelompok sendiri yang beralih angin kepada angan-angan mengambil alih kuasa pula. Dulu berkonsep menggantikan hadharah, lani pula cuma nak alih kuasa politik sahaja.

`Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian," pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar. Dalam hati mereka ada penyakit (nifaq), lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.` al-Baqarah 8-10.
`Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak juga akan beriman."Allah telah mengunci-mati hati dan pendengaran mereka , dan penglihatan mereka ditutup . Dan bagi mereka siksa yang amat berat.` al- Baqarah 6-7
Sekian wallahua`lam. Dari Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
     -katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan