~* الحضارة
Baru-baru ini telah berlansung apa yang disebut sebagai Konvensyen PR seperti yang saudara-saudari serta ummah semua sedia maklum. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menghadapi pilihanraya 13 yang akan datang, mungkin setahun dua lagi. Ramai juga di kalangan ummah melihat dan terpengaruh dengan dakwaan bahawa inilah `pencapaian terbaik` yang mereka pernah memperolehinya selama puluhan tahun berjuang…dalam arena politik. Tetapi bagi saya tidak ! malah inilah yang paling tragis dan pilu…
Sebagai ummat Islam! Sekali lagi saya ulangi.. sebagai ummat Islam! Adakah seluruh perjuangan Islam kita, perlu kita `tumpahkan` kepada kerja-kerja di bidang politik? Saya melihat PAS telah begitu terseret jauh.. dari landasan perjuangan Islam yang sebenar apabila meletakkan pencapaian politik menjadi matlamatnya, bukan lagi pencapaian Islam yang merangkumi semua bidang yang politik hanya salah satu cabangnya sahaja. Selama ini jika ada yang mengatakan PAS sebagai jemaah Islam dan juga parti politik, mungkin saya boleh `reserve` lagi akan kenyataan sebegitu kerana dalam Islam ada bidang siasah. tetapi tidak lagi sekarang apabila PAS telah `confirm` membelakangkan bidang-bidang yang lain untuk mengutamakan politik mendapat kuasa. Sedangkan dalam perjuangan Islam dan ummatnya mereka bersiasah bukan untuk mendapatkan kuasa tetapi menegakkan kuasa iaitu kuasa Allah, kuasa Islam, kuasa Iman, kuasa ummah.
Mendapat kuasa berbeza dari menegakkan kuasa, mendapat kuasa mestilah kuasa dulu diberi kepada orangnya, tentulah pemimpin. Sebab itu mereka beria-ia benar supaya perjuangan perlu ke situ, mereka yang memperolehi habuannya. Menegakkan kuasa lain, ia tidak pentingkan siapa yang berjaya menjadi ketua kerana ketua hanya amanah menjalankan kuasa Allah / ummah yang akan lebih banyak soal jawab nanti… Yang pentingnya kepada pejuang-pejuang Islam ialah kuasa siapa atau kuasa apa yang dimenangkannya biarpun tubuhnya sendiri yang menjadi taruhannya.
Bagi PKR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim memang beliau bijak kerana semua fokus perjuangan itu nanti akan kembali kepada keuntungan peribadi atau kelompoknya jua walaupun parti itu sendiri baru berusia belasan tahun. Begitu juga dengan DAP, jika selama ini mereka begitu dimusuhi oleh ummat Islam kerana sikap `chauvinist` mereka sendiri, sebenarnya perjuangan merekalah yang berjaya dalam PR kini dari konteks dasar dan falsafahnya. Bagi saya PKR yang ada sekarang hanyalah bersifat sementara untuk memenuhi cita-cita dan hasrat peribadi Anwar sahaja yang mahu sentiasa menjadi pemimpin. Parti itu tidak ada dasar atau falsafah macam parti Benazir Bhuto di Pakistan hanya ada pengikut-pengikut `Bhutoisme`. Anwar bukan orang yang mementing atau memimpin sesuatu falsafah perjuangan. Kerana jika beliau memimpin sesuatu falsafah perjuangan beliau telah berbuat demikian semasa memimpin ABIM dahulu. Bagi saya apabila cita-cita Anwar telah tercapai atau beliau tiada maka dengan mudah DAP mengambil alih PKR atau 2 dalam 1 @ 1mewakili 2. Sebab itu yang menangnya ialah falsafah atau dasar DAP (Demokrasi)
Pemimpin-pemimpin PAS yang ada sekaranglah yang bertanggungjawab merincik-rincik perjuangan Islam generasi dahulu kepada cebisan-cebisan halus supaya mudah bagi mereka yang berkepentingan dan musuh-musuh Islam menindas ummah pada masa depan. Dari kacamata Anwar yang berjaya dan akan menjadi pemimpin kerajaan, pemimpin PAS ini pun berjaya dan akan berjaya juga. Tetapi dari konteks kejayaan DAP dengan falsafah demokrasinya, perjuangan `Islam`mereka (Pemimpin PAS ini) menjadi salah satu lagi warisan seperti perjuangan `Islam` raja-raja Melayu, pemimpin-pemimpin UMNO, mufti-mufti kerana kuasa orang yang mereka berjaya tegakkan bukan pun kuasa Allah. Islam @ Ummah. Tetapi mereka hanya mendapat kuasa yang orang akan bagi nanti kepada mereka begitulah.. sifat pengemis-pengemis kuasa…
`Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama yang jauh dari kesesatan iaitu agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,` (ar-Rum 30).
`Dan orang-orang kafir berkata kepada orang-orang yang beriman: "Kalau sekiranya di (Al Qur'an) adalah suatu yang baik, tentulah mereka tiada mendahului kami (beriman) kepadanya. Dan kerana mereka tidak mendapat petunjuk dengannya maka mereka akan berkata: "Ini adalah dusta yang lama"` (al-Ahqaf 11).
`Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan kerana mereka membenci keredhaan-Nya, sebab itu Allah menghapuskan (pahala) amal-amal mereka.` (Muhammad 28).
`Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman rapat yang selalu menyertainya memberi nasihat.` (az-Zukhruf 36).
`Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari mengikut jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka adalah orang yang mendapat petunjuk` (az-Zukhruf 37).
`Sesungguhnya Kami benar-benar telah membawa kebenaran kepada kamu tetapi kebanyakan di antara kamu (menentangnya) kerana benci kepada kebenaran itu.` (az-Zukhruf 78).
`Maka biarlah mereka tenggelam (dalam kesesatan) dan bermain-main dalam kehidupan dunia ini sampai mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka.` (az-Zukhruf 83).
`Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka, niscaya mereka akan menjawab: "Allah", maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah)? dan (Allah mengetahui) ucapan Muhammad: "Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman" Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah: "Salam (selamat tinggal)." Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk).` (az-Zukhruf 87-89).
Sebagai mengakhiri bicara saya kali ini, tidak lengkap jika saya tidak memberi komen kepada logo PR yang saya anggap sebagai lambang 3 puak atau kaum yang terbesar saling memegang tangan mengelilingi simbol bunga raya. Bagi saya simbol bunga raya itulah hantu rayanya @ pilihanraya atau politik yang bagai candu telah mengheret PAS menjadi abdi untuk memuja-mujanya pendekatan berpolitik dalam sistem demokrasi. 4 teras utama PR itu tidak satupun menyebut Islam, kalau hanya demokrasi tulen yang menjadi falsafahnya, Nabi Muhammad saw telah mengabaikannya 1431 tahun lebih dahulu kerana asal usul demokrasi sebelum kedatangan Islam lagi (Greek purba) dan telah terbukti pembohong tidak berjaya. Jika ada yang molek tentu Nabi saw terlebih dahulu maklum! Sekian Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan