~*BIL:75/Zulqaedah 1430 الحضارة
`Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.` al-Hujurat 9
`Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.` al-Hujurat 10.
Selawat dan salam penuh kesyukuran kepada Allah swt agar dilimpahkan rahmatNya kepada Nabi saw, ahlul bait serta para sahabat baginda sekelian. Tidak dilupakan kepada roh-roh alim ulama`, mujahidin-mujahidat yang telah pergi meninggalkan kita dengan khazanah perjuangan yang cukup berharga.Ummat Islam di Malaysia khususnya orang-orang Kelantan, lebih-lebih lagi orang-orang PAS yang meguasai dan mewarisi perjuangan PAS kini seharusnya tidak lupa diri dan jangan cuba membawa PAS menuju kehancuran apabila terjebak dengan politik sempit berebut kuasa, mengejar `popular vote`, kekayaan dan minda kenegerian yang bakal mengundang bencana lama 1977 (krisis dalaman / Mageran) yang kemudiannya disahkan pada Mac1978. Pada waktu itu kekuasaan Kerajaan PAS selama 18 tahun seperti debu berterbangan tidak dapat dipertahankan. Apa hebatnya sekarang jika kekuasaan selama 19 tahun lebih itu hanya diwarnai oleh imej mencium tangan, mengusap kepala dan leteran Tok Ayah tua.
Bukan maksud saya di sini untuk menghina peribadi seorang tua, kerana kita pun sendiri akan sampai masanya insyaAllah jika umur panjang akan menjadi tua. Sebab itu Nabi saw selalu berdoa supaya Allah hindarinya dari menempuh usia lanjut yang kebanyakan tahap begini mudah menimbulkan bebanan dan `liability` kepada orang lain. Lebih-lebih lagi jawatan itu sendiri amanah untuk kepentingan ummat Islam. Jika jawatan itu jawatan bersifat peribadi milik keluarga contohnya `Pengerusi jus Tok Ayah` ka saya pun tak akan masuk campur, pegang pi la sampai bila-bila, bukan ada kena mengena dengan saya. Sebab itu masa Tun Mahathir dulu pun UMNO sendiri merasakan suatu yang tak kena bagi mereka. PAS bagaimana…?
Pimpinan PAS hari ini terutamanya di Kelantan jangan lupa bahawa PAS menang semula pada tahun 1990 adalah salah satu sebab utamanya ialah gagasan siasah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dapat menyatukan kepentingan siasah orang Melayu atas dasar persamaan ugama iaitu Islam. Sedangkan 5 atau 6 tahun sebelum itu PAS seperti terpalit dengan gelaran juara pemecah-belah dan issu kafir-mengkafir dalam masyarakat Melayu Islam. Bagi saya jasa tokoh perpaduan ummah @ kemanusiaan sejagat al-Marhum Ustaz Fadhil Noor cukup besar sebagai arkitek perjuangan PAS ketika itu. Al-Marhum telah berjaya membawa PAS keluar dari kepompong yang menyekat peningkatan atau kemajuan PAS bersama perjuangan Islam yang sebenar yang berkiblatkan Islam untuk kepentingan ummah. Kebijaksanaan al-Marhum bersiasah payah untuk dipertikai kerana beliau berprinsip dan tahu menjaga batas-batas prinsip itu sendiri.
Apa yang mendukacitakan kita hari ini, sepeninggalan tokoh penyatuan ummah tersebut PAS telah melupakan terus agenda perpaduan ummah dengan mengubah haluan kiblat kembali kepada perjuangan politik sempit seperti era sebelum APU kerana terpengaruh dengan aura perjuangan rakyat pula. Sepatutnya pimpinan PAS memperkemaskan agenda perpaduan ummah dengan pertubuhan-pertubuhan kebajikan ummat Islam, NGO muslim, ABIM, JIM, gerakan pelajar dan lain-lain. Jika nak berkerjasama dengan parti-parti politik semasa pun (termasuk UMNO), berunding betul-betul dengan syarat-syarat yang menguntung serta menjaminkan kedaulatan Islam. Dan yang penting jangan tinggalkan begitu saja apa yang telah berjaya dihimpunkan oleh al-Marhum dalam GERAK dahulu. Tetapi itulah yang berlaku apabila PAS hari ini mengabaikan tidak memperduli langsung sumber-sumber kekuatan dan perpaduan ummah kerana silauan dan ghairah untuk mendapat kuasa dalam waktu yang terdekat ini. Mereka lebih kerap berpelukan dan bersalam dengan `politician` bukan Islam berbanding pemimpin dan penggerak pertubuhan-pertubuhan ummah yang saya katakan tadi. Saya takut mereka akan kecewa kemudian hari apabila yang dikejar tak dapat dan yang dikendong terlepas lari. Oleh itu saya mengambil kesempatan di sini untuk menyeru kepada mereka yang masih ada keikhlasan berjuang untuk Islam dan ummah supaya kembalilah berkiblatkan perjuanganmu ke arah yang sepatutnya. Memanglah terasa berat jika kita memikirkan kepentingan nafsu dan kelompok sendiri. Sebab itu kita perlu sedar dan jelas kita nak memperjuangkan apa? Membina kepentingan apa?
Maksud firman Allah; `Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.` al- Baqarah 143.
Saya selalu teringat pesanan al-Marhum di dalam ceramah-ceramah beliau, “Sehebat-hebat orang kafir (yang tak beriman) lebih hebat lagi, yang paling lekeh di kalangan kita yang beriman” Ukuran kehebatan ummat Islam lain, tidak akan sama dengan penilaian masyarakat sekeliling yang masih tidak beriman kepada Allah. Sezalim-zalim Tun Mahathir dan Raja-raja Melayu kerana tidak melaksanakan undang-undang Islam dalam pemerintahan mereka, kita masih boleh, apabila bertemu mereka mengucapkan salam serta berjabat tangan. InsyaAllah, dapat pahala jika niat menghubungkan silatturrahim sesama orang Islam. Bolehkah pemimpin PAS yang selalu berjumpa dan berpelukan dengan pemimpin PR (non Muslim) mengucap salam dan dapat pahala ? Sebab itu saya tidak boleh menerima sikap dan pendirian PAS yang sanggup menolak untuk berbincang dengan UMNO kerana nak kekalkan hubungan dengan rakan PR.
Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mu'min, dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.
Hai Nabi, cukuplah Allah (menjadi Pelindung) bagimu dan bagi orang-orang mu'min yang mengikutimu. al- Anfal 61 - 64.
Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan
(Al Qur'an) mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu. al-Mu`minun 71.
Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Al-Fusilat 34. Wajarkah Presiden PAS mengeluarkan kenyataan `telah menutup buku` perbincangan berkaitan kerajaan perpaduan, sedangkan banyak ayat-ayat al-Quran memerintahkan ke situ? Atau Presiden PAS sendiri dah menutup `buku` al-Quran ? Sekian wallahu`alam! Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal, 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan