Halaman

Rabu, 18 Ogos 2010

Perjuangan Ummah Perlu Mengambil Landasannya Sendiri - Bil 90/Safar 1431


                                              ~* الحضارة 


`Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat siksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu ? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah`.al-Nissa 138-139.

 `Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.` al-Hujurat 10.




(Ucapkanlah 2 kalimah syahadah!) Maksudnya; “Aku sanggup menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah, dan aku sanggup pula menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah” Selawat dan salam kepadamu ya habibi, ya musthofa! Muhammad saw, kaum keluarga dan para sahabat radhiyallahuanhum ajmaein serta mereka yang mengikuti akan mereka itu sampailah ke hari qiamat. Bertemu kembali di dalam rangka bicara kita sesama ummat Islam, tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga hubungan sesama muslim, melakukan penambahbaikan (islah) untuk kepentingan ummat dan berpesan-pesan di atas kebenaran seterusnya berpesan-pesan supaya menetapi kesabaran.

Aiyyuhal ummah! Wahai saudara ummah! Perkembangan-perkembangan mutakhir yang berlaku di sekeliling tidak dapat untuk kita menafikan bahawa semakin hari semakin menghimpit kehidupan dan masa depan ummah serta generasinya yang akan datang. Idealisma perjuangan ummah pula seperti terlalu asing dalam kehidupan masyarakatnya sendiri… kenapa ya.. kenapa begitu sekali? Sedangkan hadith Nabi saw ada menyebut: `Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang Islam yang lain ia bukanlah di kalangan mereka` . Realitinya ummah lebih senang dengan perjuangan yang bersimpang siur dengan kepelbagaian kepentingan dan kekaburan cita-cita perjuangan. Mereka lebih selesa meneruskan `kebiasaan` yang tersedia untuk diarah daripada berpegang dengan aqidah yang nampak macam susah tetapi telah banyak melakarkan sejarah kegemilangan ummah.

Terus terang saya katakan tajribah atau percubaan ummat selama ini menyandarkan perjuangannya yang syumul dan agung itu kepada uslub politik ternyata gagal serta meleset tak ke mana. Menyandarkan kepada pengislahan ekonomi dan pendidikan tanpa uslub-uslub yang lain pun, terlebih dahulu menemui jalan buntu atau kelabu. Memisahkan diri bersembunyi untuk mensucikan diri serta kelompok `mithali` lebih awal lagi menjadi mangsa untuk mereka yang berkepentingan diri. Tak berbuat apa-apa kekal sahaja dalam masyarakat biasa (sekular), bagi saya di sinilah punca segala malapetaka dan bala.

Sebenarnya… siapa pun kita, apa pun kedudukan.. kita akan merasa takut dan gerun untuk mengorak langkah dalam kehidupan ini jika tidak berpandukan aqidah yang sejati, beriman kepada Ilahi mengikut agama yang dicontohi Nabi saw. Kita sebenarnya rela atau terpaksa mesti menerima hakikat bahawa agama yang kita anuti ini terlalu istimewa tiada yang setanding dengannya untuk dicontohi maupun dibida-bida supaya mendapat tahu mana yang lebih baik atau sesuai. `Al-Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi lagi darinya` Islam ini terpelihara `originalitynya` meskipun ada yang cuba memesongkan ummat dari landasan sebenar perjuangannya, insyaAllah akan tetap ada dan muncul pembela-pembela akan agama Allah ini disepanjang zaman. Itu adalah jaminan dan sunnatullah dari Pencipta agama itu sendiri… sebagai mukminin kita yakin akan jaminan itu. Saudara dan saudari yakin…? Jika saudara/i yakin Alhamdulillah!
Perjuangan Islam yang panjang dan sukar ini memang tidak akan mampu untuk digalas oleh golongan oportunis dan mereka yang bukan Islam kerana mereka bukan ahlinya. Sebagaimana perjuangan komunis dan sosialis tidak diperjuangkan oleh pihak borjuis dan kapitalis melainkan ahlinya iaitu penganut fahaman komunis atau sosialis itu sendiri. Begitulah juga yang terjadi kepada perjuangan kapitalis, demokrasi, prodemokrasi, liberal dan lain-lain tidak akan ditegakkan oleh mereka yang bukan penganut fahaman-fahaman tersebut. Itu lumrah alam tabie yang Allah swt bagi jadi begitu, semua orang boleh faham dan menerimanya. Begitu juga sepatutnya akan berlaku jika Daulah Islam (Hadharah Islamiyyah) yang bakal dibina dan nak ditegakkan tentulah juga para penganutnya atau ahlinya sendiri yang tahu untuk membina serta membangunkannya. Dengan kata lain ummahlah akan menjadi buruh kasar, bala tentera, jurutera, jurubina, pegawai, panglima, dan seterusnya… dan seterusnya..  sehingga ke semua jawatan yang perlu serta berkaitan. Semua individu ummat akan berperanan biarpun hanya sebagai tukang sapu, jaga atau cuma pencarum saham yang tak aktif.

Oleh kerana itu jika perjuangan ummah di Malaysia pun begitu, dek kepalang tanggung zahirnya… Mana bisa..bapak dan ibu-ibu kita letakkan perjuangan ummah ini di dalam perahu atau sampan politik sahaja. Pastinya perahu atau sampan politik itu tidak mampu membawanya malah… mudah saja bisa tenggelam.. karam! Ibu.. bapak-bapak… bisa tenggelam dengan penumpang-penumpangnya sekali. Mahu tidak mahu perjuangan yang agung dan besar ini memerlukan bahteranya sendiri, yang besar dan muat untuk membawa perjuangan ummah yang kepalang tanggung itu, tentulah Bahtera Ummah.

Persoalannya sekarang siapa, pihak mana, pertubuhan mana yang akan mengambil tanggungjawab membina `bahtera ummah` itu ? Secara jujurnya saya ingin mengatakan bahawa kita sebagai ummat Islam di Malaysia sekarang ini tidak perlu memulakan semuanya dari `kosong`, kerana kita telah ada berpuluh-puluh malah beratus mungkin pertubuhan, persatuan, NGO, gerakan pelajar, individu-individu, ulama`-ulama` dan tokoh-tokoh akademik, yang semuanya berpengaruh di kalangan ummat Islam. Semua input-input ini sebenarnya berharga dalam kelompok dan kelasnya yang tersendiri.Yang penting sekarang usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk kepentingan ummah menghimpunkan mereka ini dalam kerangka (konvensyen, seminar dsbnya) untuk memikirkan sesuatu yang boleh memacu tenaga-tenaga ummah  ke arah merealisasikan benar-benar sebuah organisasi atau gabungan yang mewakili ummah dari aspirasi ummat Islam sendiri. Semua individu dan pertubuhan tidak perlu lagi terikat dengan `stand` peribadi atau pertubuhan yang diwakili kerana sekarang kita melihat masa depan bersama secara keseluruhan iaitu masa depan ummah itu sendiri. Pertubuhan, gerakan dan tokoh-tokoh perlu meletak ke sebelah kepentingan sendiri dan kelompok untuk memikirkan masa depan perjuangan ummah. Nakhoda diperlukan bersama-sama saf kepimpinan ummat.

Kekosongan kepimpinan ummah yang selama ini ditinggalkan oleh al-Marhum Ustaz Fadhil Noor amat terasa terutamanya dalam issu kalimah Allah baru-baru ini. Ummat Islam berpecah atau berjaya dipecahkan fikrah mereka tidak seperti sebelum ini dalam issu membuang perkataan Islam ketika al-Marhum masih ada, di mana mobilisasi ummah tetap dan lancar bergerak bersama-sama. Saya akui… sekarang kita tidak mempunyai seorang tokoh pun yang setanding dengan beliau untuk menjadi `figure` yang dihormati semua pihak. Tetapi jangan lupa pula… kita sekarang telah ada peluang atau kelebihan yang tidak ada  di zaman al-Marhum dahulu. InsyaAllah kita mampu menggerakkan sebuah badan atau organisasi atau gabungan atas nama ummah yang al-Marhum dahulu hanya sempat memandu ujinya sahaja buat beberapa ketika…(APU dan GERAK).

Sebelum mendapatkan rotan yang sepadan, bagi saya.. akar dan buluh pun sudah memadai untuk ummah bangun mengambil manfaatnya kembali. Tokoh-tokoh yang ada lani pun saya fikir masih dihormati oleh banyak pihak seperti Dr Harun Din dan sebahagian ulama` PAS, pimpinan ABIM, JIM, Mufti-mufti, NGO, ahli-ahli akademik dan beberapa ahli politik yang lantang mempertahankan hak ummah seperti YB Zulkifli Nordin serta tak mustahil dari UMNO juga. Saya yakin insyaAllah jika wadah dan saf kepimpinan ummah itu benar-benar berhasil maka ummat Islam bawahan seperti saya ini pasti akan memberi wala` dan kerjasama mereka yang tidak pernah wujud dan dilihat sebelum ini oleh masyarakat Malaysia. Satu UMMAH, satu perjuangan, satu wadah, satu cita-cita dan satu AQIDAH kepada yang Maha Esa. Sekian wassalam!
Dari Ibnu Ramadhan.                              ``qulil haq walau kana murron``


-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan