Halaman

Sabtu, 18 September 2010

Ummah Perlu Merungkai Kekusutan Secara Tuntas - Bil 115 / Syawal 1431

~* الحضارة


Firman Allah swt : Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." al Baqarah : 208. Segala puja dan puji hanya layak untukMu ya Allah Tuhan Pentadbir sekelian alam. Tidak pernah dilupakan Selawat dan Salam buat Rasul yang Mulia penunjuk jalan kebenaran, ahli keluarga serta sahabat baginda yang diredhai semuanya. Salam Allah , rahmat dan kasih sayangNya buat ummah yang dikasihi.


Alhamdulillah, dengan izinNya saya dapat berbicara semula bersama ummah untuk seterusnya, setelah tamat ‘berpantang’ bagi cahaya mata yang kelapan yang merupakan putera ketiga keluarga Sanaabel. Putera yang saya doa dan harapkan menjadi satu lagi batu-bata, bakal meneruskan pembinaan kembali Hadharah Islamiyyah yang telah lama sirna dari kehidupan ummah, insyaAllah. Kesibukan sebagai seorang ibu, pendidik kepada anak-anak dan suri rumah memang tak terhela lagi, namun sebagai seorang muslimah, mukminah, mujaahidah.., saya tak akan berdiam diri daripada menulis.. menyatakan kebenaran insyaAllah.

Masa begitu pantas bergerak menuju ke destinasinya yang dijanjikan oleh Allah yang entah bila penghujungnya. Ramadhan yang diberkati telah pun melabuhkan tirainya, manakala Eidil Fitri yang menjelma  adakah bersama kemenangan atau kekalahan buat seseorang pejuang ? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Begitu juga dengan sambutan kemerdekaan, berlalu dengan pelbagai peristiwa yang penuh tragis. Setelah 53 tahun bersama @ seiring dengan sistem demokrasi yang diwarisi daripada penjajah, rupa-rupanya kita perlu membayar harga yang cukup mahal untuk sebuah kemerdekaan yang telah kita kecapi selama ini. Pembunuhan, pembuangan anak, keruntuhan akhlak, murtad dan berbagai gejala sosial begitu gawat terpaksa ummah hadapi.

Semakin hari statistiknya semakin meningkat. Para pemikir sekular, tokoh masyarakat, ahli politik, penceramah dan pakar motivasi agama  masih tidak menjumpai jalan penyelesaian yang sesuai dan tuntas. Bahkan mereka menyembunyikan kebuntuan mereka dalam mencari apakah punca kekusutan atau penyebab sebenar kepada permasalahan yang berlaku. Ada yang menyalahkan ibu bapa, pendidik, kawan-rakan dan faktor suasana masyarakat sekeliling. Seterusnya dibuat resolusi.. bagaimana cara dan kaedah penyelesaian. Tapi usahanya tampak tak menjadi…dan tak akan berjaya selama-lamanya …, kambus lubang sini, berlubang lagi besar di sana-sini. Oh..! bagaimanakah nasib generasi ummah untuk meneruskan lestari kehidupannya di bumi tercinta ini, khususnya Malaysia tanahairku! Inilah Negara Malaysia yang kita warisi dan sambut penubuhannya baru-baru ini. Hakikatnya inilah kesilapan UMNO (parti bangsa Melayu yang sebahagian besarnya beragama Islam) 53 tahun yang lalu apabila bersedia menerima kemerdekaan bersistemkan demokrasi penjajah Barat. Hasilnya yang kita nikmati sekarang adalah sebuah negara yang bankrup dengan keimanan, persaudaraan dan kemanusiaan.

Assyahid Sayyid Qutb rahimahullah pernah menegaskan bahawa umat Islam tidak ada pilihan lain untuk menjana kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, melainkan kembali menegakkan sistem perundangan Islam seluruhnya. Hujah beliau, dunia telah menyaksikan 2 kali perang dunia dalam tempoh seabad yang akibatnya, tegak di seluruh dunia sistem kembar  iaitu falsafah hidup mengagungkan kebendaan semata-mata, sama ada di bawah sistem demokrasi barat ataupun sistem  komunis @ sosialisme timur.
Akibat dominasi global.. pola kehidupan sistem asing itu, umat Islam bukan saja tersepit, kehilangan identiti, malahan sentiasa menjadi mangsa penindasan, kesengsaraan dan kezaliman kuasa-kuasa besar dunia.
Sejujurnya saya ingin mengajak ummah berfikir secara ikhlas dan amanah dengan aqidah Islam yang kita imani, melihat permasalahan dari kaca mata Islam. Punca sebenar dan asas permasalahan adalah sistem penjajah yang kita warisi itu sendiri. Sistem yang dipakai selama inilah yang telah melahirkan ibu bapa yang bermasalah, pendidik yang tidak amanah dan masyarakat yang punah. Sekali lagi saya ulangi jangan takut untuk bersikap jujur dengan agama yang kita anuti bahawa segala permasalahan wajib diselesaikan dengan perubatan @ kaedah kembali menghidupkan cara hidup Islam seluruhnya sepertimana yang diseru oleh Allah Taala dalam ayat di atas, masuklah kamu ke dalam Islam semuanya samada dari segi siyasah (politik), ekonomi, pendidikan, bermasyarakat dan sebagainya, sesungguhnya Allah menjanjikan ganjaranNya syurga seluas langit dan bumi.

Kita juga perlu sedar bahawa kita sedang menghadapi jihad akbar pada abad ini, seperti yang telah dinyatakan oleh baginda Rasul saw lebih 1400 tahun yang lalu di mana bentuk serangannya menyeluruh ke setiap sendi-sendi penting ummah. Musuh telah menghala serangannya terhadap aqidah, serangan pemikiran, serangan budaya, serangan psikologi, serangan terhadap pendidikan, serangan terhadap siyasah (politik) dan berbagai lagi serangan yang begitu seni sifatnya yang telah melumpuhkan Hadharah Ummah untuk sekian lama. Terakhirnya… barulah dengan mudah mereka menguasai pemerintahan ummah dimana-mana bahagian dunia ini. Senjata yang digunakan adalah senjata yang paling murah di pasaran terbuka maupun pasaran gelap iaitu senjata hawa nafsu kita sendiri. Apabila ditawarkan dengan sedikit habuan dunia, kebendaan, kuasa… penangannya begitu dahsyat sekali, sehingga ummah dari kepalanya yang berserban sampai bawahnya yang berkaki ayam…… jatuh tersungkur, terkulai layu.

Ummah yang masih tersedar terpinga-pinga, di manakah harus dimulakan kebangkitannya ? Ummah sering tertipu dan selama-lamanya akan ditipu dan dipermainkan sekiranya ia tidak mengambil Islam secara yakin dan bersungguh-sungguh untuk dipraktik serta dijadikan panduan dalam kehidupannya. Ya! Islam sebagai ad deen wajib diberi ruang menempati setiap segi dalam realiti kehidupan kita secara peribadi, berkeluarga, berjiran dan dalam masyarakat keseluruhannya, yang akhirnya akan membentuk satu budaya kehidupan Islam atau Hadharah Islamiyyah . Maka Hadharah Islamiyyah inilah yang akan sedikit demi sedikit menghakis dan menyahkan segala rangkaian sistem Hadharah Jahiliyyah yang telah membumi dalam kehidupan ummah selama ini insyaAllah. Ia bukanlah suatu perkara mudah seperti yang dicakapkan, pembinaan hadharah ini memerlukan pejuang-pejuang yang sanggup disisih oleh arus perdana Hadharah Jahiliyyah, dipandang sepi kawan taulan, dihina @ dikeji oleh musuh perjuangan dan sanggup menanggung kesempitan serta kesusahan hidup serba sederhana dengan menjauhkan diri daripada segala maksiat yang diharamkan oleh Allah swt. Kenapa pula.. seorang pejuang Islam tidak sanggup bersama pusingan putaran roda Islam? Jika Islam ketika ini di bawah kita juga di bawah, jika Islam dihina kita juga terhina, kalau Islam ditentang kitalah para pejuang yang sanggup menggadai nyawa menjadi galang gantinya.

Justeru itu saya melihat amat malang sekali nasib PAS yang telah menanggung amanah perjuangan ummah (Islam) oleh ulama’ dan pemikir Islam serta ummat yang ikhlas dahulu, kini telah diselewengkan oleh pemimpin dan penyokongnya yang tamak dan rakus. Saya berpandangan, PAS hanya akan mengulangi kesilapan UMNO apabila berpakat untuk mengambil demokrasi sebagai dasar perjuangannya bersama PKR dan DAP. Apakah PAS harus memusnahkan roh perjuangannya yang sebenar (perjuangan ummah) disebabkan ahlinya tidak peka tetapi pekak dan buta dalam menilai di manakah intan, yang manakah kaca. Tepuk dada tanyalah iman kita, jangan tanya selera politik saja. Adakah PAS sebagai jamaah ummat Islam begitu hina, harus mewarisi segala kebankrupan negara untuk menjadi pencuci.. membaikpulih sistem demokrasi jahiliyyah dan segala kerosakan yang telah dihasilkannya. Atau PAS dengan penuh amanah tampil mengambil tanggungjawabnya membina kembali Hadharah Ummah yang mulia seterusnya dengan penuh izzah jika diizinkan Allah swt untuk memerintah negara.

Saya akhiri buletin kali ini dengan kata-kata hikmah yang ditinggalkan oleh al-Marhum Ust Fadhil Noor; “kita tidak rela Islam dijadikan tempelan untuk memperbaiki kerosakan yang terhasil dari kegagalan sistem masyarakat materialis yang menguasai politik negara pada masa kini” Petikan buku Masyarakat Madani Alaf Baru 2003 M. Sekian,  semarakkan perjuangan dari Ummu el-Husna.
qulil haq walau kana murron’
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com layari: http://buletinal-hadharah.blogspot.com/ @ : http://sanaabel.blogspot.com/

Sabtu, 4 September 2010

Wajarkah Laungan Takbir Bagi Golongan Yang Menafikan Kebenaran ? - Bil 114/ Ramadhan 1431


~* الحضارة
Allah swt berfirman maksudnya; “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” an Nisa` 135. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw, al-Amin dan kaum keluarga serta para sahabat baginda semuanya.


Muslimin dan muslimat.. saudara ummah yang dikasihi. Ramadhan sebagai gelanggang berburu seperti yang saya sifatkan sebelum ini, sudah mendekati penghujungnya. Lazimnya berburu, ada kala ‘mengena’ berhasil.. dan banyak pula yang meleset.. hampa…kecewa. Semoga Allah swt memasukkan kita semua dalam golongan pemburu yang berjaya. Ketika merenung kembali ke dalam diri di keheningan… malam-malam terakhir Ramadhan al-Mubarak yang seperti merajuknya pergi… Saya teringat bait-bait terakhir puisi nukilan teman seperjuangan Ibnu Ibni YahyaSaksi Semalam;
“Ayuh! Bangunlah! Biarpun cuma seketika.
Papahlah! Kerana hanya itu kudrat yang ada.
Berbicaralah! Walaupun tanpa suara.
Berdaganglah! Biarpun dipenuhi pancaroba.
Tadahkanlah telapak mu! Biarpun hitam legam penuh noda.
Amin! Ya Rabbal Alamin!”
Keseluruhan puisi tersebut banyak meninggalkan kesan pada saya, sebab itu dimasukan pada helaian akhir buku sulung saya 3 tahun yang lalu (1428H) iaitu ‘PAS Kehilangan Warna’ (Suatu Sisipan Perjuangan Kebenaran). Apa yang saya nak sebut atau kaitkan di sini ialah.., di situlah (PAS Kehilangan Warna) detik bermulanya tulisan atau kritikan-kritikan saya kepada PAS secara terbuka yang sebelum ini hanya terbuku di sanubari atau pun cakap-cakap saja tanpa menulisnya.

Apakan daya.. “berani buat berani tanggung…” itu yang dapat saya katakan kepada mereka yang ingin atau bercita-cita menyanggah arus…(menegak kebenaran) di mana-mana pun, tempat atau zaman. Kalau tidak ikut saja apa yang dah ada… selamat..dunia. Tapi ingat..! akhirat belum tentu. Buku sulung saya tersebut hanyalah sebuah buku kecil tak lebih daripada 30 m/surat pun, telah diharamkan di sebuah Markaz PAS Negeri. Notisnya dilekatkan di papan kenyataan siap dengan sample buku sekali. Dalam mesyuarat yang membuat keputusan supaya buku tersebut diharamkam persis macam mahkamah tentera Saddam Hussein. Saya yang juga ajk mesyuarat, tiba untuk bermesyuarat dan menjelaskan di mana perkataan atau baris yang mereka kurang jelas…Tiba-tiba.. buku-buku tersebut melayang di depan muka dilempar oleh teman seperjuangan sendiri. “Kami telah membuat keputusan…” bla, bla, bla… (lebih kurang samalah hujah dengan adik-adik saya Don Mufasya dan Meriam Buluh serta lain-lain).

Bukan pula maksud saya merendah-rendahkan pandangan serta usia mereka, mungkin mereka lebih tua dari saya yang berusia 46 tahun ikut kiraan hijrah @ 44 ikut masehi. Tetapi syor dan cadangan yang idealis itu banyak dah yang saya lalui, hanya sesuai untuk … mungkin makhluk jenis lain kut! Terus terang saya katakan bahawa saya pun tidak menganggap semua buku atau tulisan-tulisan saya selama ini, benar-betul belaka (100%). Tidak! Mungkin banyak juga yang silapnya kerana kelemahan manusiawi. Sebab itu saya suka sangat jika budaya tegur menegur sesama ummat Islam sihat serta digalakkan dalam realiti kehidupan.

Masalahnya adik-adik saya ini, bila melihat saya tidak ‘tibai’ UMNO macam yang mereka mau.., depa kata saya sokong UMNO pula. Sekali lagi saya nak berterus-terang di sini. Cubalah tengok.. atas.., bawah, depan dan belakang kamu, dalam masyarakat ummah yang kita sama-sama diami ini ada dua jenis mahkluk tu saja ka? Ada 2 jenis tu saja ka yang sedang dok bertarung untuk perlu hidup? Kalau sokong PAS mesti bermusuh (berperang) dengan UMNO. Sebaliknya jika tidak tibai / berperang dengan UMNO tentu agen @ bermusuh dengan PAS. Nasihat saya kepada kamu secara khusus dan ummah umumnya, jika kamu berfikir dengan cara begitu, ternyata kamu hanya menggunakan sisi sebelah kiri otak kamu yang negatif tanpa menggunakan pun sisi sebelah kanan pemikiran kamu yang positif. Sedangkan pemikiran-pemikiran yang baik adalah apabila kita saksamakan (adil) berpandangan, pendapat pada dua-dua sisi, walaupun ke atas diri kita sendiri. Saya tak nafi, banyak mengkritik PAS kerana saya terasa PAS lebih dekat dengan saya (ahli) dan kasihnya saya kepada perjuangan PAS sebelum ini, berbanding sayangnya saya kepada orang-orang UMNO yang sebangsa serta seagama dengan saya (walaupun bukan ahli).

Maaf ! Jika saya katakan, ketika saya berada di tempat @ level perjuangan ummah yang al-Marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor gagas dan tinggalkan sekarang, “Saya tidak nampak kamu dan pemimpin-pemimpin kamu mampu mewarisi kebijaksanaan beliau. Sepanjang yang saya sempat mengikuti kepimpinan ummah era al-Marhum samada dari jauh maupun dekat, beliau tahu dengan siapa beliau berkawan dan tahu malah bijak pula dengan siapa beliau harus berkelahi. Al-Marhum.. bagi saya, adalah contoh unggul dan hidup sebagai pemikir serta  pemimpin ummah.”

Masalahnya lagi, kamu dan yang lain-lain pernah hidup, berjuang, bersenda-gurau bersama dengan al-Marhum sama seperti saya dan ramai yang lain-lain lagi, tetapi kamu… macam yang saya katakan di atas tadi suka menilai atau melihat dari satu sisi sahaja iaitu politik tanpa mahu @ cuba melihat dari sisi perjuangan ummah beliau. Kepimpinan ummah yang kosong terbiar setelah ditinggalkan pergi oleh al-Marhum, kamu tak nampak. Yang kamu nampak hanya kelincahan al-Marhum bersiasah dalam dunia politik kontemporari. Sedangkan kelincahan al-Marhum kerana beliau ada matlamat dan agenda perjuangan ummah ternyata kamu kabur lalu mengabaikannya. Kamu terkejar-kejar menari mengikut rentak yang orang lain palui.

`Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya, serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya..
Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian kafir, kemudian beriman (pula), kemudian kafir lagi, kemudian bertambah kekafirannya, maka sekali-kali Allah tidak akan memberi ampunan kepada mereka, dan tidak (pula) menunjuki mereka kepada jalan yang lurus.
Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat siksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu ? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah.
Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir di dalam Jahannam.`
an-Nisa 136 -140.

`Maka kecelakaan yang besarlah di hari itu bagi orang-orang yang mendustakan kebenaran, (iaitu) orang-orang yang bermain-main dalam kebatilan,` at-Thur 11-12.
`(Mereka menuduh Nabi Muhammad termasuk ummatnya dengan yang bukan2), bahkan mereka mengatakan; “(Muhammad) itu seorang penyair yang kami tunggu sangat kebinasaannya” Katakan (wahai Muhammad serta ummat) “Tunggulah kamu (akan apa yang kamu anggapkan itu), maka sesungguhnya aku pun dari orang-orang yang menunggu bersama-sama kamu ( akan apa yang dijanjikan Allah)”. at-Thur 30-31. Salam Eidul Fitri kepada seluruh ummat Islam,
dari Ibnu Ramadhan.  
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com layari: http://buletinal-hadharah.blogspot.com/ @ : http://sanaabel.blogspot.com/

Isnin, 30 Ogos 2010

Perburuan Ramadhan Semakin Sengit Antara Serakah & Taqwa - Bil 113 Ramadhan 1431


~* الحضارة

Firman Allah swt bermaksud, `Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi; maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata`. al-Hajj -11.
`Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?` al-Munafiqun – 4.

Selawat dan salam penuh takzim kepada Rasul junjungan Muhammad saw, kaum keluarga serta para sahabat sekeliannya. Dengan limpah serta izinNya dapat kita sekali lagi, berhenti sejenak… dari kekalutan hidup yang entah bila akan reda… Pada kali ini.., suka saya untuk berkongsi pengalaman tetapi bagi saya sebenarnya adalah sedikit ‘tekanan’ dengan khalayak ummah, tentang apa yang berlaku di sebalik Buletin al-Hadharah.Com sejak akhir-akhir ini.

Pertama mengenai seorang kenalan lama saya, iaitu seorang pensyarah UiTM. Sejak beliau belajar di luar negara hanya sekali (seingat saya) kami terserempak di kedai kopi dekat kampung zaujah saya. Kebetulan isteri kami dari kampung yang berjiran. Baru-baru ini kami bertemu sekali lagi, dengan latarbelakang pendidikan serta kerjaya beliau sekarang menjadikan saya berpeluang berbincang hal-hal yang ‘agak berat’ dengan beliau. Secara berseloroh saya katakan kepada beliau bahawa, “Payah nak cari orang yang mahu dan boleh berbincang”- hal-hal pemurnian fikrah serta perjuangan Islam kini. Kata saya lagi, “Dalam PAS, dari 1000 mungkin seorang atau dua sahaja yang mahu.”

Ianya terus lancar hingga ke topik buat bendang, kerana kebetulan juga, kami mengusahakan sawah padi peninggalan orang tua masing-masing.Beliau agak hairan apabila mendapat tahu bahawa semua anak-anak saya bersekolah sendiri di rumah.. Cuma beliau tidak terkejut kerana bagi beliau di barat telah lama diperkenalkan konsep ‘homestay learning’ yang ada persamaan dengan kaedah saya dan zaujah. Beliau terus berminat untuk mengetahui dan membaca lanjut fikrah buletin al-Hadharah.. melalui blog dan email. Tidak semena-mena.. baru-baru ini, kenalan lama saya yang bersama-sama dalam PAS masa remaja dulu mengesyorkan supaya saya keluar saja dari PAS jika mahu terus mengkritik PAS. Kata beliau, “Keluar PAS bukan bermakna keluar dari Islam”. Mungkin beliau menjadi emosional apabila membaca bil-bil terkini al-hadharah.

Begitu juga dengan beberapa individu lain mungkin penyokong setia PAS, seperti Don Mufasya, Adnan Fadzil, Meriam Buluh, Imran dll yang mencadangkan tubuh parti baru atau masuk saja UMNO. Malah ada yang menganggap saya ini dok kirim sampah kepada mereka berhentilah dan buatlah kerja yang berfaedah di bulan puasa ini. Apa yang saya nak kaitkan di sini ialah mentaliti kenalan lama saya dan beberapa orang itu, sebenarnya lumrah dalam PAS, ‘stereotype’ fikrah Nik Aziz. Mereka melihat PAS macam harta mak-bapak mereka punya. Boleh suruh orang keluar atau masuk sesuka hati. Bila Harakah atau Ustz Nasaruddin @ lain-lain ‘figure’ tidak sependapat dengan beliau… apa yang tak terbit dari mulut orang tua itu. Lagi satu..! Acap kali sangat kita dengar… orang tua itu melalut.. “Jika hari ini UMNO atau kerajaan ishtiharkan nak laksanakan undang-undang Islam, esok kita bubarkan PAS. Buat gapo ada PAS lagi, dah Negara Islam dah.” Dia ingat kerja-kerja perjuangan Islam ini macam apa… boleh habis (tutup boop/book) macam tu saja ka?? Dulu saya tak berapa percaya bahawa Nik Aziz ni… bermentaliti kedai kopi. Apabila ada teman yang mengatakan slogan pilihanraya lama dulu, `Bagi duit ambil, bagi gula kacau, bagi kain pakai. Bila undi pangkah bulan`. Tapi sekarang saya mula bersetuju dan confirm fikrah di sebalik slogan itu ialah mentaliti `kedai kopi`(bukan maksud saya menghina kerjaya pekedai kopi).

Berbalik kepada syor kenalan lama dan beberapa individu tadi yang suruh keluar PAS dan tubuh parti baru. Jawab saya di sini, “Masa saya masuk PAS dulu pun bukan kerana suruhan atau desakan kamu…(tak payahlah sekarang nak suruh saya pula). PAS dulu meyakinkan saya, bergerak untuk menegakkan Negara Islam di Malaysia terutama ketika kepimpinan al-Marhum Fadhil Noor. PAS sekarang berubah agenda dan matlamat perjuangannya.., tidak lagi meyakinkan saya. Sebab itu saya terus menegur atau mengkritik, kerana saya mahu menunaikan hak saya. Jika kamu tak suka atau benci sekalipun… peduli apa saya dengan hak kamu pula. Jika berjaya @ berhasil Alhamdulillah!
Jika tak pun.. bukan kamu yang nak menentukan dosa-pahalanya.”

Bagi saya sepatutnya kamu dan golongan seperti kamu yang perlu mengajak pemimpin-pemimpin pujaan kamu keluar dan tubuh parti baru.., yang tiada ahli-ahlinya… kecuali, pekak, buta, dungu, pak angguk, mak turut dan yang sewaktu dengannya termasuk orang-orang kapiaq. “Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk. Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api , maka setelah api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu dan buta , maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar)," al-Baqarah 16-18.

Kalau Parti PAS itu harta mak-bapak kamu, saya pun tak kisah, hari ini juga saya akan keluar PAS. Tetapi PAS itu hasil kerja para alim ulama` dan orang tua-tua dulu, ummat Islam. Kenapa kamu mengkhianati dan melacurkannya..? Hanya kerana keserakahan nafsu kamu yang mabukkan kuasa politik. Saya tak gheti (tahu) nak pikiaq, macamana kamu dan pemimpin kamu berpikiaq. Kalau nak kritik atau tak sependapat kena keluar dari parti atau tubuh parti baru… kemudian kritik sepuas-puasnya. Sebab itu saya katakan tadi kamu dah melacurkan PAS dan menghancurkan perjuangan Islam dalam PAS. Macam mana mentaliti seperti kamu nak memerintah negara ? Nanti jika ada wakil rakyat nak komen jangan masuk dalam dewan, kritik di lobi parlimen sudah. Atau ada ummat Islam yang menegur dan mengkritik pemerintahan kamu… alamat kena lucutlah kerakyatan orang-orang yang seperti saya. Kena keluar dari negara ini.. begitu..? Orang-orang yang pandai bermuka-muka dan pandai bodek, boleh pula.. begitu..? Biarpun dia orang kapiaq macam pemimpin-pemimpin PKR dan DAP kamu ajak dia masuk sampai dalam bilik serta dalam masjid.

Sempena bulan puasa yang penuh berkah ini, saya menyeru kepada golongan yang dah jauh terlajak tersebut… kembalilah ke landasan perjuangan Islam yang sebenar. Dunia ini sebenarnya tidak bernilai langsung jika melimpah ruah dinar & dirham sekalipun. Yang bernilainya ialah bagaimana kita mengambil dan mendapatkannya… adakah mengikut kehendak syariat (taqwa) yang Allah swt perintahkan atau sebaliknya. Maksud firman Allah swt, `Apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman." Mereka menjawab: "Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?" Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu.` al-Baqarah 13.

Akhir sekali semoga mantan K.Penerangan PAS Pusat yang juga kenalan lama saya semasa sama-sama susah dulu (dok mampuih di markaz /menumpang) tidak lagi mengahantar email nakal mentertawakan saya, ha, ha, ha! Salam perjuangan! Salam Ramadhan! Salam Badar! Salam al-Aqsa! Salam UMMAH!
Sekian dari Ibnu Ramadhan.               ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari: Buletin al-Hadharah.Com atau : http://sanaabel.blogspot.com/

Rabu, 25 Ogos 2010

Madrasah Ramadhan Menyingkap Kebejatan Pelacur2 Politik & Mujahid2 Palsu - Bil 112/ Ramadhan 1431

~* الحضارة

Firman Allah swt bermaksud; `Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya ? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran ?` al-Jathiyah -23.
Selawat dan salam perjuangan kepada Rasulullah saw, kaum keluarga serta para sahabat Baginda semuanya.

Muslimin dan muslimat.. saudara ummah semua, ‘Madrasah Ramadhan’ ialah gelanggang untuk ummat berburu serta memperolehi taqwa.“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa," al-Baqarah -183.
Adat mereka yang berburu pula.., sekurang-kurang tahu jenis ‘haiwan’ apa yang menempati di kawasan pemburuannya supaya sesuai dengan peralatan serta senjata yang dibawa bersama. Sebagai ummat Islam kita masing-masing berburu (berpuasa) dan terus memburu apa yang dicita-citakan…

Sebagai ummat Islam dan juga pejuang Islam khususnya di Malaysia kita menyedari dan amat merindukan suatu suasana, masyarakat ummah dan manusia lainnya hidup dalam `environment` atau keadaan yang pernah wujud di atas muka bumi ini… suatu ketika dahulu (Pemerintahan Islam). ‘Suasana’ itulah… yang selalu buletin al-Hadharah sebutkan sebagai ‘al-Hadharah al-Islamiyyah’. Tidak seperti yang khalayak umum, ummat selalu faham dan dengar iaitu:- Negara Islam, Daulah Islam, Darul Islam, Republik Islam, Kerajaan Islam, Khalifah Islam @ Khilafah Islamiyyah dan lain lain lagi.

Bagi penulis, tidak salah setara mana… perkataan @ kalimah-kalimah itu, cuma kefahaman atau sandaran kalimah-kalimah tersebut dan bagaimana.. merealisasikan akan semua cita-cita gagasan besar itu, yang akan kita bincangkan. Semoga semua hasil perburuan dan segala kerja keras mujahid-mujahid tersebut termasuk dalam kategori ‘taqwa’ kepada Allah swt.

Sebelum kita pergi lebih lanjut… kita kena menerima hakikat bahawa ummat akhir zaman ini telah mewarisi zaman gelap @ kelam, apabila jatuhnya Khilafah Othmaniyyah di Turki pada awal1920an. Namun bagi kita yang di sebelah Asia Tenggara ini pula, hakikatnya… proses kegelapan itu telah bermula lebih awal lagi dengan kejayaan pihak penjajah barat menguasai Raja-Raja Melayu @ Sultan-Sultan, saki baki empayar Islam di kepulauan Nusantara.

Maka di sebalik kegelapan malam.. yang pekat inilah, generasi ummat mutakhir ini terpinga-pinga, meraba-raba mencari semula khazanahnya yang hilang. Ada yang berhasil mendapatkan petunjuk..hidayah Allah swt. Ada yang terus hanyut bersama ‘pelita baru’ iaitu kemodenan yang dibawa penjajah-penjajah barat laknatullah. Malah ramai yang sentimental pula jiwanya mempercayai bahawa tampuk kekuasaan khalifah yang hilang atau diragut itu adalah satu-satunya punca permaslahan yang perlu diambil kembali dan diserahkan kepada pemiliknya (bekas penguasa/khalifah/sultan @ penerus perjuangan mereka). Sedangkan ia adalah hanya kuasa khilafah atau daulah yang terakhir sekali hilang, bukan yang pertama.

Bagi saya golongan yang sentimental inilah yang banyak menguasai minda khalayak ummat semasa. Mungkin mereka merupakan bekas-bekas pegawai-pegawai tinggi khalifah atau pengikut-pengikut setia mereka dan masih menguasai sebahagian kepentingan-kepentingan peninggalan jentera dan kemudahannya. Logiknya merekalah yang lebih terasa malah terjejas akibat kehilangan kerajaan tempat bergantung tersebut berbanding ummat biasa dan marhaen lagi miskin yang tiada kepentingan selain kepentingan Islam serta  kepentingan ummah. Golongan ini berjaya meyakinkan khalayak bahawa segala apa yang berlaku mulai saat kehilangan takhta itu adalah kesalahan serta dosa penjajahan dengan kuncu-kuncunya. Mereka bijak mengeksploitasi serta menyuburkan budaya konflik ‘anti-establishment’ di kalangan ummat.

Bagi memulihkan keadaan.. serta kesengsaraan ummat lalu.. perjuangan mengembalikan pemerintahan atau ‘Daulah Islam’ pun dilancarkan. Ummah disogok dengan idea Negara Islam dan sebagainya. Yang peliknya, mereka hanya memikirkan tampuk kekuasaan atau politik sahaja. Mereka tidak mementingkan pembinaan hadharah kecil - hadharah kecil individu ummat, yang Nabi saw jalinkan menjadi Hadharah besar Islamiyyah. Mereka terkeliru antara perkara terakhir (kuasa pemerintah) yang hilang dengan perkara pertama/utama (individu beriman) yang Nabi saw kembangkan.

Sebenarnya.. jika kita jujur, bahawa kehilangan atau kejatuhan pemerintahan ummat sebelum ini, samada Khilafah di Turki atau di Nusantara ialah apabila pemerintah serta ummat Islam sendiri mulai beralih kiblatnya kepada kemewahan dan keseronokan, mengabaikan tanggungjawab sebenar mereka kepada  ummat bawahan, marhean dan miskin. Mereka ini sebenarnya terlebih dulu lupa diri mengejar dunia sama seperti yang ditawarkan penjajah barat. Budaya tegur menegur, nasihat menasihati untuk menegakkan kebenaran telah lama hilang dalam masyarakat ummat. Malah digantikan dengan ampu sana - wa ampu sini, kerabat sana-kerabat sini (krabatisme @ kroni) dan sebagainya.

Atas kefahaman yang demikianlah, saya dan teman-teman mendapati perjuangan menegakkan kembali pemerintahan Islam yang tidak bermula dengan permulaan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw dan para sahabat yang menitik beratkan pembinaan hadharah kecil-hadharah kecil sesama ummat adalah sia-sia tidak akan sampai ke mana. Mereka akan cuma berpusing-pusing untuk mengabaikan agenda pembinaan Hadhrah Islamiyyah akhirnya sanggup berpaut dan bersekongkol pula dengan hadharah jahiliyyah dalam kerja buat serta perjuangan mereka. Keadaan ini adalah sesuatu yang lebih tepat dengan ciri-ciri munafiq di akhir zaman yang serba canggih ini.

Sebenarnya.., “Dalam membina hadharah, ummah cuma mempunyai dua pilihan sahaja samada memilih untuk membina Hadharah Islamiyyah ataupun membina Hadharah Jahiliyyah. Di sana tidak ada pilihan ketiga dan tidak ada pilihan untuk menjadi pemerhati ataupun berkecuali. Semua individu ummat tanpa kecuali memainkan peranannya serta mengambil posisinya masing-masing dalam pembinaan dan pembentukan hadharah ini. Walaupun siapa dia, seorang pemimpin ummah, seorang ulama’, seorang manusia biasa maupun berdarjat, siapa sahaja - samada dia membina hadharah atau hadharah yang akan membina dia. Kerana hadharah yang diertikan sebagai sistem hidup itu akan tetap menempati dan mengambil ruang dalam roh dan jasad diri manusia, di mana ia akan hidup dan berkembang seiring dengan perkembangan manusia.”

“Justeru itu samada kita memilih untuk membina hadharah atau tidak, hadharah akan tetap terbina. Sekiranya ummah memilih Deenul Islam, cara hidup Islam sebagai hadharah yang dibina dalam kehidupan ummah maka akan terbinalah Hadharah Islamiyyah, tetapi sekiranya ummah hanyut dan membiarkan dirinya tidak memilih apa-apa untuk dibina sekalipun, maka akan terbinalah hadharah yang mengikut arus deras masyarakat massa yang menguasai segenap kehidupan manusia pada masa sekarang iaitu arus jahiliyyah, arus maddiyyah atau kebendaan, arus kemegahan, ketamakkan dan kesombongan, arus tamadun bankrup yang akan membawa kerosakkan di atas muka bumi ini.” Buletin bil 12.

Samada disedari atau tidak, suka ataupun benci sebenarnya hadharah yang terbina dan membudaya dalam kehidupan ummah pada hari ini adalah Hadharah Jahiliyyah yang bertopengkan demokrasi berpelembagaan. Ia berdenyut bersama dengan denyutan nadi dan jantung manusia termasuk ummat, berjalan dalam aliran pemikirannya dan bergerak serentak dengan segala pergerakan perjuangannya serta berkembang maju mengikut kemajuan pembawa yang beriman kepadanya… sebagai sistem berhala demokrasi yang ada perlembagaan…. Wahai pembela-pembela kebenaran…!! Nyahkan mereka dari sini..!!! Sekian dari Ibnu Ramadhan.        ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari: Buletin al-Hadharah.Com atau : http://sanaabel.blogspot.com/

Khamis, 19 Ogos 2010

'Tahaluf as-Siyasi' Terpesong Oleh Kemahuan Serakah? - Bil 111/Ramadhan 1431


~*  الحضارة
Alhamdulillah! Dengan limpah serta izinNya dapat kita, sekali lagi memasuki bulan Ramadhan al-Mubarak yang penuh berkah ini buat ke sekian kalinya. Ramadhan 1431… semoga kehadiranmu mencerahkan perjuangan ummah yang kami pundaki.

Selawat dan salam kepada Rasul Muhammad saw, kaum keluarga, para sahabat baginda semuanya. Kepada muslimin dan muslimat semua, semoga diberi taufiq serta hidayah oleh Allah swt agar Ramadhan yang datang tidak berlalu dengan sia-sia.
`Haa Miim. Demi Kitab (Al Qur'an) yang menerangkan kebenaran. Sesungguhnya Kami menjadikan Al Qur'an dalam bahasa Arab supaya kamu memahami (nya)`. az-Zukhruf 1-3

Baru-baru ini, PAS sekali lagi melalui pimpinannya mendendangkan irama syahdu `tahalluf-siyasi` untuk meyakinkan ahli serta orang bawahannya sekali gus ummat Islam, bahawa kerjasama PAS dengan DAP dan PKR dalam PR dibuat berdasarkan lunas-lunas ajaran Islam. Kata Presidennya-“PAS menolak pelawaan UMNO untuk bersatu bukan kerana ego tetapi tegas berpegang teguh dengan prinsip Islam”

Persoalannya, apakah benar ianya dibuat berdasarkan sikap tegas dan berpegang teguh dengan prinsip Islam? Apakah buktinya… yang ummah boleh berpegang? Sedangkan semua orang tahu tidak beberapa lama dulu idea UG atau kerajaan perpaduan yang hangat diperkatakan semua pihak itu keluar dan terbit dari bibir mulut siapa..? Presiden MIC yang dah nyanyok tu ka… atau Presiden yang tegas dan kuat berpegang teguh dengan prinsip…?? Akhbar lidah rasminya sendiri Harakah, banyak memperjelaskan idea kerajaan UG ketika itu, tetapi apabila ianya terbantut… dek sergahan tokoh populist massa yang selalu ‘merawet-am’. Pada ketika itu.. jangan tanya atau sebut lagi soal tegas, berpegang teguh dengan prinsip. Semuanya jadi lebur dan mengikut arus kemahuan popular masyarakat massa.

Bagi saya prinsip PAS yang terserlah ialah tegas, berpegang teguh dengan prinsip yang dikehendaki oleh suasana khalayak semasa. Saudara ummah boleh rujuk Harakah bil 1562/63 “Konsep tahaluf siyasi membezakan PAS (yang ada feqah politik) dengan UMNO (tidak kira feqah politik) iaitu dalam soal kerjasama dengan pihak lain, setelah dikaji dari pandangan syarak dan keperluan politik semasa.”  Bagi PAS pandangan syarak setaraf dengan keperluan politik semasa ataupun lebih rendah dari pandangan politik semasa yang sentiasa lebih tinggi.PAS jangan cuba menipu mengatakan tegas dan berpegang teguh dengan prinsip Islam ( Kami ummat Islam rasa nak termuntah..) Secara praktiknya keperluan politik semasa itulah yang menjadi kuasa pemutus dalam semua tindakan PAS. Sebab itu Lajnah Politik yang mengatasi dari segi praktiknya walaupun terdapat Majlis Syura…kononnya.

Tahaluf-siyasi yang cuba dikaitkan dengan peristiwa hijrah Nabi saw iaitu mengambil khidmat seorang bukan Islam untuk menunjukkan jalan alternatif melalui pesisiran pantai ke Madinah dengan kerjasama yang mereka jalinkan sekarang PR, menunjukkan mereka keliru atau cuba menyimpang dari keseluruhan contoh peristiwa hijrah. Sedangkan Nabi Muhammad saw telah mengarahkan terlebih awal supaya kaum muslimin berhijrah secara diam-diam kecuali Saidina Umar al-Farouq sahaja yang mengistiharkannya di depan Kaabah. Nabi saw mengambil peluang menggunakan khidmat dan bermuamalat (dakwah) dengan seorang yang belum Islam sebagai ‘penunjuk jalan’ bukan penunjuk jalan perjuangan semasa perjalanan hijrah. Itupun cuma perjalanan ke suatu destinasi sahaja (perkhidmatan berbayar upah) macam kita naik teksi ke suatu stesen untuk ambil perjalanan lain pula.

Tanpa rasa malu PAS mengkiaskan tahaluf-siyasi mereka dengan perjanjian ‘Sahifah Madinah’ yang merangkumi seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam yang berada di Madinah ketika itu. Tetapi kenapa segala butir perjanjian itu tidak didedahkan kepada ummat Islam. Jika manifesto pilihan raya boleh diedarkan kenapa ‘risalah dakwah’(jika benar wujud) tidak didedahkan macam dokumen Negara Islam yang masih bersepah dan bertimbun di markaz-markaz usang PAS seluruh negara. Di sini saya ingin menuntut hak saya sebagai ummat Islam serta ahli PAS supaya pimpinan PAS menunjukkan bukti atas apa butir-butir perjanjian yang mengikat mereka dalam PR. Jika tidak… jangan menipu atau mengaburi ummah dengan kalimah-kalimah Islamik. Ummah sendiri berhak mengetahui dan menilai, apakah kepentingan mereka yang dipertahan dan diangkat atau mereka cuma hanya diperalat untuk kesenangan serta kemewahan beberapa kerat pemimpin-pemimpin keparat.    

Perkara penting yang ummah perlu sedar bahawa mustahil bagi Nabi Muhammad saw menyembunyikan kebenaran. Sebab itu semua butir-butir dalam ‘Sahifah Madinah’  dan ‘Perjanjian Hudaibiyah’ yang berlaku di zaman Baginda Rasul saw, termaktub secara terperinci tercatit butir-butir yang disepakati bersama oleh pihak-pihak yang mengikat perjanjian tersebut, dihebahkan kepada seluruh ummat Islam dan bukan Islam. Malah kita ummat mutakhir ini pun boleh membacanya sampai sekarang bukan perjanjian ‘rahsia’.

Saya teringin sangat nak membandingkan kelebihan-kelebihan yang PAS bakal dapat dalam PR melalui tahaluf-siyasi dari sudut ‘siyasah-syarieyyah’ pula, dengan tawaran-tawaran yang pernah PAS lepaskan dari UMNO dan raja-raja Melayu dulu. Sekiranya saudara ummah masih ingat selepas pilihanraya 2008, seperti yang didedahkan oleh RPK(Raja Petra Kamarudin) dalam sebaran blog…

“Sekiranya anda masih ingat, ianya mengambil masa seminggu untuk kerajaan baru di Perak dan Selangor mengangkat sumpah selepas pilihanraya umum Mach 2008. Kedua-dua Sultan di negeri ini mahu ‘membincangkan’ terlebih dahulu dengan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat. Sultan kemudiannya meletakkan beberapa syarat sebelum bersetuju untuk melantik Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri yang baru.”

“Kelewatan selama seminggu ini juga membolehkan Barisan Nasional menawarkan kemungkinan untuk UMNO bergabung dengan PAS untuk membentuk kerajaan baru di Selangor dan Perak. Malah, UMNO bersetuju memberikan kerusi Menteri Besar kepada PAS di kedua-dua negeri ini. dan kemuncaknya, UMNO malah bersetuju untuk membenarkan PAS melaksanakan undang-undang Islam di kedua-dua negeri ini. Tetapi, PAS terus bersama dengan dua rakan mereka, PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat dan menolak tawaran UMNO.”

Saya seperti tidak percaya apabila membaca kembali setiap perkataan yang ditulis oleh RPK tersebut. Bagi saya jika ketika itu PAS dipandu oleh siyasah-syarieyyah yang sentiasa mendahulukan syarak (Hukum dan kehendak Allah /Islam) maka sudah tentu 4 buah negeri Melayu (Kelantan, Kedah, Perak & Selangor) bakal mengembalikan suasana sebelum Perjanjian Pangkor (Undang-undang Islam) yang telah diragut pergi oleh British dahulu. Malangnya… PAS ketika itu mendahulukan siyasah-politik @ tahaluf-siyasi @ feqah-politik yang bermazhab‘demo & kawe mau kerusi’ serta tunduk kepada kemahuan ramai.

Buktinya lagi apabila Presidennya nak tunjuk ‘baik-bodoh’ tak kena tempat- “PAS tidak akan berkawan dengan UMNO, kerana mahu meringankan beban parti itu yang kini sarat dengan pelbagai penyakit seperti rasuah, dan rakyat mulai membenci setiap tindakan mereka.” Bermakna jika PAS pergi berkawan akan menambahkan lagi beban penyakit.. kerana PAS itu sendiri pun pembawa penyakit. Atau, PAS jenis golongan yang pilih kasta hanya akan berkawan dengan yang kasta elok, yang dah tenat.. biaq dia mampuih! Tak perlu bantuan apa-apa. Ataupun, PAS dah bertuhankan orang ramai demokrasi. Apa yang orang-ramai (rakyat) suka @ benci, itulah yang PAS suka @ benci.

Dengan fakta-fakta yang ada di depan mata, ummah sendiri boleh menilai pihak mana yang mengkhianati perjuangan Islam tetapi cuba berselindung di sebalik ‘status-quo’ mereka serta namanya sebagai partai politik ummat Islam. Jadikan Ramadhan kali ini Furqan (Pembeza yang haq & batil).
Sekian dari Ibnu Ramadhan.               ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-