Halaman

Sabtu, 18 September 2010

Ummah Perlu Merungkai Kekusutan Secara Tuntas - Bil 115 / Syawal 1431

~* الحضارة


Firman Allah swt : Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." al Baqarah : 208. Segala puja dan puji hanya layak untukMu ya Allah Tuhan Pentadbir sekelian alam. Tidak pernah dilupakan Selawat dan Salam buat Rasul yang Mulia penunjuk jalan kebenaran, ahli keluarga serta sahabat baginda yang diredhai semuanya. Salam Allah , rahmat dan kasih sayangNya buat ummah yang dikasihi.


Alhamdulillah, dengan izinNya saya dapat berbicara semula bersama ummah untuk seterusnya, setelah tamat ‘berpantang’ bagi cahaya mata yang kelapan yang merupakan putera ketiga keluarga Sanaabel. Putera yang saya doa dan harapkan menjadi satu lagi batu-bata, bakal meneruskan pembinaan kembali Hadharah Islamiyyah yang telah lama sirna dari kehidupan ummah, insyaAllah. Kesibukan sebagai seorang ibu, pendidik kepada anak-anak dan suri rumah memang tak terhela lagi, namun sebagai seorang muslimah, mukminah, mujaahidah.., saya tak akan berdiam diri daripada menulis.. menyatakan kebenaran insyaAllah.

Masa begitu pantas bergerak menuju ke destinasinya yang dijanjikan oleh Allah yang entah bila penghujungnya. Ramadhan yang diberkati telah pun melabuhkan tirainya, manakala Eidil Fitri yang menjelma  adakah bersama kemenangan atau kekalahan buat seseorang pejuang ? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Begitu juga dengan sambutan kemerdekaan, berlalu dengan pelbagai peristiwa yang penuh tragis. Setelah 53 tahun bersama @ seiring dengan sistem demokrasi yang diwarisi daripada penjajah, rupa-rupanya kita perlu membayar harga yang cukup mahal untuk sebuah kemerdekaan yang telah kita kecapi selama ini. Pembunuhan, pembuangan anak, keruntuhan akhlak, murtad dan berbagai gejala sosial begitu gawat terpaksa ummah hadapi.

Semakin hari statistiknya semakin meningkat. Para pemikir sekular, tokoh masyarakat, ahli politik, penceramah dan pakar motivasi agama  masih tidak menjumpai jalan penyelesaian yang sesuai dan tuntas. Bahkan mereka menyembunyikan kebuntuan mereka dalam mencari apakah punca kekusutan atau penyebab sebenar kepada permasalahan yang berlaku. Ada yang menyalahkan ibu bapa, pendidik, kawan-rakan dan faktor suasana masyarakat sekeliling. Seterusnya dibuat resolusi.. bagaimana cara dan kaedah penyelesaian. Tapi usahanya tampak tak menjadi…dan tak akan berjaya selama-lamanya …, kambus lubang sini, berlubang lagi besar di sana-sini. Oh..! bagaimanakah nasib generasi ummah untuk meneruskan lestari kehidupannya di bumi tercinta ini, khususnya Malaysia tanahairku! Inilah Negara Malaysia yang kita warisi dan sambut penubuhannya baru-baru ini. Hakikatnya inilah kesilapan UMNO (parti bangsa Melayu yang sebahagian besarnya beragama Islam) 53 tahun yang lalu apabila bersedia menerima kemerdekaan bersistemkan demokrasi penjajah Barat. Hasilnya yang kita nikmati sekarang adalah sebuah negara yang bankrup dengan keimanan, persaudaraan dan kemanusiaan.

Assyahid Sayyid Qutb rahimahullah pernah menegaskan bahawa umat Islam tidak ada pilihan lain untuk menjana kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, melainkan kembali menegakkan sistem perundangan Islam seluruhnya. Hujah beliau, dunia telah menyaksikan 2 kali perang dunia dalam tempoh seabad yang akibatnya, tegak di seluruh dunia sistem kembar  iaitu falsafah hidup mengagungkan kebendaan semata-mata, sama ada di bawah sistem demokrasi barat ataupun sistem  komunis @ sosialisme timur.
Akibat dominasi global.. pola kehidupan sistem asing itu, umat Islam bukan saja tersepit, kehilangan identiti, malahan sentiasa menjadi mangsa penindasan, kesengsaraan dan kezaliman kuasa-kuasa besar dunia.
Sejujurnya saya ingin mengajak ummah berfikir secara ikhlas dan amanah dengan aqidah Islam yang kita imani, melihat permasalahan dari kaca mata Islam. Punca sebenar dan asas permasalahan adalah sistem penjajah yang kita warisi itu sendiri. Sistem yang dipakai selama inilah yang telah melahirkan ibu bapa yang bermasalah, pendidik yang tidak amanah dan masyarakat yang punah. Sekali lagi saya ulangi jangan takut untuk bersikap jujur dengan agama yang kita anuti bahawa segala permasalahan wajib diselesaikan dengan perubatan @ kaedah kembali menghidupkan cara hidup Islam seluruhnya sepertimana yang diseru oleh Allah Taala dalam ayat di atas, masuklah kamu ke dalam Islam semuanya samada dari segi siyasah (politik), ekonomi, pendidikan, bermasyarakat dan sebagainya, sesungguhnya Allah menjanjikan ganjaranNya syurga seluas langit dan bumi.

Kita juga perlu sedar bahawa kita sedang menghadapi jihad akbar pada abad ini, seperti yang telah dinyatakan oleh baginda Rasul saw lebih 1400 tahun yang lalu di mana bentuk serangannya menyeluruh ke setiap sendi-sendi penting ummah. Musuh telah menghala serangannya terhadap aqidah, serangan pemikiran, serangan budaya, serangan psikologi, serangan terhadap pendidikan, serangan terhadap siyasah (politik) dan berbagai lagi serangan yang begitu seni sifatnya yang telah melumpuhkan Hadharah Ummah untuk sekian lama. Terakhirnya… barulah dengan mudah mereka menguasai pemerintahan ummah dimana-mana bahagian dunia ini. Senjata yang digunakan adalah senjata yang paling murah di pasaran terbuka maupun pasaran gelap iaitu senjata hawa nafsu kita sendiri. Apabila ditawarkan dengan sedikit habuan dunia, kebendaan, kuasa… penangannya begitu dahsyat sekali, sehingga ummah dari kepalanya yang berserban sampai bawahnya yang berkaki ayam…… jatuh tersungkur, terkulai layu.

Ummah yang masih tersedar terpinga-pinga, di manakah harus dimulakan kebangkitannya ? Ummah sering tertipu dan selama-lamanya akan ditipu dan dipermainkan sekiranya ia tidak mengambil Islam secara yakin dan bersungguh-sungguh untuk dipraktik serta dijadikan panduan dalam kehidupannya. Ya! Islam sebagai ad deen wajib diberi ruang menempati setiap segi dalam realiti kehidupan kita secara peribadi, berkeluarga, berjiran dan dalam masyarakat keseluruhannya, yang akhirnya akan membentuk satu budaya kehidupan Islam atau Hadharah Islamiyyah . Maka Hadharah Islamiyyah inilah yang akan sedikit demi sedikit menghakis dan menyahkan segala rangkaian sistem Hadharah Jahiliyyah yang telah membumi dalam kehidupan ummah selama ini insyaAllah. Ia bukanlah suatu perkara mudah seperti yang dicakapkan, pembinaan hadharah ini memerlukan pejuang-pejuang yang sanggup disisih oleh arus perdana Hadharah Jahiliyyah, dipandang sepi kawan taulan, dihina @ dikeji oleh musuh perjuangan dan sanggup menanggung kesempitan serta kesusahan hidup serba sederhana dengan menjauhkan diri daripada segala maksiat yang diharamkan oleh Allah swt. Kenapa pula.. seorang pejuang Islam tidak sanggup bersama pusingan putaran roda Islam? Jika Islam ketika ini di bawah kita juga di bawah, jika Islam dihina kita juga terhina, kalau Islam ditentang kitalah para pejuang yang sanggup menggadai nyawa menjadi galang gantinya.

Justeru itu saya melihat amat malang sekali nasib PAS yang telah menanggung amanah perjuangan ummah (Islam) oleh ulama’ dan pemikir Islam serta ummat yang ikhlas dahulu, kini telah diselewengkan oleh pemimpin dan penyokongnya yang tamak dan rakus. Saya berpandangan, PAS hanya akan mengulangi kesilapan UMNO apabila berpakat untuk mengambil demokrasi sebagai dasar perjuangannya bersama PKR dan DAP. Apakah PAS harus memusnahkan roh perjuangannya yang sebenar (perjuangan ummah) disebabkan ahlinya tidak peka tetapi pekak dan buta dalam menilai di manakah intan, yang manakah kaca. Tepuk dada tanyalah iman kita, jangan tanya selera politik saja. Adakah PAS sebagai jamaah ummat Islam begitu hina, harus mewarisi segala kebankrupan negara untuk menjadi pencuci.. membaikpulih sistem demokrasi jahiliyyah dan segala kerosakan yang telah dihasilkannya. Atau PAS dengan penuh amanah tampil mengambil tanggungjawabnya membina kembali Hadharah Ummah yang mulia seterusnya dengan penuh izzah jika diizinkan Allah swt untuk memerintah negara.

Saya akhiri buletin kali ini dengan kata-kata hikmah yang ditinggalkan oleh al-Marhum Ust Fadhil Noor; “kita tidak rela Islam dijadikan tempelan untuk memperbaiki kerosakan yang terhasil dari kegagalan sistem masyarakat materialis yang menguasai politik negara pada masa kini” Petikan buku Masyarakat Madani Alaf Baru 2003 M. Sekian,  semarakkan perjuangan dari Ummu el-Husna.
qulil haq walau kana murron’
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com layari: http://buletinal-hadharah.blogspot.com/ @ : http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan