~* الحضارة
`Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-orbit) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan haq. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui`. Yunus -5.
Syukur kepada Allah swt yang telah mengizinkan kita untuk meneruskan kehidupan hingga melewati ke saat ini. Selawat dan salam penuh penghormatan kepada penghulu segala Nabi dan Rasul, Muhammad saw. Tidak dilupakan kepada seluruh kaum keluarga dan para sahabat Baginda yang pernah bersama-samanya.
`.. demi `sebuah` kepentingan ego perjuangan kelompok sendiri bukan lagi kepentingan Islam yang sebenar yang menitik-beratkan kepentingan ummah keseluruhannya.` Buletin Bil 81. Sengaja saya memetik sedikit tulisan keluaran yang lalu bagi memperjelaskan lagi suasana sebenar yang melingkari kehidupan ummah semua dan seterusnya supaya insyaAllah, mudah bagi kita untuk menampakkan halatuju hijrah dan masa depan perjuangan ummah yang mendatang.
Bagi saya selagi sebahagian dari kita bersikap mementingkan diri serta kelompok sendiri dengan meninggalkan kepentingan ummah keseluruhannya, maka mustahillah perjuangan Islam yang sebahagian besar dari kita mendakwa memperjuangkannya akan terlaksana atau tercapai. Kerana Islam tanpa ummah ialah ibarat `roh tanpa jasad` atau `nyawa tanpa badan`. Islam ialah ajaran yang diturunkan dari langit untuk manusia (termasuk jin) di bumi melaksanakannya. Manusia yang menerima dan beriman itulah yang tergolong sebagai ummat Islam @ ummah.
Jika perjuangan yang tidak meletakkan kepentingan ummah di depan, saya berani mengatakan bahawa mereka sebenarnya telah menciplak atau mencabul perjuangan Nabi saw yang mulia dengan meletakkan perjuangan mereka sendiri atau kelompoknya mengatasi perjuangan Islam yang sebenar. Pada zaman mutakhir ini kita dapati banyak pihak mendakwa memperjuangkan Islam atau merekalah waris yang sah bagi perjuangan Islam. Benarkah dakwaan semua pihak-pihak tersebut atau bagaimana bagi ummah untuk memilih serta menilainya? Allah swt berfirman maksudnya;`Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.` at-Taubah -105.
`Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur'an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.` al-Hajj-78.
Dalam keadaan ummah kebanyakkan berada ditengah-tengah `pendakwaraya-pendakwaraya` yang mengatakan mereka yang betul, merekalah jemaah Islam dan berada pada landasan yang sebenar perjuangan Islam, saya suka mencadangkan kepada ummah agar mempunyai neraca ukuran sendiri seperti saranan ayat-ayat al-Quran di atas dan pandangan ulama`-ulama` muktabar yang mutakhir menganjurkan kita tolong-menolong atas dasar taqwa yang kita sepakati dan beruzuran diri dalam perkara-perkara yang kita berbalah atau tidak sepakat, lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara khilafiah.
Usaha-usaha untuk mengujudkan sebuah badan kerjasama ummah mewakili semua kelompok ummat Islam yang bertanggungjawab ke atas ummah secara langsung dalam semua segi kehidupannya mestilah diteruskan sehingga ianya dapat direalisasikan. Ummah tidak boleh berpuashati dengan apa yang ada, kerana kelompok atau jemaah yang ada sekarang telah mengalami proses `pengucupan` akibat kelesuan fikrah perjuangan kelompok sendiri. Fikrah-fikrah Islami yang segar, tidak berjaya mereka terjemahkannya ke dalam suasana kehidupan sebenar dan semasa. Kebanyakannya terpaksa `dilute`(cair) dengan suasana sekeliling masing-masing yang lebih mengungguli tarikan massa . Tidak kurang juga mereka terjerumus membina kekayaan dan dunia peribadi bukan lagi kepentingan perjuangan ummah.
Walau apapun kita yakni ummah mesti berjiwa besar, memberi kebebasan kepada setiap kelompok yang sudah yakin dan merasakan mereka ikhlas dengan cara dan pendekatan masing-masing untuk beramal malah berjihad bagi mengembalikan Islam pada tempatnya. Seterusnya kita juga mesti memberi kebebasan dan ruang untuk mereka yang baru berjinak dan belajar menimba pengalaman untuk memilih supaya mereka juga ikhlas beramal serta berjihad dalam perjuangan Islam untuk mencari keredhaan Allah swt. Apa yang penting setiap dari kita samada kelompok mana pun mestilah membuat yang terbaik untuk ummah dan Islam. Yang akan menghakiminya ialah Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman.
Berbalik kepada idea badan kerjasama ummah, biarlah badan itu nanti dipimpin oleh mereka yang benar-benar layak untuk memimpin ummat sepenuh masa. Pemimpin-pemimpin badan kerjasama ummah itu mestilah mereka yang mengutamakan kepentingan dan keperluan ummah marhean, mustada`fin, fuqara wal masakin bukannya elaun atau pendapatan mereka sendiri. Mereka sebagai sebuah badan yang mengurus segala sumbangan atas nama ummat Islam berhak mendapat gaji atau elaun sebagaimana kakitangan sebuah kerajaan ummah. Tetapi segala pendapatan atau hasil `ghanimah` yang mereka perolehi atas sifat mereka sebagai pemimpin bukanlah hakmilik mereka sebenarnya tetapi hakmilik ummah atas nama badan tersebut, yang perlu diurus oleh baitulmal badan @ ummah.
Misalnya jika badan itu nanti berjaya menghantar wakil-wakilnya ke DUN atau parlimen atau mungkin menjadi MB, segala gaji, elaun atau pencennya nanti yang didapati dari kerajaan semasa bukanlah milik mereka secara peribadi. Milik mereka hanyalah elaun atau gaji serta sumbangan yang badan atau jemaah agihkan. Seperti dalam sejarah peperangan-peperangan ummat Islam segala ghanimah atau harta rampasan perang bukan semua terus menjadi milik tentera-tentera Islam. Apatah lagi dalam pilihanraya contohnya bukan yang menang jadi YB itu sahaja yang menyingsing lengan `berperang`. Satu kes lagi mungkin berlaku seseorang pemimpin penting badan difitnah musuh melalui media, lalu pemimpin tersebut menyaman dan menang segala tuntutannya contohnya ratusan ribu atau jutaan ringgit sebagai bayaran gantirugi. Gantirugi itu bukan miliknya juga 100%, kerana jika beliau bukan seorang pemimpin badan tersebut hanya individu biasa di kampung atau di felda adakah beliau akan menjadi sasaran fitnah oleh media massa ?
Sebenarnya banyak sumber-sumber pendapatan ummah yang selama ini diabai atau tidak diurus dengan baik, sebab itu ummat marhaen, mustad`afin dan yang sewaktu dengannya terbiar keperluan asas kehidupan mereka. Pendidikan, kebajikan, dakwah dan sebagainya seperti dibiarkan berjalan dengan sendiri kerana belum ada sebuah badan ummah yang lengkap untuk menjaga keperluan serta kepentingan mereka. Jika ada pun sekarang hanyalah anggota-anggota yang tidak sempurna, contohnya kepala saja, kaki dengan perut, tangan dua belah tapi badan takdak malah ada yang semua ada tetapi serba satu, mata satu.. telinga satu.. telor pun satu.. dan otak pula sebelah saja, sebelah kirinya sahaja (memori konflik).
Alahai… ummah! beginilah nasibmu.. bila meninggalkan Islam yang mulia. Sebab itu saya nampak untuk memperbetulkan kembali keadaan, adalah satu keperluan penting Maal Hijrah mewujudkan badan kerjasama ummah. Sekian Dari Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan