~* الحضارة
`Haa Miim. Diturunkan Kitab ini (Al Qur'an) dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui, Yang Mengampuni dosa dan Menerima taubat lagi keras hukuman-Nya. Yang mempunyai kurnia. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Hanya kepada-Nyalah kembali (semua makhluk). Tidak ada yang memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah, kecuali orang-orang yang kafir. Kerana itu janganlah pulang balik mereka dengan bebas dari suatu kota ke kota yang lain memperdayakan kamu.` al-Mukmin 1-4.
Selawat dan salam perjuangan kepada Nabi dan Rasul saw, kaum keluarga serta para sahabat sekeliannya. Kepada ummah mutakhir, semoga diberi taufiq dan hidayahNya bagi menghindari fitnah besar diakhir zaman ini.
Bertemu kembali saudara ummahku, bagi membicarakan persoalan dan kepentingan bersama kita sebagai ummat Muhammad saw yang ditakdirkan Allah swt supaya memikul amanah kehidupan di penghujung tempoh dunia sementara dan fana ini. Sebagai seorang yang beragama Islam tidak mengira apa pun rupa bangsa kita, apa pun pegangan mazhab dan jemaah yang menjadi anutan kita sekarang. Kita terpaksa akur dengan realiti `berpecah`, tidak sependapat, berbeza uslub, hadaf atau bidang pengkhususan yang berlainan.
Seterusnya kekuatan dan kepentingan yang ada pada masing-masing dari kita juga terpisah-pisah, separuh-separuh, separa-matang dan tidak lengkap. Kekuatan atau kepentingan yang separuh lagi ataupun yang bisa melengkapkan segala kekurangan-kekurangan yang ada pada pihak kita, terdapat pada orang lain. Dengan bahasa mudahnya, ia terdapat pada pihak yang tidak bersama dan berbeza dari kelompok kita. Walaupun mereka sebenarnya seagama dengan kita, tetapi kita lebih rela hidup diselaputi jerebu dan suasana kekeruhan yang berpanjangan tersebut demi `sebuah` kepentingan ego perjuangan kelompok sendiri bukan lagi kepentingan Islam yang sebenar yang menitik-beratkan kepentingan ummah keseluruhannya.
Selagi suasana jerebu dan kekeruhan yang menyelaputi masyarakat ummah ini berlarutan, pihak musuh sebenar ummat Islamlah (orang-orang kafir) yang berjaya menangguk segala khazanah yang masih tersisa terdapat pada ummah. `Divide and rule` @ pecah dan perintah, seperti hanya pandai untuk disebut dan dijaja ke sana ke mari bagi menampakkan macam kita ni berada di pihak yang tidak rela berpecah-belah dan mementingkan perpaduan. Hakikatnya pihak kitalah yang menjadi juara perpecahan ummah, dengan issu sembahyang 2 imam, sembelihan pihak parti lain tak boleh makan ta`adud jamaah dan macam-macam lagi yang telah menjadi sejarah pahit kepada usaha perpaduan serta penyatuan ummah. Demi kepentingan kedudukan dan perjuangan kita yang sempit kita mengatakan tidak perlu untuk berbincang atau berdialog dengan seteru politik kita dan mengatakan mereka tidak ikhlas menawarkan perbincangan perpaduan ummah. Kita yang meletak syarat yang bukan-bukan supaya menjadi penghalang kepada usaha perbincangan untuk menyatukan ummat Islam.
Sebaliknya, kita boleh pula `ikhlas` menjalinkan perhubungan untuk perpaduan rakyat pelbagai agama tanpa memperdulikan syarat-syarat syarie pun. Adakah pihak-pihak bukan Islam itu semuanya ikhlas nak membantu kita menegak Negara Islam, tidak pula mencurigai kita. Jika nak berbincang sesama saudara seagama kita begitu `rigid` tidak ada `ruksah` langsung, sombongnya… ilmuan kita. Tetapi apabila berdepan dengan apa yang kita mahukan walaupun bukan Islam semua jadi jernih dan suci pula. Adilkah kita dengan ilmu… bersikap begini terhadap pegangan keyakinan sendiri ??
Sebagai ummat Islam, saya fikir kita yakni ummah seluruhnya tidak perlu terseret jauh ke dalam kemelut yang memperjuangkan kepentingan kelompok-kelompok yang sememangnya suka akan suasana keruh dan berjerebu ini kekal berlarut-larutan. Mereka ini semua persis seperti `broker-broker` saham atau `speculator` matawang. Mereka mengaut keuntungan dari ketidak-tentuan pasaran yang mereka `manipulate`kan , kesamaran malah kebodohan ummah itulah bidang keutamaan mereka sebenarnya. Mereka suka ummat terima sahaja tanpa berfikir akan untung nasib ummah sendiri. Spesis yahudi yang melahirkan `mason-mason` di seluruh dunia ummat Islam yang bertindak sebagai `rahib-rahib` atau kultus baru bagi masyarakat ummah yang lemah dan fanatik atas nama `agama`.
Sedangkan Islam mengajar ummatnya berpegang kepada kebenaran, fakta yang dipandu oleh al-Quran dan sunnah Nabi saw. Ajaran ini akan menjadikan kita berterus terang tidak berdolak dalik dan tiada mempunyai `the hidden agenda`. Agenda kita ialah untuk kepentingan semua ummah dan manusia sejagat. Itulah yang kami di buletin al-Hadharah ini cuba perjuangkan… antaranya ialah ingin mengembalikan semula kesegaran, kejernihan dan insyaAllah ketelusan dalam perjuangan Islam dan perjuangan ummah khususnya di Malaysia ini. Saya akui tidak semua yang ditulis itu 100% betul belaka, begitu juga sebaliknya tidak pula semua tak bernilai. Tetapi kami berhasrat benar supaya ummah tidak diperbodoh, disekat, dicucuk hidung dan dinafikan haknya untuk melihat, mengenal, menilai serta memilih kebenaran yang ummah sendiri yakin betul… `Fastabiqul khairat` sebagai ummat Islam kita sewajarnya berlumba-lumba mengerjakan kebaikan untuk kemaslahatan ummat (bukan untuk diri atau kelompok sendiri). Buletin Bil 52.
Kepada mereka yang rasa terpanggil untuk memperjuangkan kepentingan ummah saya ulangi, teruskan bersuara… tinggalkanlah titik bengik perbezaan dan perseteruan yang berasaskan hawa nafsu sehingga dapat diwujudkan `badan kerjasama` yang benar-benar mewakili suara dan kepentingan ummat Islam tanpa perjudis manusiawi lagi hanya mencari keredhaan Allah swt semata-mata. Itulah bagi saya cabaran masa kini yang terbentang di hadapan ummah semua samada anda ahli PAS, UMNO, PKR, DAP, ABIM, JIM, Tabligh, NGO atau siapa sahaja anda. Tidak kira anda berbangsa Melayu, India, Cina, Arab, Pakistan, Inggeris, Jawa, Bugis, Iban, Kadazan, Murut atau apa sahaja bangsa atas mukabumi ini, jika anda Islam anda adalah ummah yang perlu menyahut cabaran ini… Buletin Bil 76.
Firman Allah swt; `Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya dan Kitab yang terang. Dengan itu, Allah memimpin siapa yang mahu mengikut keredhaanNya ke jalan perdamaian, dan mereka dikeluarkanNya dengan izinNya dari kegelapan kepada cahaya yang terang, dan mereka dipimpinNya kepada jalan yang lurus` al-Maedah 16.
Alangkah.. indahnya.. jika sebuah badan yang mengurus dan mengawal-selia ummat Islam khususnya di Malaysia ini hanya tunduk dan takut kepada Allah swt sahaja tiada yang lain. Badan ini pula menjadi payung dan tempat bernaung seluruh ummat yang miskin, yang hina, yang terinaya malah rakyat jelata semua sama rata di sisi mereka. Badan ini menjadi `kerajaan bayangan` kepada ummat, yang bertanggungjawab membimbing dan menyelamat serta mengagih-agihkan kekayaan ummah anugerah Allah swt supaya merata… tidak bertompok-tompok kepada intan terpilih sahaja. Pihak pengurusan badan ini rela dan redha hanya mendapat `kuah` sahaja untuk diri mereka kerana `isinya` perlu diagihkan dan diutamakan kepada keperluan asasi marhean, mustad`afin serta ummah kebanyakan seluruhnya. Sebagaimana kehidupan Nabi saw dan para sahabat-sahabat radhiyallahuanhum ajmaeen.
Mungkin `keterlaluan` atau idealis apa yang saya lakarkan tadi.. tetapi itulah yang terlintas dan tergambar pada fikiran saya apabila mengingat kembali kisah seorang Arab Badwi yang tidak berpelajaran ketika itu (ukuran hari ini) memberi respon kepada seruan dan ajakan Rasul saw supaya beriman hanya kepada Allah swt semata-mata (Ajaran Islam). “ Jika inilah ucapan (ajaran) yang kamu seru wahai Muhammad, maka kamu akan diperangi oleh orang-orang arab dan bukan arab, oleh raja-raja yang berkuasa…”
Sekian wallahua`lam bissawab. Selamat menyambut Maal Hijrah 1431. Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan