~* الحضارة
Maksud firman Allah - “Ia menurunkan air dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api (lebur) untuk dijadikan barang perhiasaan atau peralatan yang diperlukan, juga timbulnya buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misalan tentang perkara-perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang sebagai yang tidak ada harganya (nilai). Adapun yang memberi manfaat dan faedah kepada manusia maka ia tetap berada di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal sebagai perbandingan” (ar-Radd 17).
Selawat dan salam kepada Rasul junjungan, Muhammad saw, kaum keluarga serta para sahabat yang bersama-samanya memperjuangkan risalah kebenaran. Kekeliruan mudah terjadi apabila penggunaan istilah `Negara Islam` begitu berleluasa tanpa kefahaman sebenar akan risalah Islam itu sendiri. Keadaan ini terbukti apabila mereka yang memperjuangkan konsep Negara Islam sendiri telah tidak dapat mempertahan dan meneruskannya lalu terpaksa mengikut arus kemahuan masyarakat massa seperti sekarang.
Fenomena ini mustahil boleh terjadi jika perjuangan itu adalah perjuangan yang benar-benar menggerakkan pembinaan hadharah Islamiyyah, seperti yang dicontohi Junjungan Nabi saw. Bagi mengisi kekosongan bicara mutakhir…, buletin kali ini ingin berkongsi pandangan Saudara Dr Aliff Bin Basri dalam tulisan beliau berkaitan topik di atas dengan saudara ummah semua. Selamat membaca…!
Hadharah Islamiyyah lebih tepat untuk dijadikan sebagai matlamat akhir bagi gerakan Islam. Bukannya Negara Islam atau Daulah Islamiyyah atau Darul Islam.
Ini kesimpulan ringkas yang memberi kejelasan tentang perjuangan Islam yang didukung.
Sudut psikologi dan aksi-reaksi (action-reaction) menjadi penilaian utama dalam hal ini, betapa perlunya re-konstruksi fikrah dalam memahami perbezaan antara istilah atau terma di atas. Negara Islam, Daulah Islam dan Hadarah Islamiyyah. Bila berbincang mengenai Negara Islam, ciri yang menonjol adalah dalam aspek perundangan (fiqh Jinayat) dan juga kekuasaan yang harus dikembalikan ke tangan umat Islam yang benar lagi adil. Secara psikologinya, ia sebenarnya secara tidak langsung mengheret semua umat Islam untuk memberi fokus yang banyak dalam aspek politik (siyasah).
Gerak kerja pengislahan lebih tertumpu kepada untuk mendapatkan kekuasaan politik berbanding pembentukan peribadi Muslim. Walaupun memang berlaku proses pembentukan individu Muslim itu, seperti yang dirumuskan oleh Imam Hassan al-Banna, namun dari sudut penghayatannya, aspek siyasah lebih menonjol dan mendominasi pemikiran penggeraknya, khususnya penggerak muda.
Kesan negatif yang dapat dilihat pada sejak kebelakangan ini ialah, wujudnya satu jalur pemikiran yang asing dalam Islam, iaitu segolongan ahli gerakan muda Islam yang seolah-olah mengasingkan kegiatan menuntut ilmu dan proses memperkembangkan potensi idea pemikiran dengan kegiatan yang perlu dilakukan sebagai ahli gerakan Islam dalam satu wadah. Perkara ini, menurut pemerhatian saya amat membahayakan gerakan Islam pada masa akan datang kerana bakal dibarisi dengan para aktivis yang hanya ramai untuk menyeru orang ramai mengundi semata-mata dan pada masa yang sama, kekurangan para aktivis intelektual yang bersifat amanah pada ilmu yang dimiliki dan juga merupakan penggerak Islam yang sufi lagi tinggi semangat jihadnya.
Kembali pada kenyataan awal, bahawa faham negara Islam sebenarnya membuatkan ahli penggeraknya salah faham dari sudut penghayatan dengan berlakunya langkauan ke atas beberapa misi utama sebelumnya iaitu individu Muslim, keluarga Muslim dan masyarakat Muslim. Ia tenggelam dimamah semangat untuk mendirikan negara Islam semata-mata.
Walau bagaimanapun, istilah Hadharah Islamiyyah mampu untuk memulihkan cara berfikir dan bertindak gerakan Islam masa kini, khususnya anak-anak muda gerakan Islam. Melalui faham Hadharah Islamiyyah atau Ketamadunan Islam, ia menjurus kepada satu gerakan reformasi Islam yang lebih luas dan menyeluruh kegiatannya serta mampu menaikkan semangat untuk membentuk peribadi Muslim atau karektor sebagai Insan Kamil dalam diri setiap individu. Ia meliputi aspek kesenian, pendidikan, sosial, ekonomi, politik, kebudayaan dan pemikiran ummah.
Melalui faham untuk pembentukan Hadharah Islamiyyah ini juga, jalinan antara kekuasaan, politik, keilmuan dan adab dapat dilakukan dengan baik dan sempurna. Sebarang prejudis terhadap ilmuan Islam yang berotoriti dalam ilmu masing-masing dapat dikikis serta idea-idea bernas mereka dapat djadikan pertimbangan dalam membuat keputusan. Dalam perkembangan mutakhir ini, saya bersyukur dan gembira bila melihat kesungguhan anak-anak muda gerakan Islam sudah mula menjurus diri kepada pembentukan tarbiyyah aqliyyah dengan mewujudkan budaya ilmu dalam diri dan masyarakat sekitarnya.
Pembelian dan pembacaan buku sudah semakin menjadi kegiatan rutin bagi ahli gerakan muda Islam. Begitu juga masyarakat Islam seluruhnya. Ia merupakan petanda positif bagi umat abad ini, sebagai usaha menghilangkan kejahilan diri. Ini juga merupakan satu langkah awal dalam usaha melakukan islah dengan lebih besar di dalam masyarakat Islam masa kini.
Adalah disarankan pada diri penulis ini terutamanya dan ahli gerakan muda Islam, untuk menjadikan Imam al-Ghazali sebagai Tok Guru dalam pembentukan individu Muslim, melalui karya-karya beliau seperti Bidayatul Hidayah, Minhajul ‘Abidin, Ihya’ Ulumuddin, Tahafut al-Falasifah dan lain-lain karya atau syarah kitab-kitab beliau. InsyaAllah, ia mampu melahirkan individu Muslim yang sihat aqidahnya, ibadahnya, tasawufnya dan juga pemikiran serta tindakannya. Apa pun, ia merupakan satu saranan pilihan terbaik. Di samping itu, tiada masalah untuk membaca dan mentelaah banyak lagi karya-karya agung para ilmuan Islam yang lain. Juga menghadiri pengajian pondok atau mana-mana daurah serta majlis ilmu. Pokok pangkalnya, jadikan proses mencari kebenaran sebagai asas mencari ilmu.
Sesungguhnya ilmu itu adalah sesuatu yang memberi makna dalam diri pencarinya. Makna yang dapat mendekatkan diri kepada Pencipta yang Agung.
Berbalik kepada istilah di atas, istilah dan penghayatan untuk mewujudkan kembali Hadharah Islamiyyah adalah lebih tepat untuk dijadikan matlamat sesebuah gerakan Islam. Penghuraian berkenaan dengan istilah atau perkataan yang saya lakukan adalah atas dasar merasakan ia amat penting agar maksud asal bagi sesuatu perkataan atau istilah dapat difahami dengan jelas dan tepat, seterusnya mampu membentuk suatu paradigma yang jelas tentang suatu perkara atau istilah. Seterusnya ia akan melahirkan sebuah tindakan yang benar berdasarkan istilah yang difahami.
Sekadar perkongsian pada semua.
Wallahu ‘alam. Dari Dr Aliff Bin Basri, Lumut Perak, 18 Oktober 2009.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan