Halaman

Khamis, 19 Ogos 2010

Tumpulkan Pemikiran !! ... Anda Akan Nyaman ?? - Bil 101/ J.Awwal 1431




~* الحضارة 
(Dalam Garis-Garis Sempadan Yang Kelabu)



Kita sedang menjalani kehidupan di zaman yang warnanya kelabu (in tones of Greyiness). Dari kelabu yang pekat, yakni hitam sehingga kelabu asap.... tanpa kita menemui daerah-daerah putih. "Akan tiba atas kamu zaman fitnah yang gelap-gulita, umpama kegelapan malam"

Hatta tatkala berlaku konfliks yang mencetuskan pertumpahan darah sekalipun, yang dibunuh tidak mengetahui kenapa dia dibunuh, dan yang membunuh juga tidak mengetahui kenapa dia membunuh. Kejelasan dan cerah kebenaran telah sirna......


Prinsip telah digadai demi kepentingan dan peluang... kerumitan dalam memahami dan menjalani hidup secara benar telah dipermudahkan dengan slogan hidup untuk sedap. Sepatutnya pemuka/pemimpin sesuatu gerakan yang lebih mengetahui arah tuju gerakan yang dipimpin mereka; idealisma mereka sepatutnya adalah idealisma yang didukung oleh pengikut bawahan, tetapi kini pemimpin berslogan tanpa penghayatan. Idealisma mereka, walaupun tidak diumum secara resmi, adalah untuk kekal berada di atas.

Di zaman sebegini, semakin diam dan pasif kita, agaknya semakin kita berbakti kepada masyarakat. "orang yang duduk pada zaman itu lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri pula lebih baik daripada orang yang berjalan. dan orang yang berjalan lebih baik daripada orang yang berlari ".

Teringat kepada suatu interview dengan Sinead O Connor dalam majalah The Rolling Stone di sekitar tahun akhir 1990'an. Sinead mengatakan yang kaedah manusia di zaman ini berfikir adalah kaedah tayangan TV, tidak boleh terus menerus serious dan terfokus, ianya diruas-ruaskan (segmented ) oleh commercial breaks, yang entah apa-apa dan tidak punya kaitan dengan tayangan yang sebelumnya.

Kaedah berfikir secara TV ini tidak memperdulikan batas-batas pemisah hitam-putih; yang pentingnya adalah rasa terhibur dan menyeronokkan. Kita suka dihibur dan kita juga suka menghibur, sehingga kita terlupa batas-batas pemisah. Yang pentingnya siapa audience yang dihadapan kita, kalau golongan intelektual barat, maka kita hidangkan makanan berperisa liberalisma dan tolerance, kalau masyarakat kampong di hadapan kita, kita hidangkan makanan yang berperisa keciciran mereka dari arus pembangunan dan pembelaan nasib mereka, kalau golongan Islamist di depan kita, kita hidangkan makanan yang berperisa membina masayarakat secara Islami, kalau golongan perempuan di depan kita, kita hidangkan kesamaan gender, Dan yang kemuncak kecelaruan ini ialah Slogan 1 Malaysia, semuanya ingin disatukan.....yakni ingin dipujuk untuk menyokong kita. Kita terpaksa punya 99 cabang lidah untuk men-satukan pihak-pihak beribu-ribu arah dan kepentingan, lalu yang mampu kita satukan semua ini menjadi 1 hanyalah dalam 1 daerah yang kelabu, dibekalkan dengan pemikiran yang serba tumpul......

Kita berada pada suatu landskap & persekitaran pemikiran yang dianjurkan dan yang disayugiakan adalah angguk-angguk, tidak digalakkan berfikir di luar kotak-kotak kebiasaan. Di pandang serong sekiranya berfikir dan berhujjah secara 'merdeka' dari pemikiran yang dikongsi ramai. mungkin bolehlah kita namakan pemikiran logik jama'ie. Antaranya kita dianjurkan secara tidak langsung mungkin secara tidak sedar untuk membetulkan dan mengiyakan segala tindak-tanduk dan keputusan yang dibuat oleh pemimpin dan kumpulan yang kita beri wala'. Kita susun logik pemikiran kita untuk mencari hujjah bagi menyokong tindak-tanduk dan keputusan serta pendirian tersebut, sekiranya sukar untuk ditemui hujjah , maka kita akan memerentah otak kita agar mencari dalih, sekiranya sukar ditemui dalih, maka kita akan paksa otak kita agar dapat mencari muslihat untuk menyimpang (divert) dari fokus yang sebenar. Untuk tunduk kepada kebenaran yang berada pada pihak lain adalah sesuatu kesukaran yang hampir-hampir mustahil, kecuali kalaulah kita sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin dan kumpulan kita.

Kalau kita sudah menganggap seseorang atau sesuatu kumpulan itu menentang kita dan kumpulan kita, maka dengan mudah kita akan mempercayai berita-berita keburukan tentangnya. Kita rendahkan nilai kebaikannya sehingga serendah mungkin. Kita selak segala aibnya semada yang nyata atau yang kita reka-reka. Kita sebarkan pula keburukan itu, dan pada masa yang sama kita sembunyikan kelebihan yang ada pada mereka. Zaman ini adalah zaman angguk. Zaman ini ialah zaman yang kaedah menyusun pemikiran kita sendiri tidak penting, yang penting ialah persediaan menyambut hujjah yang diturunkan dari pihak atasan, tokoh yang disegani atau kumpulan yang kita beri wala'.

Maulana Jalaluddin ar-Rumi pernah mencatitkan sebuah cerita tentang seorang penduduk kampong yang mendapat mimpi yang benar tentang kampongnya akan mengalami gempa bumi, berikutan dengan gempa bumi itu maka air dalam telaga di seluruh kampong itu akan berubah sifat sehingga sesiapa yang meminumnya akan kehilangan akal. Maka apabila berlakulah gempa bumi tersebut, penduduk yang seorang itu telah menyelamatkan dirinya di atas sebuah bukit secara bersendirian. Lama-kelamaan dia merasa jemu dan bosan bersendirian, dia pun turun semula ke kampong asalnya. Dia begitu sukar untuk berhubung kerana semua penduduk kampong sudah sasau, mereka pula menganggap yang dia telah gila kerana logiknya berbeza dari logik sasau mereka. Penduduk yang seorang ini tidak mempunyai pilihan kecuali untuk kembali bersendirian di atas bukit, tetapi lama-kelamaan dia dirudung kebosanan dan kesepian hidup berseorangan di atas bukit, lalu dia mengambil keputusan untuk meminum air dari telaga di kampong dan menyertai orang ramai yang telah sasau itu.....

Demikianlah… tulisan atau artikel yang diambil dari Blog Muqabalah, sebagai memberi ruang rehat @ iklan kepada semua pihak yang tersentuh dan menyentuh akibat Buletin al-Hadharah selama ini.

InsyaAllah !  Tajuk buletin akan datang
`Kuda Ku Lari Kencang !... Tapi Tersilap Gelanggang ???`

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal, 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan