Halaman

Ahad, 15 Ogos 2010

Pintu Hadharah Islamiyyah Terbuka Untuk Semua Muslim-Bil 70/Syawal 1430

Ummah Muafaqat


Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum! (Selamat datang semoga keberkatan Allah ke atas kamu!) Firman Allah swt bermaksud; `Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam itu keseluruhannya dan jangan kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.` al-Baqarah 208. Selawat dan salam kepada Rasulullah saw Muhammad al-Amin dan seluruh kaum keluarga Baginda serta para sahabat yang menjadi suri teladan semuanya, semoga rahmat Allah ke atas semua.

`Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'aruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan kamu beriman kepada Allah.` al-Imran 110. Demikianlah pengiktirafan Allah swt kepada ummat Nabi Muhammad saw, sekiranya mereka benar-benar beriman hanya kepada Allah swt sahaja. Ummat terbaik yang telah pun disandarkan harapannya ke atas bahu-bahu kita sebagai ummat Islam di akhir zaman. Bukanlah suatu rahsia lagi dan bukan pula satu hal atau perkara yang mustahil untuk dicapai. Semuanya terletak di atas kemahuan atau kesedaran kita sendiri sebagai individu-individu ummah tersebut.`Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri yang sedar dan berusaha untuk mengubahnya.`

Jika marhalah mereka yang berjuang Islam sebelum ini ialah marhalah menimbulkan kesedaran di kalangan ummah  yang lalai supaya kembali kepada Islam, maka marhalah atau tahap kita tidak cukup dengan menimbulkan kesedaran fikrah sahaja, kita sebenarnya memerlukan langkah-langkah seterusnya yang menampakkan bahawa kita sememangnya melangkah ke depan berani membina hadharah kita sendiri dengan tindakan amalan seharian. Sekian lama kita seolah-olah terikat mungkin boleh dikatakan terbelenggu pada issu fikrah semata-mata kemudian mengharapkan sedikit usaha kita dalam penglibatan politik akan menghasilkan perubahan `total` dapat merubah segala, dengan memerintah negara.

Perubahan sebenar yang diperlukan ummah tanpa perjudis ialah perubahan membina `hadharah kecil` sekeliling kehidupan masing-masing. Perubahan hadharah ini juga menuntut kita bermuafaqat berusaha saling bantu membantu sesama  ummah mengujudkan suasana atau ruang yang lebih sihat untuk hadharah kita yang lebih besar yakni Hadharah Islamiyyah. Dalam masa yang sama ia sentiasa terjana untuk berkembang dan melindungi serta menyelamatkan penganutnya dari ancaman luaran iaitu musuhnya.

Mari kita renung sejenak pernahkah Nabi saw dan para sahabat meninggalkan atau menangguhkan pembinaan hadharah kecil sekeliling mereka dulu? Mereka bukan generasi `dua alam` sekejap bersama-sama membina hadharah Islamiyyah, pada ketika yang lain bantu-membantu dengan kaum jahiliyyah membina hadharah jahiliyyah pula! Suasana yang kita hadapi kini tidak  mengizinkan kita menangguhkan lagi pembinaan `hadharah kecil` sebelum berjayanya mencapai Hadharah Besar Islamiyyah.

Seperkara lagi, sebenarnya kita tidak ada pilihan; samada kita membina Hadharah Islamiyyah atau kita menjadi bahan binaan kepada Hadharah Jahiliyyah jenama moden (Masyarakat demokrasi, kapitalis, sosialis dll), kerana hadharah akan tetap terbina jua walaupun ummah terlena. Tepuk dadamu tanyalah keimanan kita masing-masing. Mengikut Sayyid Abul A’la Al Maududi Rahimahullah, Hadharah ialah suatu sistem yang menyeluruh bagi manusia yang meliputi pemikiran, pandangan, amalan dan akhlak dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, pendidikan, politik, ekonomi dan lain-lain, ia terbahagi kepada dua;
1) Hadharah Islamiyyah ialah himpunan cara hidup yang disebut Deenul Islam.
2) Hadharah Jahiliyyah ialah himpunan cara hidup tidak berpandukan kitab Allah dan sunnah RasulNya.

Hadharah seperti juga `environment` atau habitat yang sama penting dengan kualiti biji benih serta teknik atau cara bekerja tanaman dilakukan. Hadharah atau habitat perlu ada serta sesuai di sekeliling tumbuhan Islam yang kita tanam dengan benihnya yang terbaik berserta dengan keikhlasan bekerja yang cukup tinggi.   
Mungkin ramainya kita sebelum ini berbilion ummat, tetapi tidak menyemai benih yang asli lalu tumbuh pohon yang menghasilkan buahan hadharah yang lain. Mungkin juga benihnya asli tetapi aspek-aspek penanaman serta pemeliharaan pohon menggunakan kaedah atau sistem yang lain yang bukan fitrahnya. Atau mungkin juga benihnya asli, penjagaan mengikut sistem Islam tetapi ditanam atau ditempatkan di habitat yang bukan habitat bagi tumbesarannya.

Kelemahan ummah ke atas tiga-tiga faktor ini (benih asli, teknik betul dan habitat sesuai) kemungkinan besar akibat kealpaan dan kejahilan ummah selama ini yang menyebabkan kita selama berpuluh tahun tidak mampu bangun kembali sebagai ummat yang bermaruah, kita rata-ratanya dihina oleh pihak musuh hatta di tanahairnya sendiri. Mengujudkan`environment` atau habitat yang sesuai untuk Islam termasuk kita mestilah berlaku secara amal jamaie yang disusun oleh jamaah atau harakah yang bertanggungjawab terhadap ummat Islam. Jamaah amanah yang benar-benar beriman dengan Deenul Islam sebagai Nizam atau Deenul-Hayah, bukan sekadar hanya satu falsafah atau dasar yang kaku, beku malah `mati`.

Jika harakah atau jamaah yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap ummat Islam mana mungkin ia akan menggerakkan amanah ini. Ia akan mengesampingkannya sekadar berbuat sesuatu untuk melepaskan batuk di tangga sahaja. Sebenarnya tidaklah layak mereka ini disebut sebagai `jamaah dan harakah` Islam pada sisi kita ummat Islam. Tetapi apa boleh buat kita hidup di akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan kepura-puraan. Kenapa ummah begitu naïf akan persoalan begini, mungkin kerja buat ini tidak menjanjikan kemewahan atau akan meletakkan kita di zon `perang` dengan hawa nafsu sendiri bukan di zon selesa seperti yang diimpikan. Kepada mereka ini, suka saya berpesan bahawa zon selesa yang kamu impi dan kejar itu sebenarnya hanyalah fatamorgana sahaja, sebab zon selesa yang sebenar bagi orang-orang yang beriman bukanlah di dunia yang fana ini, wahai teman-temanku!

Ummah perlu sedar dan bermuafaqat kembali bahawa setiap individu yang mengucap dua kalimah syahadah adalah bersaudara di dunia dan di akhirat. Setiap dari mereka pula  mempunyai haknya yang sama ke atas saudara muslim yang lain, sebagaimana setiap saudara yang muslim yang lain mempunyai hak yang sama ke atas dirinya dalam menyatakan kebenaran dan berpesankan kesabaran. Usaha, aktiviti, muamalah dengan berpesatuan perlu dilihat untuk mencari titik-titik persamaan serta ruang-ruang persefahaman di kalangan ummah yang diharuskan oleh syara`. Semua pihak yang bertanggungjawab mestilah menyebarluaskan kebesaran dan keagungan Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah serta cita-cita perjuangan kebenaran yang menegakkan keadilan, di samping menentang serta mencegah kemungkaran dan kezaliman di dalam masyarakat ummah. Semua pihak perlu berusaha membina serta melahirkan masyarakat yang maju dan sihat berasaskan tauhid dan kemanusiaan sejagat sebagai tempat yang terbaik untuk ummah serta manusia seluruhnya.

Akhir sekali saya menyeru kepada diri saya sendiri dan semua saudara ummah, marilah kita sebagai ummat Islam berlumba-lumba melaksanakan kebaikan (khairat) `fastabiqul khairat`. Marilah kita muslimin dan muslimat mengerjakan sembahyang lima waktu dan memperolehi kejayaan,`haiya `alas solah, haiya `alal falah`. Marilah kita menghidupkan Islam itu di dalam diri-diri kita dan insyaAllah Islam itu akan mampu menghidupkan persekitaran (hadharah) kita. Marilah kita meyakini bahawa  hadharah hari esok adalah untuk Hadharah Islamiyyah.  `Muafaqat Membawa Berkat`  Sekian Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan