Halaman

Khamis, 19 Ogos 2010

Jauhkan Diri Dari Syaitan Manusia & Jin !!! - Bil 100



~* الحضارة




Aku berlindung dengan Allah swt dari gangguan syaitan yang direjam! Dengan Nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Pengasih. Selawat dan salam kepada Rasul junjungan Muhammad saw, kaum keluarga serta para sahabat baginda sekeliannya.

`Saya tidak mahu bersahabat dengan syaitan biarpun syaitan mahu membantu saya membersihkan PAS Kelantan di bawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz` Begitulah tulisan Syed Azidi dalam blognya `Kickdefella` beberapa minggu yang lalu mencuit hati saya. Kontra pula dengan pemimpin PAS tersebut katanya, “Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahlah DAP, syaitan pun saya boleh terima,” - YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan, 23 Januari 1999


.


Sebagai seorang ummat Islam kebanyakan insyaAllah! saya cuba berlaku adil kepada kedua-duanya untuk menilai kata-kata atau kenyataan dari kedua manusia tersebut bagi perbincangan kali ini. Sebelum itu, saya suka mengingatkan diri saya dan ummah semua supaya tidak terpengaruh maupun tersilau pandangan dengan imej luaran atau penampilan diri seseorang justeru terbentuknya persepsi umum khalayak semasa. Dalam konteks ini saya teringat kaedah pemikiran al-Marhum Fadhil Noor, `Sejahat-jahat manusia baru sama dengan sebaik-baik jin` sebaliknya, `Sebaik-baik jin baru sama dengan sejahat-jahat manusia`.

Kenyataan pertama dari Syed Azidi yang menyatakan tidak mahu bersahabat atau berkawan dengan syaitan walaupun syaitan mahu membantunya… menunjukkan beliau masih waras dan siuman tahu membezakan di antara kebenaran dengan kebatilan, dengan kata lain bermaksud tahu membezakan `medium kebenaran` dan `medium kebatilan / kejahatan`. Walaupun imej luaran beliau hanya blogger biasa je pada saya dan masyarakat umum. Syed Azidi menerima dan menganut fahaman umum ummat Islam- syaitan ialah musuh utama bani Adam. Manusia seluruhnya sejak Nabi Adam adalah medium @ agen kebenaran (Agama Allah), manakala syaitan / Iblis dan seluruh pengikutnya adalah medium @ agen kebatilan / kejahatan (Thoghut).

Berbeza dengan kenyataan kedua dari seorang yang berimejkan `Tok Guru` @ ulama` Nik Aziz Nik Mat yang semua orang kenal sebagai pemimpin PAS berkata, beliau sanggup menerima pertolongan dari DAP(sebuah parti bukan Islam) jika mereka ikhlas, bahkan dari syaitan pun beliau sanggup terima… syaratnya syaitan itu ikhlas. Saya teringat kisah klasik sejarah manusia Adam dan Hawa, Nabi Adam pada mulanya tidak terpengaruh dengan bujukan Iblis laknatullah supaya memakan buah pohon larangan tetapi Hawa dengan sifat femininnya mungkin terpedaya dengan `keikhlasan` Iblis lalu memujuk `Abe Ade` (loghat Kelantan) supaya `mencubanya` bersama-sama.

Persoalannya sekarang takkan seorang yang dikenali ramai sebagai ulama` selama ini boleh menyandarkan kalimah ikhlas itu kepada syaitan (thoghut) seperti kelemahan Hawa!? Lalu… saya cuba melihat kenyataan  di atas dari sudut ketinggian ilmu mantik beliau (seni mainan logika). Bagi saya jika kenyataan beliau tersebut hanya terhenti setakat kalimah DAP sahaja… mungkin `boleh` diterima lagi, kerana ahli DAP rata-ratanya manusia. Tetapi apabila jelas disebut kalimah syaitan yang termaktub (digazet) di dalam al-Quran sebagai musuh Allah serta manusia yang beriman maka kewarasan saya tidak dapat menerimanya lagi, walaupun dari sudut mantik, sekali pandang nampak macam hebat kenyataan itu. Saya bersetuju dan bersependapat dengan teman seperjuangan saya Ummu el-Husna bahawa di situ bukan persoalan mantik lagi katanya, tetapi `main-taik`! Main najis! Campur gaulkan taik. Mana boleh ikhlas disandarkan kepada thoghut @ syaitan? Mana boleh kesucian disandarkan kepada najis seperti al-Quran disandarkan ke jamban… (nauzubillah). Sepertinya manusia Nik Aziz ini terlepas pandang ayat-ayat berikut yang bermaksud; `Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya 'auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (penolong-penolong) bagi orang-orang yang tidak beriman. al-A`raf -27.

Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata. Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka. an-Nisa 119-120.

Persoalan seterusnya.., mustahilkah orang yang seperti Syed Azidi bercakap dan menegakkan kebenaran di zaman yang rencam pelbagai rupa ini? Begitu juga… mustahilkah orang yang disanjungi ramai seperti Nik Aziz terjebak melakukan kesilapan dan keterlanjuran ketika kekuasaan serta habuan dunia di tangannya? Bagi saya, tidak mustahil orang yang seperti `kick the fellow` atau lebih teruk lagi darinya bercakap serta menegakkan kebenaran. Seperti itu juga, tidak mustahil orang yang lebih `alim dan cerdik dari `Tok Guru` boleh menjadi agen akan lidah kepalsuan / kebatilan.

Sejarah Azazil Si Penderhaka, yang tiada tempat di langit melainkan semua kesan tempat sujudnya… sepatutnya tidak mengelirukan kita. Begitu jua dengan pesanan Nabi saw sepatutnya mengembirakan kita, bahawa di akhir zaman Islam akan diperkuat serta ditegakkan oleh orang-orang yang fasiq (masih lagi terpalit dengan dosa). Sekali lagi saya mengingatkan diri saya dan saudara ummah semua supaya tidak mudah atau cepat terpengaruh dengan hanya semata-mata imej luaran seseorang yang nampak berjurus… Saya ulangi pesanan Saidina Ali Bin Abi Talib- `Kenalilah olehmu akan kebenaran itu terlebih dahulu, barulah kamu akan dapat mengenali siapa atau golongan mana yang membawa kebenaran`.

Begitu juga seterusnya… jangan pula mudah menuduh dan melebelkan seseorang itu buruk atau jahat hanya kerana imej luaran seseorang kurang… atau cacat pada pandangan kita. Seperti buah-buahan, ada yang hanya nampak buruk pada kulitnya sahaja tetapi isi dalamnya masih baik serta enak. Sebaliknya ada yang kulitnya nampak molek tetapi apabila dikupas.. isian dalamnya buruk/busuk. Maaf..! Saya tidak pula bermaksud bahawa imej luaran yang baik dan menepati kehendak Islam serta sunnah Nabi saw itu tidak perlu dan penting pada zaman ini. Saya menganjurkan semua ummat Islam berlumba-lumba amalkan semampu yang boleh.

Dalam konteks kehidupan kita yang sentiasa memilih…seperti kita membeli buah-buahan juga laa, tentu kita memilih yang kulitnya nampak baik, licin dan tidak rosak. Peleklah jika sengaja memilih yang dah nampak rosak… cuma pesanan saya, yang nampak rosak jangan terus dibuang…membazir, kecuali yang benar-benar tak boleh buat apa selain dari BUANG. Bukan apa kerana kadang-kadang ada juga yang dijual lelong atau lungguk secara yang lebih murah sikit dari harga pasaran dapat juga orang-orang kurang kemampuan, marhaen seperti saya ini merasai nikmatnya.. buah-buahan.

Berbalik kepada perbincangan berkaitan kenyataan yang bercanggah / kontra antara Syed Azidi dengan Nik Aziz mengenai perhubungan dengan syaitan, saya mengajak diri, serta saudara ummah semua termasuk hambaAllah 2 orang itu (jika sampai mesej ini) supaya rajin membaca surah al-Nas serta renung kembali maksudnya; `Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin dan manusia`. al-Nas 1-6.

Sebagai mengakhiri, saya melihat RM 4 juta yang hangat diperkatakan orang kini, bukan sahaja telah menurunkan Tun Abdullah tetapi telah menurunkan Arif Fahmi dan insyaAllah bakal menurunkan Tok Guru serta kuncu-kuncunya pula, malah tak mustahil dengan kapal-kapalnya sekali… `Killed many birds with one shoot ! Sekian.Dari Ibnu Ramadhan.``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal, 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan