Halaman

Khamis, 19 Ogos 2010

Apabila... Tok Guru Menjadi Pembekal & Pengedar Candu.. - Bil 105/ Rejab 1431


~ الحضارة


Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allah Maha Besar dari segala  kebesaran. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw, Pesuruh Allah, kaum keluarga dan para sahabat baginda semuanya.
`Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan tidak (pula) mereka masuk syurga, hingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat kejahatan.` al-Aaraf 40.



Segala puji bagi Allah swt yang telah mempertemukan lagi kita semua untuk bicara buletin kali ini. Alhamdulillah! 2 tahun berjalan.. seperti baru semalam bermula bicara.Pada kali ini saya fikir, perlu untuk dilanjutkan perbincangan yang telah dilontarkan oleh Ummu el-Husna dalam keluaran lepas apabila `Politik telah mengambil tempat Aqidah`, maka perjalanan kafilah tersebut akan menjerumus ke arah penyelewengan dan kesesatan. Berdasarkan pemandunya kini adalah golongan `politician` (bertopeng agama) tidak pelik matlamat yang mereka tuju  adalah matlamat politik semata-mata bukan lagi `mardhotillah` ( mencari redha Allah), dengan menegakkan hukum serta ajaran Allah.

Saya berpandangan pemimpin kepada ummat Islam di zaman mana sekali pun mestilah terdiri dari ulama`. Kerana ulama` adalah pewaris Nabi-Nabi. Walaupun terdapat ketika-ketika tertentu pemerintah (khalifah) ummat bukannya terdiri dari mereka yang paling alim ketika itu tetapi peranan ulama` untuk membimbing dan memandu ummat menegakkan kebenaran tetap terserlah seperti sejarah Imam-Imam yang 4 (Ahmad, Hambali, Hanafi & Syafie) yang sanggup menghadapi kezaliman pemerintah.

Saya amat  tidak bersetuju dengan golongan mereka yang bertopengkan agama, berpolitik sekular- membekal dan mengedarkan candu politik kepada ummat. Ulama` sepatutnya menegakkan aqidah dan syariah Islam mengajak seluruh ummat mengamalkan ajaran Islam, bukannya menagih candu politik (kekuasaan) yang bertopengkan agama. Mereka akan tetap menegakkan siasah syariah walaupun dihina atau ditangkap dan sebagainya. Manakala ulama` palsu pula sanggup meninggalkan kepentingan ummah untuk mengejar cita-cita politik sempit dan semasa mereka. Apabila ulama` sebenar yang memimpin ummat, beliau akan menjiwai sabda Nabi saw `Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya akan aku potong tangannya`, tetapi jika politician yang bertopengkan ulama` menjadi pemimpin, ia sanggup mencuri daripada ummat untuk diberi kepada anak menantunya.

Saya bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Pengarah UiTM Kelantan baru-baru ini, Prof Datuk Hussin Abdul Rahman mengenai kedudukan dan peranan ulama' masakini ketika di Seminar Keintelektualan Islam Legasi Ulama`  Kelantan Di Nusantara di Kota Bharu.
`Kecenderungan ulama`  masa kini terlibat dalam politik sehingga timbul kesangsian terhadap mereka adalah antara faktor golongan ini tidak lagi dipandang tinggi oleh masyarakat, kata Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Datuk Prof Hussin Abdul Rahman. Sambil menyifatkan ulama`  masa kini semakin kebuntuan untuk mengutamakan antara ideologi politik dan kebenaran, beliau berkata ulama` kini seharusnya melihat kepada legasi ulama`  terdahulu yang merupakan pemimpin yang dihormati dan diingati kerana mampu menegakkan kebenaran meskipun terpaksa mengetepikan kehendak dan naluri sendiri. "Istilah ulama`  sebenarnya merupakan golongan pemimpin yang memahami tuntutan kebenaran, mereka merupakan golongan yang menyelesaikan, pemikir yang berfikir dengan berpaksikan kebenaran untuk dijadikan satu teladan" Namun, disebabkan dilema politik, terdapat perilaku ulama`  yang menimbulkan kesangsian dan kebuntuan sehingga harapan masyarakat kepada ulama`  kini tidak lagi dipenuhi. Sebagai contoh mereka sepatutnya menyumbang kepada perpaduan tetapi mereka jadi benih perpecahan, Hussin berkata bagi menimbulkan kesedaran terhadap kedangkalan ulama`  antara mempertahankan kebenaran dan politik, UiTM menganjurkan Seminar Keintelektualan Islam Legasi Ulama` Kelantan Di Nusantara itu bagi mengangkat kembali martabat ulama`  di negara ini dengan cara mencontohi dan mengingati perjuangan ulama`  terdahulu.`

Saya juga bersetuju dengan pandangan penulis blog Muqabalah yang menggambarkan ummat akan menjadi lebih malang lagi apabila terjebak dan terperangkap dengan `kotak-kotak pemikiran kelompok` katanya,
Yang lebih malangnya, ramai pula di kalangan kita yang suka berfikiran secara 'following the caravan', yakni siapa sahaja yang mengenderai unta yang paling hadapan dalam kafilah itu , maka unta yang lain-lainnya hanya sekadar akan mengikut jejak-jejaknya . Unta di belakang tidak akan mencadangkan `alternative route`. Unta di belakang tidak akan tengok kanan dan kiri, tidak akan mempertimbangkan `milestone` yang terdapat di sepanjang pemusafiran. Perkara ini dikira penting bagi survival di padang pasir yang tandus, tetapi ianya adalah 'perangkap' apabila kita ubah-suai otak kita menjadi salah seekur daripada unta yang mengekuri dari belakang. Ada mata, ada telinga, ada hati, ada tanda-tanda pada bumi dan langit tetapi semuanya terkesamping kerana seolah-olah tugasnya ialah mengekuri unta yang berada di depan. Sedangkan pemikiran dan pertimbangan kita sepatutnya lebih baik daripada nasib unta yang berada di dalam rombongan caravan itu....”- tulisan blog Muqabalah.

Saya bertanya kepada diri saya sendiri, Islam yang sebagaimana yang kita anuti sekarang ini ? Adakah Islam yang seperti sebahagian besar mereka yang terlibat dengan politik berparti, berpilihanraya yang percaya bahawa Islam dapat ditegakkan melalui sistem demokrasi dengan kemenangan pilihanraya majoriti 2/3. Bagi saya sampai bila mereka ini akan berjaya memperosokkan `keseluruhan tubuh unta` melalui lubang jarum ? Sudah berapa tahun mereka ini mencubanya…? Malah yang nampak berjaya dimasukkan ke dalam lubang jarum selama aktiviti berpuluh tahun itu hanyalah sehelai rerambut bulu ekor unta tersebut sahaja. Ya…sheikh! Ya…maulana!  Ya…habibi..! Apa sudah jadi…? Masih.. tak sedar-sedar lagi ka…? Ini mesti bahana candu yang betui-betui pior dan pekat kelas tertinggi yang dibekal dan diedarkan oleh tok gulu.. @ tok halu punya…! Hai..ya! ini macam pun ada ka ? Dunia.. dunia macam-macam ada laa…! Sendiri mau pikiaq laa..!

Keadaan ummat ketika ini mengingatkan kita akan kisah tiga orang buta mentafsirkan gajah mengikut tempat dan kedudukan masing-masing memegang dan meraba-raba akan makhluk Allah yang besar tersebut. Yang pegang telinga mendakwa gajah macam kipas, yang pegang kaki mendakwa gajah macam tiang dan yang pegang ekor pula mendakwa gajah itu kecil sahaja boleh digenggam macam politik. Ya memang lah betul dia pegang `seekor` gajah tetapi ekornya sahaja la yang dipegangnya. Dia tidak nampak kerana masalah kecacatan pada penglihatannya.

Tetapi masalah sekarang ini bukan lagi 3 orang buta yang memegang, memicit dan meraba tubuh `gajah` dah hampir semuanya meraba-meraba tasawwur perjuangan Islam. Jika ada yang cuba untuk mengajak berfikir keluar dari pemikiran kelompok yang buta tersebut akan diejek, diboo.. dan dianggap bersalah. Sedangkan mereka mendabik dada terbukanya kelompok tersebut kepada dunia luar sehingga boleh menerima sokongan dan golongan bukan Islam. Bagi saya mereka ini hanya terbuka kepada perkara-perkara yang menguntungkan mereka biarpun menghancurkan Islam. Sebaliknya sanggup pula untuk menutup rapat perkara-perkara yang menguntungkan Islam kerana akan merugikan kepentingan mereka.  

Hanya segelintir sahaja lagi insyaAllah masih istiqamah memegang panji-panji perjuangan Islam sebenar biarpun terpaksa menggigit akar dan umbut kayu di pedalaman serta daerah-daerah kesempitan lainnya.
Ya Allah! Masukanlah kami pejuang-pejuang Islam di akhir zaman ini ke dalam golongan yang sedikit seperti mana yang telah kekasihMu Muhammad SAW juga pernah berdoa agar dimasukkan dalam kelompok yang sedikit tetapi mendapat redha Allah dan keampunan dariNya. Ameen! Ya Rabbal alamin. Sekian dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
   -katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal, 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan