الحضارة
InsyaAllah seperti yang dijanjikan pada sebaran yang lalu, kali ini kita cuba untuk meninjau perjalanan agenda dakwah dan agenda daulah yang berlaku semasa hayat Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad sebagai Rasul yang diutus kepada seluruh ummat manusia hanyalah bagi menyampaikan risalah Islam itu sendiri, supaya manusia menerima yakni beriman serta beramal dengan segala ajaran risalah tersebut.
Maksud firman Allah; `Kewajiban Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan, dan Allah mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.` al-Maedah 99.
Dengan jelasnya Allah swt telah memberitahu kepada kita semua bahawa Rasul Muhammad saw adalah Pesuruh Allah di atas planet bumi menyampaikan arahan dan suruhan Rabbul a`lamin.
Muhammad saw bukan Pesuruhjaya atau PJ mana-mana negeri tetapi Pesuruh yang melaksanakan amanah Tuannya. Pesuruh yang menolak tawaran untuk dapat menguasai Parlimen Mekah dengan hujah atau alasan “Jika sekiranya matahari diletakkan di sebelah tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan akan perkara ini (perjuangan Islam) nescaya tidak akan aku meninggalkannya.” Persoalannya kenapa Rasul saw menolak adakah ketika itu Nabi saw tak tahu bersiasah atau berpolitik ? Mustahil bagi Rasul tidak tahu ilmu siasah kerana Nabi bersifat `fathonah`(cerdik). Ini yang kita nak bincangkan semula.
Sejak hari pertama Nabi saw menerima wahyu di Gua Hira`, setelah `dikejutkan` oleh Jibril as supaya Rasul saw membacanya dengan bersungguh-sungguh. Ini bukan khayalan atau mimpi dan akhirnya Muhammad saw sendiri benar-benar yakin akan `Risalah` yang disampaikan itu maka sedarlah Baginda bahawa tugas beliau selepas itu adalah untuk menyampaikannya pula kepada orang lain sebagai menunaikan amanah tanggungjawab tersebut. Kesedaran inilah yang saya maksudkan sebagai agenda dakwah dalam tulisan saya.
Bersesuaian dengan risalah Islam itu yang baru dipermulaan turunnya dan sedang dalam proses penurunan wahyu. Lebih-lebih lagi semasa zaman Nabi masih di Mekah namun tanggungjawab dan tugas menyampai seruan dakwah itu terus dilaksanakan. Yang berbeza cuma uslub atau cara-cara persembahan Nabi dan ummat Islam ketika itu sahaja, ada yang terang-terang dan sembunyi. Tugas dakwah sejak hari pertama turun wahyu, insyaAllah terus `non-stop` sampai hari qiamat. “Is it clear!” Jadi ringkasnya, misi para sahabat ke Habsyah dan Rasul saw sendiri ke Taif adalah termasuk dalam agenda dakwah tersebut.
Berdasarkan tugas yang asasi inilah para ulama` dan gerakan Islam semasa terutamanya Ikhwan Muslimin memasuki pilihanraya untuk mengambil peluang menyampaikan `risalah Islam` kepada seluruh khalayak, bukan kerana mereka yakin Islam dapat ditegakkan melalui peti undi tetapi `peribadi-peribadi`. Dengan berhujah serta alasan berdakwah (menyampaikan) seruan Islam kepada seluruh manusia. Dalam pada itu mengapa pula Nabi menolak peluang tawaran untuk menguasai khalayak massa yang ramai? Tidak kah ini boleh digunakan untuk mempersembahkan dakwah Islam menjadi lebih `efficient` ikut pandangan la ni?
Agenda daulah atau pemerintahan @ pentadbiran @ siasah syarieyyah (politik masih kurang tepat untuk maksud siasah syarieyyah) sebenarnya telah pun wujud seiring dengan perkembangan risalah Islam itu sendiri, kerana Nabi telah pun menjadi tempat rujukan dan meminta segala pandangan bagaimana ummat generasi awal itu nak membangunkan kehidupan bersama mereka. Maksud saya Nabi saw sebagai pentadbir @ kepimpinan ummat Islam telah wujud dan diterima-pakai oleh mereka yang mengaku beriman. Nabi saw suruh kahwin dengan sesiapa atau beri wang kepada sesiapa mereka akan patuh, cuma tugas macam PJ(MB) atau PM serta MP masuk dewan, keluar ke pejabat tak ada la, memang tak ada pun.
Apa yang saya cuba nak sampaikan kepada khalayak pembaca semua ialah sebelum Nabi saw berhijrah ke Madinah (Yathrib) lagi, kepimpinan dan pentadbiran yang termasuk dalam agenda daulah yang kita bincangkan ini telah berjalan tetapi dalam suasana daulah sebenar belum zahir lagi atau istilah sekarang `kerajaan bayangan`. Dalam era kerajaan bayangan inilah Nabi saw memperjelaskan sikap, menguat dan mengukuhkan kekuatan ummah. Mengeratkan hubungan sesama ummat Islam dan melebarkan pengaruhnya. Bagi saya la.. inilah era yang sepatutnya gerakan atau harakah yang nak memperjuangkan Islam hari ini memberi tumpuan seriusnya. Baiah al-Aqabah 1 dan 2 terbukti berjayanya era ini menjadi landasan tertegaknya daulah nanti. Apabila Nabi saw berjaya bersama ummat Islam berhijrah ke Madinah maka `bayangan` tadi muncul dan zahir ke alam nyata apabila termetrinya Sahifah Madinah dengan semua kaum di Madinah yang bersejarah itu.
Berbalik kita kepada mengapa Nabi saw menolak `peluang` politik yang jahiliyyah tawar atau sediakan, dapat dilihat bahawa risalah Islam yang mulia ini perlu zahir dengan kesungguhan dan keimanan penganutnya sendiri. Di zaman mana pun itulah sunnah al-kubra yang Nabi saw tunjukkan. Bertepatan dengan firman Allah swt (selepas ayat 99 di atas) yang bermaksud; `Katakanlah: "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang beraqal, agar kamu mendapat keberuntungan.” Al-Maedah 100.
Ummat Islam tidak perlu bergantung atau mengharapkan ehsan saudara-mara, kaum kerabat atau pejuang-pejuang hak asasi manusia, lebih lagilah dengan orang yang tidak beriman kepada risalah Islam (kafir). Fitrah risalah Islam itu sendiri perlu diterima begitu, itu haqnya, sifat `origin`nya, ummat yang mengaku beriman kena faham. Jika yang bukan Islam dan berkepentingan tak faham itu hal mereka sendiri…bukan masalah kita. Kita hanya menyampai, menyebarkannya tidak perlu memaksa dan jangan pula terpesona.
Memang ada satu contoh yang Nabi saw mengambil peluang iaitu Nabi saw menggunakan khidmat seorang yang belum Islam sebagai `penunjuk jalan` semasa perjalanan hijrah, tetapi itu cuma perjalanan ke suatu destinasi sahaja (perkhidmatan berbayar upah) macam kita naik teksi ke suatu stesen untuk ambil perjalanan lain pula. Nabi masih bermuamalat (dakwah) dengan orang yang belum Islam sebagai satu cabang juzuk syariat yang tidak meruntuhkan kulliyyat asas (originality) Islam itu sendiri. Berbeza dengan mereka hari ini yang mengambil peluang keharusan bersiasah (politik) untuk menyampaikan mesej tetapi dalam masa yang sama meruntuhkan `originality` atau keaslian risalah Islam (Nauzubillah).
Ini yang Sheikh Dr Yusuf Qardawi maksudkan `golongan yang mementingkan apa yang terapung di luar (permukaan), tetapi tidak mementingkan apa yang terendam di dalam. Mereka tidak mampu mempertautkan antara juziyyat dengan kulliyyat, tidak mengembalikan mutasyabihat kepada muhkamat, tidak menghukumkan zhanniyyat kepada qathi`yyat dan tidak mengetahui seni atau selok belok taa`arudh dan tarjih yang membolehkan untuk menghimpunkan perkara-perkara yang berlawanan.`
Sekian dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron `` - katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -
``qulil haq walau kana murron `` - katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan