Halaman

Ahad, 15 Ogos 2010

'Ilmuan' Tanpa Pembinaan Hadharah Seperti Karam Di Dasar Lautan - Bil 73/Zulqaedah 1430

Jangan biar..berabuk..


Buku Oh Buku
Buku oh buku
Mengapa engkau berdebu

Macam mana aku tak berdebu
Student tak pegang aku

Student oh student
Mengapa tak pegang buku
Macam mana aku nak pegang
Makna aku tak tahu

Makna oh makna
Macam mana engkau tak diketahu

Macam mana aku nak diketahu
Kepala professor semuanya merapu

Wahai professor
Mengapa kepala engkau merapu

Macam mana aku tak merapu
Aku naik ni pun kerana mengampu

Profesor oh profesor
Mengapa mesti mengampu
Macam mana tak mengampu
Orang atas tak faham makna ilmu

Wahai ilmu…
Mengapa susah nak faham kamu
Bukannya susah nak faham aku
Tetapi…

Bolehkah sibuta berkata perihal warna
Bolehkah sipekak berkata perihal irama
Bolehkah situli berkata perihal merdu suara
Bolehkah si Iblis menerima wibawa Insan dengan ilmunya

Tanpa iktiraf dan pengakuan
Tiada berlaku budaya ilmu
Ibarat tanah yang kering
Tiada hayat padanya

Ilmu segar dengan penghayatan
Mengenal Tuhan, diri dan alam.
Sajak nukilan :
Prof Madya Dr. Zainiy Uthman IIUM

Maksud firman Allah swt, `Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit` al-Isra 85.
Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan Muhammad saw penghulu segala Nabi dan Rasul alaihimusssalam. Selawat dan salam juga kepada semua kaum keluarga serta para sahabat Baginda yang dimuliakan. Bertemu kembali saudara ummah sekelian, semoga kita semua dipermudahkan oleh Allah swt untuk memahami akan agamaNya yang menjadi anutan kita sekarang insyaAllah. FirmanNya lagi `Mereka
( malaikat) menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha bertindak dengan penuh Hikmah” . al-Baqarah 32.

Baru-baru ini ketika menjenguk ke sebuah blog seorang anak muda yang begitu gigih untuk mencari sesuatu `makna` dalam kehidupan ini, saya begitu tertarik dengan sajak di atas yang disiarkan. Mungkin kerana ianya hasil cetusan seorang yang berstatus `ilmuan` dalam masyarakat yang kita diami sekarang ini. Sudut-sudut  tertariknya saya mungkin berbeza dengan saudara ummah yang lain, tetapi itulah yang saya cuba nak kongsikan bersama saudara ummah sekelian untuk kali ini.

Kesimpulan mudah yang saya dapat ambil dari pendedahan karya di atas ialah dunia intelektual yang mengelilingi kita dewasa ini terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi walaupun `bernama Islam` penuh bergelumang hanya dengan teori, idealisma serta konsep-konsep yang `mati` yang tidak dapat untuk dikecapi langsung oleh diri pelajar dan para pengajarnya bagi membangunkan sebuah kehidupan ummah berhadharah. Segala kesungguhan, ketekunan serta kesibukan mereka seperti terpisah dengan kehidupan realiti ummah hanya kerana `sekeping` pengiktirafan dan `status` tangga gaji semasa. Sedangkan ilmu dalam kefahaman kita yang berpijak dengan landasan Hadharah Islamiyyah ialah sesuatu yang bersifat `penyuluh` yang dapat membimbing diri yang berilmu dan mereka yang bersama-sama dengannya menjalani kehidupan (hadharah Islamiyyah) di dunia ini menuju kebahagian di dunia serta di akhirat insyaAllah. Al-Islam itu sendiri sebagai rahmatan lilalamin tidak dapat untuk ditafsir dan apatah lagi untuk diterjemahkan dalam realiti kehidupan mereka belajar serta mengajar di universiti. Kehidupan mereka di pusat pengajian tinggi atau institusi pendidikan sebagainya yang ada sekarang seperti berada di lembah yang lain terasing tidak bersama-sama kehidupan ummah yang berada di lembah bersebelahan. Bagi sayalah sebagai ummat Islam, biarpun siapa kita, kita perlu untuk melihat dan berfikir kembali akan segala-gala yang ada disekeliling kita hari ini dari pandangan dan kepentingan ummat Islam secara kolektif. Ini yang saya pernah sebut sebelum ini sebagai landasan pemikiran ummat perlu bebas dari krisis atau pengaruh pemikiran moden yang bersepah di mana-mana. Apatah lagi bagi ummat Islam yang kebanyakan, jika cerdik pandainya pun berfikir dari landasan yang salah (bukan Islam) mereka akan membuat rumusan dengan segala hasil keputusannya yang tersasar dari bimbingan wahyu dan akan merugikan kehidupan ummah seluruhnya tanpa di sedari.

Ummat Islam sekarang seperti berlumba-lumba untuk mengambil alih tempat masyarakat barat khususnya Eropah pada penghujung zaman gelap mereka dahulu. Pada ketika itu ummat Eropah berlumba-lumba mengkaji dan menceduk segala `ilmu-ilmu` dari kemajuan serta ketamaddunan Islam (Hadharah Islam). Sampai saat ini mereka mengakui akan budi baik hadharah Islam lampau terhadap kemampuannya mengeluarkan mereka dari zaman gelap ke zaman `kecerahan`. Perlakuan yang hampir serupa berlaku semula sejak kejatuhan khilafah Othmaniyyah hingga sekarang apabila sebahagian besar ummat Islam meniru dan menciplak segala-gala yang dilihat `maju dan moden` dari barat supaya mereka dapat menjadi `hebat` seperti orang-orang barat. Dengan harapan yang bersalut utopia, mereka akan dapat menguasai atau memimpin dunia semula dan keluar dari era kehinaan mereka di dunia kini.

Ummat Eropah dahulu, dengan tanpa menyedarinya mereka meniru atau mengambil hanya aspek-aspek fizikal meninggalkan nilai-nilai spiritual (keimanan) kepada Allah termasuk semua rukun iman yang menjadi teras atau prasyarat kemajuan Hadharah Islamiyyah lampau itu. Sebab itu mereka hanya berjaya mencapai kemajuan kebendaan tetapi runtuh nilai-nilai moral serta akhlak. Sedangkan tamaddun (hadharah Islamiyyah) yang mereka tiru itu sendiri berdiri tegak selama ribuan tahun dengan kemuliaan segala sifat manusiawi terbaik yang manusia pernah kenali. Ringkasnya supaya ummah dapat melihat dengan lebih jelas iaitu mereka ambil ilmu-ilmu dari orang orang Islam lalu mengubahsuainya menjadi hadharah yang tidak mahu beriman kepada Allah swt (bukan Hadharah Islamiyyah), itulah negara-negara Eropah dan barat hingga sekarang.

Ummat Islam akan mengulangi nasib yang sama akibat kejahilan umat Eropah dahulu, jika mereka pun jahil juga mengambil kembali khazanah-khazanah ilmu ummah itu tanpa keimanan kepada Allah swt, RasulNya dan semua rukun iman tersebut atau mengambilnya langsung dengan hadharah dan budaya Eropah itu bersama pakej-pakej tamaddunnya sekali. Sebab itu saya katakan tadi landasan pemikiran ummah perlu jelas asasnya supaya mereka tidak berfikir berasaskan kotak pemikiran barat atau timur mahu pun pemikiran di luar kotak yang masih tidak beriman dengan Allah swt. Ummah mesti jelas malah cerdik pandainya lebih-lebih lagi mesti mampu menyaring kembali segala yang datang dari barat atau bukan Islam, yang mana boleh digunakan terus dan yang mana perlu diberikan kembali nilai-nilai roh Islamnya semula.

Yang pentingnya ummah kena faham, tidak pernah berlaku dalam akhlak peradaban para ilmuan Islam mereka yang diberi oleh Allah swt, berbagai-bagai penguasaan ilmu tetapi hanya mementingkan kehidupan dan keselesaan sendiri. Mereka `zauq` atau terperangkap dengan a`lal qadim peribadi sehingga alpa akan jeritan-jeritan ummah di sana sini. Lihatlah contoh mithali teragung Hadharah Islamiyyah sepanjang zaman, Rasul saw, baginda bersama-sama ummah dengan mengikat batu di perut berkerja dengan tulang empat kerat mengorek parit untuk menjayakan upacara `pecah peluh` keputusan dan kepentingan bersama ummat Islam waktu itu. Tidak bolehkah baginda saw hanya datang untuk upacara `pecah tanah` sahaja seperti orang hari ini, kemudian pergi menguruskan hal-hal strategi penting yang lain? Tetapi itulah contoh yang `real` dan perlu dihidupkan semula dalam jiwa dan pemikiran ummah yang ingin benar-benar menuruti perjalanan mereka bagi menempa kejayaan di dunia dan insyaAllah di akhirat. Sebagai akhir kalam, renung dan fikirlah..
`Mencari makna ilmu akan memudahkan kita menjadi lemas lalu karam. Mencari keredhaan Allah, insyaAllah akan menjadikan ilmu walaupun sedikit, lebih bermakna.`  
Wallahua’lam. Dari Ibnu Ramadhan.                                
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan