~* الحضارة
Maksud firman Allah swt -`Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan ni'mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni'mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.` al-Imran 103
Segala puji bagi Allah-Pemilik segala-galanya. Selawat dan salam kepada Rasul Junjungan Muhammad saw, kaum keluarga serta para sahabat ra.
Bertemu kembali saudara ummahku, bagi membicarakan persoalan dan kepentingan bersama kita sebagai ummat Muhammad saw. Rupa-rupanya issu perpaduan ummah yang mula dibicarakan oleh sebahagian ummat Islam di Malaysia kini bukanlah suatu berita gembira dan menyeronokkan kepada segelintir pimpinan tertinggi PAS serta penyokong tegar mereka. Sebaliknya mereka gusar dan resah gelisah apabila perbincangannya semakin meluas. Pemimpin PAS lebih senang untuk dilihat mesra dengan rakan-rakan mereka yang bukan Islam daripada menyusun dan mengatur langkah-langkah ke arah perpaduan ummah sesama ummat Islam di Malaysia.
Mereka hanya akan menyambut issu perpaduan ummah ini jika ianya berlaku di negara luar kepada ummat Islam seperti Palestine, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Pattani, Moro dan lain-lain. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjadi juara menyaingi UMNO sendiri dengan menganjurkan demontrasi besar-besaran, mengumpulkan derma dan sebagainya. Seluruh penyokong tegar mereka pun dikerahkan memekik serta melolongkan slogan anti keganasan, anti penindasan, anti Yahudi sebagai tanda wujudnya ikatan simpatisan ummat Islam sejagat. Saya tidak bermasalah dengan demontrasi atau unjukrasa serta sokongan ummat Islam kepada saudara seIslam mereka di luar negara tersebut. Cuma saya bermasalah dan cukup benci dengan mereka yang hipokrit, bermuka-muka sanggup berpura-pura.
Apabila persoalan yang sama iaitu perpaduan ummah yang memerlu ummat Islam di negara ini berbincang dan merangka strategi bagi faedah seluruh ummah. PAS jadi cacing kepanasan, alergik dengan perpaduan ummah dalam negara. Kenapa ya.. sampai begitu sekali ? Saya dapat mengagaknya. Ini mesti kerana orang-orang yang bukan Islam yang ada di Malaysia merupakan sejumlah besar pengundi dalam PRU 13 nanti. Yang ada dalam kepala otak pemimpin PAS, ummah di Malaysia tidak boleh bersatu atau dilihat bersatu sesama ummat Islam kerana nanti yang bukan ummah (bukan Islam) takut serta tidak mau memberi sokongan kepada mereka dalam undi pilihanraya.
Pelik! Mereka boleh memekik memarahi musuh ummah di luar negara hanya kerana Yahudi atau Israel tersebut tidak mendaftar sebagai pengundi di Malaysia . Saya percaya mereka ini akan sanggup bermesra dengan Yahudi pula, apabila Yahudi itu ada kuasa mengundi di sini. Tanda-tandanya telah pun jelas apabila mereka telah pun menjalinkan hubungan intim dengan Lee Kuan Yew kerana bagi mereka`mastermind` Cina Malaysia merupakan Cina Singapura. Saya tak pernah jumpa spesies manusia yang mengaku Islam tetapi berwatak munafiq sebegini. Sanggup menjual persaudaraan, kepentingan ummat Islam dan perintah Allah swt demi menagih satu undi dari orang yang bukan Islam.
`Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan ummat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat.`al-Imran 104-105.
Kepada mereka yang rasa terpanggil untuk memperjuangkan kepentingan ummah saya ulangi, teruskan bersuara… tinggalkanlah titik bengik perbezaan dan perseteruan yang berasaskan hawa nafsu. Wujudkan kerjasama yang benar-benar mewakili suara dan kepentingan ummat Islam tanpa perjudis, hanya mencari keredhaan Allah swt. Itulah bagi saya cabaran masa kini yang terbentang di hadapan ummah semua samada anda ahli PAS, UMNO, PKR, DAP, ABIM, JIM, Tabligh, NGO atau siapa sahaja. Tidak kira anda berbangsa Melayu, India, Cina, Arab, Pakistan, Inggeris, Jawa, Bugis, Iban, Kadazan, Murut atau apa sahaja bangsa atas mukabumi ini, jika anda Islam anda adalah ummah yang perlu menyahut cabaran ini…
Firman Allah swt; `Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya dan Kitab yang terang. Dengan itu, Allah memimpin siapa yang mahu mengikut keredhaanNya ke jalan perdamaian, dan mereka dikeluarkanNya dengan izinNya dari kegelapan kepada cahaya yang terang, dan mereka dipimpinNya kepada jalan yang lurus` al-Maedah 16.
Kepada ulama`-ulama` muda yang baru-baru ini menyertai UMNO, saya ingin mengatakan bahawa betapa ruginya kamu menghabiskan masa bertahun-tahun belajar mendapatkan sarjana tetapi tak sanggup terjun ke medan sebenar menggalas perjuangan ummah- perjuangan Islam. Jangan-jangan..! kamu pula nanti yang lalai dan sibuk dengan habuan dan mengejar kedudukan. Sudah terlanjur…! kamu menyertai UMNO.. menjadi kewajipan kamu sekarang menggerakkan perpaduan ummah dan menyedarkan pemimpinnya akan dosa-dosa mereka kepada ummat serta perjuangan Islam selama ini.
Kepada pemimpin dan ahli-ahli PAS pula, saya suka nak menyedarkan mereka bahawa perjuangan Islam tidak pernah mati. Ia akan hidup dan terus menerjah mengambil tempatnya. Pemimpin… boleh datang dan pergi silih berganti. Wadah… acap kali berkembang dan sentiasa diperbaharui berdasarkan realiti serta suasana yang ummah hadapi. Mungkin kamu yang khilaf dan syok sendiri. Kerana sebelum ini kamu jarang disudi maupun diuji. Saya khuatir kamu bakal ketinggalan keretapi. Di ketika ummah dan orang bawahan mula menggerakkan perjuangan Islam sebenar (perjuangan ummah) dan insyaAllah mereka sanggup mati memperjuangkannya. Kamu terpaksa lari lintang pukang dengan menggalas `biawak hidup` yang mencakar dada serta belakang kamu sendiri.
Kita, sebagai ummat Islam insyaAllah akan dapat menolong saudara-saudara kita di Gaza atau di mana jua walaupun jauh, apabila kita berjaya membebaskan diri kita dari sistem riba. Membebaskan diri dan kelompok kita dari perjuangan sia-sia membazir waktu dan usia, menyuburkan sistem demokrasi. Membebaskan diri dan keluarga kita dari menerima racun sistem pendidikan sekular. Membebaskan diri dan rakan dari membina ekonomi kapitalis. Tetapi kita tidak akan dapat menolong dan menyelamatkan saudara kita, kaum kerabat atau anak-anak kita sendiri walaupun berada di depan mata, hatta diri kita sendiri.. apabila kita tidak membebaskan diri masing-masing terlebih dahulu dari segala rangkaian sistem Yahudi laknatullah tersebut.
Selagi ummat Islam tidak boleh berdiri tegak dengan diri dan keupayaannya sendiri sebagai ummat Islam yang bermaruah yang beriman kepada Allah swt dan Rasul saw, lalu berbangga dengan keyakinannya. Iaitu sistem serta cara hidup Hadharah Islamiyyah mereka yang tersendiri. Selama itulah mereka akan dilayan seperti buih oleh musuh-musuh Islam. Tepat seperti maksud sabda Nabi saw `ummat Islam di akhir zaman seumpama buih-buih di waktu banjir` banyak tetapi tidak mempunyai kekuatannya lagi, atau seperti hidangan kepada serigala-serigala lapar. Tetapi sekiranya mereka tegas berprinsip tidak menjadi seperti jutaan gelembung-gelembung buih, biarpun hanya cuma sebatang ranting atau kayu kecil sahaja yang tegak dalam lautan banjir insyaAllah nasibnya pasti lebih baik dari jutaan gelembung-gelembung buih tadi yang dihanyutkan air banjir bersama bangkai dan segala sampah sarap.
Akhirnya, sebagai menutup bicara buletin kali ini sempena kedatangan bulan Syaaban dan Ramadhan yang bakal menyusul. Marilah kita ummat Islam, khaira ummah pergi ke suatu tahap yang lebih tinggi dari pencapaian semalam… sekian. Dari Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan