~* الحضارة
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! ……Walillahilhamd! Dengan memohon taufiq serta hidayah dariMu ya Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam terhadap Rasul Junjungan Muhammad saw serta kaum keluarga Baginda yang dikasihi seterusnya kepada semua para sahabat yang bagaikan bintang-bintang menghiasi kegelapan malam hari. Terasa begitu cepat dan pantas masa berlalu meninggalkan kita, bagaikan baru semalam Eidil Fitri meninggalkan kita, kini Eidil Adha pula datang menyapa.
Di kesempatan ummah menyambut Eidil Adha kali ini saya menghulurkan salam perjuangan, salam ukhuwah, salam pengorbanan, salam tegur-menegur kepada seluruh ummat Islam di mana sahaja.`Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.` al Munafiqun 9. Beberapa hari yang lalu saya telah `ditegur` oleh salah seorang pimpinan DPPP berkaitan issu buletin lepas yang menyentuh hal dokumen perjanjian PR serta politik kepentingan anak-menantu yang terpalit dengan PAS kini. Mungkin kerana beliau juga adalah seorang menantu kepada tokoh penting PAS dahulu dan sekarang beliau menjawat AJK Harian DPPP, menjadikan beliau begitu teruja untuk bersemuka dengan saya… (insyaAllah).
Bagi menyambung dan menjelaskan sikit lagi insiden `air bah` yang melanda Negeri Kelantan sekarang dari pandangan saya yang marhaen ini, tidak sepatutnya pihak yang mengetuai Kerajaan Negeri iaitu MBnya menyalahkan mana-mana pihak samada di dalam atau luar PAS. Sepatutnya tidak timbul cakap-cakap yang menuduh adanya pengkhianat atau kerja-kerja musuh bagi menjatuhkan PAS. Bagi saya jika perkara itu tidak berlaku atau tidak wujud langsung (perlantikan menantu sebagai CEO), pengkhianat atau musuh mana pun tidak boleh mereka-reka issu. Jika mereka-reka jua pun pasti akan terbongkar juga akhirnya. Sebaliknya jika perkara itu benar-benar berlaku tetapi pengkhianat atau musuh pun tidak dapat menghidu kerana semua jentera dan rakyat `samia`na wa ata`na` kepada apa yang `tok guru` mereka buat semuanya betul belaka. Bagi saya keadaan ketika itu lebih teruk dan zalim lagi kerana semua redha atau menyembunyikan kemungkaran sedangkan ianya wujud dan berlaku.
Dengan membuat pengumuman bahawa menantu telah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan oleh pak mertua, bagi saya satu kezaliman baru pula kepada menantu yang dilakukan oleh pak mertua. Sedangkan saya difahamkan kesalahan asas atau `premiernya` ialah tindakan si mertua itu sendiri yang melantik menantunya sebagai CEO. Si fulan, hambaAllah itu tidak akan terjebak atau terkena bahadi CEO tersebut jika tidak diangkat oleh yang berkuasa. Mungkin beliau sendiri kuat melobi dan memang inginkan jawatan berkenaan, tetapi jika mertua tidak melantik masakan si menantu yang malang itu akan dapat menjawatnya.
Sebab itu saya melihat kesalahan atau kelemahan asas yang primier ialah tindakan pak mertua. Sepatutnya pak mertualah yang perlu mengambil tanggungjawab sebagai pemimpin yang bermaruah meletakan semua jawatannya. Bukan menjadikan menantu sendiri sebagai `kambing hitam` atau pihak-pihak lain yang empunya angkara sedangkan kesalahan sebenar ialah tindakan beliau sendiri. Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud “Jika sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya akan aku potong tangannya” Dalam kes ini bukan anak atau menantu yang mencuri tetapi pak mertua yang `mencuri` pos CEO dari hak rakyat / ummah semua lalu diberikan kepada menantunya sendiri. `Is there..“Beyond reasonable doubt” ?
Sejak akhir-akhir ini PAS itu sendiri melalui pimpinannya seperti ditimpa-timpa `bala` atau amaran dari Allah swt. Ada-ada saja yang timbul, dari sumpah talaknya sampailah konspirasi untuk jatuh menjatuhkan antara satu sama lain. Maklumlah bahang nak memerintah semakin terasa agaknya.Jika MCA atau pihak yang bukan Islam berperang berebut habuan dunia mereka itu memanglah patut.. kerana tidak ada rujukan kitab bersama mereka. Dan jika sekiranya UMNO pun terikut-ikut dengan perangai rakan-rakan komponen BN mereka… tidaklah juga nampak peleknya, kerana rata-ratanya banyak yang jahil dan hanya tahu cari makan. Tetapi ini PAS yang memperjuangkan Islam, ada kitab serta ilmu di dada masing-masing insyaAllah. Siang malam menyeru orang ramai supaya memperjuangkan Islam bersama mereka.
Mungkin mereka selama ini terlalu banyak menyuluh keluar sampai terlepas pandang dan hampir terlupa yang di dalam sendiri yang dah mula membengkak bagaikan lahar gunung berapi, bila-bila masa saja bakal memuntahkan lahar panasnya… awas saudara-saudara ummah, jangan sampai menjadi mangsanya.
Maksud firman Allah swt, `Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk nenek mereka telah lama tidak diberi peringatan dan amaran; sebab itu mereka lalai` Ya Siin 6.
`Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupai diri kamu sendiri, padahal kamu membaca kitab, apakah kamu tidak berfikir ?`al-Baqarah 44.
`Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat ? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat.` as-Saff 2-3.
Sedangkan sebagai ummat Islam kita hendaklah menyedari bahawa kemuliaan kita sebagai manusia muslim di atas mukabumi ini ialah apabila kita berpegang bersungguh-sungguh dengan ajaran serta kemuliaan Islam. Seperti kata-kata Khalifah Umar al-Khatab ketika membuka Kota Baitul Maqdis; “Kita adalah suatu ummat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, maka sebarang usaha untuk mencari kemuliaan dengan ajaran (sistem) yang lain daripada ajaran di mana Allah telah mengurniakan kemuliaan kepada kita, nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah”
Gerakan Islam (bukan gerakan politik) di sepanjang sejarah kegemilangannya lebih menumpukan kepada kekuatan aqidah sebagai ciri paling utama di samping ciri-ciri yang lain yang melibatkan pendokongnya dan ianya menjadi terlebih penting lagi di peringkat kepimpinannya, kerana perjuangan ke arah yang menyentuh perubahan jiwa dan sikap manusia itu mestilah dilahirkan dari aqidah yang sebati di dalam jiwa, tidak seperti perjuangan sebuah parti atau gerakan politik.
Setiap orang yang melibatkan diri dengan gerakan Islam hendaklah menyedari mereka bukan seperti ahli politik (politician) atau ahli pertubuhan politik. Kerana jalan-jalan yang berdasarkan teori pemikiran semata-mata tidak akan mendatangkan hasil yang baik, bahkan tidak akan menjadi pegangan yang kukuh dalam masa yang panjang kalau tidak disertakan dengan amal ibadat yang ikhlas mencari keredhaan Allah bukan redha atau sokongan orang ramai.
Peranan pemimpin amat penting dalam gerakan Islam, ianya tidak boleh dilaksanakan dengan sempurna tanpa syakhsiah kepimpinan yang sebenarnya, walaupun ia mempunyai kepetahan bercakap, karisma dan dengan kemampuan ilmu. Walaupun sifat-sifat lahiriah itu tidak kita nafikan pentingnya, tetapi kepimpinan Islam memerlukan lebih dari itu iaitu pemimpin itu sendiri mestilah hidup dan membina seluruh kehidupannya dengan apa yang dia dan kepimpinannya perjuangkan. Dengan kata lain jika perjuangan Islam memerlukan pengorbanan merekalah yang terlebih dahulu kering koceknya barulah orang di bawah dan seterusnya… dan seterusnya. Sebaliknya pula jika perjuangan Islam itu mula dianugerahi Allah swt akan kejayaan dan kenikmatan duniawinya, maka merekalah yang terakhir sekali akan memperolehi sisa-sisanya.
Sepatutnya seseorang pemimpin harakah Islamiyyah hendaklah menjadi contoh kepada orang lain dengan amal-amal soleh yang lebih baik, kalau tidak dia itu lebih layak menjadi seorang penipu atau pelawak kepada ummat. – Editing dari Buku Aqidah & Kepimpinan.
Sekian, Salam Eidil Adha dari Ibnu Ramadhan.``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan