الحضارة
`Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para Nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, karena dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendakNya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus.` al-Baqarah 213.
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw, kaum keluarga serta para sahabat yang dimuliakan semuanya. Selawat dan salam juga kepada seluruh ummat yang terus mengikuti akan perjalanan mereka menuju redhaNya. Bertemu kembali kita di persada perjuangan ummah, untuk kali ini saya cuba membincangkan fenomena yang berlaku berkaitan perkembangan dalam PAS yang rancak diperkatakan oleh banyak pihak samada akhbar-akhbar arus perdana ataupun orang awam sendiri.
Bagi saya, sebab musabab yang telah mencetuskan issu atau idea mengenai kepimpinan PAS secara tak langsungnya tidak menjadi satu hal yang penting lagi, kerana yang utama bagi saya sekarang ummat Islam samada ahli PAS, ahli UMNO, PKR atau ramai yang tidak berparti dari berbagai bangsa termasuk musuh-musuh Islam sedang memerhati bagaimana persoalan ini akan dirungkaikan nanti. Pandangan umum melihat PAS yang selama ini lantang memperjuangkan cita-cita Negara Islam sedang terperangkap, bergelut dengan arus gerakan populist massa (rakyat pelbagai agama) yang didominasi oleh PKR dan DAP. Hasil keputusan seminar PAS nanti akan dijadikan `indicator` (penunjuk) kepada halatuju masa depan PAS dan perjuangannya oleh ummat Islam sendiri maupun oleh musuh mereka orang-orang kafir.
Dilema bagi PAS ialah kerana PAS begitu phobia dengan UMNO tidak dengan non Islam seperti DAP dan Hindraf. UMNO sekarang berada di pihak yang bersedia membincangkan agenda perpaduan ummah dengan PAS. Tetapi PAS pula takut untuk menyahut cabaran ummah tersebut kerana rasa bersalah terhadap rakan-rakannya dalam PR, sedangkan idea awal `Kerajaan Perpaduan` adalah lontaran Presidennya sendiri. Ummat Islam yang selama ini ramai menjadi ahli dan penyokong parti itu bakal mendapat `penjelasan`. Selama ini mungkin kabur kerana PAS sering kali lincah dan mengelak untuk berada di tengah-tengah persimpangan 2 jalan berasingan itu. Jalan PR seperti lebuhraya 3 lorong dilihat lancar akan memihak atau mengutamakan dominasi bukan Islam. PAS bagaikan `sleeping partner` sahaja bagi `cukup korum`. Jalan perpaduan ummah pula bagaikan `jungle tracking` yang belum berturap pastinya becak dan penuh duri ranjau yang memerlukan PAS duduk semeja dengan UMNO berbincang hal kepentingan ummah.
Bagi saya PAS sekarang lebih cenderung kepada PR kerana lebih selesa dan mudah kerja serta sesuai dengan arus populist. Lagipun orang-orang PAS sekarang bukan zaman 10 atau 15 tahun dahulu ketika Muhammad Sabu suka pakai baju `Camel`. Masa itu orang-orang PAS semacam siap sedia menyahut cabaran semasa seperti iklan `Camel Trophy`. Muhammad Sabu pun dah tak pakai baju kain keras-keras lagi! Semua lebih kerap pakai baju sutera sintetik dan yang lembut-lembut. Zaman berubah katakan, perjuangan pun nampaknya turut luntur dan berubah lah! Saya melihat agak sukar bagi PAS untuk memilih jalan perpaduan ummah yang imej awalnya pun nampak penuh dengan seribu `challenge`. Walau bagaimanapun semua ini tidak mustahil boleh berlaku kerana Allah swt yang lebih mengetahui dan berkuasa. Makhluk hanya merancang dan berusaha, Allah swt yang akan menentukan segalanya.
Semua pihak sedang melihat dan menunggu apa rumusan seminar PAS nanti. Jika terus kekal dengan PR dan mengucapkan `sayonara` kepada UMNO bererti kelemahan dan kehancuran bakal menimpa PAS satu persatu. Kenapa saya berkata begitu? Kerana PAS telah menjarak jauhkan perjuangannya dari kepentingan ummah dan mengutamakan kedudukan dan kekuasaannya bersama gerakan massa rakyat. Ummat Islam di Malaysia yang selama ini masih percaya dan menyandarkan harapan perjuangan Islam mereka kepada parti PAS akan mulai sedikit demi sedikit hilang kepercayaan sekaligus meninggalkan `Si Luncai dengan labu-labunya`. Mungkin PAS berjaya mendapat apa yang dihajatinya bersama PR tetapi hanya kuasa yang mengikut telunjuk orang yang bukan Islam.(Nau`zubillah)
Idea perpaduan ummah dan perjuangan ummah yang telah mula diperkatakan semula oleh banyak pihak termasuk sebahagian besar orang-orang UMNO akan terus disuburkan oleh ummah sendiri dan tidak mustahil dalam jangka waktu terdekat akan mengujudkan aliran arus dan `front`nya yang tersendiri. Pada ketika itu PAS akan menyedari bahawa mereka sebenarnya telah ketinggalan `keretapi` perjuangan ummah. Bukan salah ibu mengandung, tetapi salah memilih jalan perjuangan yang sepatutnya dikendong.
Kepada ummat Islam samada individu ataupun pertubuhan saya menyeru kepada diri saya sendiri dan ummah semua lipat gandakanlah usaha murni anda untuk mencari persamaan dan persefahaman sesama saudara seIslam. Tinggalkanlah titik bengik perbezaan dan perseteruan yang berasaskan hawa nafsu, teruskan bersuara dan perjuangkan kepentingan ummah sehingga dapat diwujudkan `badan kerjasama` yang benar-benar mewakili suara dan kepentingan ummat Islam tanpa perjudis manusiawi lagi hanya mencari keredhaan Allah swt semata-mata.
Itulah bagi saya cabaran masa kini yang terbentang di hadapan ummah semua samada anda ahli PAS, UMNO, PKR, DAP, ABIM, JIM, Tabligh, NGO atau siapa sahaja anda. Tidak kira anda berbangsa Melayu, India, Cina, Arab, Pakistan, Inggeris, Jawa, Bugis,Iban, Kadazan, Murut atau apa sahaja bangsa atas mukabumi ini, jika anda Islam anda adalah ummah yang perlu menyahut cabaran ini untuk kebaikan dan kepentingan anda sendiri. Itulah tugas bersama kita sebagai ummat Islam yang tidak boleh diabaikan.
Firman Allah swt bermaksud; `Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya dan Kitab yang terang. Dengan itu, Allah memimpin siapa yang mahu mengikut keredhaanNya ke jalan perdamaian, dan mereka dikeluarkanNya dengan izinNya dari kegelapan kepada cahaya yang terang, dan mereka dipimpinNya kepada jalan yang lurus` al-Maedah 16.
“Orang-orang beriman itu mempunyai pokok pendirian yang terang dan ukuran yang tetap. Itulah yang menjadi pegangan dalam setiap pekerjaan, tindakan dan tingkah laku, serta memberikan petunjuk dan isyarat: boleh jalan terus atau dia nampak lampu merah yang menyuruh berhenti. Kitab suci al-Quran cukup memberikan bimbingan, dan Rasul selaku penunjuk jalan.” Dr Yusuf al-Qardhawi Buku Iman & Kehidupan.
Sebagai penutup bicara kita pada kali ini, mari semua saudara ummahku kita renung dan selidiki firman Allah swt yang maksudnya lebih kurang begini; `Adakah orang yang berjalan dengan menelungkup di atas mukanya, itukah yang lebih betul ataukah orang yang berjalan dengan baik di atas jalan yang lurus ? ` al-Mulk 22. Sekian, wallahua`lam. Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan