Halaman

Khamis, 19 Ogos 2010

Teman-Teman...Kita Adalah Warisan Perjuangan Ummah ! - Bil 110/ Syaaban 1431


~* الحضارة
Firman Allah bermaksud; `Janganlah kamu melampau di dalam agama kamu` an-Nisa` 171. Hadith Nabi saw bermaksud; `Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana melampau-lampau dalam agama` Dari Imam Ahmad riwayat Ibnu Abbas. Selawat dan salam kepada Rasul junjungan ummah, Muhammad saw, kaum keluarga, para sahabat baginda semuanya. Seterusnya kepada muslimin dan muslimat semoga diberi taufiq oleh Allah swt agar terpelihara, terhindar dari melakukan dosa


Bertemu kembali bagi menyambung perbincangan lepas, yang saya tekankan bahawa bersediakah… ummah untuk meneruskan perjuangan Islam tanpa sokongan besar dari PAS & UMNO ?? Persoalannya adakah ummat telah sedar lalu bersedia…?? Jawapannya pula.. tak perlu dinukilkan di sini, kita masing-masing dengan tanggungjawab sendiri terhadap Allah swt sebagai Pencipta, Rasul saw sebagai penyampai risalah. Manakala kita pula sebagai ummat yang menerima dan beriman. Point penting saya- ‘La ikraha fideen’-tiada paksaan dalam beragama (berjuang/memperjuangkan agama).

Dalam sejarah Islam, ketua atau pemimpin tertinggi ummah ialah Nabi atau Rasul-Rasul yang dilantik `langsung` oleh Allah swt bagi sesuatu ummat atau kelompok tertentu. Nabi Muhammad saw pula ialah pemimpin yang terulung, terakhir bagi ummat akhir zaman ini yang merupakan Khatimul an-Biya` iaitu penutup bagi sistem kepimpinan yang dilantik langsung oleh Allah swt yang maha Agung. Sistem kepimpinan langsung ini telah terbukti kejayaan dan kewujudan mereka sebagai penyelamat bagi sesuatu ummat yang terpilih tersebut, biarpun terpaksa menghadapi segala bentuk tirani dan kuasa kejahatan.

Walaupun kepimpinan itu disebut era Nubuwwah, tetapi sebenarnya ummah tetap wajib menjalankan tanggungjawab mereka dalam memilih pemimpin ummah pada ketika itu. Apabila mereka yakin,yakni ummat Islam itu beriman kepada rasul serta risalah kebenaran yang dibawanya, bermakna mereka telah memberikan kepercayaan kepada rasul tersebut memimpin mereka. Mereka sanggup bersama-sama dengan kepimpinan dan ummah seluruhnya menghadapi apa jua rintangan dan cabaran semasa dengan patuh serta mengikut segala arahan dan perancangan kepimpinan Rasul.

Era kepimpinan langsung para Nabi ini telah berakhir dengan kewafatan Nabi Muhammad saw pada tahun ke 11 Hijrah. Ini adalah realiti yang ummah ketika itu hadapinya secara kolektifnya dengan penuh bertanggungjawab dan ada campur tangan kuasa serta hak memilih kepimpinan mereka.Ini terbukti dengan kata-kata Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dalam khutbah pertama beliau setelah dibaiah,
“Aku telah diangkat untuk memimpin kamu, tetapi.aku bukanlah orang yang terbaik dari kalangan kamu. Jika aku melakukan kebaikan maka sokonglah aku, jika aku melakukan kesalahan maka perbetulkanlah aku. Kebenaran itu adalah satu amanat dan kebohongan itu ialah suatu khianat. Yang paling lemah di kalangan kamu ialah yang paling kuat di sisi aku, sehingga aku mengembalikan segala hak-haknya di antara kamu kepadanya. Yang paling kuat di kalangan kamu ialah yang paling lemah di sisi aku, sehingga aku mengambil hak-hak kamu dari sisinya untuk dikembalikan kepada kalangan kamu.”

Ummat Islam generasi pertama ini rata-ratanya memahami dan mengerti akan hak serta tanggungjawab mereka dalam menentukan kepimpinan ummah ketika itu, sehingga kadang-kadang kita yang datang kemudian terasa `gerun` akan suasana yang tercetus dahulu itu hampir-hampir mengujudkan perbalahan
dan perpecahan ummah. Semua ini menjadi bukti atau hujah kepada kita bahawa betapa penting dan seriusnya kepada generasi dahulu akan tanggungjawab dan amanah imamah tersebut.

Keadaan ini dapat diperkuatkan lagi dengan kejadian seorang pemuda menghunuskan pedangnya dihadapan Khalifah Umar al-Khattab yang baru memegang jawatannya dengan berkata kami akan perbetulkan Khalifah dengan pedang kami lalu disambut dengan ucapan syukur dari Khalifah kerana masih ada orang yang sanggup memperbetulkannya jika beliau tersalah dan tersilap. Inilah kefahaman dan tanggungjawab yang generasi dahulu faham dan praktikan tanpa ada rasa takut atau bermuka-muka. Para pemimpin pada ketika itu pula berjiwa besar dan kekayaan budi pekerti yang asli  tidak perlu dibuat-buat, walaupun tidak memiliki kekayaan dan kemudahan yang melimpah ruah seperti sekarang ini.

Mereka memilih untuk hidup sederhana seperti kebanyakan kehidupan realiti khalayak ummah, walaupun mereka berkuasa dan boleh mendapatkannya tetapi jiwa mereka rasa berdosa dan bersalah jika mereka menafi atau mengalih pandangan dari kesusahan serta penderitaan ummat marhaen. Pemimpin-pemimpin ini lebih senang dan selesa mencontohi kehidupan Nabi saw yang hidup paling sederhana supaya jiwa dan perasaan Baginda sentiasa `dekat` dengan golongan-golongan mustada`fin, para fuqara wal masakin. Sifat-sifat sebeginilah yang menjadikan ummah kebanyakan merasai bahawa pemimpin mereka adalah pemimpin yang mewakili dan memperjuangkan aspirasi mereka, aspirasi ummah !

Saya menyeru kepada khalayak ummah yang selama ini hanya melihat dan memerhatikan dari jauh serta tidak mahu terlibat serta campur tangan langsung dalam usaha memartabatkan kembali kepimpinan ummah. Sebenarnya anda bersalah atau masih tidak memahami peranan serta tanggungjawab setiap individu ummat seperti generasi awalan dahulu menjalankan peranan masing-masing. Hak serta tanggungjawab tersebut tidak pernah diangkat oleh Allah swt, tetapi kuasa-kuasa politik dan para tiranilah yang menyempit serta menafikan terus ruang untuk ummah bersuara serta menentukan kepimpinan ummat. Mereka selesa jika ummah masih tidur dan nyenyak dibuai mimpi bahawa merekalah ‘Ketua Agama Islam’, pemimpin yang membawa panji-panji kebenaran, pelopor kepimpinan ulama` dan berbagai-bagai alasan lagi.

Konsep kepimpinan ulama` sesuatu yang kita terima dan akan kita martabatkan tetapi ulama` yang tidak membawa aspirasi (roh) perjuangan Nabi saw dan para sahabat sesuatu yang kita sanggah biarpun sebesar mana serban atau jubah mereka. Spesies ini akan kita nyahkan, walaupun mempunyai pengikut fanatik yang ramai. Segala lakonan dan sandewara pemimpin-pemimpin palsu ini sebenarnya cukup takut jika ummat berpegang dengan perjuangan kebenaran. Mereka phobia, apabila ummat diberikan kesedaran meneroka  mekanisma ummat sendiri tanpa perlu melalui sistem atau birokrasi mereka yang jahiliyyah.

Ummah mampu bersatu dan berusaha memilih pemimpin di kalangan mereka sendiri yang akan bertanggung jawab kepada kehidupan khalayak dan perjuangan ummah.Atas apa juga alasan pun, hujah, dakwaan serta perancangan jahat musuh terhadap para Rasul dan ummat Islam terdahulu, terbukti gagal. Begitu juga musuh tidak akan mampu menafi atau menutup akan cahaya kebenaran yang dibawa oleh ummat Nabi Muhammad saw sekarang InsyaAllah!. Nabi Muhammad saw telah berjaya menundukkan segala hujah-hujah aqal serta pencapaian terbaik aqal yang dikuasai nafsu pada zaman baginda. Risalah kebenaran yang dibawa sampai saat ini tidak pernah dan tidak akan bercanggah dengan rasional aqal yang sihat kecuali  kepada mereka yang sanggup menjadi hamba kepada kepentinagan nafsu serta kebodohan dirinya sendiri. Maka…insyaAllah ummat Nabi Muhammad akhir zaman kini juga, akan menuruti jalan perjuangan yang sama sebagaimana baginda serta generasi terdahulu.

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur'an) untuk manusia dengan membawa kebenaran; siapa yang mendapat petunjuk maka (petunjuk itu) untuk dirinya sendiri, dan siapa yang sesat maka sesungguhnya dia semata-mata sesat buat (kerugian) dirinya sendiri, dan kamu sekali-kali bukanlah orang yang bertanggung jawab terhadap mereka. az-Zumar 41.
Sekian dahulu untuk kali ini, sebahagiannya adalah intisari perbincangan Buletin bil 26 lalu.
Wallahua`lam, Selamat Menyambut Ramadhan Karem…dari - Ibnu Ramadhan
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan