Halaman

Ahad, 8 Ogos 2010

Sepertinya Ramadhan Tidak Pernah Mengajar Apa-Apa / Bil 67-Syawal 1430

     
   ~*الحضارة
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd ! Selawat dan salam buat Penghulu segala Nabi, Muhammad saw uswatun hasanah, seterusnya kepada kaum keluarga Baginda serta semua sahabat yang dimuliakan radhiyallahu anhum ajmaeen. “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa," al-Baqarah 183. Begitulah maksudnya firman Allah swt supaya manusia beriman menjalani kewajiban berpuasa… semoga memperolehi taqwa.

Ya saudara ummah sekelian, sepertinya ramadhan tidak pernah mengajar apa-apa kepada sebahagian besar dari kita. Apabila tiba sahaja Hari Lebaran semuanya kembali biasa seperti `kehidupan` mereka sebelum kedatangan tetamu ummah tersebut. Malah ada yang lebih parah lagi apabila gelojoh, terburu-buru, hubbun dunnya, bersimpati dengan maksiat, meraikan kekufuran, mempolitikkan perjuangan Islam atau dengan kata lain menjuzuk-juzukkan perjuangan Islam kepada perjuangan politik sahaja semakin menjadi-jadi dalam kehidupan sebahagian dari kita.

Umumnya memperagakan budaya mewah, ada `class` kalau tak `first class` pun, makan besar ( tiru perayaan Tahun Baru Cina), hingar-bingar dengan percikan bunga api, mercun malah meriam, kuih-muih dan kek berlapis-lapis, berpakaian baru yang bukan `made for taqwa`, bebas bergaul serta berkunjung ke rumah teman (boy/girlfriend) terutama mereka yang belum berumahtangga. Kesimpulannya mereka semua ini seperti mendapat sesuatu `keizinan` dari perjalanan berpuasa sebulan ialah; boleh mengikut syaitan terkutuk (membazir) untuk menghidupkan kegembiraan berhari raya, boleh bertuhan (menjamu) selera hawa nafsu biar ianya puas, boleh letak ke tepi syariat (bebas) bergaul bukan mahram bila hari raya, boleh jadi budak-budak tak berdosa (berhibur) untuk berseronok celebrate raya. Boleh… Malaysia Boleh ! PAS Boleh ! Ummah Pun Boleh…ka..???

Demikiankah gambaran atau wajah-wajah `taqwa` yang muncul dalam masyarakat ummah di sekeliling kita seusai ibadat puasa ramadhan. Wajah-wajah hodoh dan songsang kepada anak-anak kecil yang diasuh supaya membesar dengan mengambil nilai-nilai baik ajaran Islam. Wajah-wajah kurang ajar atau kelakuan tidak menghormati orang-orang tua (termasuk bayi-bayi) yang lemah dan uzur yang mengharapkan ketenangan dan kerjasama anak-anak cucunya. Wajah-wajah sombong dan bongkak generasi jahiliyyah baru yang memaksakan `worldview` terkini lakaran dan ciptaan mereka. Wajah-wajah palsu politikus-politikus berbuat baik yang bukan pada tempat serta orangnya. Wajah-wajah rakus koperat-koperat yang merompak hasil titik peluh ummah. Wajah-wajah sundal artis-artis yang mencalit kemungkaran ke dada-dada ummah. Seterusnya wajah-wajah kemaruk ummah sendiri yang suka menjadi pengemis dan peminta-minta hati budi serta nilai-nilai musuhnya jahiliyyah.

Sekian, luahan rasa kegelisahan dan rintihan di Hari Raya yang telah tidak menjanjikan lagi kekudusan Eidil Fitri. Dari Ibnu Ramadhan.                  ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan