~* الحضارة
Maha Suci Allah swt yang telah memberi kesempatan kepada kita untuk meneruskan lagi kehidupan yang fana ini. `Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah , padahal kamu mengetahui.` al-Baqarah -22.
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda serta para sahabat yang dimuliakan semuanya. Seterusnya kepada semua muslimin dan muslimat semoga kita semua diberikanNya hidayah..amin!
“Kita sudah jauh berpolitik, hanya kita jarang berhenti merenung untuk memikirkan keberkesanan penglibatan kita dan kaedah berpolitik selama ini dalam membina tamaddun ummah. Kerapnya kita sekadar hanyut bersama khalayak dalam arus-arus perdana politik semasa. Sebenarnya kita perlu berehat sekejap, kalau dalam istilah Covey 'to sharpen the saw'. Kerana kita mungkin effisien, tetapi apakah kegiatan kita itu effective?. Kita perlu dalam perjalanan ini dari semasa ke semasa memeriksa compass kita, adakah langkah-langkah kita itu berada di atas arah yang menuju kepada matlamat kita?”
Begitulah luahan hati penulis blog Muqabalah yang saya dapati mempunyai banyak persamaan dengan perspektif penulisan saya dan teman-teman selama ini di daerah permatang… (Penerbitan Sanaabel).
“ Kadang kalanya penulis cuba mengajak pembaca melihat dan berfikir, keluar dari kaedah biasa realiti orang hari ini berfikir.. Bagi penulis PAS terlalu besar apabila disandarkan Islam sebagai halatuju perjuangannya. Begitu jua kita tidak mampu melihat bumi yang kita pijak ini secara gambaran keseluruhannya, melainkan dengan bantuan pancaran-pancaran imej satelit yang mengorbiti bumi. Begitulah kiranya yang cuba penulis paparkan imej atau keadaan PAS mutakhir ini, yang diambil dari satelit bagi PAS itu sendiri.” artikel saya PAS Kehilangan Warna 1428H.
“Tindakan gerakan yang tidak mengambil berat ataupun yang meninggalkan langsung juzuk-juzuk perjuangan yang lain itu sebenarnya adalah sama dengan membunuh atau meruntuhkan perjuangan gerakan Islam itu sendiri. Berjuang dalam pilihanraya bukanlah satu-satunya jalan untuk sesuatu pergerakan itu mempersembahkan wajah Islam yang syumul kepada khalayak, ia hanya tuntutan semasa sepatutnya dilayan pada kadarnya sahaja…” Juga seterusnya Mendoakan Kemunculan Harakah Islamiyyah 2007M.
Begitu juga yang disuarakan Ummu el-Husna dalam buku sulungnya Muslimah !! Jangan Ternoda 1429H;
“Ukhtiku Muslimah, dalam sedar dan alpa kita menyaksikan kehidupan dunia berputar tidak lagi mengikut arahnya. Ada yang tidak kena berlaku, bahkan banyak perkara yang tidak kena sedang menjalani rutinnya dengan selesa. Gejala kemurtadan dan pemesongan aqidah suatu agenda yang disusun rapi, akhlak dan moral generasi kebejatannya di paras yang cukup bahaya.”
“Bukan akhlak sahaja yang musnah bahkan tamaddun kemanusiaan dan kehidupan itu sendiri ranap seranap-ranapnya… Apatah lagi tamaddun Islam yang kita citakan hanya tinggal syiar-syiar dan lambang-lambangnya sahaja sebagai bahan pameran di muzium-muzium untuk kenangan. Yang menyerlah hanya tamaddun kebendaan, tamaddun jahiliyyah yang `dimake-upkan` lalu dipaksakan dengan nama Islam.”
Tidak ketinggalan juga teman seperjuangan Hang Nadim dari Pulau Mutiara yang sempat menebarkan hanya sekali sahaja `bom berantainya` Kibesedo Taman Botanik kemudian ghaib… tulis beliau;
“Politik atau siasah adalah sesuatu yang tidak dapat tidak mesti ada di dalam kehidupan kita. Namun ianya bukanlah sesuatu yang `keramat` yang menyebabkan kita begitu menggilai atau begitu asyik dengannya.
Jika seseorang maupun sekelompok manusia mengabaikan tanggungjawab siasah dalam kehidupan akan memberikan kesan negatif kepada seseorang dan juga kelompok tersebut. Begitu juga sebaliknya jika seseorang ataupun sekumpulan manusia mengambil atau mengalami politik obesiti ianya juga akan memberikan kesan`over positif ` kepada kehidupan dan selepas kehidupannya.”
“Dalam memberi gambaran jelas berkaitan persoalan ini penulis secara tidak ada pilihan lain menyamakan hawa nafsu kebinatangan manusia sebagai dunia haiwan yang dapat digunakan bagi menyampaikan mesej, memberanikan diri mencontohi Prof Dr Shahnon Ahmad dengan dunia usus beliau. Bagi penulis manusia adalah sebaik-baik kejadian yang telah diciptakan oleh Allah swt sebagai khalifah, namun manusia itu sendiri begitu hampir sekali kejadiannya dengan haiwan melalui kacamata nafsu. Biarpun manusia dibekalkan dengan aqal tetapi tidaklah bermakna aqal itu menjamin kesempurnaan fikirannya melayani runtunan hawa nafsu.”
Tidak dilupakan seorang lagi profesional muda dari Perak, Dr Aliff Bin Basri yang menghuraikan kalimah `Hadharah Islamiyyah` lebih tepat diguna berbanding Negara Islam;
“Hadharah Islamiyyah lebih tepat untuk dijadikan sebagai matlamat akhir bagi gerakan Islam. Bukannya Negara Islam atau Daulah Islamiyyah atau Darul Islam.”
“Bila berbincang mengenai Negara Islam, ciri yang menonjol adalah dalam aspek perundangan (fiqh Jinayat) dan juga kekuasaan yang harus dikembalikan ke tangan umat Islam yang benar lagi adil. Secara psikologinya, ia sebenarnya secara tidak langsung mengheret semua umat Islam untuk memberi fokus yang banyak dalam aspek politik (siasah).”
“Kembali pada kenyataan awal, bahawa faham negara Islam sebenarnya membuatkan ahli penggeraknya salah faham dari sudut penghayatan dengan berlakunya langkauan ke atas beberapa misi utama sebelumnya iaitu individu Muslim, keluarga Muslim dan masyarakat Muslim. Ia tenggelam dimamah semangat untuk mendirikan negara Islam semata-mata.”
Demikianlah sedikit coretan tentang bibit-bibit persamaan fikrah yang mungkin ada dan mulai bersemi di daerah permatang kini… Bulan Rejab yang akan datang, insyaAllah genap 2 tahun usia Buletin al-Hadharah. Tentulah dalam usia yang muda tersebut masih jauh lagi perjalanan yang bakal kami lalui dan tempuhi, masih banyak lagi perkara serta tunjuk ajar yang diperlukan bagi meniti hari-hari seterusnya… Bagi maksud yang tersebut, pintu-pintu kami di daerah permatang ini sentiasa terbuka mengalu-ngalukan tunjuk ajar, teguran dan komentar-komentar yang membina dari khalayak ummah semua. Semoga musim tanaman kali ini, yang tengah menghijau di sekeliling permatang akan membuahkan hasil yang menguning pula.. bermanfaat… terutamanya kepada ummat Islam.
Tidak salah rasanya untuk mengambil kesempatan memenuhi ruang yang ada mewakili teman daerah permatang ini merakam penghargaan kepada semua mereka yang telah berbudi serta pernah berjasa pula kepada kami dengan menyiarkan atau memanjangkan artikel serta risalah picisan ini kepada khalayak ummah yang lebih luas… Jazakallah khairan jazak kepada Kedah lanie, Rakyat Marhaen, DPP Sarawak, Tranung Kite, Darul Ulum Online Jordan, Islamic Youth Ass..of Manipal, Ibnu Abbas Bintulu Sarawak, Setitik Embun Semarak Api Sabah, Rausyanfikir, Taman Melati Manjung, Batu8 Bendangsiam online, Ulu Muda Ku, Jalan Lurus, Wacana Ilmuan, Untuk Hari Esok, Minda Positif, al-Banjari online, Other Perspektif, Rosidihussain al-Bertami, Alam Semesta, Parlimen Jerai dan mungkin banyak lagi yang kami tidak dimaklumkan mengenainya, hanya Allah swt sahaja mampu menganjari budi-budi mulia anda…
Sekian, semoga Allah swt terus mencurahkan titisan-titisan rahmatNya kepada hamba-hamba yang beriman, jangan menyengutukan Allah swt dengan sesuatu apa pun! Hanya Allah swt sahaja yang berhak untuk disembah dan ditakuti. Salam ukhuwah serta salam perjuangan dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan