Halaman

Jumaat, 6 Ogos 2010

Buletin al-Hadharah Bil 61- 63

~*BIL:61/ Ramadhan 1430 الحضارة
AL–HADHARAH

`Hantu` Lord Reid Berjaya Merasuk Pejuang2

Syahru ramadhan allazi unzila fihil quran – al-ayah… Selawat dan salam perjuangan kepada Rasulillah saw, kaum keluarga serta para sahabat Baginda yang sentiasa istiqamah meneruskan perjuangan Baginda saw.

Syukur kehadhrat Allah swt dapat kita, dengan izinNya meneruskan lagi aktiviti-aktiviti pada bulan yang mulia ini dengan sebaik mungkin. Kebiasaannya topik atau persoalan yang kebanyakan dari kita perbincangkan sepanjang bulan puasa ini ialah peningkatan amalan atau muhasabah maupun koreksi diri ummat Islam secara individu. Ramai antaranya seolah-olah tenggelam, karam dalam kesyahduan Ramadhan memperkemaskan diri masing-masing dengan berlumba-lumba berbuat kebaikan serta kebajikan yang bersifat peribadi tapi terpisah. Tidak salah semuanya tetapi.. mungkin lebih banyak tersasar. Apa salahnya jika perbicaraan kali ini cuba mengajak setiap dari kita berfikir dan bertindak untuk kepentingan ummah itu sendiri. Mari kita jadikan kedatangan bulan Ramadhan kali ini sebagai ruang yang sihat untuk mempertingkatkan kualiti perjuangan ummah secara keseluruhan, khususnya bagi kita yang berada di Malaysia. Islah nafsak wad’u ghairak(Perbaiki dirimu dan mengajak bersama saudaramu yang lain).

Ramadhan, secara ringkas, membawa erti membakar, kesukaran, kecekalan atau perjuangan yang tak kenal putus asa. Itulah semangat dan roh ramadhan yang dibawa oleh tetamu agung ini saban tahun kepada ummat Muhammad SAW bagi menunaikan misi menyambung tugas mulia memperjuangkan Islam. Maksud firman Allah:`(Beberapa hari yang ditentukan) Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil).Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah ia berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur`
(al-Baqarah 185).

Berbalik kepada tajuk yang saya cuba utarakan kali ini, iaitu `puaka` Suruhanjaya Reid yang seterusnya menjadi asas Perlembagaan Negara hari ini, telah berjaya menjadikan pejuang-pejuang Islam atau `mujahiden` suatu ketika dulu kepada `kunta-kinte` zaman kini yang ternyata belum merdeka fikrah dan tasauwur perjuangan mereka (maaf teringat kisah filem hamba abdi dulu-dulu). PAS waktu itu menjadi juara menentang segala bentuk dan jenis thoghut walau apa pun namanya. Saya yang masih hingusan ketika itu dapat mengerti dan baru faham kalimah thoghut dari Almarhum Yusuf ar-Rawi, terimakasih kepada `pejuang dulu-dulu` hanya Allah yang mampu menganjarinya. Undang-undang ciptaan manusia, Perlembagaan Lord Reid, hukum thoghut dan jahiliyyah bertubi-tubi diasak ke dalam pemikiran generasi seusia saya (belasan dan awal 20an). “Kita menentang UMNO bukan kerana namanya UMNO, kita berlawan dengan Barisan Nasional bukan kerana namanya Barisan Nasional tetapi kita menentang UMNO dan berlawan dengan Barisan Nasional kerana mereka mengekalkan perlembagaan serta undang-undang penjajah, undang-undang dan perlembagaan orang kafir ” begitulah lebih kurangnya pidato-pidato pimpinan PAS masa saya terikut-ikut dengannya dulu.

Waktu itulah juga generasi kami diperkenalkan dengan serba sedikit ilmu dan pengajaran yang cukup berharga untuk menjadi pelapis atau penerus kepada perjuangan suci ini pada masa mendatang. Walaupun program-programnya ketika itu tidaklah secanggih dan sehebat sekarang, kadang-kadang dalam hutan getah, celah pokok pisang, tepi pantai yang tak ada orang, di markaz dan di surau-surau terbiar. Dalam program-program tarbiyyah dalaman serta pembinaan syahksiah kami didedahkan dengan agenda musuh teori Machiavellian yang licik supaya berhati-hati dan berwaspada `matlamat boleh menghalalkan cara`. InsyaAllah segala ilmu dan pengajaran yang berharga tersebut masih kuat, segar, terpasak di lubuk jiwa mujahid hingusan ini. Biarpun Ustaz Abd Razak Daud, Suhaimi Said, Saifuddin Nasution, Ustaz Latif Muhammed malah Ustaz Nakhaie sendiri meninggalkan PAS atau perjuangan PAS ketika itu lalu bersekongkol dengan thoghut. Alhamdulillah kami tetap tegak dengan perjuangan Islam dan bersama PAS. Walau apa pun alasan dan kaedah mereka yang terpengaruh itu berikan, kami masih waras untuk mempertimbangkannya, pemimpin boleh datang dan pergi perjuangan itu sendiri yang mesti diteruskan biarpun keseorangan (sedikit).

Masa berubah, musuh pun berubah malah jahiliyyah sendiri lebih pantas berubah dan semakin canggih bertambah licik. Dewasa ini bukan sekadar individu atau pemimpin yang berjaya mereka rubahnya malah wadah atau PAS itu sendiri yang berjaya mereka gubahkannya menurut apa yang mereka mahukan.
Alasan saya begini:- 1) DAP yang `chauvinist` satu waktu dulu boleh begitu erat dan menjalin hubungan baik dengan PAS sekarang adakah kerana mereka berubah dan lebih cenderung menyokong Islam atau PAS sekarang yang berjaya digubah supaya lebih terbuka dan mesra dengan jahiliyyah di Malaysia ?
2) Mursyidul Am PAS mendapat anugerah `nobel keamanan` peringkat Asia di Filipina kerana badan tersebut telah berubah menyokong perjuangan umat Islam Moro atau peribadi tokoh PAS tersebut sendiri berjaya digubah supaya lebih menguntung dan memenangkan jahiliyyah ?
3) Lee Kuan Yew @ pemimpin Yahudi Asia Tenggera secara terbuka memberi `kredit` besar kepada PAS adakah kerana beliau dah tua dan sedar untuk mencari hidayah atau PAS itu sendiri telah berjaya kuncu-kuncunya gubahkan begitu lunak dan merdu untuk kepentingan agenda besar mereka di Asia ?
4) Zaid Ibrahim yang menjadi jagoan menentang Enakmen Hudud lalu menyitanya di mahkamah telah berubah, rujuk jadi `orang melayu` kembali dan menjalin hubungan `silaturrahim` dengan PAS atau PAS sekarang telah benar-benar berjaya mereka gubahkannya menurut kemahuan semua mereka ?
5)Banyak tokoh atau `figure` Islam liberal, plural, kristianisasi dan anti Islam sebenar seperti Karpal Singh, Teressa Kok, Elizabeth Wong, Hindraf, Raja Petra, Hishamuddin Rais dan lain-lain. Adakah mereka ini telah berjaya ditunjuki jalan yang benar oleh PAS atau PAS yang semakin menurut dan melurut serta memerlukan `style` tokoh-tokoh tersebut ?

Kalau tanya pimpinan PAS sekarang, adakah mereka dah berubah, terpengaruh dengan kelicikan teori Machiavellian itu, tentu sekali jawabnya tegas: “ Tidak ! Matlamat tidak boleh menghalalkan cara ”. Mungkin tambahnya lagi, “Kita ada Majlis Syura yang terdiri dari ulama`-ulama` yang membincangkan setiap keputusan”. Dan “ Siapaa.. kamuuu ? ” tambah saya sendiri… Masalahnya sekarang teori politik itu sendiri dah berubah-rubah letak-duduknya, sebagai contoh:-1) Bagi mencapai maksud politik… maka bolehlah dipelbagaikan cara. 2) Bagi pejuang Islam pula, semua cara-cara lain yang syarie kita `kiv` dulu, biar kita tumpu hanya satu cara… saja. 3) Dapatkan kuasa dulu.. lepas ni baru kita berkira nak buang raja ka atau nak pinda perlembagaan ka, baru boleh ikut suka kita.

Bagi saya inilah contoh jiwa dan pemikiran hamba yang belum merdeka diselaputi `Puaka Reid`, jangankan nak membebaskan Negara untuk ditegakkan Syariat Islam. Nak berfikir dan berjiwa merdeka bebas dari `ketakutan` kepada thoghut perlembagaan pun masih gerun, terketar-ketar takut tak dapat makan agaknya. Awat ! selama ini buku perlembagaan itu ka yang dok bagi hangpa makan, atau mungkin hangpa yang bawa makanan bagi kat dia… Wahai jiwa-jiwa yang masih ada roh Islam dalam sanubari kamu.. bangunlah atas nama dan diri kamu yang sebenar sebagai abdi @ hamba kepada Allah sahaja ! Jadilah Mujahid, Mujahidah yang takut hanya kepada Allah swt. Allahuakbar ! Allahuakbar ! Ramadhan kareem…
Allahu Akram. Dari -Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


~*BIL:62/ Ramadhan 1430 الحضارة
AL–HADHARAH

Apabila Bahtera Lanun `KD(L) Reid` Dibongkar

Maha Suci Allah yang telah mengizinkan kepada kita sebagai makhluk yang lemah ini meneruskan hidup di atas planet bumi yang sudah semakin lanjut usianya kini. Selawat dan salam Ramadhan kita ucapkan kepada Muhammad al-Amin al-Mustaffa saw, kaum keluarga dan semua para sahabat yang diredhai Allah sekeliannya. Maksud firman Allah:- `Musa berkata kepada kaumnya: "Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakan-Nya kepada siapa yang dihendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya( yang beriman). Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa." al-A`raf – 128.

Ramai antara kita baru-baru ini menyambut hari kemerdekaan negara yang ke 52, bermakna sudah 52 tahun negara ini merdeka. Kepada generasi yang membesar selepas merdeka iaitu selepas era tahun 1957 mungkin upacara-upacara keramaian dan pesta-pestaan yang menjadi `benchmark` dalam kehidupan mereka. Ianya kosong dan tidak membawa apa-apa nilai kepada perjuangan samada ianya nasionalis, sekularis maupun pihak yang lebih Islamik. Seperti saya sendiri yang lahir pada 1966 selepas Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) `dihancurkan` kemudian digaulkan semula dengan formula `Malayan Union` dahulu dengan nama baru Malaysia pada tahun 1963. Sebab itu bagi saya kempen `1 Malaysia` itu hanyalah retorik kepada mana-mana pemimpin yang baru mengambil alih negara sahaja, tak lebih dari itu…kerana telah berlalu kempen sebegitu berulang kali.

Baru-baru ini, ketika mengemas dan menyusun buku-buku lama (akibat berpindah rumah) saya tertarik dengan buku `Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu` yang ditulis oleh seorang tokoh veteran UMNO Pulau Pinang dahulu iaitu Ibrahim Mahmood beralamat 148A Jalan Tanjong Tokong, P.Pinang, penerbitan Pustaka Antara. Yang menjadikan saya lebih tertarik lagi ialah apabila setiap peristiwa `bertawarikh` (menggunakan istilah beliau) yang dirakamkan dalam tulisan tersebut begitu lengkap dan terperinci. Dan yang terlebih penting pula ialah kerana beliau seorang tokoh perjuangan UMNO dan pengarang akhbar serta buku-buku yang memihak kepada pemerintah. Ini penting bagi saya supaya, saya tidak mahu mendapat sumber atau bahan maklumat yang telah diolah oleh penentang-penentang UMNO atau pemerintah, terutamanya dari pembangkang.

Kepada saudara-saudaraku ummat Islam, mari sama-sama kita lihat apa kata Pesuruhjaya Tinggi British bagi Tanah Melayu ketika itu Sir Donald Mac Gillivray dalam majlis menandatangani Perjanjian Persekutuan yang dikatakan mengubah negara ini menjadi merdeka dan berdaulat. “ Tiada beberapa hari yang lalu Baginda Queen telah mengesahkan persetujuan undang-undang bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang telah diluluskan oleh Parlimen United Kingdom yang hari ini kita hadir bersama-sama untuk menurunkan tandatangan di atas Surat Perjanjian yang akan menjadikan riwayat terhentinya cara perhubungan yang lama di antara Great Britain dengan Tanah Melayu akan tetapi terbuktilah pula suatu perhubungan yang lain iaitu suatu perhubungan yang bersesuaian dengan peredaran zaman hari ini (Commonwealth)” ms 594-595 Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu.

Setahun sebelum dari itu pada 8hb Feb 1956 di Lancaster House, di hadapan Setiausaha Tanah Jajahan British, Alan Lennox Boyd, Tunku Abd Rahman berucap selepas menurunkan tandatangan PersetujuanTreaty Kemerdekaan; kata Tunku, “ Penyata yang di hadapan kita adalah menandakan tamatnya perhubungan secara lama antara dua buah negara kita dan menandakan permulaan perhubungan baharu yang menjadikan Tanah Melayu satu kongsi yang setaraf dengan United Kingdom di dalam lingkungan persaudaraan Negara-Negara Commonwealth yang besar. Saya sebutkan dengan tegasnya bahawa tali-tali persahabatan yang mengikat kita sebegitu kejap tidak akan terombak bahkan saya rasa tali-tali persahabatan itu akan diperkuatkan lagi dan tuan akan melihat Tanah Melayu sebagai sahabat Britain yang paling akrab.
…saya jamin kepada tuan, menurut bagaimana cita-cita rakyat itu dihasilkan Tanah Melayu akan tinggal kekal sebagai sahabat Britain…” ms 512 Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu.

Begitulah ucapan `Prince of UMNO` yang sememangnya telah diasuh dan dididik untuk `merdeka` dengan acuan berbudaya serta berkiblatkan tuannya.

Apa yang lebih mengejutkan saya lagi apabila ada juga Sultan dan orang melayu yang begitu mendalam kecintaan mereka kepada `western style` kerana begitu lama dalam era penjajahan dan selesa dengan cara hidup begitu tidak mahu merdeka walaupun kemerdekaan itu hanya seperti yang UMNO usahakan. `Peristiwa itu ialah terbit daripada singgahsana Kerajaan Johor, oleh baginda yang mengandungi rasa murka terhadap cita-cita rakyat hendak merdeka, “Apa nak merdeka? Kita ada kapal perang atau meriam?” titah baginda sambil memuji-muji orang putih kerana jasa-jasa mereka yang banyak di Malaya. “Kalau orang putih keluar, negeri ini akan susah 99 kali ganda daripada hari ini,” titah baginda lagi.`
ms 487 Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu.
`Sementara itu…di Pulau Pinang seorang Dr. Melayu yang baru mendapat gelaran `Sir` daripada Queen telah menyatakan bahawa rakyat Pulau Pinang mahukan kekal sebagai Tanah Jajahan British (seperti Hong Kong)` ms 517 Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu.

Jadi tidak hairanlah sekarang ini pun masih ramai lagi orang melayu yang beragama Islam pada rangka kulitnya, tetapi segala isi perut dan `perkakas dalamnya` semuanya tetap `made in western country`. Ini menguatkan lagi telahan saya dan ramai ummat Islam bahawa UMNO dan perjuangannya adalah warisan kolonial ataupun `klon` United Kingdom. Pegangan Agama bagi mereka ialah hak peribadi dan untuk upacara-upacara rasmi negara sahaja. Apatah lagi ada pula makhluk jenis mufti sekarang ini yang boleh ambil upah membawa dan mengiring Mushaf al-Quran atau membaca doa-doa ketika majlis keramaian resmi negara.

Jika golongan di raja terbentuk seperti yang zahirnya hari ini sejak zaman penjajahan tidak berubah adalah disebabkan mereka sendiri tidak terasa apa-apa pun perubahan yang besar dalam kehidupan sebenar golongan berdarjat tersebut, mereka tetap berada di singgahsana tertinggi negeri dan Negara sekarang ini. Jika golongan pemerintah (UMNO) atau yang sewaktu dengannya tidak pula membawa apa-apa perubahan besar yang melibatkan dasar atau perubahan undang-undang negara ada logiknya juga kerana itulah jaminan pemimpinnya dahulu ketika persetujuan bersama. Jika rakyat marhaen dan ummat Islam tidak terasa apa-apa perubahan yang mengangkat serta menjamin haknya untuk dibela dan diperjuangkan oleh mana-mana pihak dalam negara merdeka, logiknya pun ada juga kerana semua perjuangan telah menjadi medan pertarungan dan persaingan mengumpul laba dan kuasa.

Jika pejuang-pejuang Islam (PAS) sudah tidak mampu bersabar dan semakin longgar kebergantungan mereka dengan pertolongan Allah, lalu perlu sokongan semua kaum dan agama untuk memberi kejayaan kepada `perjuangan Islam` mereka, inilah satu-satunya `perubahan besar` (mengikut formula UMNO dulu mendapat kekuasaan) yang di bawa oleh mereka kepada ummah supaya ummah menilai serta memberi kerjasama kepada mereka atau tidak. Bagi saya tidak mustahil PAS akan berjaya bersama PR mentadbir negara tetapi hanyalah sebuah negara yang mewarisi segala semua seginya seperti hari ini. Ketika itu ramailah orang PAS yang menjadi mufti dan YDP Majlis Agama. Perjuangan Islam tetap ummah terpaksa memacunya sendiri. Sekian. Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron `
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -


~*BIL:63/Ramadhan1430 الحضارة
AL-HADHARAH

Kepimpinan Terikut-ikut Hawa-nafsu – Perjuangan Sia-Sia

Segala puja dan puji hanya sanya bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam penuh takzim kepada Rasul Junjungan, Muhammad saw, beserta kaum keluarga dan para sahabat semuanya. Seterusnya kepada semua muslimin dan muslimat termasuk diri ini, semoga mendapat rahmat dan hidayah dariNya jua.

Sidang pembaca yang budiman sekelian, untuk bicara buletin kali ini, ingin dan suka kiranya dapat berterus terang untuk menjelaskan lagi kepada khalayak semua tentang apakah mesej atau maksud sebenar tulisan-tulisan saya terutamanya dalam risalah berkala al-Hadharah ini khususnya dan juga buku-buku yang diterbitkan Penerbitan Sanaabel secara amnya. Mesej semua tulisan saya, rakan serta teman seperjuangan insyaAllah memperjuangkan kebenaran (Islam ) supaya keluar dari kelompok sempit untuk menggalas aspirasi ummah walaupun sukar malah pahit bagi pencinta-pencinta kebenaran untuk menerimanya. Kami sedar laluan yang telah dipilih ini tidak menjanjikan hamparan permaidani merah atau puji-pujian malah sebaliknyalah yang sering kunjung mendatang… Alhamdulillah!

Kebenaran yang kami cuba ajak khalayak kepadanya ialah kebenaran yang dapat menghidupkan kita sekarang (dalam kehidupan seharian) secara tolong-menolong, bahu-membahu bersama-sama sebagai khaira ummah bukan kebenaran yang tertunda ataupun nanti… seperti perjuangan kebanyakan dari kita yang terjebak dengan perlakuan-perlakuan `retorik` ahli-ahli politik, imej-imej tok dalang wayang kulit- lain di pentas, lain pula dalam kehidupan realiti. Perjuangan yang nampaknya sarat dengan doktrin atau manifesto idealisma yang cukup kudus untuk ummat marhaen, tetapi hanya nanti…suatu ketika nanti.. bila kita telah berjaya membenamkan semua penzalim-penzalim tersebut dahulu. Sekarang ! Laa nie.. kita tak kisah nak hidup atau berbudaya hidup apa pun`hip-hop` ka, rock ka. Tak perlu! tak perlu untuk membina apa-apa budaya, tamaddun atau hadharah sebagai manusia muslim apalagi beriman. Apakah betul bersikap serta berpendirian begitu..? Apakah ini namanya tempoh peralihan yang `hipokrit`?

Sebagai manusia biasa yang punya kelemahan di sana-sini dalam menyampaikan mesej atau menjalankan tugas tersebut, kemungkinan terdedah kepada kelemahan adalah biasa bagi saya dan teman-teman. Sayugianya juga kami sedia mendengar dan meneliti semua `feedback` yang sampai kepada pihak kami insyaAllah dengan hati yang terbuka untuk saling memperbaiki serta meninggikan risalah kebenaran Islam dan kepentingan ummah, bukan kepentingan diri, kelompok ataupun `status-quo` sebagai pejuang Islam, sehingga menafikan kewujudan dan sumbangan pihak lain. Bagi kami tidak banyak `protokol` untuk menjadi para pejuang Islam, cukup dengan “Ballighu `anni walau aayah” itulah Sabda Nabi saw yang bermaksud ; `Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat`. Cuma kaedah umum yang perlu diketahui terlebih dahulu oleh seseorang itu, mestilah beriman dengan risalah (Islam) itu bagi dirinya dan berusaha mempraktikkannya pula pengertian risalah tersebut semampu mungkin seterusnya berkongsilah dengan saudara-saudaranya yang lain dengan mengajak mereka bersama-sama.

Penegasan atau kenyataan saya ini bukanlah bermakna kami takut serta tidak mahu dikritik pula, cuma mungkin sedikit rasa kurang `enak` apabila komen atau maklumbalas tersebut yang kami terima terlalu `emosional` dan terlalu kebudak-budakan. Sedangkan kami sendiri menganjurkan budaya berfikir, supaya ummah mencari kebenaran dengan nas-nas serta hujah bukan emosi melulu yang menyerbu, menyerlahkan ketaasuban pengkritik. Sebab itu kami sering kali cuba mengajak pembaca serta khalayak melihat dan berfikir keluar dari kaedah biasa atau realiti orang hari ini berfikir. Orang hari ini lumrahnya berfikir berdasarkan apa yang ia akan dapat keuntungannya di dunia sekarang. Orang hari ini berfikir bagaimana untuk mendapat keuntungan tersebut dengan mudah dan cepat. Orang hari ini berfikir bagaimana `idealismanya` terhadap perkara-perkara tersebut mendapat sokongan serta sambutan semua orang atau paling ramai yang mengikutnya maka betullah idealisma perjuangan itu.Untuk itu awal-awal lagi, saya memaklumkan bahawa saya serta rakan-rakan dalam Penerbitan Sanaabel berlepas diri dari menganut doktrin pemikiran sebegitu. Bentuk atau kotak pemikiran tersebut “di Pekan Rabu pun berlambak” kata orang-orang Kedah, atau dengan maksud lain di mana-mana pun ramai dan mudah mendapatinya golongan yang berpemikiran begitu. Golongan yang mempunyai aqal fikiran tetapi dia suka orang lain tolong berfikir bagi pihaknya. Dia suka mengikut apa yang orang kata baik dan elok bagi orang itu, dia pun ambil untuk elok dan baik pula bagi diri serta aqalnya. Semakin ramai orang kata baik (testimonial) semakin yakinlah aqalnya akan produk perjuangan itu. Bagi saya golongan begini hanya `otak` yang sihat (tak diguna) bukan aqalnya yang sihat.

Seperkara lagi, saya dan teman-teman insyaAllah berkeyakinan, perjuangan Islam yang diperlukan oleh ummah hari ini ialah perjuangan yang membawa bersama-samanya pembinaan hadharah atau tamaddun atau boleh juga dikatakan budaya. Iaitu perjuangan Islam yang menghasilkan Hadharah Islamiyyah oleh ummat Islam itu sendiri untuk menjaga dan memberi suatu suasana yang sihat kepada perkembangan dan perjuangan Islam seterusnya. Perkara ini yang kami lihat begitu penting mutakhir ini kerana ummah kebanyakan telah kehilangan arah atau juru pandu untuk dijadikan contoh hadharah Islamiyyah yang hidup itu bagaimana? Sebab itu mahu tidak mahu bagi pejuang-pejuang Islam, lebih-lebih lagi orang-orang yang berilmu seperti alim ulama` mesti duduk di saff hadapan mendirikan Hadharah Islamiyyah yang hidup dan praktikal. Merekalah yang mesti terlebih dahulu bebas dari segala rangkaian dan saki baki jahiliyyah serta maksiat. Sumber pendapatan dan perjuangan mereka mesti `paling` bersih dari syubahat riba. Sebab itu jangan kita hairan kenapa ulama`-ulama` dahulu ramai yang berikhtiar sedaya upaya untuk bekerja sendiri, kerana di situlah asas-asas pembinaan serta kekuatan Hadharah Islamiyyah. Saya tidak bermaksud semua ummat Islam tidak boleh berjawatan dalam kerajaan yang tidak Islam. Kepada ummah secara umum dan penyokong tidak bermasalah, tetapi kepada pejuang Islam yang ummah perlukan suri teladan mereka atau kepimpinan mereka tentu janggal jika mereka sendiri adalah kakitangan dan perkakas pihak thoghut.

Perkara ini mudah sahaja jika kita mampu untuk melihat begini, rata-rata ummat Islam seluruh dunia tidak menghormati pemimpin-pemimpin negara-negara Arab termasuk Saudi kerana dianggap tali barut serta boneka Amerika. Tali barut atau boneka macam mana Amerika tidak pun menjajah negara tersebut? Amerika sebenarnya menjajah bukan sekadar pemikiran pemimpin malah hadharah negara-negara tersebut. Walaupun ummat Islam beribu juta benci dan melaknatkan akan Yahudi serta Amerika tetapi masih tidak mampu untuk menewaskan musuh Allah tersebut kerana mereka sendiri terbelenggu dan terperangkap dengan kelicikan dan `keharmonian` hadharah Yahudi serta Amerika sendiri. Ummat Islam yang ramai menjadi penyubur dan pemangkin untuk ummah yang lain membiakan hadharah musuhnya.

Itu contoh yang luar dan mungkin jauh. Ini pula suasana tempatan kita, para mufti di negara ini rata-ratanya orang yang berilmu dan tidak pernah zahir dari mereka `ahli maksiat`.Mereka sering kali pula berucap dan mengajak ummat Islam bersatu dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Secara jujurnya saya mengatakan selama 50 tahun lebih dah mereka menyeru semua pihak ke arah itu, selama 50 tahun lebih jugalah ummah kebanyakan memomokkan ucapan itu. Kenapa? Kerana ummah kebanyakan melihat mereka tidak membina apa-apa pun Hadharah Islamiyyah untuk kepentingan ummah.`Post` mereka di situ hanyalah menjadi `buffer`(penampan) bagi mengaburi ummah akan wajah sebenar hadharah jahilyyah pihak berkuasa.

Oleh itu saya menyeru kepada ummat Islam dan pejuang-pejuang Islam yang yakin serta ikhlas, keperluan mendesak, dharuri bagi ummah mutakhir ini ialah mereka yang ikhlas untuk membina kembali Hadharah Islamiyyah. Biarlah pekerjaan ini nampak kecil, tidak `gah`, kita kumpulkan butir-butir pasir dan batu-batu kecil ini seterusnya kita gaulkan dengan simen serta air untuk dimasukkan ke dalam acuan agar menjadi ketulan-ketulan batu bata. Apabila banyak batu bata yang mengikut spesifikasi piawai kemahuan Islam maka besarlah dan tinggilah harapan kita akan janji Allah swt. Sekian, wassalam. Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan