~* الحضارة
`Bagaimana bisa (ada perjanjian dari sisi Allah dan RasulNya dengan orang-orang musyrikin), padahal jika mereka memperoleh kemenangan terhadap kamu, mereka tidak memelihara hubungan kekerabatan terhadap kamu dan tidak (pula mengindahkan) perjanjian. Mereka menyenangkan hatimu dengan mulutnya, sedang hatinya menolak. Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik (tidak menepati perjanjian).` At-Taubah 8.
`kecuali orang-orang musyrikin yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) dan mereka tidak mengurangi sesuatu pun (dari isi perjanjian)mu dan tidak (pula) mereka membantu seseorang yang memusuhi kamu, maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa`. At-Taubah 4.
Selawat dan salam penuh kesyukuran kita panjatkan kepada Allah swt agar dilimpahkan rahmatNya kepada Nabi saw, ahlul bait serta para sahabat baginda sekelian. Tidak dilupakan kepada roh-roh alim ulama`, guru-guru, mujahidin-mujahidat yang telah pergi meninggalkan kita. Seterusnya kepada yang masih meneruskan perjuangan ini, kuatkan semangat dan tabahkan hati menghadapi tipu daya musuh yang semakin canggih.
Dalam sejarah Islam atau ummatnya malah manusia itu sendiri secara keseluruhannya tidak sunyi dari berlakunya `perjanjian` antara satu pihak atau beberapa pihak, semasa damai maupun ketika peperangan. Kadang kala ianya silih berganti hanya sebagai permainan atau kelicikan dunia diplomasi semata-mata. Apa yang saya cuba nak bawa saudara-saudari ummah pada kali ini melihatnya ialah setiap perkara yang berlaku itu samada namanya perjanjian, pakatan, perdamaian, persetujuan, deklarasi bersama atau apa saja yang semaksud dengannya mempunyai butir-butir atau draf-draf atau dengan kata lain dokumen yang ditandatangani oleh wakil dari pihak-pihak yang terlibat.
Begitulah yang ditunjukkan contohnya oleh Rasulullah saw dalam peristiwa termaktubnya `Sahifah Madinah` di antara Baginda mewakili ummat Islam Muhajirin dan Ansar dengan kaum-kaum yang berada di Madinah pada ketika itu termasuk kaumYahudi. Begitu juga yang berlaku dalam `Perjanjian Hudaibiyah` di antara ummat Islam dengan musyriken Mekah begitu terperinci tercatit butir-butir yang disepakati bersama oleh kedua-dua pihak. Walaupun Rasulullah saw (seorang ummiy) tidak tahu membaca dan menulis tetapi perkara ini bukanlah satu alasan untuk tidak melakukannya. Satu perkara yang penting lagi supaya ummah sedar semua butir-butir tersebut dimaklumkan atau dihebahkan kepada seluruh ummat Islam dan bukan Islam. Malah kita ummat mutakhir ini pun boleh membacanya sampai sekarang bukan perjanjian `rahsia`, begitu telusnya, contoh kepimpinan teragung ummat yang dicontohi Rasul saw.
Kenapa perlu seluruh ummah dan manusia lain mengetahuinya ? Ya! ini mungkin satu persoalan yang akan timbul di kalangan kita apabila kita membandingkan insiden-insiden yang sama berlaku juga hari ini contohnya Pakatan Rakyat (tahalluf assiyasi kononnya) tetapi tanpa butir-butir yang terperinci atau hitam-putihnya yang disepakati oleh gabungan itu. Malah yang saya rasa paling teruk ialah apabila ahli atau ummat bawahan tidak tahu apa yang pemimpin mereka setujui itu. Mungkin mereka hanya bersetuju untuk sapa jadi PM, sapa jadi menteri kewangan atau sapa yang banyak dapat pos menteri-menteri penuh dan lain-lain lagi. Kalau dok berjanji nak bahagi yang tu sahaja, alamatnya macam cerita P.Ramlee laa jadinya… Satu untuk engkau, dua untuk aku..! Sampai bila pun untuk kepentingan dua tiga kerat pemimpin-pemimpin itulah jawabnya. Tambah dengan ipar-duai, menantu-biras serta anak beranak dengan kroni masing-masing nasib ummah akan terus ke tepilah untuk ke sekian kali lagi. Sebab itu saya sebut di atas tadi kenapa perlu ummah seluruhnya tahu dan itulah juga yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw – kerana perjuangan ini meletakkan kepentingan ummah Islam di depan. Ummah sendiri berhak mengetahui dan menilai, apakah kepentingan mereka yang dipertahan dan diangkat atau cuma mereka hanya diperalat untuk kesenangan serta kemewahan beberapa kerat pemimpin-pemimpin keparat. Bayangkan ummah bawahan berhempas pulas mengumpul duit untuk ke Mekah menunaikan fardhu haji kurang lebih RM10,000 seorang sekarang ini, tiba-tiba yang dikatakan `pemimpin` mereka kosnya RM65,000 seorang. Inilah contoh `unggul` kepimpinan `Islam` mutakhir.. wahai ummah… wahai mustad`afin.. wahai fuqara` wal masakeen!
Bila timbul perkara-perkara sensitif bagi ummat marhaen ini saya selalu teringat kepada al-Marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor ( Semoga Allah swt menempatkan roh beliau bersama-sama syuhada` dan solehin). Satu ketika beliau mengambil penerbangan untuk ke satu destinasi, beliau hanya membeli tiket kelas ekonomi (orang kebanyakan) walaupun ada tawaran untuk sponsor beliau `First / Business Class`. Apa kata beliau? “Kelas ekonomi pun sampai sama juga dengan depa” (Begitulah lebih kurangnya). Berbalik kepada topik tahalluf atau mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak samada dengan sesama Islam atau bukan Islam bukanlah sesuatu perkara yang pelek, kerana telah banyak contoh dalam sejarah Islam, baik semasa hayat Nabi saw, para sahabat dan seterusnya. Yang peleknya ialah apabila sesetengah pihak menggunakan istilah atau nama Islam tetapi tidak meletakkan kepentingan Islam dan ummatnya di depan.
Nabi Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul berhak untuk hanya menyuruh ummat Islam ketika itu percaya atau terima serta taat sahaja apa yang baginda telah persetujui dalam setiap perjanjian. Tetapi baginda Rasul tidak menggunakan uslub tersebut malah mendedahkannya kepada pengetahuan ummah kerana ini semua melibatkan kepentingan dan masa depan ummah. Semua kena bertanggungjawab dan memahaminya. Sebagai ahli PAS (No 269003) bawahan dan ummat Islam marhaen saya hanya ingin melihat kepentingan Islam dan ummah terpelihara dan sentiasa dijaga. Saya beranggapan ummat Islam dan ahli yang lain juga ingin mengetahui segala butir-butir hitam-putih yang telah mengikat PR selama ini. Jika perjanjian atau persepakatan `rahsia` itu antara syarikat-syarikat milik peribadi bertujuan untuk mengembangkan lagi perniagaan milik mereka sendiri, ianya perlu diterima begitu… saya bersetuju! Tak perlu orang lain sibuk.
Tapi jika memimpin dan mentadbir organisasi atau negeri ummat Islam pun buat macam tadbir harta anak beranak sendiri. Ikut suka akulah nak bagi jawatan CEO ni kepada sesiapa pun. Dalam kes memilih menantu jadi pegawai tinggi dalam kerajaan yang MBnya ialah Pak Mertua. Si Mertua berhujah, “Mestilah saya melantik orang yang saya dah kenal dan berkelayakan jurutera sesuai dengan bidang tersebut”. Saya terkenangkan hujah Tun Mahathir dulu ketika beliau melantik Tajudin Ramli sebagai Pengerusi MAS yang ramai mempertikaikannya, kata beliau “Tak kan saya nak lantik seorang penjual roti canai kut.. tentulah saya kena lantik tokoh koperat menjaga syarikat besar” Akhirnya apa jadi… tokoh koperat menjadi rugi puluh atau ratus juta. Penjual roti canai mungkin tak rugi dan kalau terpaksa rugi pun mungkin ratus dan ribu ringgit sahaja, mungkin… Dalam dua-dua kes ini saya nampak ada banyak persamaan antara kedua-dua tokoh, yang jelas ketara ialah keduanya terr..lalu lama memegang AMANAH tampuk kuasa.
Sebagai mengakhiri buletin kali ini saya suka nak berkongsi dengan pembaca rasa lucu dan gelihati saya tetapi terselit rasa ikhlas dan kebenaranya bila membaca dalam akhbar teguran Tun Mahathir kepada Nik Aziz baru-baru ini, “Berhentilah… sebelum terlambat… jangan tunggu sampai nanti orang herdik dan hina kita… Berdasarkan pengalaman, beliau bersyukur kerana sempat melepaskan jawatan PM pada masa yang sesuai” begitulah lebih kurang kata-kata Tun. Sekian. Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan