Halaman

Isnin, 2 Ogos 2010

Buletin al-Hadharah Bil 31-40

الحضارة~*BIL:31/ Safar 1430
AL-HADHARAH
Politik-Candu Penjajah Kepada Ummat
Sesungguhnya tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepada Ku - al-Zariyat 56. Segala puji bagi Allah pencipta dan pentadbir segala yang di langit dan segala yang di bumi, selawat serta salam penuh penghormatan kepada penghulu para Ambiya`, Muhammad saw, kaum keluarga Nabi dan semua sahabat yang diredhai Allah swt. Tidak dilupakan kepada semua muslimin dan muslimat yang mewarisi perjuangan mereka sehinggalah ke hari qiamat.

Tidak ada sebuah negeri atau daerah ummat Islam yang ditinggalkan oleh penjajah kepada anak-anak pribuminya melainkan setelah mereka memastikan setiap anak-anak pribumi tersebut menganut fahaman atau mempunyai persepsi yang sama dengan penjajah, melihat dan bermuamalah dengan dunia sekeliling mereka. Persoalan ini sebenarnya bukan sekadar penjajah berjaya mendoktrinkan spesis pewaris ideologi mereka seperti sekularisma, pragmatisma, nasionalisma dan lain-lain. Tetapi jauh lebih ke dalam dari yang disangkakan ummah selama ini apabila fahaman atau amalan politik sistem demokrasi telah seolah-olah diterima pakai oleh semua pihak, termasuk yang mendakwa mewakili kelompok ummat Islam.

Fahaman ini begitu rakus mencengkam khalayak ummah sehingga mengujudkan `status quo` tertentu di dalam masyarakat ummah seperti yang telah saya sebutkan dalam keluaran yang lalu. Politik pilihanraya sebenarnya satu ruang yang begitu sempit yang diizinkan oleh sistem demokrasi di kebanyakan bekas negara-negara jajahan untuk `menjinakkan` keupayaan ummah berjihad dan bersiasah. Apakah kewajarannya ummah perlu tunduk kepada persepsi atau sistem jahiliyyah tersebut?

Perjuangan ummah sebenarnya tidak perlu terikat atau mengikut rentak kemahuan musuhnya pada zaman mana sekalipun, itulah yang dicontohkan kepada kita oleh junjungan Rasulullah saw. Kenapa kita perlu melihat atau membuat kesimpulan mudah bahawa politik berpilihanraya tersebut adalah medan `jihad` kita zaman sekarang? Lalu kita mencetuskan satu suasana bahawa sesiapa atau golongan lain yang tidak bertungkus lumus menggunakan kaedah itu sebagai tidak berjihad, tidak Islamik. Saya tidak nampak kewajaran takrifan sebegini melainkan satu escapisme yang nyata dari sekelompok ummah untuk mengabaikan tanggungjawab ataupun amanah berjamaah dan berjihad seperti yang difardhukan oleh Allah swt. Mereka memilih zon selesa dan membiarkan bidang-bidang yang lain dipenuhi oleh ummah sendiri…

Tanggungjawab jihad ataupun siasah itu sendiri, tidak perlu ummah meminta Obama, Olmert atau Pengerusi PBB untuk mentafsirkannya kepada kita, kemudian barulah kita boleh bertindak dan bersiasah menjalankan tugas `jihad` kita menegakkan `perjuangan Islam` dan mendirikan negara Islam. Definisi politik pilihanraya bagi sistem demokrasi yang berjalan sekarang menjadikan ummah alpa kepada tanggungjawab sebenar mereka membangun, menegakkan dan membebaskan ummah dari segala rangkaian sistem jahiliyyah dengan mengamalkan agama yang ummah yakini iaitu Islam. Tetapi ummah diheret membuang masa bertahun-tahun untuk membincang dan menganalisa issu-issu dari sistem jahiliyyah seterusnya memberi komen atau mendedahkan korup penguasa-penguasa (pengamal sistem jahiliyyah).

Sebagai ummat Islam yang menganut ad-Deen yang sebenar, lebih-lebih lagi mereka yang telah meletakkan diri masing-masing di saf hadapan sebagai pejuang-pejuang Islam, sepatutnya lebih dahulu maklum bahawa sistem jahiliyyah itu sendiri yang pincang dan korup. Mana mungkin pengamal-pengamalnya tidak pincang dan korup. Tidak ada dalam fikrah penganut Deenul-haq untuk mengiktiraf atau meyakini bahawa masih ada ruang untuk pengamal-pengamal sistem yang lain dari al-Islam dalam kehidupan mereka. Terlalu dangkal dan hina rasanya jika ummah yang kalut dan sibuk menegur si anu bin si anu tidak layak menjadi penguasa no 1 negara pengamal sistem demokrasi (jahiliyyah), seolah-olah jawatan no 1 itu agenda agama kita pula, sedangkan tugas kita ialah membebaskan semua ummah dari mengikut atau menjadi hamba penguasa no 1 tersebut, supaya menjadi pengikut atau hamba Penguasa No 1- Allah swt. Tiada makna jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya menjadi penguasa no 1 atau menggantikan pemegang jawatan tersebut dengan menjunjung di kepala sistem yang sedia ada. Bila perbezaannya adalah sistem, cara hidup, muamalah - maka jalan, cara serta kaedah-kaedah untuk sampai juga tentulah berbeza.

Pemerintahan Saidina Umar dapat membebaskan Baitulmaqdis dahulu apabila beliau dan tenteranya tidak meletakkan sistem jahiliyyah ketika itu di kepala, tempatnya di bawah telapak kaki mereka! Empayar Parsi runtuh dan hancur apabila tentera dan ummat Islam sehati sejiwa melihat mereka hina tak layak menguasai dunia yang pemilik sebenarnya ialah hamba-hamba Allah yang bertaqwa. Barulah diketika itu seorang mujahid mampu dengan kuda-kudanya memijak dan menjatuhkan kebesaran dan kesombongan kisra.

Tidak timbul masalah anugerah-anugerah kebesaran (jahiliyyah) diberikan kepada pelakon bollywood menjadi issu besar `ummat`. Bukan urusan dan sebab kita berlaku kepincangan dan kemelesetan ekonomi negara dan serantau. Bukan asuhan atau didikan kita juga akhlak muda-mudi runtuh. Persoalan-persoalan, anugerah, kemelesetan dan muda-mudi yang tenat bukan akibat dari agenda agama kita (Islam), sebab itu kita tidak akan sibuk dengan urusan jahiliyyah, tetapi tak cukup masa serta kakitangan untuk berusaha membebas, menegakkan dan membangunkan keupayaan ummah dengan menggunakan seluruh potensi ummat Islam yang berorientasikan ad-Deen kita.

Ummah yang sedar akan merasa hairan melihat ada dikalangan kita yang siang malam, pagi petang menghalakan segala potensi ummah membuat kerja sia-sia membina dan mempertahankan sistem jahiliyyah. Dengan kata lain menegur dan mengkritik supaya `tak sepatutnya buat begitu tetapi kena buat begini… ..anugerah itu tak layak bagi kat `maarup tuu` tapi bagilah kat aku atau pun orang-orang aku sama.` Awat! Bila bagi kat aku atau orang-orang aku… anugerah itu jadi anugerah Islam ka? `Dato` Mufti tu tak patut diberhentikan kerana masih muda dan ternyata sihat lagi…ini semua kerana ada kaitan dengan kepentingan politik pihak-pihak tertentu`. Awat kekalkan dia atau lantik `tok peti` baru mampukah dia mendaulatkan Islam? `Kita perlu buat rombongan pi mengadap golongan berdarjat, jangan biarkan musuh saja yang bersahabat dengan yang berdaulat.` Awat ! kekalkan golongan koperat dan keparat ini menguntungkan ummat? Merekalah spesis lintah darat yang pandai-pandai mengaku ketua bagi ummat Nabi Muhammad! Ciiss!! Minta simpang…dijauhkan Allah dari bersyubahat dan bersahabat.

Ya! malang bagi ummat selama… puluhan tahun ini menjadi penagih yang tegar kepada candu yang ditinggalkan penjajah mereka sendiri. Politik pilihanraya dalam sistem yang bukan Islam biar sebagai mana indah dan molek rupa parasnya, sebenarnya palsu, memukau, memabukkan, khayalan…lagha…!
Menjanjikan jalan pintas kepada ummat kononnya….

Perjuangan Islam mesti bermula dan berjalan, seterusnya berkembang serta meraih kejayaannya dengan uruf atau akhlaknya yang tersendiri. Akhlak atau uslub perjuangan yang tidak tunduk kepada kehinaan para makhluk tetapi patuh serta tunduk lalu sujud mencari keredhaan Allah Azzawajalla. ` Permulaan Islam itu dalam keadaan dagang, dan akan kembali dagang,. Maka berbahagialah orang-orang yang bersama-sama orang-orang yang dagang.` Sekian dahulu untuk pertemuan dan perbincangan pada kali ini, semoga kita semua diberi hidayah oleh Allah swt, yang mampu dijadikan panduan menjalani perjuangan ini.
Salam ukhuwah! Dari- Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


الحضارة~*BIL:32/Safar 1430
AL-HADHARAH
Belajar Dari Kesilapan Atau Degil Dalam Kebebalan?
Maha Suci Allah dan Maha Sempurna Allah swt dari segala kecacatan serta kekurangan, Subhanallah ! Selawat dan salam ummat kepada Rasul Junjungan Muhammad saw kaum keluarga dan para sahabat yang dikasihi sekelian.

Bertemu kembali kepada khalayak ummah yang sudi membaca serta berfikir dengan apa yang saya cuba sampaikan melalui buletin al-Hadharah pada kali ini. Dari apa yang sedang berlaku di dunia ini khususnya negara kita Malaysia, seterusnya dengan beberapa persoalan dan komentar yang timbul dari buletin yang lalu, perlu rasanya saya luaskan sedikit intipati persoalan yang lepas tersebut.

Salah satu kesilapan yang besar yang telah dilakukan oleh sekelompok ummah yang ingin memperjuangkan sehingga tertegaknya sebuah pemerintahan Islam di negara ini ialah apabila kelompok atau golongan ini telah menjadikan sistem demokrasi melalui pilihanraya sebagai asas atau kerja keutamaan mereka.Dengan kata lain selama puluhan tahun ini, mereka sungguh-sungguh taat dan `beriman` dengan sistem jahiliyyah tersebut, menjadi penagih yang begitu tegar kepada candu terakhir yang ditinggalkan penjajah Si Beruang Putih dahulu.

Sejarah sendiri menyaksikan bagaimana sebuah Empayar Besar seperti China boleh dikalahkan oleh British dengan bantuan atau meluasnya penagihan dan perniagaan candu kepada rakyat Tanah Besar tersebut. Penjajah Inggeris meninggalkan Tanah Melayu atau Malaysia sekarang ini dengan sebuah resipi yang telah diadunkan sebegitu rapi sehingga ummah terlepas pandang kepada persoalan asas atau rupa bentuk yang sepatutnya kita bangun dan kita hidupkan.

Asas negara Malaysia sekarang mengikut resipi yang ditinggalkan ialah 1) Perlembagaan Persekutuan
(termasuk negeri-negeri). 2) Sistem Raja-Raja (berpelembagaan) 3) Dewan Parlimen (Dun). Ketiga-tiga asas ini adalah komponen utama kepada candu (Sistem Demokrasi Berpelembagaan) produk utama penjajah laknatullah kepada wilayah-wilayah ummat Islam. Ketiga-tiganya saling kuat menguatkan dan bantu-membantu ke arah kelangsungan atau survival sistem demokrasi jahiliyyah. Jadi kelompok ummah yang saya maksudkan tadi selama ini terlupa atau terperangkap dalam dunia khayalan (imaginasi) sistem candu itu sendiri sebagai, pengamal atau sebahagian komponen terpentingnya.

Saya tidak bermaksud untuk menafi serta menidakkan segala amalan atau sumbangan generasi ummah di Tanah Melayu dahulu berusaha menubuh serta berpesatuan. Persoalannya, mereka dahulu menghadapi suasana baru yang difikir dan dijangkakan akan lebih`selesa` dari zaman cengkaman langsung sang beruang. Sewajarnya generasi dahulu menerima idea atau cadangan menyertai pilihanraya sebagai satu tajribah baru (eksperimen) kepada perjuangan ummah waktu itu. Kita mendoakan jika mereka tersilap sekalipun.. mereka insyaAllah akan memperolehi satu pahala! Mereka telah menunaikan amanah serta tanggungjawab terhadap agama dan ummat Islam ketika itu.

Kita yang meneruskan kehidupan hari ini, memikul amanah dan tanggungjawab terhadap agama dan ummat Islam kini malah generasi yang akan datang. Kita pula perlu melihat dan mengkaji segala fakta serta pengalaman mereka yang terdahulu berdasarkan asas-asas agama Islam itu sendiri. Kita tidak boleh berkelakuan `bebal` dan seolah-olah parti pemerintah sahaja yang menjadi hadaf atau sasaran kita. Amat keterlaluan sebahagian dari kita mengheret ummah membuat justifikasi bahawa punca dan penyebab negara kita jadi begini… dan begitu… adalah mereka yang di sebelah sana tuu.. Kita `mengujudkan` senario yang haq sedang bertarung dengan yang batil…lalu ummah semua mestilah menyokong perjuangan yang haq (kelompok kita), bermusuh dengan mereka kelompok batil.

Realitinya yang ummah hadapi di Malaysia bukan 1 pihak tersebut, tetapi sekurang-kurangnya 3 pihak iaitu; Perlembagaan, Sistem Beraja, Parlimen dan lain-lain lagi. Inilah antara berhala-berhala bentuk baru yang ummah terpaksa hadapinya dengan penuh keyakinan dan keimanan mereka kepada Allah swt. Sebenarnya inilah topik atau tajuk dakwah yang perjuangan Islam mutakhir ini perlu perjelaskan kepada ummah keseluruhannya. Inilah mesej dakwah yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw menghadapi kaum musyrikeen Mekah dahulu. Nabi saw telah menafi dan menolak sistem penyembahan berhala yang berselerakan di keliling Kaabah itu sendiri. Rasul saw mengajak manusia hanya menyembah Allah yang Esa dalam segala segi kehidupan mereka.

Kita begitu curiga apabila sekelompok ummah hanya menyalah atau menyerang bertubi-tubi fahaman berhala berbentuk parti pemerintah sahaja dalam masa yang sama membiarkan atau bersahabat dengan komponen berhala yang lain. Apakah kamu menafi dan bermusuh dengan A, tetapi bersekutu atau seiringan dengan berhala B dan C. Atau mungkin kamu sendiri sebahagian dari kefahaman berhala bentuk baru itu sendiri..? Selalu diingatkan tepuk dada tanyalah.. kejernihan iman kamu sendiri… wahai saudara-saudara ummahku!

Keyakinan kita kepada Islam dan keimanan ummah kepada Allah swt tidak akan mengizinkan kita tunduk menyembah berhala tradisi maupun moden (Nauzubillah Minzalik). Kita perlu menyedarkan semua kelompok ummah supaya jangan terjebak dengan peranan berhala-berhala moden itu.( Wal`iya zubillah). Kita juga perlu menyedarkan pewaris-pewaris sistem beraja bahawa kedaulatan dan kekuasaan yang kamu miliki sekarang adalah warisan atau saki baki kekuasaan Pemerintahan Kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara ini dahulu sebelum era kolonial lagi. Ianya tidak ada kena mengena dengan sistem British Monarchy yang di amalkan oleh negara penjajah, dahulu maupun sekarang. Sebab itu satu `penderhakaan` yang nyata kepada sistem Raja-Raja yang mendaulatkan Islam nenek moyang kamu jika hidup kamu sekarang persis tak tumpah seperti British Monarchy.

Kepada ummah pula, kita perlu menyedarkan kepada mereka bahawa perlunya berjiwa merdeka! Selama ini ummah ditanamkan supaya berjiwa hamba, hamba kepada raja, hamba kepada pemerintah, hamba kepada undang-undang thoghut dan hamba kepada kebendaan malah hamba kepada hawa nafsu. Ummat Islam yang sebenarnya mewarisi jiwa merdeka tidak tunduk kepada sesama makhluk, hanya patuh kepada perintah Allah swt. Tidak ada hebat dan megahnya kita akan asal usul keturunan, jika tidak beriman dan mendaulatkan Agama Allah swt. Kerabat diraja atau rakyat biasa yang lebihnya antara kita ialah taqwa…

Saya teringat akan tulisan Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi dalam buku Harakah Islamiyyah - ` Jadilah putera sesiapa sahaja, asalkan budi pekerti anda tinggi. Keharmonian budi ini sudah cukup dari kemuliaan keturunan, yang sebenarnya putera ialah yang membuktikan dengan diri, bukan yang asyik bermegah dengan keagungan keturunannya di zaman silam`

Sebagai akhirnya, marilah kita berasa megah dan hebat dengan Islam yang Allah swt kurniakan kepada kita selaku ummat Nabi Muhammad saw untuk ditegak dan dihidupkan dalam muamalah seharian kita, tidak dapat tidak mestilah kita saling berkerjasama dalam menjayakannya. Sekian dari - Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


~*BIL:33/Safar 1430 الحضارة
AL-HADHARAH
Kenapa Ummah Mabuk Kerana Beruk Berayun?
Maza ya`ni intima `i lil Islam ? Apa ertinya saya menggabungkan diri ke dalam Islam? Maha Sempurna Allah dan Maha Mengetahui sekelian yang di langit dan di bumi. Demi Zat yang berkuasa yang tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Selawat dan salam penghormatan kepada al-amin Nabi Muhammad saw, kaum keluarga dan para sahabat Baginda yang diredhai semuanya.Tidak dilupakan kepada semua saudara-saudara seIslam muslimin dan muslimat semoga dirahmati Allah swt hendaknya.

Terlebih dahulu saya memohon maaf di atas kelewatan dan keuzuran keluaran kali ini. Sifat manusia sebagai makhluk yang lemah tidak sunyi dari kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi pelbagai tribulasi perjuangan mustada`fin ini. Ketika saya membelek-belek kembali buku-buku fikrah zaman muda-muda dahulu, saya terambil buku karangan as-Syeikh Fathi Yakan yang cukup popular kepada anak-anak muda pada lewat tahun 70an dan awal 80an.

Antara saripatinya:-
1- Saya mestilah Muslim dari sudut aqidah (Kefahaman & Fikrah).
2- Saya mestilah Muslim dari sudut ibadah (Ibadah khusus & umum).
3- Saya mestilah Muslim dari sudut akhlak (Muamalah & Aktiviti).
4- Saya mestilah Muslim dari sudut keluarga (Biah / Persekitaran)
5- Saya mestilah dapat menguasai diri sendiri (Termasuk yang dibawah tanggungjawab kita).
6- Saya mestilah meyakini bahawa masa depan yang gemilang adalah untuk Islam.

Secara ringkasnya, apabila kita telah redha al-Islam menjadi anutan atau agama kita maka kita akan dilihat serta terlihat berbeza dari manusia dan masyarakat sekeliling yang belum menerima Islam atau belum bersama kita. Islam yang bertapak kukuh dalam diri muslim akan menjadikan kita melihat masyarakat sekeliling yang belum menerima risalah Islam begitu rugi yang serugi-ruginya dalam kehidupan dunia dan di akhirat. Kita pun sedia maklum bahawa mereka yang belum Islam pun sedang melihat kita dalam `kerugian` kerana kekurangan atau ketinggalan dalam pencapaian materialistik. Sebenarnya itu tidaklah menggusarkan kita kerana kita berada dalam kedudukan hanya terkesan apabila ukuran atau nilaian Allah swt yang dipakai.

Ukuran materialistik atau yang bersifat kebendaan semata-mata bukanlah menjadi kayu pengukur kepada kebenaran sesebuah perjuangan Islam, biar di zaman ummat Islam belum menguasai ataupun setelah berjaya mentadbir dunia ini. Dalam permasalahan ini saya teringat dialog seorang Yahudi dengan Saidina Ali karramallahu wajhah, Si Yahudi ini telah sekian lama mencari peluang untuk mencabar keyakinan Saidina Ali (ummat Islam). Kata Si Yahudi itu kepada Saidina Ali, `Kamu sungguh taat dan rajin berbuat ibadat (amalan kebaikan) menjalankan perintah Allah, bagaimana sekiranya apa yang kamu lakukan semua itu tidak mendapat apa-apa pun balasan nanti, kerana tidak ada pun kehidupan selepas mati.` Lalu Saidina Ali menjawab dengan selamba sahaja, `Tak apa, tak dapat balasan pun tak apa! Kami tidak rasa rugi apa-apa pun kerana kehidupan yang baik kami lalui ini. Tetapi bagaimana pula bagi kamu nanti apabila kamu mati nanti, ternyata betul adanya kehidupan yang kami nyatakan itu, adanya balasan di akhirat?` Ternyata Si Yahudi itu tidak dapat menjawabnya…kelu seribu bahasa. (maaf mengikut susunan bahasa penulis sendiri)

Dalam apa keadaan sekali pun ummat Islam sepatutnya mempunyai pendirian dan pandangan tersendiri tentang kehidupan ini. Lebih-lebih lagi kita mempunyai sumber kebenaran yang sah tidak dapat disanggah oleh semua manusia atau jin yang tidak beriman itu (al-quran & al-hadith serta sumber-sumber yang berkembang dari kedua-dua tersebut). Apabila kita bersiasah (berpolitik), insyaAllah siasah kita ialah siasah syarieyyah yang berbeza sama sekali dengan amalan atau kelakuan politik yang dunia hari ini mengenali dan diperkenalkan.

Siasah syarieyyah membawa bersama perilaku dan akhlak Islam semasa sunyi atau semasa ramai. Siasah syarieyyah membina peribadi dan masyarakat muslim untuk penghayatan Islam dalam kehidupan semasa (sekarang). Perjuangan yang menggerakkan siasah syarieyyah ialah perjuangan berteraskan aqidah Islamiyyah yang menuntut perbezaan dengan jahiliyyah (kebatilan). Jadi apa yang peleknya kepada kita (ummat Islam) jika segala tindak tanduk, muamalah kita akan berbeza dengan kelompok luaran kita…! Kerana itulah keistimewaan dan keunikan Deen Islam kita. Lakum deenukum waliya deen.- bagi mereka agama, cara hidup, budaya hidup mereka, bagi kita agama, cara hidup dan budaya hidup kita yang perlu dipertahankan dan dikembangkan.

Saya berkesempatan berbincang dengan seorang aktivis ummah semasa pada suatu ketika, katanya tahukah kita bahawa para pembesar Quraisy sebelum kenabian Muhammad saw sebagai Rasul, mereka setiap hari berkumpul dan berbincang berkaitan hal-hal kehebatan, kemegahan dan kekuasaan yang mereka miliki berbanding antara satu sama lain. Itulah rutin kehidupan jahiliyyah mereka waktu itu dan itulah juga rutin masyarakat Mekah serta jahiliyyah seluruhnya.

Tetapi sebaliknya telah berlaku satu `letupan` yang besar (minda & aqidah) apabila Nabi Muhammad saw diutuskan menjadi Rasul dan mula menyampaikan risalah Islam kepada ummat manusia. Segala kehebatan, kemegahan dan kekuasaan bukan lagi issu utama diskusi pembesar Quraisy selepas itu tetapi topik mereka mula berubah kepada… apa pula yang dikatakan dan disampaikan oleh Muhammad saw hari ini. Itulah tajuk-tajuk utama `akhbar` jahiliyyah ketika itu.

Itulah keaslian uslub dakwah Rasulullah saw yang sepatutnya tidak jauh dari kaedah dakwah serta perjuangan kita sekarang. Kita tidak perlu membuang masa asyik melihat kelakuan `beruk-beruk` yang terhegeh-hegeh itu. Mabuk kerana beruk berayun! Kita bergerak dan berjuang menyelamatkan ummah dan manusia seluruhnya supaya tidak terkena `kenan` beruk atau mengikut perangai beruk (jahiliyyah). Jangan menjadi lebih teruk lagi sanggup pula berkawan dan berjuang bersama-sama sekawan beruk menjulang dan memastikan kemenangan mereka pula. Apa yang ummah akan dapat dari `kebaikan` beruk yang tidak tahu memanjat kelapa dan mencari kutu?

Lebih malang lagi apabila kelakuan beruk yang suka bersekedudukan dan tidak berpakaian menjadi rakan perbincangan dan pentadbir negeri ummah Islam. Apa kata beruk… I have done nothing wrong !..dari segi undang-undang rimba memang betul. Tetapi kenapa rakan ummah kita pula yang berkata itu hak dia, dia bukan Islam, tidak menjadi kesalahan kepada mereka berzina. Saya syorkan kepada semua ummah dan termasuk juga rakan-rakan kita tersebut yang begitu bernafsu sekali untuk mentadbir dunia supaya merenungi maksud hadith Nabi berikut;

Apabila kamu memilih kawan pilihlah orang yang menjual minyak wangi dan elakkan berkawan dengan tukang besi. Jika kamu tak diberinya minyak wangi sekurang-kurangnya kamu mendapat haruman bau-bauannya juga. Bagi tukang besi jika kamu tak terbakar dengan nyalaan apinya pun, bau asap dan hangitnya akan mengenai dirimu juga.

Dan tidak pula menjadi kesalahan untuk kita menilai kata-kata ini; The difference between failure and success is, doing a thing nearly right and doing a thing exactly right! Sekian dahulu untuk kali ini sebagai muhasabah bagi tujuan kebaikan ummah bersama, wallahu`alam. Dari Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


الحضارة~*BIL:34/ R.Awal 1430
AL-HADHARAH
Ke Arah Melahirkan Muafaqat Ummah
`Demi al-`Adiyat (Kuda Perang) yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh. Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya..(Aal-`Adiyat 1-6). Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Muhammad saw, kaum keluarga dan para sahabat serta seluruh kaum muslimin/muslimat sekelian.

Pada pertemuan kali ini sempena bulan kelahiran Nabi saw, buletin al-Hadharah merasakan perlu mengajak khalayak pembaca sekelian melihat atau mengusahakan kembali penyatuan di kalangan ummat Islam di Malaysia secara khusus dan insyaAllah muafaqat ummah seluruhnya. Biarpun saranan sebegini bukanlah sesuatu yang asing bagi kita sebagai ummat Islam dan sering kali diperdengarkan. Memandangkan ini suatu usaha yang baik dan perlu direalisasikan sehingga berjaya.membuahkan hasilnya. Natijahnya akan kembali kepada kita sebagai ummah sekelian jua.

Ummah bukanlah sekumpulan individu yang terpisah-pisah, bercerai berai atau masing-masing membawa hal sendiri tanpa halatuju dan pengarahan (bimbingan Rasul saw). Ummah sebenarnya ialah sekumpulan individu yang bermuafaqat untuk mendirikan kebaikan dan melaksanakan kebajikan demi kesejahteraan ummah seluruhnya. Firman Allah bermaksud; `Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan` (al-Maedah -2).

Untuk mengembalikan semula maruah atau keizzahan ummah, ummat Islam itu sendiri mestilah mengusahakannya. `Sesungguhnya Allah swt tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri.` (ar- Ra`d -11). Bagi mengembalikan kekuatan ummah dan Islam tersebut, ummat Islam dari apa jua warna kulit atau rupa bangsa perlu benar-benar bersifat pertengahan dan sederhana `ummatan wasata` seperti yang diwarisi dari ulama`-ulama` terdahulu dan seterusnya sehinggalah kepada generasi pertama ummat Islam.

Satu perjuangan Islam yang benar-benar bersifat ummah atau atas nama dan wadah ummah yang bertitik tolak dari kesedaran serta kewajaran untuk bangun, berdiri, bergerak dan berjalan bersama-sama beriringan, bantu- membantu, tolong-menolong serta kuat-menguatkan antara sesama muslim bagi merealisasikan `muafaqat membawa berkat`. Setiap individu yang telah sanggup menjadi saksi atau mengucap dua kalimah syahadah (Aku sanggup menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah, dan aku sanggup pula menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah) adalah bersaudara di dunia dan di akhirat.

Sebuah wadah perjuangan yang menjamin ummah mempunyai haknya yang sama ke atas saudaranya yang muslim, sebagaimana setiap saudara muslim yang lain mempunyai haknya yang sama ke atas dirinya dalam menyatakan kebenaran dan berpesankan kesabaran. Sebuah wadah yang memulakan usaha, aktiviti, muamalah dan berjamaah dengan melihat serta mencari titik-titik persamaan dan ruang-ruang persefahaman dikalangan ummah yang diharuskan oleh syara` dan Agama Islam. Berusaha menyebarluaskan kebesaran dan keagungan Islam di samping menentang serta mencegah segala kemungkaran dan kezaliman di dalam masyarakat ummah.Wadah perjuangan yang berpegang teguh serta menjunjung tinggi al-Quran dan as-Sunnah serta cita-cita perjuangan kebenaran dan menegakkan keadilan. Perjuangan yang berusaha membina masyarakat ummah yang maju dan sihat berasaskan tauhid dan kemanusiaan sejagat sebagai tempat yang terbaik untuk ummah dan manusia seluruhnya.

Perjuangan yang rela dan redha Islam sebagai pegangan agama yang akan menghidupkan dan mengakhiri (kematian) perjuangan mereka di dunia ini. Perjuangan yang menggalakkan supaya ummat Islam berlumba-lumba melaksanakan kebaikan atau khairat `fastabiqul khairat`. Perjuangan yang menitik beratkan ummat Islam supaya mengerjakan solat lima waktu dan memperolehi kejayaan yang sebenarnya,`haiya `alas solah..haiya `alal falah`.Perjuangan yang menghidupkan Islam itu di dalam diri-diri pendokongnya dan insyaAllah Islam itu akan mampu menghidupkan persekitaran mereka. Perjuangan yang benar-benar meyakini bahawa masa depan adalah untuk Islam.

Ciri-ciri gerakan yang akan membebaskan ummah menurut pandangan Syeikh Fathi Yakan;

1- Menjauhkan diri dari dikuasai oleh pemerintah dan ahli-ahli politik semasa (sekular), supaya tidak diperalat dan diperniagakan kesusahan serta penderitaan ummat oleh mereka.(dijadikan issu sahaja)
2- Gerakan yang tersusun dan mengikut peringkat-peringkat tanzim atau urufnya yang tersendiri, tidak terkesan oleh suasana dan kemahuan masyarakat jahiliyyah sekeliling.
3- Mengutamakan amal dan memperbanyakkan penghasilan dari propanganda dan penerangan (ceramah penglipur lara) yang tidak menuntut komitmen dari pendengar.
4- Siasah syarieyyah (bukan politik sekular atau demokrasi) iaitu siasah yang dilakukan dengan penuh kesedaran dan tujuan mencari keredhaan Allah swt. Mereka tidak akan patah di tengah jalan dan tidak tergesa-gesa untuk mencapai hasil sebelum masanya. `Dan kemenangan itu hanyalah dari Allah` (al-Imran- 126). Kemenangan bagi mereka ialah kemenangan menegakkan Agama Allah swt dalam kehidupan harian dan bermasyarakat. Mereka tidak terpengaruh dengan kemenangan yang diiktiraf dunia hari ini (jahiliyyah).
5- Seruan kepada Islam mestilah dilakukan secara berterus terang, kebenaran mestilah diperkatakan, orang yang membisu dari memperkatakan kebenaran ialah syaitan bisu. Seorang pendakwah atau pejuang Islam mestilah menyuarakan kebenaran di mana sahaja beliau bekerja untuk Islam, biarpun di depan pemerintah atau raja yang berkuasa.
6- Sentiasa beruzlah memisahkan nafsiah (rohani & jiwa) dari suasana sekeliling (jahiliyyah) seperti saranan as-syahid Syed Qutb dan sentiasa beramal dengan Islam di tengah-tengah masyarakat ummah.
7- Matlamat tidak akan boleh menghalalkan cara walau dengan apa alasan sekali pun, walaupun dengan tujuan atau keuntungan politik semasa yang kita rasakan memberi maslahat kepada ummah seperti kebanyakan parti politik ummat Islam telah terpedaya. Gerakan Islam tidak membezakan matlamat dengan cara, kedua-duanya mestilah diterima oleh syara`. Barang siapa yang menukarkan keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah, Allah tidak menambahkannya kecuali dengan kehinaan dan barang siapa yang menukarkan keredhaan Allah dengan kebencian manusia, Allah tidak akan menambahkannya kecuali dengan kemuliaan.

Adalah menjadi satu pendustaan dan pengkhianatan jika sesuatu gerakan itu hanya memperlihatkan wajah Islam yang tempang untuk dipersembahkan kepada ummah. Lalu dengan itu ummah pun hanya melihat Islam dari imej yang gerakan Islam tersebut muamalahkan dengan mereka. Tindakan gerakan yang tidak mengambil berat ataupun yang meninggalkan langsung juzuk-juzuk perjuangan yang lain itu sebenarnya adalah sama dengan membunuh serta meruntuhkan perjuangan gerakan Islam secara keseluruhannya yang sepatutnya akan menyelamatkan dan memayungi kehidupan ummah seluruhnya.
Sekian, dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


الحضارة~*BIL:35/R.Awal 1430
AL - HADHARAH
Ummat Islam-Ummat Yang Membina Hadharah
Sesungguhnya Kami telah menurunkan wahyu (al-Quran) pada malam kemuliaan (al-Qadr) al-Qadr 01. Selawat serta salam buat Rasul junjungan Muhammad saw, kaum keluarga dan para sahabat Baginda yang dimuliakan semuanya. Seterusnya kepada semua muslimin serta muslimat yang menerima dan menghayati Islam di sepanjang zaman.

Bertemu kembali kita dalam keluaran pada kali ini, walaupun sejak kebelakangan penulis terpaksa menghadapi sedikit perubahan dan penyesuaian dengan waqi sekeliling yang sentiasa `baharu` bagi meneruskan aktiviti kehidupan ini. Walau dalam apa keadaan serta suasana yang kita hadapi sekalipun, kita sebagai ummat Islam mestilah sentiasa ingat dan sedar bahawa kita sentiasa membawa bersama-sama risalah `kenabian` atau al-Islam itu sendiri di dalam kehidupan di sepanjang masa. Setiap detik kehidupan yang ditempuhi, kita lalui dan hayatinya bersama… roh Islam. Di sinilah titik persoalan yang akan membezakan kehidupan seseorang muslim yang benar-benar menerima Islam seperti yang diajarkan Nabi Muhammad saw dengan muslim yang hanya ikut-ikutan, waris-warisan ataupun dengan mereka yang tidak langsung menerima risalah kenabian malah menentangnya (golongan kafir). Perbezaan ini ada yang sepatutnya berlaku kerana memang sebegitu fitrah kejadian yang Allah swt jadikan 2 golongan yang berbeza dan bertentangan, dan ada pula perbezaan yang tak sepatutnya sama sekali berlaku tetapi itulah yang realitinya berlaku malah begitu berleluasa dalam masyarakat ummah hari ini.

Bagi menjelaskan lagi persoalan yang dibincangkan kali ini, mari kita melihat dari sudut hasil atau natijah iaitu kesan-kesan yang akan terlihat dan terjadi kepada seseorang yang menerima (menganut) risalah Islam pada hari ini berbanding dengan mereka generasi sahabat radiyallahuanhum ajmaen. Para sahabat menerima Islam dalam ertikata mereka meninggalkan terlebih dahulu atau sanggup menolak segala-gala yang berkaitan dengan kehidupan jahiliyyah (kufur) lalu hanya menerima dan mengambil Islam dalam segenap segi ajarannya (syumul). Dengan kata lain mereka (ummat Islam dahulu) menafi dan menolak budaya serta sistem yakni hadharah jahiliyyah tetapi hanya menerima dan mengembangkan Hadharah Islamiyyah.

Pada diri Nabi saw sendiri yang dilahirkan dari kelompok Quraisy, qabilah yang menguasai dan mentadbir Negeri Mekah tentu lebih mudah dan `mesra kaum` (rakyat) jika Baginda menggunakan `modus operandi` yang tersedia ada untuk menguasai pemerintahan Negeri Mekah. Tetapi disebabkan tugas risalah Islam dan penganutnya bukan untuk merampas atau merentap turun kekuasaan jahiliyyah tersebut terlebih dahulu kemudian kita gantikan dengan kekuasaan Islam. Kekuasaan Islam bukan seperti kita menukar pemandu bas atau kapal terbang, dari orang bukan Islam kepada orang Islam. Kekuasaan Islam ialah seperti yang ditunjukkan Nabi saw iaitu Baginda menyemai dan mendidik dengan `tangan` Baginda sendiri (asuhan) setiap elemen yang akan dan bakal menjadi modus operandi kepada Hadharah Islamiyyah. Kekuasaan di dalam ajaran yang Baginda bawa serta tunjukkan ialah `kekuasaan dengan kekuatan hadharah`. Kekuasaan dengan kekuatan hadharah yang mampu merancang, mendiri dan mengawal serta memastikan akan kelangsungan risalah al-Islam itu sendiri. Sebab itu Baginda menyahut perintah berhijrah ke Madinah selepas 13 tahun, kerana sememangnya perancangan dan persediaan secara sulit sebelum itu menjuruskan ke arah tindakan tersebut. Apatah lagi sokongan dan jaminan dari kelompok ummat Islam sendiri begitu meyakinkan akan tindakan tersebut dapat diambil.

Walaupun kita percaya dengan `kemuliaan dan keberkatan` diri Rasulullah saw sendiri mampu untuk menerima tawaran malaikat atau berdoa bagi memudahkan kerja yang selalu kita hari ini suka mempermudahkan malah sampai sanggup melanggar sifat-sifat asasi (fitrah) Islam itu sendiri. Nabi tidak menerima tawaran menjadi pemimpin Mekah kerana fitrah ajaran Islam tidak mengizinkan kekuasaan dengan cara begitu. Nabi menolak tawaran malaikat untuk menghempap musuh Baginda di Taif juga, kerana bukan fitrah ajaran Islam begitu. Kemurnian ajaran Islam ialah, ia mampu berkembang dan hidup melalui proses-proses fitrah manusiawi yang sememangnya ada pada semua manusia yang normal. Islam yang dibawa oleh Nabi tidak berkembang dan disebarkan dengan sifat-sifat `super-natural` atau `superman` penganutnya.

Kemuliaan serta keunikan ajaran Islam ialah apabila ia mampu mengawal dan mendidik nafsu manusia (penganut-penganutnya) menjadi manusia-manusia normal yang kaya dengan sifat-sifat kemanusiaan sejagat dan jauh dari sifat-sifat kegelojohan hawa nafsu… Buktinya semakin jelas jika kita melihat kekuasaan Islam dahulu berjaya menguasai dunia bukan dengan cara mereka menggantikan tempat pemimpin jahiliyyah dengan struktur kerajaan atau sistem jahiliyyah (contoh - Mekah, Rom, Parsi & Kerajaan sekitar Madinah). Nabi tidak menjadi pemimpin Mekah dengan berebut atau berpolitik untuk menguasai Parlimen Mekah, tetapi Nabi dapat menguasai Mekah dengan tetap menjadi Rasul dan pemimpin Daulah Hadharah Islamiyyah Madinah. Apa yang berlaku ialah struktur dan semua yang berkaitan dengan sistem Hadharah Jahiliyyah Mekah yang lumpuh dan tewas. Begitu juga dengan kejatuhan Parsi dan seterusnya Rom, bukan cerdik pandai politik ummat Islam dahulu berjaya masuk `bersilat` dalam gelanggang Hadharah Jahiliyyah (Parsi & Rom) tetapi para pemimpin ummat Islam dahulu (yang berpusat di Madinah) berjaya melahirkan kekuatan ummat yang mampu melanda serta meranapkan tamaddun Parsi dan Rom.

Inilah sudut-sudut pandangan yang selama ini ummah keliru atau berjaya dikelirukan oleh pihak musuh Islam yang tidak mahu melihat ummat Islam di akhir zaman ini bangun semula dengan keaslian serta kemurniaan ajarannya. Dan inilah juga yang saya maksudkan di awal perbincangan kita, perbezaan yang sepatutnya berlaku dan perbezaan yang tak sepatutnya terjadi tetapi tetap berlaku… Perbezaan yang sepatutnya berlaku ialah apabila perbezaan itu antara Islam dengan Jahiliyyah (haq dengan batil). Perbezaan yang tak sepatutnya berlaku ialah antara ajaran Islam dengan muamalah ummatnya sendiri, tetapi inilah yang saya katakan berleluasa terjadi apabila ummat Islam sendiri yang tolong menolong membina hadharah (tamaddun) jahiliyyah. Mereka yang berjuang untuk menegakkan `Negara Islam` pun sebenarnya lebih kedepan dan bernafsu sekali membina tamaddun jahiliyyah.

Sebab itu perjuangan Islam sebenarnya ialah perjuangan yang membina Hadharah Islamiyyah dan menolak hadharah jahiliyyah walau atas nama apa sekalipun. Perjuangan yang didakwa `perjuangan Islam` tetapi tidak berasaskan pembinaan Hadharah Islamiyyah sebenarnya perjuangan ummat yang keliru, kerana jika mereka tidak membina Hadharah Islamiyyah, hadharah apa, tamaddun apa yang mereka bina selama ini..? Tentulah jahiliyyah juga.. kerana tidak ada lagi selepas dari kebenaran itu melainkan kesesatan (nauzubillahiminzalik).
Sebagai kesimpulannya, Islam yang ada pada kita hari ini dan kita bawa kemana-mana adalah Islam yang bagaimana dan kita ambilnya dari mana..? Apakah benar Islam yang disampaikan kepada Nabi Muhammad saw melalui perantaraan Jibril atau `Islam` yang kita ambil dari sumber-sumber yang pelbagai perantaraan iaitu nasab keturunan, adat resam, budaya setempat, ideologi, sistem-sistem, logika dan hawa nafsu.

Akhirnya marilah kita mengambil iktibar dari kedegilan kaum Yahudi yang tidak mahu beriman dan tunduk kepada kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Walaupun para cerdik pandai mereka telah tidak mampu berhujah untuk menguji kebenaran dan kesahihan risalah Islam. Berdasarkan pengalaman mereka yang Allah swt banyak bangkitkan Nabi dan Rasul dari kalangan bangsa Yahudi, sepatutnya memudahkan mereka mengenali ajaran samawi, namun mereka terperangkap dengan kegelojohan hawa nafsu yang mementingkan keegoan kelompok sendiri. Lalu asas pertikaian dan penolakan mereka bukan lagi intipati ajarannya yang murni (sememangnya mereka tidak mampu mempertikai) tetapi kerana malaikat Jibril yang menyampaikannya pula yang menjadi pokok persoalan asas penolakkan mereka tidak mahu beriman…
Wallahua`lam bissawab. Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


الحضارة~*BIL:36/R.Akhir 1430
AL-HADHARAH
Berbai`ah Menegakkan Agama Allah Swt
Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepada Ku ( az-Zariyat 56). Segala puji bagi Allah swt yang telah menjadikan kita sebagai hamba-hambaNya yang beriman (InsyaAllah). Selawat serta salam penuh kasih sayang kepada Nabi Muhammad saw, Rasul pilihan serta kaum keluarga dan para sahabat yang bersama-sama Baginda memertabatkan Islam sebagai Deenul Hayah. Tidak dilupakan juga kepada mereka yang mengikuti akan mereka itu di sepanjang zaman.

Bertemu kembali kepada sidang khalayak pembaca yang budiman sekelian, sebagai makhluk yang bernama manusia biarpun dari mana asal keturunan dan bangsa, kita semuanya daripada Adam as. dan kita semua adalah hamba (abdi) kepada Pencipta yang telah menjadikan semua makhluk di alam ini.

Dan, ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat keturunan anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka: "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka semuanya menjawab: "Betul kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap hal ini ". (al-A`raf 172) Inilah maksud ayat al-Quran yang menjadi bukti, bahawa kita semua telah pun membuat ikrar atau perjanjian setia dengan Allah swt Pencipta ummat manusia untuk mengakui keEsaan Allah swt. Bagi saya inilah `bai`ah di alam roh` bagi setiap diri kita sebelum ini yang Allah swt sebutkan kembali supaya kita tahu dan menyedari akan kebenarannya.

Apabila seseorang insan itu diberikan keizinan hidup di atas muka bumi Allah ini, kemudian sampai seruan Islam kepadanya, sayugialah seseorang itu dengan rela hati mengakui akan hakikat keimanan dengan melafazkan kalimah syahadah…(maksudnya) Aku sanggup menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah dan Aku sanggup pula menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah. Tindakan ini pula adalah perisytiharan yang seseorang itu lakukannya di alam nyata (fana) yang menjadi hujah atau saksi bahawa beliau telah meletakkan dirinya sendiri pada kedudukan dan tempat yang betul sebagai manusia yang beriman iaitu berbai`ah sebagai hamba kepada Allah swt di alam realiti ini. `Bai`ah Kubra` ini akan membezakan keseluruhan kehidupan kita berbanding `hamba-hamba` lain yang tidak beriman.

Seterusnya ikrar dalam sembahyang yang diulang-ulangkan sehari semalam sekurang-kurangnya dalam lima waktu yang fardhu `innasolati wanusuki….` bermaksud - Sesungguhnya sembahyangku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Rabb (Pentadbir) seluruh alam ini. Ikrar-ikrar bai`ah ini terus dipasakkan bertubi-tubi sebagai tiang-tiang asas bersama solat itu sendiri sebagai asas agama yang didiri atau dibangunkan dalam bentuk ibadat oleh mereka yang membuktikan ciri-ciri keimanan mereka. Bai`ah ini telah melatih dan mengingatkan kita akan sentiasa berkelakuan serta berjiwa hamba. Sebagai hamba atau abdi tidak pantas merasa `rimas` atau janggal untuk bersujud kepada Allah swt dalam semua urusan kehidupannya. Jika enggan atau engkar itu tandanya sifat `keegoan` Iblis laknatullah telah meresapi lalu mempengaruhi jiwa bani Adam.

Seperti yang dirakamkan dalam al-Quran, apabila Allah swt memerintahkan semua makhluk sujud kepada Adam as (hormat sebagai khalifah) semuanya patuh bersujud kecuali Iblis laknatullah kerana keegoannya sendiri. Dengan rasionalnya sendiri bahawa dia yang diciptakan dari api merasakan lebih mulia dari Adam yang dijadikan dari tanah. Dengan rasionalisme sendiri inilah telah tercabutnya hakikat rasionalismenya sebagai hamba seperti yang lain-lainnya. Sedangkan rasional para Malaikat walaupun diciptakan dari cahaya tetap patuh kerana semua para Malaikat melazimi diri mereka sebagai hamba yang sentiasa akan patuh segala suruhan Tuannya. `Keilmuan` serta `ketokohan` Iblis` memimpin semua Malaikat selama ribuan tahun sebelum itu sehingga tidak ada tempat di`langit` yang tidak pernah beliau sujud… tidak membawa apa-apa ertinya lagi bagi rasional Sang Egoan.

Apa kaitannya kisah ini dengan topik bai`ah yang kita bicarakan ini dapat dilihat dengan jelas iaitu bai`ah ialah kita berjanji untuk menuruti, melaksana atau menegakkan perintah serta suruhan Allah swt (senang/susah) atas sifat kita sebagai hamba. Demikianlah juga yang telah ditunjukkan contoh oleh Nabi saw dan para sahabat dalam peristiwa Bai`ahtul Aqabah 1 dan 2. Pada musim haji Nabi Muhammad saw telah berusaha mendapatkan sokongan atau dengan kata lain penyokong setia dari penduduk Yathrib yang sanggup berkorban apa sahaja bagi menegakkan risalah Islam ini bersama-sama Nabi saw. Alhamdulillah! inilah yang berlaku dan inilah jalan-jalan perjuangan yang dicontohkan kepada kita. Seterusnya pada tahun keenam hijrah dalam peristiwa Bai`ahtur Ridwan telah memperlihatkan lagi bagaimana tindakan berbai`ah ummat Islam untuk berjuang bermati-matian membebaskan Saidina Uthman ra mendapat pujian dan pengiktirafan oleh Allah swt walaupun tindakan susulannya tidak berlaku kerana musuh telah merasa `gerun` lalu membebaskan Saidina Uthman ra.

Semua contoh-contoh tersebut yang hidup dan terasa segar oleh kita yang beriman kepada Allah swt merupakan amal atau tindakan praktikal, `penambahbaikkan` ataupun nilai tambah yang sentiasa berlaku dalam kehidupan mereka yang benar-benar beriman kepada Allah swt. Tanpa ragu-ragu dan tanpa perlu ditunggu untuk orang lain yang tidak mahu beriman mengiktiraf dan memberi keizinan, membenarkan kita menjadi hamba kepada Allah azzawajalla dalam kehidupan kita sendiri. Sebab itu saya berasa ragu dan tidak kena pada tempatnya apabila ada dikalangan kita juga yang dakwanya berbai`ah, tetapi berbai`ah untuk memasuki pilihanraya sistem demokrasi dengan menegakkan cabang-cabang dan sektor-sektor penting demokrasi itu sendiri. Mereka berjanji setia untuk taat kepada sistem demokrasi dan jangan melompat-lompat nanti terkeluar dari kerangka demokrasi yang sebenarnya (tulen).

Saya ingin bertanya kepada cerdik pandai mereka, demokrasi yang sebenarnya itu apa? Demokrasi di barat atau di timur itu benih keturunannya dari mana ? Bagi ummat Islam jawapannya mudah sahaja semua itu berbenih dari rasional Iblisisme. Apabila kita mengambil dan menganut Islam yang syumul, kita insyaAllah tidak perlu lagi meraba-raba mencari kesesuaian sistem-sistem yang lain untuk disesuaikan dengan Islam. Masalah ummat mutakhir ini mereka terlebih dahulu mengenali dan mengambil serta menganut sistem-sistem yang lain kemudian meraba-raba mencari kesesuaian ajaran Islam bagi membenarkan tindakan mereka yang songsang. Sebab itu kata-kata atau pesanan Saidina Ali ra begitu menyentuh benak pemikiran saya, `Kenali oleh kamu akan kebenaran (ajaran Islam) itu terlebih dahulu, baru kamu mengenali siapa yang membawa kebenaran`. Sistem-sistem yang lain dari Islam seperti nasionalis, sosialis, demokrasi, kapitalis komunis, liberalis dan lain-lain semuanya jahiliyyah. Secara kebetulan atau peniruan (ciplak) ada beberapa sudut-sudut tertentu zahiriyyahnya nampak sama dengan sistem Islam. Hakikatnya tidak pernah sama dengan ajaran Islam yang bermula dengan kenyataan iman seorang hamba kepada Tuannya, Allah swt.

Kemuliaan dan ketinggian risalah al-Islam yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad saw sehinggakan diriwayatkan pada waktu dunia akhir zaman nanti ketika dibangkitkan Nabi Isa al-Masih as, Baginda akan bersama-sama kepimpinan ummat Islam ketika itu menegakkan Syari`at Nabi Muhammad saw serta
memerangi segala isme-isme Dajjal, Yakjud dan Makjud. Risalah inilah yang merupakan satu sistem yang mampu menghadapi dan menelanjangi semua bentuk kedurjanaan yang bersifat manusia maupun iblis dan insyaAllah akan menjamin kehidupan manusia selamat dari `kepanasan bahang api neraka` bukan sekadar 60 jam /minit di dunia ini. Wallahu`alam. Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


الحضارة~*BIL:37/R.Akhir 1430
AL-HADHARAH
Ummah Terlena Oleh Dodoian Demokrasi
Ya ayyuhal mudathir, Qum fa anzir! Maha suci Allah yang telah menjadikan sekalian makhluk. Selawat dan salam buat Rasul saw Muhammad al-Amin serta kaum keluarga dan para sahabat Baginda yang dihormati sekelian. Seterusnya kepada semua muslimin-muslimat semoga diberikan taufiq hidayahNya kembali kepada Islam sebagaimana yang dikehendaki olehNya jua.

Terlebih dahulu saya ingin memulakan bicara kali ini dengan memohon banyak kemaafan di atas kelemahan serta kelewatan pihak saya sejak akhir-akhir ini….walau apa pun, InsyaAllah saya akan teruskan perjuangan di bidang ini dan semoga Allah swt memberikan ruang dan kekuatan menggerakkannya.

Maksud firman Allah; Wahai orang-orang yang berkemul (berselimut) ! Bangun ! Berilah peringatan. Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya. Dan pakaianmu hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan maka hendaklah engkau jauhi! (al-Mudathir 1-5)

Saudara ummah yang dihormati sekelian, ketika Nabi besar kita Muhammad saw menerima akan perintah ayat-ayat tersebut di atas, dapat kita bayangkan bagaimana bentuk dan penerimaan akan risalah Islam dengan wajah yang jelas dan terang, bebas dari pengaruh atau kesan-kesan tamaddun yang menguasai masyarakat Mekah ketika itu. Masyarakat Mekah dan sekitarnya ketika itu berada dalam kehidupan jahilyyah, walaupun mereka bersosial, berekonomi, berhubungan dengan dunia luar, bersaing dalam peperangan, bersastera dan berkebudayaan malah `beragama` dengan cara nenek moyang mereka beragama. Mekah menjadi pusat segala sistem-sistem berhala untuk Jazirah Arab waktu itu.

Tetapi segala bentuk kehidupan yang berjalan itu diberitahu oleh Allah swt kepada ummat Islam melalui Muhammad saw adalah cara hidup jahiliyyah! Saya ulangi dan tegaskan kepada diri saya sendiri dan ummat mutakhir ini itulah cara hidup jahiliyyah, tamaddun jahiliyyah, sistem jahiliyyah. Nabi dan ummat Islam disuruh supaya menanggalkan segala kemul atau selimut yang menyelimuti kehidupan kamu seharian,lalu bangun dalam ertikata penuh kesedaran untuk membangunkan sebuah tamaddun yakni hadharah baru (Hadharah Islamiyyah). Hadharah yang tamaddunnya kita selalu ingat dan ucapkan paling agung, mulia penuh dengan kehebatan dan kebesaran.

Dalam era kebangkitan ummah untuk membangunkan sebuah Hadharah Islamiyyah bagi kali kedua ini, ummat Islam tidak boleh lari dari petunjuk Ilahi al-Quran dan al-Hadith Nabawi. Itulah sumber ilmu dan kekuatan ummah sampailah hari qiamat. Semakin kukuh ummah berpegang dan beriltizam dengan dua sumber asli ini, akan menjadikan ummah semakin yakin dan jelas halatujunya. Kedua-dua sumber ini tidak akan menipu kita, agar menjadi ummat kebangkitan kali kedua… sebagaimana generasi pertama telah membuktikan kejayaan mereka.

Semakin kuat dan rajin kita membina asas-asas Hadharah Islamiyyah dalam kehidupan sebenar ummah semakin terpinggir dan longgar cengkaman hadharah jahiliyyah yang bergayut pada tubuh badan ummah. Inilah yang ummah terdahulu faham dan insyaAllah kefahaman sebeginilah yang akan kita gembelingkan supaya menjadi kefahaman ummat kebangkitan kali kedua kini. Oh! Ummat kebangkitan… tubuh serta seluruh pakaian yang kau guna untuk membaluti dirimu, hendaklah kau bersihkan dari segala najis-najis kehidupan sosial yang membina hadharah jahiliyyah, pekerjaan dan perniagaan kamu hendaklah engkau jauhi dari ekonomi yang membina dan mengekalkan hadharah jahiliyyah. Pendidikan dan kebudayaan kamu lebih-lebih lagilah, jangan menjadi alat dan baja berkembangnya berhala-berhala jahiliyyah! Persaingan dan perebutan di antara kamu janganlah untuk mendapat tempat, kedudukan yang menjadi tawaran dan kebanggaan jahiliyyah. Malah kehidupan `beragama` atau perjuangan agama kamu janganlah perjuangan yang bertopengkan jahiliyyah bagi mengekal dan meneruskan penguasaan hadharah To`kong demokrasi.

Dan segala kejahatan maka hendaklah engkau jauhkan….Segala sistem dan penyembahan terhadap berhala yang mencengkam dan melingkari kehidupan masyarakat Mekah dahulu hendaklah dicabut ke akar umbinya, barulah kamu mampu menjadi ummat yang membawa agama baru yang tidak menumpang mana-mana hadharah atau ketamaddunan, hanya yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw.

Wahai ummat kebangkitan kali kedua…! Di hadapan kamu.. hadharah jahiliyyah yang menerkam bagaikan binatang buas, dari belakang kamu pula makhluk-makhluk dajjal yang tidak pernah tahu erti lelah.. di kanan kamu penyeru-penyeru kepada neraka jahanam… bertopengkan agama, sedangkan diri dan kekuatan mereka sebenarnya bersumber dari hadharah jahiliyyah yang mereka pelihara di sebalik dinding demokrasi dan pagar-pagar istana.

Seterusnya di kiri kamu pula ialah tentera-tentera Mongol yang tidak tahu erti tamaddun dan kemanusiaan. Manusia ialah alat dan bahan-bahan untuk mencapai dan meningkatkan produktiviti, agenda material dan ekonomi yang mereka tetapkan. Malah dari arah atas serta bawah kamu pula terdapat sifat tamak, hasad dengki, gelojoh, penakut dan segala perangai-perangai mazmumah yang di pandu oleh hawa nafsu dan kejahilan ummah sendiri.

Lalu apa yang tinggal kepada kita sebagai ummat kebangkitan kali kedua ini…melainkan kedua belah tangan hanya mampu mempertahankan dua sumber agung dan asli iaitu al-Quran dan al-Hadith sebagai kitab suci yang masih bebas dari pengaruh anasir-anasir jahiliyyah. Kedua-dua unsur ini sebenarnya adalah unsur yang hidup dan dapat menghidupkan keimanan dalam hati ummah yang benar-benar ikhlas mencari kebenaran. Benih-benih keimanan yang dah mula hidup dan bertunas ini tidak cukup dibiarkan `menyesak` di dada-dada ummah, ianya perlu dipindahkan ke ruang yang lebih selesa untuk terus dicambahkan sebagai peribadi dan keluarga Muslim yang dengan relahati menjadi struktur-struktur asas Hadharah Islamiyyah seperti Junjungan Nabi saw dan para sahabat dahulu. Mereka begitu yakin menghadapi masyarakat dan tipu daya jahiliyyah sezaman mereka.

Ummah perlu sedar, individu-individu, nama-nama, sistem-sistem, ideologi-ideologi berubah bersilih ganti, berkembang sesuai dengan perubahan alam namun jahiliyyah tetap jahiliyyah kerana mereka berkekalan dari dahulu lagi sampai saat ini membangunkan hadharah thoghut. Tugas ummat Islam pula sejak hari pertama lagi keimanannya kepada Allah swt ialah membangunkan Hadharah Islamiyyah. Dalam konteks hadharah, Hadharah Islam tidak pernah hidup sebagai parasit, penumpang dan berkembang dalam mana-mana hadharah, walaupun individu Muslim boleh bekerja dengan kerajaan jahiliyyah sebagaimana kehidupan Nabi Musa. Nabi Musa as sendiri tidak membangun dan membesarkan kerajaan Firaun, Nabi Musa as membangunkan Hadharah Islam beriman kepada Allah. dan mengkufurkan Firaun.

Begitu jugalah bagi ummat kebangkitan kini, perlu beriman kepada Allah dengan sebenar-benar keimanan, kufurkan thoghut, jangan bersekongkol dengan semua bentuk thoghut, jangan mempertahankan segala sistem thoghut dan jangan merasakan thoghut ini perlu lagi… sekurang-kurangnya untuk sementara waktu ini.. perlu dibaik-pulih terlebih dahulu, jangan ada secebis pun ingatan begitu. Ingat! tugas kita ialah membangunkan Hadharah Islamiyyah walaupun kita terpaksa bekerja dengan kerajaan jahiliyyah untuk sementara waktu ini…InsyaAllah kebangkitan ummat kali kedua akan kita buktikan bersama-sama. Wallahua`lam, sekian. Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


الحضارة~*BIL: 38/ J.Awal 1430
AL-HADHARAH
Kebangkitan Kali Ke 2 Tidak Memerlukan Pelacur-Pelacur Politik.
“Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah, Dialah yang Maha Kuasa lagi amat Bijaksana. Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi, Dia menghidupkan dan mematikan. Dan Dia amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah yang Awal dan yang Akhir, yang Zahir serta yang Batin. Dan Dialah yang amat mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. Maksud firman Allah (al-Hadid 1-3)

Selawat serta salam kepada Nabi Muhammad saw, pemimpin agung kepada ummat ini. Selawat serta salam juga kepada ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang setia bersama-samanya sehingga ketitisan darah terakhir mereka, demi risalah mulia ini. Seterusnya kepada semua muslimin dan muslimat yang berusaha gigih untuk meletakkan kembali Islam ke tempat yang selayaknya untuk Agama Allah.

Pada sekitar tahun 40an, 50an dan 60an ummat Islam di Tanah Melayu khususnya dan dunia sebelah Timur amnya acap kali diperdendangkan dengan `tiupan semangat` bahawa inilah era atau abad kebangkitan semula Islam setelah mengalami tragedi pilu kejatuhan Khilafah Othmaniyyah. Sedikit sebanyak era kebangkitan semula ummat Islam ini telah berjaya memberi impak positif dan kesannya kepada kehidupan ummah. Lahirlah pertubuhan atau gerakan yang bergerak untuk membebaskan wilayah-wilayah ummat Islam dari penjajahan imperialis barat atau pun timur. Semangat ummat Islam yang bencikan penjajah dan penindasan serta kezaliman yang berlaku ke atas ummah telah memberi kejayaan besar dalam perjuangan menuntut kemerdekaan wilayah-wilayah ummah.

Maaf ! Jika saya berpendirian bahawa jasa dan sumbangan ummat Islam sebelum ini terr..laluu.. mahal di atas kewujudan Negara-Negara Ummat Islam yang ada sekarang, tetapi berbaloikah…? Ya.. maksud saya berbaloikah dengan segala sumbangan besar tersebut berbanding dengan kehidupan ummat Islam sekarang dari pelbagai sudut. Ummat Islam menjadi juara di tanahairnya sendiri atau melukut di tepi gantang? Kenapa ummat Islam hari ini masih lagi bergelut dengan pelbagai masalah, kadang-kadang lebih teruk lagi dari zaman kolonial. Mungkin inilah bentuk `kekusutan-kekusutan lama` yang belum sempat terongkai sepenuhnya dalam semangat perjuangan ummah menghalau penjajahan dahulu. Ya logiknya ada, sebab itu selalu juga kedengaran disebut `penjajahan bentuk baru` biarpun wilayahnya telah merdeka.

Dari sudut pandangan kita sendiri sebagai ummat Islam, di mana berlakunya`lompang atau ketirisan` dalam era perjuangan kebangkitan semula Islam yang dilaung-laungkan lama dahulu? Maksud saya di sini sebagai bermuhasabah dan mencari kelemahan serta kesilapan lalu supaya jangan kita mengulangi kesilapan atau kelemahan yang serupa dengan kata lain kekusutan-kekusutan lama tadi. Sebabnya sekarang ini, ummat Islam belum pun bangkit-bangkit lagi malah terus-terusan dilanyak, dinafikan haknya oleh… ummatnya sendiri (yang memerintah).

Lompang atau ketirisan tersebut mungkin mudah berlaku apabila ummah hanya melihat perjuangan dahulu sebagai memenuhi keperluan kebangkitan semula Islam iaitu menghalau penjajah, lalu digantikan dengan keturunannya sendiri. Inilah kefahaman umum yang jumhur ummat pakai. Sementelahan itu ada satu lagi aliran pandangan yang dipelopori oleh perjuangan ummat Islam yang agak tersusun maksud saya berorganisasi, iaitu perjuangan menghalau penjajah dan menggantikannya dengan `Negara Islam` yang dipimpin oleh ummat Islam sendiri. Walaupun idea dan gagasan ini cukup menarik dan dapat meraih sokongan sebahagian besar ummat Islam ketika itu tetapi sejarah telah membuktikan bahawa perjuangan ini masih belum lagi berjaya.. sampailah kehari ini.

Satu persoalan lain timbul jika usaha yang berbentuk `politik semasa` itu tidak berjaya lagi sejak dari tahun-tahun 50an, tak kan nak kekal statik! tak ada usaha-usaha lain yang digembelingkan sebagai memenuhi seruan era kebangkitan semula Islam tersebut? Saya lebih cenderung melihat pihak yang mewakili aliran ini juga kabur atau menganggap segala usaha `menegak Negara Islam` yang mereka perjuangkan itu akan bermula apabila mereka berjaya memegang tampuk pemerintahan negara yang mereka akan tegakan… logiknya kita nak tegakan Negara Islam mestilah dapatkan negara dahulu… nak dapatkan negara, kuasa politik terlebih dahulu..itulah hujah orang-orang yang realis menghadapi realiti sekeliling mereka. `Kekuasaan` itu segalanya berpusat dari atas dan disalurkan ke bawah…hujah ini sebenarnya dangkal, kerana hari ini ubah perlembagaan kepada Islam, lepas tu nak cari hakim yang tahu undang-undang Islam dapat berapa orang,.. belum lagi peguam, pegawai penguatkuasa dan pegawai polis…! Belum lagi cerita draf undang-undang dan pecahan-pecahan artikelnya.

Sebaliknya jika aliran ini dapat diperbetulkan, bahawa segala usaha untuk mengembalikan kekuasaan Islam itu bukanlah bermulanya dengan `kekuasaan dari atas` terbentangnya sebuah negara…tetapi pembentukkan dan pembinaannya adalah dari bawah… ya saudaraku dari bawah! Dengan pembinaan ahli, keluarga serta masyarakat ummah yang sedar, mewujudkan biah serta hadharah sendiri. Pemimpin-pemimpin dan pengikut-pengikutnya mengikat batu di perut, dapat sedikit makanan bertanyakan mereka yang terlebih lama mengalas batu. Ini bukan dongengan tetapi inilah asas-asas sebuah perjuangan yang dibangunkan oleh generasi pertama dahulu. Tetapi mengapa perkara-perkara begini tidak berlaku lagi…sedangkan ianya agak subur di sekitar 70an dan 80an, ketika itu keghairahan membina `markaz-markaz dan pusat tarbiyyah`. Walaupun saya tidak boleh menafikan masih wujud usaha ini dijalankan oleh pihak ummat Islam. Umum melihat aliran ini sudah jauh…. `ke atas` menumpukan strategi menguasai negara, hal-hal pembentukkan ummah, tarbiyyah, biah malah hadharah terserah kepada ummah sendiri.

Tidak hairanlah ada pihak-pihak tertentu ummat Islam yang meletakkan kegagalan gerakan ini, sebagai kegagalan `fiqh al-harakah`, lalu dikemukakan gagasan baru `fiqh al-hadharah` sebagai penyelesaiannya. Saya tidak nampak usaha pihak ini akan `menjernihkan` kekaburan ummah jika sekadar nak mencari alternatif fikrah semata-mata, dan dibahaskan dalam kelompok yang terasing begitu elitis dan jauh dari kehidupan ummah sebenar yang marhaen lagi tertindas. Melucukan lagi jika sekiranya mereka ini bukanlah golongan yang `terpaksa`(darurat) bergayut dengan hadharah jahiliyyah malah selesa menikmatinya.

Saya berpendapat era kebangkitan Islam sebelum ini, yang dipandu oleh sebahagian gerakan ummat Islam semasa telah berjaya menterjemahkan `fiqh al-harakah` sehingga kebanyakan ummah dapat menerima bahawa perjuangan menegakkan kembali Islam mestilah bersama jamaah atau gerakan Islam. Ini `key-word` asas fiqh al-harakah. Kelemahan dan kesilapannya ada iaitu dalam usaha menjalankan kerja-kerja tersebut sebahagiannya gagal membina hadharah disebabkan mereka berfikiran akan dapat dibina bila adanya negara. Bila mereka tidak mewujudnya hadharah sendiri (hadharah Islamiyyah) yang sepatutnya mereka bina bersama-sama, mereka terperangkap dengan `hadharah semasa` yang menawarkan kekuasaan politik demokrasi, boleh kita simpulkan sebagai ketidakfahaman tentang `fiqh al-hadharah`.

InsyaAllah jika diizinkan oleh Allah swt saya akan cuba membicarakan apakah kata kunci @`key-word` bagi gagasan fiqh al-hadharah yang saya fahami. Wallahua`lam. Dari - Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -


الحضارة~*BIL:39/J. Awal 1430
AL-HADHARAH
Fiqh al-Harakah - Kefahaman Menggerakkan Keupayaan Ummah
Fiqh al-Hadharah - Hasilusaha Yang Menyuburkan Islam Ummah
maha suci Allah yang menguasai dan memiliki semua makhluk di bumi. Selawat dan salam kepada Rasul Muhammad saw ibni Abdillah. Seterusnya seluruh kaum keluarga dan para sahabat Baginda saw. Salam juga kepada ummat kebangkitan kali ke 2 walau di mana saja saudaraku berada, yang bersungguh-sungguh membuktikan akan kebenaran Agama Allah yang terakhir ini.

Seperti yang dijanjikan, insyaAllah untuk membicarakan persoalan penting ummah ini iaitu`fiqh al-hadharah`, elok saya ulangi kembali apa yang saya telah nyatakan pada keluaran lalu:- Saya berpendapat era kebangkitan Islam sebelum ini, yang dipandu oleh sebahagian gerakan ummat Islam semasa telah berjaya menterjemahkan `fiqh al-harakah` sehingga kebanyakan ummah dapat menerima bahawa perjuangan menegakkan kembali Islam mestilah bersama jamaah atau gerakan Islam. Ini `key-word` asas fiqh al-harakah. Kelemahan dan kesilapannya ada iaitu dalam usaha menjalankan kerja-kerja tersebut sebahagiannya gagal membina hadharah disebabkan mereka berfikiran akan dapat dibina bila adanya negara. Bila mereka tidak mewujudkan hadharah sendiri (hadharah Islamiyyah) yang sepatutnya mereka bina bersama-sama, mereka terperangkap dengan `hadharah semasa` yang menawarkan kekuasaan politik demokrasi, boleh kita simpulkan sebagai ketidakfahaman tentang `fiqh al-hadharah`.

Dalam perjuangan Islam yang penuh dengan mehnah dan cabaran ini menuntut ummatnya supaya lebih berhati-hati serta benar-benar faham akan hakikat perjuangan dan hakikat Agama Islam itu sendiri yang mesti diterima pakai serta diperjuangkan oleh penganutnya seperti yang dicontohkan oleh Baginda Rasul saw dan generasi awal. Supaya agama yang kita anut ini, mempunyai ciri-ciri persamaannya dengan anutan saudara-saudara kita yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. InsyaAllah, usaha-usaha bagi memahami dengan lebih mendalam tentang fiqh al-harakah dan fiqh al-hadharah sesuatu yang sepatutnya mendapat tempat di hati-hati ummah kebangkitan kali ke 2 ini.

Dengan bersangka baik, insyaAllah! ummah akan dapat juga mengikutinya walaupun dengan perlahan-lahan. Seperti ummat Islam hari ini mulai faham untuk memperjuangkan Islam mestilah bersama-sama jamaah sekurang-kurangnya. Sebenarnya ummat Islam yang faham fiqh al-harakah bukan atas sentimen atau semangat sahaja, rasa terpanggil untuk menyertai jamaah atau gerakan Islam ialah untuk tujuan perjuangan membina atau membangunkan kerja-kerja Islam sebab kerja Islam ini BESAR, HEBAT, LAMA, JAUH BERJALAN, BERAT tak mampu dibuat atau dibangunkan oleh individu, sebab itu Nabi saw pun tak buat kerja sorang-sorang. Wadah yang digerakkan berasaskan kefahaman fiqh al-harakah akan menjana kerja-kerja perjuangan kita. Disebabkan perjuangan kita perjuangan Islam ia akan menghasilkan Hadharah Islamiyyah. Jika wadah itu wadah sekular ia akan menghasilkan hadharah sekular, ringkasnya wadah jahiliyyah akan menghasilkan hadharah jahiliyyah.

Tetapi jika kefahaman tentang fiqh al-harakah pun tak jelas, cara-cara nak menjana pun kurang, apalagi sistem janakuasa pun `fashion` lama, tak Islamik, tiru trend jahiliyyah, ini yang selalu ummah akan hadapi gangguan `black out` bekalan tenaga. Adakah semua ummah kebangkitan kali ke 2 boleh terus bersetuju dengan wadah yang tidak berhasil menjanakan Hadharah Islamiyyah. Sebaliknya mengalihkan `beringnya` ke arah mencapai cita-cita politik semasa mengikut kehendak hadharah orang ramai. Orang ramai yang jahil tentang Hadharah Islam begitu diplomatik menjuruskan kehendak mereka ke atas wadah atau pihak kita yang dah tercabut rasa malu mengidamkan `singgahsana` hadharah mereka? Ini satu lagi persoalan masa kini yang ummah kena betul-betul serius menangganinya.Ummah jangan `berjurus` tak kena tempat, taat kepada jamaah atau pemimpin selagi tidak bercanggah dengan taat kepada Allah swt dan taat kepada Rasul saw.

Peranan fiqh al-hadharah pula dapat mengatasi kejahilan ummat dan sikap fanatik kepada sesama makhluk yang sanggup memperbodohkan aqal sendiri. Fiqh al-hadharah ialah kefahaman secara yang bersungguh-sungguh untuk menghidupkan ajaran Islam itu sendiri dalam seluruh hidupnya secara peribadi, keluarga, kejiranan, jamaah, masyarakat dan sampai kepada yang lebih besar. Itu tujuan Islam diturunkan kepada ummat manusia,`Rahmatan lil`alamin`. Sebab itu bagi saya memahami fiqh al-hadharah ialah memahami sesuatu tentang seluruh sistem kehidupan seseorang Muslim itu sendiri, dari mana dia datang, untuk apa dia meneruskan hidup dan ke mana kesudahan segala aktivitinya.

Perjuangan menegakkan Hadharah Islamiyyah di Madinah telah bermula 13 tahun di Mekah lagi, dengan sekurang-kurangnya 2 percubaan/eksperimen hijrah iaitu ke Habsyah dan ke Taif. Seterusnya mengadakan perjumpaan dengan khabilah-khabilah dari Madinah pada musim haji dan mengIslamkan mereka lalu menghantar naqib atau murrabi kepada mereka bagi membina hadharah awal di sana. Saya lebih suka menyebut Hadharah Islamiyyah di Madinah bukan Negara Islam Madinah kerana istilah negara itu sendiri telah diberikan oleh generasi kemudian. Lagi pun istilah negara itu menjadikan ummah mudah keliru kerana ummah akan membandingkan dengan negara yang ada pada hari ini. Sedangkan yang Nabi dan para sahabat generasi pertama dulu tegakkan ialah, peribadi, biah termasuk keluarga yang beriman membina kekuatan ukhuwah dan ummah itulah sebenarnya hadharah. (sebahagian petikan Buletin Bil 09)

Jadi rasanya sebagai ummah kebangkitan kali ke2 sepatutnya faham bahawa kita berpakat, berorganisasi, berjamaah ialah supaya kehidupan kita sekarang (semasa) dapat berjalan dengan baik dan mampu menghadapi suasana sekeliling yang bukan hadharah yang kita mahukan. Tiada makna kita berpakat untuk membina hadharah yang bukan hadharah Islam seperti sekular atau demokrasi, yang orang lain tentukan 24 jam sehari ke atas kita. Kita yang sepatutnya berpakat bersama-sama menentukan kehidupan hadharah sendiri.

Sebagai kesimpulan, suka saya menyatakan bahawa tiada apa-apa percanggahan antara kedua-dua gagasan fiqh al-harakah dan fiqh al-hadharah yang telah para ulama` terdahulu sampaikan kepada kita. Cuma kelemahan ummat sendiri sebelum ini kurang memahami keduanya atau terlebih tumpu kepada fiqh al-harakah lalu terbabas, sehingga merasakan kehebatan harakah masing-masing adalah segala-galanya. Harakah atau jamaah tidak boleh dipertikai atau ditegur langsung, begitu juga dengan para pimpinannya. Sedangkan harakah atau jamaah tadi cuma alat untuk menjana perjuangan iaitu kehidupan berhadharah sesama ummat Islam.

Jangan terkejut saudaraku! Alat, harakah atau wadah boleh bertukar ganti… hak Allah swt yang menentukan kepada golongan mana yang layak tetapi hadharah atau bentuk dan ciri-ciri Hadharah Islamiyyah sama sekali tidak berubah seperti yang dibina oleh Nabi Besar kita Muhammad saw dan seluruh ummat Islam generasi pertama dahulu. Semuanya kembali kepada kita sendiri yang harus mengenali dan tahu menilai agamanya sendiri. Semoga Allah akan memahamkan kita ummat kebangkitan kali ke 2 akan agamaNya.
Maksud firman Allah - “Ia menurunkan air dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api (lebur) untuk dijadikan barang perhiasaan atau peralatan yang diperlukan, juga timbulnya buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misalan tentang perkara-perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang sebagai yang tidak ada harganya (nilai). Adapun yang memberi manfaat dan faedah kepada manusia maka ia tetap berada di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal sebangai perbandingan” (ar-Radd 17). Sekian dahulu, sebagai memberi pandangan, wallahu`alam bissawab!
- Dari Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


الحضارة~*BIL: 40/ J.Awal 1430
AL - HADHARAH
Syarat Pertama Beriman Kepada Allah swt Ialah Kufurkan Semua Thoghut !
Allah swt berfirman maksudnya; “ Tidak ada paksaan di dalam memilih agama Islam atau tidak, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu barangsiapa yang mengkufurkan thoghut (tidak percayakan thoghut) dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali) yang kukuh yang tidak akan putus. Dan ingatlah Allah amat mendengar lagi amat mengetahui.
Allah pelindung orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dan orang-orang yang kafir itu penolong mereka ialah thoghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan. Mereka itulah ahli neraka mereka kekal di dalamnya” (al-Baqarah 256-257)

Maha suci Allah yang telah memberikan nikmat Iman dan Islam kepada kita, selawat dan salam perjuangan kepada Penghulu semua Rasul, Muhammad saw kaum keluarga dan para sahabat Baginda seluruhnya. Sebagai ummat kebangkitan kali ke2 kita mengharapkan semoga Allah swt terus memberikan taufiq serta inayahNya kepada semua.

Tidak dapat tidak kita sebagai makhluk yang bernama manusia ini perlu mengenali sesuatu yang `berlawanan` atau `bertentangan` sifatnya, bagi memudahkan kita membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam semua muamalah atau aktiviti kehidupan yang sementara ini. Sebagai manusia yang normal, lumrah baginya sentiasa dalam situasi memilih, menilai, menyaring, membuat penelitian dan akhirnya terpaksa atau rela memihak kepada kebenaran yang ditentukan Penciptanya sendiri Allah swt.

Kita akur akan `kehebatan` ciptaan Allah swt kepada manusia iaitu aqal fikiran yang sehingga sekarang tidak dapat dihuraikan oleh mana-mana pengkaji otak manusia yang cuba sedaya upaya melihat bagaimana sel-sel otak berfungsi sebagai `pemikir`. Kita juga akur akan `keunikan` hawa nafsu yang dibekalkan kepada insan yang berada di dalam diri, tetapi kita kadangkala begitu kerdil tewas kepada nafsu sendiri.

Tanpa kitab `katalog` yang dibekalkan kepada manusia dari Pencipta manusia itu sendiri, manusia sebenarnya tidak mampu mengharungi hidupnya dengan selamat sampai ke destinasi sepatutnya. Di sinilah peranan al-Quran (dan Kitab sebelumnya), Iman, Islam dan para Rasul itu sendiri meletakkan `satu titik` keseimbangan kepada manusia-manusia yang mahu beriman. Dengan menganut Islam dan teguh keimanannya kepada Allah swt insyaAllah kita telah berada dalam zon keseimbangan antara pemikiran dan hawa nafsu yang dikatakan tadi. Zon keseimbangan ini akan menjadi landasan terbaik kepada pemikiran manusia, insyaAllah akan mampu membawa para mukmin meneroka (explore) segala khazanah jagatraya ini untuk kebaikan semua hamba-hambaNya. Zon ini juga akan menjadi pengawal atau pengembala yang terbaik kepada hawa nafsu yang pasti akan mententeramkan serta memastikan keindahan sentiasa mewarnai kehidupan manusia-manusia muslim di bumi ini.

Kita boleh bayangkan bagaimana kaku dan rakusnya kemajuan sains dan teknologi yang terhasil di barat sekarang apabila landasan pemikiran mereka bukanlah landasan orang-orang yang beriman kepada Allah swt. Begitu juga dengan nilai-nilai kemanusiaan yang telah lama hilang dari dunia mereka digantikan dengan tabiat-tabiat haiwan yang liar di hutan belantara, apabila nafsu bermaharaja di minda bertakhta di jiwa. Di dalam menggambarkan suasana masyarakat yang begitu `maju` sekarang saya teringat ucapan al-Marhum al-Ustaz Fadhil Mohd Noor; “ Kemajuan sains dan teknologi telah berjaya membawa manusia terbang di angkasa bagaikan burung, berenang di lautan seperti ikan tetapi sayangnya! masih tidak mampu mengajar manusia untuk berjalan di atas mukabumi ini sebagai manusia”

Berbalik kepada titik keseimbangan yang disebutkan tadi, itulah sebenarnya hikmah pengajaran untuk membolehkan manusia seluruhnya dapat berjalan dengan sempurna sebagai manusia di atas muka bumi ini. Sains dan teknologi yang mengagungkan kebendaan tidak mampu membawa manusia menjadi manusia yang `sempurna`. Biarpun mereka mampu sampai ke bulan dan ke angkasaraya, menyelami dasar lautan yang paling dalam, namun mereka berjalan dengan terhoyong-hayang, meraba-raba akibat lemahnya tarikan graviti dan kesukaran pernafasan, begitulah realiti kehidupan sebenar mereka.

Sebagai ummat Islam lebih-lebih lagi insyaAllah sebagai ummat kebangkitan kali ke 2, kita tidak sepatutnya terperangkap sama dengan perangkap `the big black hole` para `intelektual` barat. Mereka tidak dapat melihat cahaya kebenaran kerana apabila cahaya itu di bawa kepada mereka yang masih berada di dalam lubang gelap yang sangat besar semuanya akan lenyap menjadi gelita bersama. Cahaya kebenaran hanya mampu di lihat dan di terima oleh mereka yang mahu menerima dan mengakui keimanan kepada Allah swt. Itulah kesilapan dan kejahilan terbesar `kemajuan` barat apabila mereka tidak mahu atau tidak mampu mengkufurkan segala bentuk thoghut yang ada atas mukabumi ini. Mereka masih mengagungkan thoghut kebebasan tanpa had, menghormati dan menagih simpati thoghut demokrasi, percaya kepada thoghut pasaran global, berkeyakinan dan merujuk kepada thoghut mahkamah dunia dan segala thoghut yang bermaharajalela.

Tidak hairan kewujudan lubang gelap di angkasa mereka akui, sebaliknya dunia gelap di barat hanya mampu melahirkan para orientalis mempunyai `ilmu` tetapi meletakkan lampu suluh ke dalam lubang gelap yang ada di dalam diri masing-masing. Sedangkan bagi orang-orang mukmin mereka mengambil dan menerima ilmu kebenaran supaya menjadi penyuluh kepada jalan-jalan kehidupan di atas mukabumi ini. Para orientalis ini begitu mahu mereka diagung-agungkan dan kalau perlu mereka suka berada dalam kelompok `pemikir ummat` yang mendapat sanjungan. Ummah jangan mudah terpesona dengan racun-racun pemikiran yang mereka hamburkan kepada kita.

Perjuangan Islam tidak pernah mewujudkan `golongan kelas pemikir` sahaja dalam sejarahnya yang panjang. Nabi saw, para sahabat, tabien, tabien at-tabien dan mujaddid-mujaddid serta imam-imam mujtahid tidak pernah hidup goyang kaki menikmati kemewahan hidup pada zaman mereka. Mereka hidup susah, sederhana bersama ummah kebanyakkan kenapa ?? Kerana ilmu dan keimanan yang ada pada mereka…, mereka dapatkan dari contoh ulung iaitu Rasul saw, yang hidup di tengah-tengah orang-orang miskin, faqir, marhaen, mustad`afin. Mereka tidak sanggup membohongi ilmu mereka sendiri dengan bersembunyi di sebalik kerusi-kerusi empuk, kereta-kereta besar, rumah-rumah..masyaAllah…!
Maaf! Saudara-saudaraku dunia `ivory tower` dan gajah putih bukanlah gelanggang sebenar perjuangan yang membawa aspirasi ummah. Tidak salah jika sekadar mengambil peluang menimba pengalaman demi perjuangan ummah. Samalah jika ummat kebangkitan kali ke 2 ini tidak memerlukan pelacur-pelacur politik begitu juga ummat ke 2 ini juga, tidak memerlukan profesor-profesor `kangkung` atau `kaduk naik junjung`.

Jangan mudah terpesona!.. Islam tidak pernah berjaya ditegakkan di atas muka bumi Allah ini dengan kata-kata indah dan madah falsafah, tetapi Islam telah pernah berjaya ditegakkan dan memerintah di bumi ini oleh individu-individu ummah yang mempunyai falsafah. Wallahu`alam! Dari - Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron ``
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan