Halaman

Jumaat, 6 Ogos 2010

Kenapa Perjuangan Islam Perlu Berbeza ?

~*BIL:64/Ramadhan 1430الحضارة
AL–HADHARAH

Kenapa Perjuangan Islam Perlu Berbeza ?


Bersyukur kepada Allah swt dengan limpah kurnianya yang tak terhingga kepada hamba-hambaNya samada beriman atau pun tidak. Selawat serta salam perjuangan kepada Rasul Junjungan Muhammad saw al-mustafa. Salam perjuangan juga kepada semua kaum kerabat dan para sahabat Baginda yang dimuliakan. Kepada ummat akhirizaman, jangan bersedih dan berputus asa teruskan perjuangan kamu kerana kamu tidak akan ditanya nanti samada kamu berjaya atau tidak? Yang penting, berusaha atau tidak, dalam perjuangan Islam kamu.

Firman Allah swt bermaksud; `Sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan al-Quran itu, maka sesungguhnya ia pada hari qiamat menanggung beban (dosa) yang berat.` Thoha-100.
Alhamdulillah! Sekali lagi kita bertemu untuk meneruskan perbincangan atau bicara sesama ummat Islam ini dengan tajuknya `Kenapa kita perlu berbeza ?` maksud saya ialah perjuangan kita perlu berbeza..kenapa? Kerana kita menyatakan kita memperjuangkan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw-lah yang memerlukan wujudnya perbezaan tersebut. Perbezaan uslub, manhaj, kaedah dan sebagainya dari jahiliyyah.

Nabi Muhammad adalah keturunan bangsawan Quraisy, qabilah yang dihormati dan kebanyakannya adalah `ahli parlimen Mekah` ketika itu (Darul Nadwah). Tidak hairanlah Nabi saw telah ditawarkan oleh pihak kerajaan musyrikeen Mekah melalui `Speaker Parlimen` atau orang yang paling berkuasa dalam kerajaan Mekah untuk menjadi Raja atau `Prime Minister` tetapi Junjungan Rasul menolaknya dengan hujah atau alasan yang begitu popular yang kita selalu dengarnya “Jika sekiranya matahari diletakkan di sebelah tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan akan perkara ini (perjuangan Islam) nescaya tidak akan aku meninggalkannya”
Kenapa Rasul saw menolaknya…adakah ketika itu Nabi saw tak tahu bersiasah atau berpolitik ? Ini satu persoalan yang para ulama` muhkhlisin kena bincangkan semula. Saya bukanlah seorang ulama`, tetapi sementara menunggu para ulama` bangun dari bilik peraduan atau menungan masing-masing saya lontar sajalah untuk perbincangan saudara ummah semua. Jika salah-silap kat mana-mana pun tanggungjawab mereka yang berilmulah untuk memperbetulkan ummah termasuk saya.

Jika ikut logik pemikiran aliran tempurung demokrasi, seperti kebanyakan mereka yang berjuang Islam melalui pilihanraya, inilah peluang keemasan untuk Nabi berdakwah dalam Parlimen an-Nadwah. Seperti PAS hari ini beria-ia benar nak masuk parlimen untuk berdakwah dalam parlimen sampai seolah-olah tak nampak dah laluan lain. Bukan setakat itu sahaja, malah mereka yakin bila PAS dapat menguasai majoriti 2/3 kata orang sekarang, maka akan dapatlah Negara Islam `impian PAS` itu terlaksana. Mudah-mudahan PAS tak bermimpi di siang hari…Yang jelas Nabi Muhammad saw menolak cara berfikir dan bertindak sebegitu bagi menegakkan sebuah Daulah atau Hadharah Islamiyyah yang bersifat negara.

Satu lagi peristiwa, Nabi menghantar para sahabat berhijrah ke Habsyah untuk menyampaikan risalah Islam kepada Raja dan rakyat negeri tersebut. Alhamdulillah! Para sahabat diterima baik dan tidak diperlakukan dengan perkara yang jelek seperti yang Nabi saw terima di Taif. Kebetulan Raja Habsyah adalah seorang Nasrani (Kristian) dan negaranya diperintah secara sistem monarki bukan sistem demokrasi seperti hari ini. Tetapi tidak berapa lama para sahabat itu pulang juga ke Mekah akhirnya, kenapa ? Adakah mereka dihalang dari berdakwah ? Tidakkah boleh mereka menjemput Nabi saw ke sana bersama untuk menegakkan sebuah Daulah / Hadharah Islamiyyah? Sedangkan Raja an-Najashi telah tidak menentang Islam dan beliau pula raja yang berkuasa penuh bukan macam raja di tempat kita hari ini ?

Di sinilah yang sepatutnya ummah terutamanya pemuda-pemudi harapan ummah seharusnya faham kenapa perjuangan Islam mesti berbeza dari perjuangan-perjuangan yang lain di atas muka bumi ini. Risalah Islam adalah risalah yang mulia langsung dari Penciptanya. Mana mungkin jalan untuk sampai tertegaknya Daulah yang mulia tersebut melalui lorong-lorong yang penuh kehinaan, menumpang bergayut dengan sistem-sistem yang rapuh, batil pula seperti demokrasi dan sebagainya yang ada hari ini. Sebab itu Nabi saw menolak dengan tegas tawaran di Mekah walaupun `confirm` boleh menguasai politik Mekah dengan cara itu. Manakala misi ke Habsyah hanyalah agenda berdakwah bukan agenda menegakkan Daulah, kerana jika tidak ditakdirkan begitu pihak penganut Kristian belakang hari akan menimbulkan fitnah, mengatakan Daulah Islam yang pertama kerana ehsan mereka sahaja, itu antara hikmahnya.(InsyaAllah Buletin akan datang cuba membicarakan perbezaan Agenda Dakwah & Agenda Daulah)

Dr Yusuf al-Qardawi mengatakan;` Maka adalah kewajipan orang yang berilmu di dalam Islam untuk menerangkannya, bukan menyembunyikan, supaya dapat dimasuki rumah itu melalui pintunya dan meletakkan yang haq itu pada tempatnya`
`…kerana yang haq itu lebih berhak untuk diperkatakan serta diikuti, sebagaimana di dalam hadith yang bermaksud: “Dibawa ilmu ini (agama) dari setiap generasi oleh golongan yang adil (pertengahan), mereka menyekatnya dari penyelewengan golongan pelampau, ciplakkan golongan pendusta dan tafsiran golongan jahil” Dr Yusuf al-Qardhawi Buku Kebangunan Islam Di Antara Tentangan & Extremisme

Seterusnya beliau menambah lagi dalam menghadapi golongan pemuda-pemuda yang`extreme`(bersemangat),
“Kita mesti berani mengakui bahawa banyak dari tindak tanduk kita yang mendorong pemuda-pemuda ini bersikap extreme. Kita mengaku Islam, tetapi kita tidak amalkan. Kita membaca al-Quran, tetapi kita tidak laksanakan hukum-hukumnya. Kita mengatakan kita mencintai Rasulullah saw, tetapi kita tidak lihat sunnahnya.... Sesungguhnya pemikiran pemuda-pemudi menjadi sempit disebabkan tindak tanduk kita yang bercanggah dan penuh dengan kepura-puraan. Kerana itu mereka bertindak sendiri, menempuh jalan sendiri menuju Islam tanpa bantuan dari kita. Para ibubapa tidak memperdulikannya, ulama` membiarkannya, pemerintah menjauh darinya dan tokoh-tokoh masyarakat mempermainkan mereka”
Buku Kebangunan Islam Di Antara Tentangan & Extremisme.

Sesungguhnya para ulama` yang memiliki `basirah`, yang mampu memadukan antara basirah dan taqwa, adalah amat dihajatkan oleh masyarakat kita hari ini. Mereka yang mampu melaksanakan untuk mengukuhkan perjuangan Islam perlu berperanan kembali. Orang yang hidup hanya sebagai penonton perjuangan Islam, atau hanya sebagai `primadona` perjuangan, sedang ia jauh daripada hakikatnya, jauh dari memberi perhatian, jauh dari merasakan penderitaannya dan cita-citanya sudah pasti tidak akan mampu menjalankan peranan yang positif dan sihat bagi memperbetul serta memperkukuhkan perjuangan Islam. Seperti kata-kata syair Arab: “Tidak kenal erti rindu melainkan orang yang menanggung deritanya, tidak kenal erti cinta melainkan orang yang mengalaminya.”

Maka orang yang hidupnya bukan untuk Islam tidak akan mengambil berat persoalan-persoalan ummatnya, tidak akan merasakan kesusahan dan penderitaan mereka yang dhaif. Tetapi hidupnya hanya untuk dirinya, kepentingan peribadi dan keluarganya serta kelompoknya, maka tidaklah layak untuk mengatakan orang yang hidup begini sebagai berjuang untuk Islam. Editing dari Buku Kebangunan Islam Di Antara Tentangan & Extremisme.

Maksud Firman Allah: `Orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepadaNya dan mereka tiada merasa takut kepada seseorang (pun) selain kepada Allah` al-Ahzab 39.
Wassalam. Dari Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal, 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan