Halaman

Khamis, 19 Ogos 2010

Sepatutnya Ummat Islam Lebih Cerdik Daripada PAS & UMNO - Bil 109/Syaaban 1431


~* الحضارة 
Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (ummat Islam), ummat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia." Al-Baqarah 143. Selawat dan salam perjuangan kepada Nabi Muhammad saw al-Mustaffa, selawat dan salam jua kepada sanak saudara baginda serta semua para sahabat radhiayallahuanhum ajmaein.



Salam perjuangan kepada ummat Muhammad saw, khususnya saudara ummah yang berada di Malaysia. Mutakhir ini issu perpaduan ummah seperti diberi ‘nafas baru’ oleh pihak-pihak tertentu dalam kerajaan BN sendiri. Walau apa pun sebab dan tujuan mereka, sebagai seorang ummat Islam saya bersyukur kepada Allah swt yang telah mentakdirkan dan mentadbir di sebalik semua yang mentadbir dan ditakdir itu. Subhanallah! Maha suci Allah.

Sebagai ummat Islam juga, saya teruja dan seolah-olah tenggelam-timbul dalam arus gelombang baru yang berlaku. Pernah beberapa ketika saya sendiri cuba mempertahankan mesej perpaduan ummah ini dari ‘usikkan’ seorang sahabat. Walaupun sebenarnya kami tidak pernah bersemuka di alam nyata hanya berbalas email sahaja. Sang sahabat berkeras, “bahawa issu ini adalah agenda UMNO untuk memerangkap PAS dalam PR. Kita tidak perlu melayaninya lagi…” Saya termanggu..! dek ketegasan sahabat tadi memberi pandangannya. Dengan gugup..serta resah, saya cuba mencari ketenangan akan keyakinan saya sendiri. Selama ini saya berjuang untuk apa? Saya menulis walaupun tak beberapa kerat yang membacanya…. untuk apa?? Teman-teman dan rakan-rakan yang lain berjuang bersama kelompok atau harakah masing-masing untuk apa? Tidakkah jawapannya sama seperti bisikan hati saya… untuk kepentingan Islam, kepentingan ummatnya.

Keyakinan yang sekian lama telah berputik itu, terus menerjah… Jika kepentingan Islam diletakkan di depan, adakah kepentingan-kepentingan lain yang mengganggu selama ini, mampukah menjadi penghalangnya ?
Persoalan ini, tiada kuasa bagi saya untuk memberi jawapan yang meyakinkan kepada orang lain.. hatta sahabat saya tadi pun… saya tinggalkan beliau dengan lamunan pemikirannya sendirian. Saya cuma mampu berdoa dan berusaha dengan kemampuan yang ada untuk terus menggerakkan jari jemari kerdil ini, menari mengikut rentak keyakinan perjuangan Islam yang telah mula membengkak di jiwa sendiri.

Namun.., apa yang amat-amat saya harapkan…khususnya kepada para pemimpin, sepatutnya mereka berjiwa besar mampu berfikir dan keluar dari belenggu pemikiran kelompok masing-masing. Seterusnya untuk  menerima perjuangan yang merentasi atau melangkaui kepentingan kelompok-kelompok. Lebih-lebih lagilah kelompok politik yang hanya bertarung demi survival kekuasaan dan kepentingan mereka sendiri.

Malangnya! Kebanyakkan dari mereka ternyata berjiwa kerdil yang dihantui oleh dendam kesumat sejarah lampau. Apabila menyebut atau membicarakan issu perpaduan mereka terperangkap atau terbelenggu dengan kerangka yang sedia ada selama ini iaitu pertarungan atau pergeseran politik. Bagi orang PAS karat hijau bila sebut perpaduan, mereka tergambar UG @ Kerajaan perpaduaan PAS dengan UMNO. Manakala bagi UMNO karat biru atau merah pula, bila perpaduan yang mereka ajak dan seru ialah supaya PAS bergabung atau bekerjasama dengan mereka bagi kekuatan bangsa Melayu lalu tinggalkan PKR. Malah bagi PKR pula bersatu-padu mestilah ketepikan agama Islam dan menerima pemikiran ‘multi-rust/karat’ @ ‘multi-religious’.

Sebenarnya pemikiran-pemikiran yang ‘berkarat’ sebegitu adalah contoh pemikiran yang terbelenggu atau terperangkap dengan kepentingan politik yang telah menjadi darah daging mereka selama ini. Mereka yang ‘berkarat’ pemikirannya cukup takut apabila besi atau bahan logam tersebut diketuk berkali-kali oleh ummat Islam sendiri. Kerana sifat karat itu sendiri sebenarnya yang memakan, merosak dan menjahanamkan bahan logam yang ia tumpangi tanpa logam itu sedari.

Apa yang sedang dibicarakan oleh buletin kali ini, insyaAllah ialah persoalan yang melangkaui atau melepasi kepentingan-kepentingan kelompok sendiri. Iaitu kita semua harus cuba berada pada satu tingkatan baru, kiblat baru atau paradigma ummah yang menjagai, merangkumi semua kepentingan ummat Islam dari yang sekecil-kecil perkara kepada yang sebesar-besarnya. Tingkatan @ kiblat baru atau paradigma ummah yang baru ini, tidak mampu untuk kita mencapainya dengan resolusi atau kerjasama politik semata-mata.

Kita sewajarnya bukan lagi membicarakan kepentingan sistem politik semasa yang ditinggalkan penjajah dahulu supaya kita leka. Kita sepatutnya menumpukan kepada persoalan-persoalan asas-asas kepentingan sistem Islam serta ummatnya. Jika ada persoalan politik pun yang kita bincang dan kisahkan ialah ‘siasah syarieyyah’ seperti yang dituntut oleh Islam itu sendiri demi kepentingan ummatnya. Persoalan siapa atau badan mana yang berhak memimpin serta memayungi seluruh ummat di Malaysia tidak wajar diserahkan kepada keputusan perebutan kuasa pilihanraya sistem demokrasi.

Legasi ataupun mekanisma untuk memartabatkan kembali hak kuasa ummah memilih serta menentukan kepimpinan ummat perlu dicari dan diteroka oleh ummat Islam sendiri. Bagi saya adalah mustahil untuk ummat mencari anak kuncinya dalam longgokkan sistem demokrasi ataupun yang sewaktu dengannya. Kerana kita yakin kuncinya masih ada dikalangan kita sendiri, mungkin tersimpan dalam rak-rak khazanah ulama`-ulama` yang selama ini begitu tawadhuk dan merendah diri.

Seperti yang saya pernah sebut sebelum ini - ‘..tidak semestinya usaha-usaha perpaduan ummah ini akan mendapat sokongan besar PAS maupun UMNO. Kenapa saya berkata begitu? Kerana golongan yang berkepentingan yang lain dari kepentingan ummah dan Islam samada dalam UMNO atau PAS di zaman mana sekali pun tidak akan mampu memperjuangkan cita-cita ummah. Begitulah yang terjadi pada zaman awal permulaan Islam golongan yang mengikut Nabi saw ialah golongan bawahan dan marhaen. Golongan berkuasa dan berkepentingan tidak sanggup ‘kehilangan’ status-qou masing-masing.’

Bukan pula maksud saya di sini, bahawa usaha-usaha murni mewujudkan perpaduan ummah itu tidak perlu melibatkan kedua-dua kelompok besar sedia ada tersebut, tetapi yang saya nak tekankan di sini ialah ummat Islam perlu sedar dan bersedia untuk meneruskan perjuangan murni mereka jika ditakdirkan tanpa kehadiran kelompok besar tersebut.’ Buletin bil 106.

Bagi PAS maupun UMNO ataupun sesiapa sahaja, mereka mahu atau tidak mahu, bersama-sama memperjuangkan kepentingan ummah, adalah pilihan masing-masing. Bagi saya dan begitu juga bagi ummat Islam yang lain, kita semua akan menjadi saksi bersama-sama di hadapan Allah swt dan RasulNya seperti mana maksud ayat di atas tadi “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (ummat Islam), ummat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia." Al-Baqarah 143.
Sekian, wassalam. Dari Ibnu Ramadhan.   ``qulil haq walau kana murron ``

Tiada ulasan:

Catat Ulasan