“Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakanNya kepada siapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa."
Al A’raf 128.Demikian maksud firman Allah swt, Maha Kuasalah Allah mentadbir dan menyusun alam ini mengikut kehendakNya. Selawat dan salam buat Junjungan yang mulia saw, kaum keluarga baginda, para sahabat ra dan kepada seluruh ummah yang istiqamah dalam perjuangan menegakkan Deenul Islam walaupun menghadapi rintangan dan dugaan.
Pertarungan atau pertembungan dalam kehidupan manusia bukanlah sesuatu yang baru, bahkan ia bermula sejak awal penciptaannya lagi dan akan berlangsung hinggalah ke hari qiamat. Itulah deklarasi yang telah di buat oleh musuh ketat manusia iaitu iblis laknatullah. Berkata iblis: "Ya Tuhanku, (kalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan. Allah berfirman: "(Kalau begitu) maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sampai hari (suatu) waktu yang telah ditentukan, Iblis berkata : "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka".Al Hijr 36-40
Wahai ummah sedarlah! Pertarungan di antara sistem hidup ciptaan Allah (Deenul Islam) dan sistem-sistem hidup ciptaan manusia telah lama terjadi zaman berganti zaman. Di sebalik sistem ciptaan manusia, maka syaitanlah menjadi pelindung-pelindungnya yang akan mengeluarkan mereka daripada cahaya petunjuk kepada kegelapan kekafiran, adapun sistem hidup Islam maka Allah swt sebagai pelindungnya yang akan mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya keimanan. Justeru sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan bercita-cita untuk berjuang menegakkan al Islam sebagai ad Deen, seseorang itu perlu jelas bahawa pertarungan ini belum selesai dan sedang berjalan hinggalah ke suatu hari di mana bumi akan dihancurkan sehancur-hancurnya ataupun ke titik noktah kematian kita masing-masing.
Yang menghairankan saya bagaimana ada segolongan pejuang terutamanya yang telah mengasah ilmu-ilmu yang berkaitan sistem siasah Islam, ekonomi Islam, sistem sosial Islam, sistem pendidikan Islam dan sebagainya boleh merasa tenang dan aman seperti tiadanya pertembungan ini. Sedangkan ummat Islam sekarang hidup dalam satu zaman di mana musuhnya kian banyak, begitu juga cara tipu helah yang berbagai bentuk dan jenis, di mana sistem-sistem hidup jahiliyyah ini telah disolek begitu cantik dan indah dengan wajah Islam. Adapun matlamatnya ialah untuk melemahkan pegangan agama ummat Islam, mengikis kesuciannya pada hati penganut-penganutnya, memusnahkan imejnya di dalam fikiran dan hati kecil mereka, agar mereka keluar dari agama itu dan menjauhi diri dari sistem serta cara hidup yang telah digariskan oleh Allah swt (Nauzubillah). Contoh sistem pendidikan sekular yang diguna pakai pada hari ini, sememangnya telah mengabaikan pengajian dan penjelasan tentang hakikat agama Islam walaupun tidak dinafikan ada diajarkan ilmu agama yang berkaitan rukun iman, Islam, ibadat-ibadat khususiah, membaca al quran dan ajaran akhlak secara teori sahaja. Generasi kita tidak pernah diajar tentang Islam sebagai satu cara hidup yang merangkumi sistem ekonomi dan sosial yang perlu direalisasikan, sebagai satu sistem pemerintahan atau satu sistem pendidikan serta pengajaran atau sebagai satu sistem hidup yang memimpin kehidupan. Apa yang diajar adalah keraguan dan kekeliruan terhadap Islam supaya ummah lemah jiwanya lalu berasa hina kiranya sistem Islam mereka praktikkan walaupun sesama mereka untuk kebaikan sendiri.
Manakala sistem politik demokrasi yang telah diaturkan oleh penjajah dahulu telah membuahkan hasil yang begitu lumayan, di mana sebahagian pejuang-pejuang Islam telah berjaya menjadi hamba tawanan kepada cara hidup atau hadharah mereka. Sedangkan ketika sistem demokrasi atau pilihan raya dahulu mula diperkenalkan, ummat Islam dan pejuang-pejuang Islam begitu berhati-hati untuk melibatkan diri dan perjuangannya dalam sistem demokrasi (hadharah musuh). Ketika timbulnya kaedah `muwajahah silmiyyah` pun masih ternyata sikap berhati-hati dan berwaspada gerakan Islam ketika itu, mereka sedar mereka sedang bertarung dan bertembung cuma medan pertarungnya sahaja yang begitu `diplomasi`. Lalu mereka cuba mengambil sedikit manfaatnya untuk kebaikan keseluruhan perjuangan Islam.
Lain yang terjadinya pada hari ini, mereka yang dikatakan `pejuang-pejuang` Islam itu bukan setakat mengambil sedikit peluang sistem demokrasi tetapi membawa masuk keseluruhan perjuangannya dalam hadharah sistem demokrasi itu sendiri untuk menegakkan perjuangan Islam mereka dalam sistem tersebut dan berusaha untuk memperbetulkan kerosakan sistem demokrasi sebagai salah satu usaha `jihad` pula. Harakah bertarikh 13-27 Muharam 1428 ada menyatakan `Usaha membetulkan kepincangan demokrasi adalah jihad` merujuk kepada ucapan Presiden PAS sendiri yang menegaskan “ bahawa reformasi demokrasi perlu dilakukan dan ia adalah satu jihad.” Sedangkan al-Marhum Fathi Yakan menyatakan “Sekiranya gerakan Islam tidak jelas manakah jalan yang akan dilaluinya, tidak menentukan tempat-tempat ia akan berpijak, tidak berhati-hati dan berwaspada. Ditambah pula dengan semangat meluap-luap yang ingin ke depan dan berani melulu, ia akan terdedah kepada kejatuhan di pertengahan jalan serta tidak dapat memelihara kekuatannya atau tidak dapat mencapai sebarang sasaran bagi faedah perjuangan ummah secara keseluruhannya.” Buku Dakwah & Pendakwah.
Sebagai seorang muslim tidak seharusnya kita merasa sempit dada, cemas, kelam mata dan tidak sanggup serta takut untuk memasuki satu-satunya pertarungan yang maha hebat yang tidak terbatas kepada petarungan politik berpilihanraya dalam sistem demokrasi sahaja. Sebagai seorang muslim kita perlu sedar pertarungan dan pertembungan sebenar sentiasa berlaku pada hari ini di antara berbagai sistem sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya yang bukan Islam dengan sistem yang menegakkan cara hidup Islam (Hadharah Islamiyyah). Pertarungan dan pertembungan yang tidak dapat dielakkan ini telah lama berlaku dan berjalan, malangnya ummah belum sedar mereka menjadi tawanan yang `jinak` kepada musuh dalam konflik kuno itu. Sebagai orang UMNO yang masih tidak sedar dan selesa bercara hidupkan tinggalan penjajah, satu hal yang membebankan ummah untuk menyedarkan mereka supaya yakin akan agamanya sendiri kembali bersistem hidupkan Islam dalam semua perkara. Kepada orang-orang PAS yang bersemangat untuk memperjuangkan Islam begitu menyedihkan ummah, apabila mereka hanya nampak dan berhabis-habisan dalam pertarungan politik semata-mata dan melihat UMNO yang masih `tak sedar` itu sebagai musuh satu-satunya. Sepatutnya sebagai golongan yang bersemangat berkobar-kobar untuk mendaulatkan kembali Islam merekalah yang lebih ke depan menterjemahkan cara hidup Islam dalam kehidupan peribadi, diri dan keluarga serta sesama ahlinya barulah khalayak ummah kebanyakan yang lain termasuk UMNO mendapat contoh teladan yang baik.
Sebaliknya mereka pula berjuang bersungguh-sungguh untuk mengambil tempat UMNO bagi meneruskan kelangsungan sistem demokrasi sehingga sanggup menjadikan Islam itu sebagai alat atau senjata untuk mencapai matlamat politik mereka. Atas nama dharurat nafsu, mereka masih meninggalkan cara hidup Islam, dengan bermuamalah masih dengan sistem riba, berpendidikan masih selesa dengan sistem sekular, membentuk budaya diri dan anak-anak masih dengan apa yang ditunjukkan tv serta media-media yang mereka tentang juga. Takkan kegagalan kita sendiri nak membentuk `mood` atau minat sendiri serta keluarga terdekat supaya menjadi biah Islam, masih nak menyalahkan UMNO yang memang masih tak sedar itu? Akhirnya yang tinggal untuk Islam hanyalah rangka-rangka kosong usang tak berisi, maka berjayalah syaitan laknatullah memperindahkan hasil kerja `pejuang-pejuang` Bani Adam akibat kelemahan dan kelalaian sendiri. Sekian. Dari Ummu el-Husna ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan