الحضارة~*BIL:51/ Rejab 1430
AL – HADHARAH
Apabila Ulama` Tidak Mengendahkan Nasihat Thalut
Segala puji bagi Allah swt yang segala kejadian dalam ilmuNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan saw, sanak saudara serta para sahabat yang dimuliakan semuanya.
Bertemu kita untuk kesekian kalinya bagi meneruskan agenda `menjaga tepi kain ummah` yang perlu dilakukan bersama-sama oleh saudara ummah semua, walau di mana ia berada. Dalam ayat surah al-Baqarah 249 berkaitan Thalut dan tenteranya yang dikemukakan pada buletin lepas ada beberapa pengajaran yang dapat kita ambil sebagai pedoman untuk menghadapi `pertarungan` pada masa ini. Antaranya Thalut menasihati semua anggota tentera supaya berhati-hati, kita semua akan diuji dengan hanya sebatang sungai. Kita mesti melaluinya untuk menyeberang ke seberang bagi menghadapi tentera musuh (Jalut) yang tentunya lebih ramai dan lengkap.
Nasihatnya cukup mudah iaitu jangan sesiapa pun meminum air sungai tersebut atau jika terpaksa kerana terlalu dahaga baru boleh, dengan satu cedukan tangan masing-masing sahaja. Apa yang berlaku adalah sebaliknya, seperti yang digambarkan dalam ayat tersebut iaitu ramai dari tentera Thalut yang meminum sepuas-puasnya kecuali sedikit sahaja yang menurut nasihat dan bersama dengannya meneruskan perjuangan melawan Jalut dan bala tenteranya. “ Kemudian apabila Thalut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia; `Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang meminum dengan satu cedukan tangannya` Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: `Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya.` Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: `Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar`.” Al-Baqarah 249.
Saya ingin mengaitkan nasihat Thalut ini kepada kita zaman sekarang supaya berhati-hati dengan sistem demokrasi pilihanraya. Dengan kata lain muwajahah silmiyyah itu sendiri yang membenarkan kita untuk menyampaikan Islam dalam sistem demokrasi dengan menyertai pilihanraya sekadar nasihat Thalut kepada tenteranya sahaja. Jika kita melebihi dari batasan yang sepatutnya, kita akan asyik dengan politik pilihanraya dan mula melupai perjuangan Islam yang sebenar seperti yang berlaku kepada PAS hari ini.
Saya pernah berbincang dengan pakar politik dalam PAS yang rapat dengan Cikgu Wan Rahim dan Ust Halim Abd Rahman, Azizan Tok Penghulu digelar rakan-rakan, katanya; `Secara rasmi PAS adalah sebuah pertubuhan politik yang berdaftar dan menyertai pilihanraya sebagai merealisasikan cita-cita perjuangannya. Oleh itu PAS tidak berhasrat untuk mengubah pendirian menyertai pilihanraya ini buat masa sekarang dan menganggap setiap undi dalam pilihanraya itu akan menentukan pemenangnya walaupun dengan kelebihan satu undi. Setiap undi itu sama nilainya walaupun undi itu datangnya dari orang Islam atau yang bukan Islam. Orang yang kuat sembahyang dengan orang yang tak tahu sembahyang tetap akan dikira satu undi bagi kita, ini rasional yang kita kena terima. PAS mesti mengutamakan memancing undi tak kira dari sesiapa sahaja. Kurangkan menimbulkan issu atau perkara-perkara yang boleh mendatangkan rasa kurang selesa kepada rakan-rakan bukan Islam seperti Keadilan, DAP, Hindraf dan Parti-parti Sabah dan Sarawak. Ini sifir politik bagi nak masuk pilihanraya, kalau tidak jangan bercita-cita nak menang memerintah Malaysia`.
Sebab itu saya tidak terkejut bila Mentor Republik Singapura Lee Kuan Yiew boleh diterima dengan layanan penuh mesra oleh Presiden dan Mursyidul Am PAS sendiri sebagai tetamu istimewa masing-masing. Saya terfikir pada ketika itu bagaimana reaksi pemimpin PAS terbabit dan juak-juaknya jika Presiden UMNO yang menjadi seteru mereka menerima kunjungan PM Israel ke Malaysia. Saya jangkakan tentulah semua peluru dan meriam katak akan dihalakan tepat kepada issu tersebut sebaik mungkin. Berhamburanlah peluru-peluru getah dan kapur mendakwa UMNO dan Presidennya sebagai agen Yahudi dan sanggup pula mengkhianati perjuangan saudara seagama muslimin di Palestine. Saudara ummah… apa bezanya Lee Kuan Yew dengan Yahudi ? Saya nak peringatkan saudara ummah semua itulah wajah atau kepala Yahudi di AsiaTenggara! Yang pelek PAS boleh bermesra-mesraan dengannya dan menganggap satu kejayaan politik PAS. Siapa sebenarnya yang memperbodohkan siapa ??
Kenapa pemimpin PAS boleh tak nampak perkara begini? Jawabnya kerana candu politik telah begitu tebal… tinggi dan melekat di serban serta jubah mereka. Untuk mengujudkan suasana harmoni kepada orang cina terutamanya dan meraih undi mereka dalam pilihanraya nanti, begitulah bacaan sifir politik machiavelli. Saya sebagai ummat Islam insyaAllah tidak akan redha selama-lamanya di atas aksi-aksi pelacur-pelacur politik begini. Sejak tahun-tahun kebelakangan ini mereka tidak memperdulikan permasalahan ummat Islam di Malaysia sendiri masakan mereka nak menjaga hati ummat Islam di Singapura, Selatan Thai atau lain-lain. Mereka lebih mudah menunduk kepala mendengar apa Mawi nak kata dan Ammy Search nak bercerita berbanding …rayuan dan rintihan ummat di mana-mana…
Seperti yang saya pernah sebut sebelum ini, bahawa penyertaan Gerakan Ummat Islam dalam kancah politik berpilihanraya pada asalnya hanyalah untuk mengambil sedikit sahaja manfaat ruang dalam sistem demokrasi tersebut. Tetapi mereka yang bernama pemimpin PAS hari ini telah begitu seronok dan `zauq` dengan pertarungan dalam sistem demokrasi sehingga tak mau keluar-keluar dah dan yakin pula dengan semua saluran usus politik piliharaya. Mereka bermati-matian mempertahankan tindakan mereka masuk dalam sistem demokrasi sehingga percaya bahawa dengan piliharaya mereka mampu menegakkan Negara Islam, lalu keluarlah fatwa `kedai kopi` “Siapa undi PAS dapat pahala…” Macam la dosa dan pahala tuu mak-bapak dia punya… Astagfirrullahal a`zim, Nauzubillah minzalik!
`al-Ulama` warasatul ambiyak` Ulama` adalah pewaris kepada Nabi-nabi. Saya cukup bersetuju dengan kenyataan hadith Nabi saw tersebut, cuma saya suka untuk mengemukakan perbandingan atau permasalahan ini kepada ulama`-ulama` PAS atau ustaz dan ustazah di luar PAS bagaimana dengan ulama`-ulama` jahat, perosak tak kira ada di mana pun tentulah mereka ini pewaris kepada `nabi-nabi palsu`. Kerana sejarah Islam tidak sunyi dari kelibat dan kemunculan nabi-nabi palsu, sebaik sahaja berita kewafatan Nabi Muhammad saw maka muncullah golongan ini yang memerlukan ketegasan Saidina Abu Bakar as-Siddeq untuk menghapuskannya. Oleh itu kepada tuan-tuan dan puan-puan malah saudara serta saudari juga yang mewarisi ilmu-ilmu agama yang begitu banyak tampillah untuk membimbing ummah mengenali yang mana intan dan yang mana kaca. Jika tuan-tuan yang mempunyai ilmu tetapi penakut, tidak menyampaikan dan rela berdiam diri menjaga periuk nasi sendiri. Ingat `periuk-periuk` nasi itulah yang akan membakar tuan-tuan di akhirat nanti.
Ummat bawahan macam kami ni nak pakai, nak ikut, nak tumpang berani dan berteduh dengan ketegasan dan keberanian yang ada pada para alim ulama`. Kami bukan nak tengok senyum simpul, manis mulut, yong sana sini untuk orang ramai salam, cium tangan riuh rendah. Itu semua kerja pendita-pendita dan rahib-rahib serta tok sami-tok sami. Depa takpa laa… memang 2x5 saja dengan artis-artis. Sekian, wassalam. Dari Ibnu Ramadhan.``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -
~*BIL:52/ Rejab1430 الحضارة
AL–HADHARAH
Perjuangan Mesti Dikembalikan Ke Paksi Ummah
Aku sanggup menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah dan aku sanggup pula menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah. Segala kebesaran dan kemuliaan hanyalah milik Mu ya Allah yang telah memperjalankan NabiMu dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa seterusnya ke Sidratul Muntaha dalam satu malam sahaja kembali semula. Selawat dan salam penuh kesyukuran ummat ke atas Rasul Mu, Muhammad saw, kaum keluarga serta para sahabat semuanya.
Sidang pembaca yang budiman sekelian, terlebih dahulu saya ingin memohon kemaafan di atas kesalahan, kelemahan dan ketelanjuran saya jika ada yang telah berlaku dalam siri-siri buletin yang lalu. Saya mengakui akan kelemahan saya sebagai seorang manusia yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan-kesilapan `manusiawi`. Sejak akhir-akhir ini saya banyak mendapat reaksi yang `kurang enak` walaupun ada juga yang memberi semangat dan galakan. Jadi perlulah saya menegaskan sekali lagi kepada semua khalayak pembaca sekelian bahawa matlamat kami dalam menerbitkan buletin ini antaranya ialah ingin mengembalikan semula kesegaran, kejernihan dan insyaAllah ketelusan dalam perjuangan Islam dan perjuangan ummah khususnya di Malaysia ini.Saya akui tidak semua yang ditulis itu 100% betul belaka, begitu juga sebaliknya tidak pula semua tak bernilai. Tetapi kami berhasrat benar supaya ummah tidak diperbodoh, disekat, dicucuk hidung dan dinafikan haknya untuk melihat, mengenal, menilai serta memilih kebenaran yang ummah sendiri yakin betul… `Fastabiqul khairat` sebagai ummat Islam kita sewajarnya berlumba-lumba mengerjakan kebaikan untuk kemaslahatan ummat (bukan untuk diri atau kelompok sendiri).
Berbalik kepada perjuangan Islam mestilah dikembalikan kepada paksi ummah, saya suka mengajak semua ummat Islam, gerakan-gerakan ummat Islam PAS, ABIM, JIM, bekas pengikut al-Arqam (Rufaqa` dan Ikhwan), Jemaah Tabligh atau pertubuhan-pertubuhan NGO Muslim serta persatuan-persatuan pelajar Islam semuanya supaya kembali meletakkan perjuangan kita ke landasan yang sebenar iaitu landasan UMMAH. Apa ertinya perjuangan itu sendiri bagi diri dan kelompok jika kita tidak mampu meletakkan kepentingan ummah mengatasi segala kepentingan diri dan kelompok. “Janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpahmu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan, bertakwa dan mengadakan islah di antara manusia . Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” al-baqarah 224.
Kita sering mendakwa kita memperjuangkan Islam, namun ummah bawahan seringkali tertipu dan terpedaya dengan perjuangan mengangkat `martabat` keegoan kelompok atau wadah sendiri. Ayyuhal ummah ! Wahai saudara ummah, perjuangan Islam tanpa perjuangan ummah adalah seperti roh tanpa jasad. Kerana al-Islam tidak dapat dipisahkan dengan individu-individu ummat. Al-Islam seperti juga roh tidak dapat dilihat melainkan berada atau mengambil tempat dalam jasad-jasad ummah, barulah Islam atau roh itu dibuktikan wujud. Begitu juga ummah atau jasad akan mati tidak bernyawa, bermakna dan bernilai jika tidak mempunyai roh (Islam). Allah swt menurunkan Islam ialah untuk menghidupkan manusia sebagai ummah yang satu iaitu mentauhidkan Allah swt.
Kita jangan mudah tersirna pandangan dengan aliran menghimpunkan `rakyat` pelbagai anutan agama untuk membangunkan negara tauhid.(Islam). Mana mungkin pelbagai semangat (roh) boleh menegakkan Negara Islam, dan jika ditakdirkan `tegak` pun dengan cara yang PAS usahakan itu, saya percaya ianya tidak dapat menghidupkan Negara Islam seperti yang dikehendaki oleh Allah swt kerana Negara Islam yang hidup mesti ditegakkan dengan roh Islam yang mentauhidkan Allah swt sahaja. Saya tidak pula mengatakan bahawa rakyat (Negara Islam sebenar) tidak boleh wujud di dalamnya pelbagai agama yakni majmuk. Itu persoalan menganut agama, yang Islam tidak boleh memaksa seseorang individu terbabit menganut akan agama Islam. Lain halnya mendiri dan menghidupkan Negara Islam adalah persoalan tanggungjawab setiap ummat Islam yang dah yakin dengan Agama Islam sama seperti ibadah yang akan diusahakan oleh orang-orang mukmin walaupun terpaksa dibelinya dengan sebuah `kematian`. Bolehkah Negara Islam nak disandarkan kepada roh penganut Hindu, penganut Budha, penganut Animisme atau penganut Kristian? Negara Islam Hadhari boleh la… sebab memang dah boleh pun … macam yang dok ada laa.! Tak kan tak nampak kut ? Jangan lah kita ulang kesilapan-kesilapan yang serupa berkali-kali… Bukan sifat orang mukmin apabila dipatuk atau disengat dari satu lubang sebanyak 2 kali.
Perjuangan PAS atau perjuangan semua gerakan ummat Islam yang ada perlu dikembalikan supaya memperjuangkan kepentingan ummah. Jika ummah sudah tidak menjadi agenda penting bagi kita, tak perlu lah lagi kita menyembunyi dan berselindung akan kepalsuan perjuangan masing-masing. Tak perlu kita mendabik dada kami orang PAS, kami orang ABIM, kami ahli JIM, kami pengikut Rufaqa atau Ikhwan dan kami pula Jemaah Tabligh. Jika kita semua mengucap 2 kalimah syahadah, kita semua orang Islam. Kita sepatutnya berbangga sebagai orang Islam, salah satu anggota dari jasad yang besar iaitu UMMAH.
Sebagai seorang ahli PAS, saya pernah berbangga dengan kepimpinan Almarhum Ustaz Fadhil Noor ketika menerajui wadah PAS. Sebagai seorang Islam saya sepatutnya lebih berbangga lagi dan cukup bersyukur kepada Allah swt kerana dapat merasai dan melihat kepimpinan ummah yang belum pernah saya nikmati sebelum ini. Betul kata-kata Saudara Subky Latif; “Fadhil Noor, dia guru.…dia kawan” Dan bagi saya sendiri, dia tauladan… dia contoh kepimpinan ummah.
Sebagai seorang yang masih ahli PAS, sekarang saya benar-benar dukacita dengan kepimpinan PAS sekarang yang telah hilang panduan dan arah tuju perjuangan ummahnya tetapi masih mengaburi ahlinya dengan perjuangan `Islam` (PAS sekarang). Sebagai seorang yang tetap menganut Islam, saya insyaAllah tidak terkesan dengan apa yang berlaku dan akan berlaku kepada PAS. Kerana saya berbangga dengan Islam dan tidak akan berbangga dan bergantung dengan wadah. Wadah cuma alat sementara untuk sampai ke satu tahap atau peringkat tertentu, bila dah ternyata rosak atau `expired` kita perlu menerokai dan menggantikan yang baru ataupun lebih praktikalnya mengemudi alaf baru.
Kepada khalayak ummah semua, secara sedar atau tidak, samada kita suka ataupun tidak, apa yang telah berlalu dan berlaku (termasuk yang akan berlaku) adalah takdir dan ketentuan Allah swt belaka. Sebab itu saya sekali lagi mengajak kita semua khalayak ummah untuk melihat dan menerima situasi yang terbentang di depan mata ummah sekarang dengan hati nurani ummah yang beriman kepada Allah swt, ialah era atau alaf baru perjuangan UMMAH yang sebenar. Perjuangan ummah yang diwarisi dari generasi alim-ulama` menentang penjajahan dahulu, perjuangan ummah yang tidak pernah ditinggalkan oleh para pemimpin PAS zaman dulu-dulu dan perjuangan ummah yang telah pernah dicapai bersama Almarhum Ustaz Fadhil suatu ketika yang baru sahaja… ianya berlalu…
Ummah seharusnya dalam keadaan sedar dan yakin pada diri ummah sendiri bagi menyambung serta melangsungkan keupayaan tertinggi yang pernah dicapai tersebut. Kita sepatutnya maju setapak lagi ke hadapan jangan mundur ke belakang walaupun banyak godaan dan nostalgia yang melekat dan sangat payah untuk ditanggalkan.., oleh kelemahan kita sendiri. Berusahalah mengubah nasib kita sendiri, insyaAllah Allah swt akan bersama-sama kita sebagai ummat Muhammad saw yang berusaha membebaskan ummah dari segala perbudakan serta penyelewengan.Yakin akan firman Allah swt; “Kuntum khaira ummatin ukhrijat linnas….” al-ayah, yang bermaksud Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. al-Imran 110. Tepuk dadamu, tanyalah iman. Dari Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
~*BIL:53/ Syaaban1430 الحضارة
AL – HADHARAH
Aura Fadhil Noor -Kebijaksanaan Memimpin Ummah
“Innalillah wainna ilaihiraajiun” Sesungguhnya daripada Allah kita datang, dan kepadaNya akan kembali. Selawat dan salam penuh penghormatan kita kepada Nabi Muhammad saw dan kaum keluarga serta sahabat-sahabat Baginda yang dikasihi sekelian…radhiyallah anhum ajmain. Seterusnya tidak dilupakan kepada semua alim-ulama`, pemimpin-pemimpin yang begitu berjasa kepada ummah di sepanjang zaman, terlebih dahulu pergi menyambut seruan Ilahi… kepada roh mereka semua…al-Fatihah!
Sebenarnya… saya termanggu beberapa detik ketika, seusai amein al-fatihah tadi. Dek kerana tokoh yang saya cuba mengenengahkan keperibadian, kebijaksanaan, keilmuan, kepimpinan dan segala-galanya yang baik yang terdapat pada tokoh tersebut, saya mula rasa gerun.., cemas kepada kemampuan diri saya sendiri, begitu kerdil malah picisan. Apatah lagi ruang yang saya cuba isikan ini terlalu kecil cuma sebagai sebuah risalah sahaja, namun saya cuba untuk menggagahinya jua demi kepentingan ummah dan atas sifat seorang yang pernah menikmati .. sedikit tunjuk ajar al-Marhum semasa hayat beliau.
Al-Marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor, sebenarnya adalah lebih berhak dan layak untuk dibicarakan di persada ummah dan kemanusiaan sejagat berbanding perjuangan yang dilihat secara zahirnya bersama PAS sebagai seorang pemimpin parti politik. Memang benar di penghujung usia beliau, al-Marhum adalah Presiden PAS merangkap Ketua Pembangkang di Parlimen. Namun di hati-hati ummah sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa beliaulah pemimpin umum yang ummah kenali dan begitu dekat serta mesra dengan semua lapisan masyarakat dari semua seginya.
Tujuh tahun masa berlalu…sejak pemergian beliau dari kehidupan ummah semua, PAS telah pun diterajui oleh penggantinya sebagai Presiden PAS malah barisan pelapisnya pun sudah beberapa kali diperbaharui akan mandat mereka oleh muktamirin PAS. Kekosongan dalam PAS telah pun berisi, walaupun tak dapat memenuhi semua ruang yang dikosongkan oleh al-Marhum. Persoalan besar ummah pula ialah kekosongan kepimpinan ummat Islam yang turut sama ditinggalkan oleh al-Marhum masih juga dirasai sebahagian besar mereka sebagai lompangan yang tak terisi oleh sesiapa. Kenapa dilihat oleh ummah sedemikian dan tak dapat ditampung oleh mereka yang ditinggalkan ?
Mungkin tulisan Saudara Hj Subky Latif ini mengandungi jawapannya.. `Beliau belajar apa yang orang miskin boleh pelajari, beliau membuat apa yang orang biasa boleh buat, beliau berjuang apa yang orang ramai boleh perjuangkan dan beliau beramal sebagaimana orang awam berupaya menunaikan. Kalau beliau sebagai orang miskin, orang biasa, orang ramai dan orang awam dapat mencapai sesuatu yang membanggakan, mengapa orang lain sepertinya tidak boleh berbuat sepertinya. Beliau boleh buat kerana ada azam dan keberanian sepertinya. Itulah yang perlu dipelajari dan dicontohi.` Buku Fadhil Noor dia guru…dia kawan.
Kekosongan kepimpinan ummah tidak wajar dibiarkan berlarutan, berpanjangan. Ummah perlu memikirkan sesuatu dan berusaha mencari jalan penyelesaiannya. Langkah pertama yang saya fikir kita semua mampu lakukan ialah lazimkan memikir dan meletakkan kepentingan ummah kebanyakan, marhaen mustad`afin dalam setiap gerak kerja perjuangan masing-masing. Biasakan hidup sebagai orang kebanyakan kerana di situlah ummah akan memahami serta merasai denyut nadi ummat Islam yang sebenarnya. Ya mustahil ! kita akan dapat menghidupkan semula `Fadhil Noor` ke alam realiti, tetapi sekurang-kurangnya kita mampu merintis jalan supaya adanya hambaAllah yang boleh mengganti, melaksanakan tugas seterusnya memimpin ummah kembali. Kepada pimpinan politik sensasi tak perlulah ummah harapkan lagi, masing-masing telah pun memilih dan membuat halatujunya sendiri. Kita doakan semoga ummah tidak mudah tergadai maruah dan harga diri.
Kehebatan Ustaz Fadhil bukan pada orangnya, tetapi lebih banyak terletak kepada kebijaksanaan kepimpinannya yang berpegang kuat kepada prinsip. Prinsip Islam serta perjuangan ummahnya yang kental menjadikan beliau mampu bertindak dan cepat membuat keputusan tanpa ragu-ragu. Sebagai pemimpin beliau memahami dan dapat menerima dengan kesabaran bahawa orang yang di bawahnya sentiasa terkemudian dalam memahami tindakan serta keputusannya. Banyak kes-kes yang dapat dihubungkan dengan perkara tersebut contohnya, memanggil perjumpaan yang terbentuknya GERAK sebelum dibawa ke mesyuarat PAS pusat, kemunculan beliau di rumah Anwar Ibrahim selepas dipecat dari TPM dan kesediaan al-Marhum menerima jemputan Syarahan Perdana Issu Palestine bersama Dr Mahathir. Semua yang tersebut peringkat awalnya mendapat bantahan dari kebanyakan orang PAS dan pimpinan PAS yang lainnya.
Kes Muhammad Sabu ditangkap khalwat di Kota Bharu, bagi saya amat menyerlahkan kebijaksanaan al-Marhum dalam menghadapi serta menangganinya sebagai pemimpin berbanding yang lainnya. Perkara ini ada disebut oleh Hj Subky Latif secara agak terperinci dalam bukunya Fadhil Noor dia guru… dia kawan. Ketika issu tersebut meletup.. ahli dan penyokong PAS di seluruh negara bagaikan disambar petir, terpinga-pinga, merah padam, mengenangkan apa yang bakal berlaku. YB Muhammad Sabu ketika itu bukan suatu hal yang penting lagi kepada ahli PAS tetapi Parti PAS itu sendiri bagaimana nasibnya nanti, dihadapkan kes berat sebegitu. Kebetulan pula waktu kejadian Presiden PAS yakni al-Marhum berada di luar negeri, mengerjakan umrah. Tinggallah Timbalan beliau dan Mursyidul Am mengawal-selia fitnah yang dihadapi.
Menurut Hj Subky, Mursyidul Am atau Ustaz Abu Bakar Chik antara orang yang mula-mula menangkis fitnah tersebut dengan membuat perbandingan seperti kes yang berlaku terhadap Siti Aisyah ra isteri Rasulullah saw, di mana tidak ada apa yang berlaku antara kedua-duanya. Lebih meyakinkan lagi mereka apabila perbandingan yang sama turut disertai oleh Timbalan Presiden. Pada awalnya Ustaz Hasan Syukri yang menolak perbandingan tersebut sebagai kurang tepat, terpaksa mendiamkan diri selepas arus perdana peluru penangkisnya semua begitu. Penerangan pun dilancarkan bagi menangkis ke seluruh negara.
Sekembali al-Marhum dari umrah, beliau tidak mudah melatah untuk menjawab semua soalan yang diajukan wartawan dan rakan-rakan. Agak payah bagi wartawan untuk menimbulkan sensasi dan kontroversi hasil temuramah atau perbualan dengan beliau. Beliau cukup teliti, rapi dan berbudi pekerti yang tinggi biarpun sesama sendiri. Bagi beliau segera panggilkan mesyuarat AJK Pusat. Mesyuarat yang penting, berjalan dengan serius semua dikehendaki memberi pandangan terhadap kes. Sebagai pengerusi mesyuarat, beliau cukup berhemah dengan mendengar semua pandangan. Seperti termaklum sebelah kanan beliau ialah Timbalan dan seterusnya Mursyidul Am yang meneruskan hujah-hujah yang sama di samping memberi cadangan supaya dilipat gandakan lagi usaha-usaha penerangan balas melawan media massa. Ahli-ahli mesyuarat yang lain siapa pun tidak berani atau mampu mempunyai hujah berbeza melainkan lebih kurang sama sahaja dengan kedua-dua tokoh besar PAS itu.
Tulis Hj Subky, cuma Ustaz Harun Taib seorang sahaja yang memberi pandangan yang berbeza dan mengatakan pandangan ramai tersebut tidak secocok dengan kejadian Muhammad Sabu. Ustaz Hassan Syukri yang peringkat awal berbeza juga tetapi tidak mengemukakannya dalam mesyuarat tersebut. Apabila tiba giliran Pengerusi memberikan pandangan, beliau menggelengkan kepala, “Saya tak dapat nak terima perbandingan dengan Aisyah ini, Hujah itu tak lepas. Payah orang nak terima.” InsyaAllah bersambung… Dari Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -
الحضارة~*BIL:54/ Syaaban1430
AL - HADHARAH
Kelangsungan Aura Al-Marhum Jadikan Teladan
Alhamdulillah, syukur kita ke hadhrat Allah swt yang melimpahkan rahmatNya kepada sekelian makhluk. Selawat dan salam penuh kasih sayang kepada Junjungan kami Muhammad saw beserta semua kaum keluarga dan para sahabat yang dimuliakan hendaknya. Bertemu kembali untuk meneruskan perjuangan ummah seperti yang telah ditinggalkan oleh pemimpin ulung ummat Islam dekad ini al-Marhum Dato` Fadhil Mohd Noor khususnya di bumi bertuah Malaysia.
` …sebagai pemikir ummat ketajaman pemikiran beliau dalam memahami masalah dan persoalan ummat Islam dan manusia sejagat, menjadikan al-Marhum mampu memberikan jawapan serta pandangan yang cukup bernas lagi relevan melalui istinbat dan ijtihad jama`e berdasarkan al-Quran al-Karim dan al-Hadith an-Nabawi. Buah fikiran beliau sering menyamai pandangan pemimpin gerakan Islam antarabangsa.`
` Kehadiran dan pandangan beliau sentiasa dinanti, terutama apabila timbul isu-isu baru. Kebiasaannya pandangan al-Marhum menjadi kata pemutus dan penutup dalam sesuatu perbincangan.` Allahyarham Ustaz Mohd Shauki Ibrahim Kata Aluan Buku Masyarakat Madani.
Begitulah yang terjadi di Mesyuarat AJK PAS Pusat dalam kes Muhammad Sabu dituduh khalwat. Semuanya teruja menanti pandangan dan hujahan Tuan Presiden; ` Sekaliannya senyap. Biasanya Ustaz Fadhil memetik satu atau dua hujah yang ditimbulkan. Beliau akan menjawab hujah itu. “Ada kata tadi Rasulullah tidak ambil apa-apa tindakan disiplin kepada Aisyah. Siapa kata? Siapa kata Rasulullah tidak ambil tindakan disiplin kepada Aisyah.” Suaranya keras sikit. Tiada responsif dari yang lain. “Tu, yang Baginda tidak bercakap sebulan dengan Aisyah, bukan disiplin? Tindakan disiplinlah tu!”
Habis sekaliannya terdiam. Pandangannya sama seperti Ustaz Harun, tetapi seni Ustaz Fadhil menyampaikan hujah itu berlainan dan mantiknya kukuh..` Buku Fadhil Noor dia guru…dia kawan.
`Keazamannya yang tinggi dan pergantungan yang kukuh kepada Allah Azzawa Jalla di dalam membuat sesuatu keputusan dan tindakan menghindarkan beliau dari kecewa dan berputus asa, malah al-Marhum sentiasa beristiqamah dalam perjuangannya.` Kata Aluan Buku Masyarakat Madani.
Ustaz Fadhil seorang yang setiakawan dan sentiasa berusaha menyelamatkan kawan baiknya dari terjerumus ke lembah hina dengan segala usaha dan upaya beliau sehinggalah Allah swt sendiri yang menentukan berjaya atau sebaliknya. Sebenarnya inilah latar belakang yang kebanyakan orang di sekeliling al-Marhum payah nak faham atau sengaja buat-buat tak faham mengenai hubungan beliau dengan Anwar Ibrahim. Berlainan bahtera pasukan, bertempur tetapi kadangkala bertemu dan berpelukan. Hubungan rapat antara kedua insan ini sejak bersama dalam memimpin ABIM sehingga ke akhir hayat al-Marhum perlu dilihat dengan penuh jalinan ukhuwah serta prinsip Islam terutamanya dari konteks peribadi al-Marhum sendiri.
Sebagai contoh seperti yang diceritakan oleh Hj Subky dalam Fadhil Noor dia guru..dia kawan. Menjelang pilihanraya 1982 khabar maklumat bertiup kencang Anwar akan menyertai UMNO untuk bertanding pilihanraya. Sedangkan Ustaz Fadhil juga mengetahui bahawa pimpinan tertinggi ABIM telah membuat pertemuan dan berbincang hal berkaitan di Genting Highland. Keputusannya negatif bagi Anwar. Pihak Anwar sendiri seperti mengelak untuk mendapatkan pandangan Ustaz Fadhil, sahabat karib yang pernah bersama dalam satu wadah. Dalam kesibukan al-Marhum memimpin PAS, beliau cuba juga mencari ruang untuk bertemu dengan Anwar. `Kerana gunung tidak datang kepada Muhammad, maka Muhammad pergi kepada gunung. Ustaz Fadhil dari Alor Setar turun ke Kuala Lumpur dan bermalam di rumah Anwar. Ustaz Fadhil bertanyakan apakah benar berita yang bertiup kencang betapa dia hendak masuk UMNO dan bertanding? Anwar tidak dapat mengelak lagi dan menjawab, “Ya.” Keduanya berbincang panjang semalaman, mempersoal akan logik apa Anwar menyertai UMNO. Ustaz Fadhil cuba memujuk untuk menghalangnya. Tiada justifikasi yang dapat diberikan. Semua hujah memihak kepada Ustaz Fadhil. Pagi sebelum pulang, Anwar menghantar Ustaz Fadhil ke perhentian bas ke Alor Setar. Al-Marhum merayu lagi supaya jangan menyertai UMNO terutama menjelang pilihanraya. Jika nak masuk jugak masuklah lepas pilihanraya! Tolonglah!! Tolonglah!! “Ana budak degil, jawab Anwar,” kata Ustaz Fadhil itulah ayatnya yang terakhir kepada beliau sebelum menyertai UMNO.` Petikan Fadhil Noor dia guru…dia kawan.
Dua kelasi yang pernah bersahabat baik, berpisah lagi… kali ini jurangnya semakin melebar dan sengit. Anwar dapat apa yang dihajatinya mungkin.. kehidupannya bergemerlapan, namun Si Sahabat setia tetap dengan prinsipnya mengharungi badai samudera perjuangan Islam dan ummahnya. Namun di hati kecil seorang mujahid yang setiakawan sentiasa berdoa supaya sahabatnya itu diketemukan jalan pulang…
Hari-hari berlalu.. mereka semakin menjauh namun hati Sang Setia sentiasa merindui ukhuwah sejati. Takdir Maha Kuasa, Anwar dirundung malang sekali lagi setelah malang kali pertama memilih UMNO(tapi bagi Anwar tidak). Dia ditendang keluar oleh mentornya sendiri Dr. Mahathir Muhammad bagaikan anjing kurap… Di kala Anwar sekeluarga bersedih pilu…Ustaz Fadhil sekali lagi muncul sebagai seorang yang pernah bersahabat dan yang terlebih penting sebagai pemimpin ummah.
Menurut Hj Subky Latif; `Ustaz Fadhil jauh darinya (Anwar) di hari-hari gembiranya, tetapi ada di sisinya di hari-hari dukanya. Itulah kawan sejati, tidak bersama di hari senang tetapi bersama susah.`
Harapan tinggi al-Marhum sebenarnya supaya Si Sahabat cepat sedar dan kembali kepada perjuangan Islam yang sejati seperti zaman mereka muda belia dahulu memimpin ABIM. Sebagai seorang pemimpin ummah yang berjiwa besar dan menjaga akhlaknya sendiri supaya tidak mengguriskan lagi hati sahabat yang sedang gundah gulana. Apatah lagi dengan perwatakan beliau yang selalu melayani anak-anak buahnya dengan sikap seorang ayah yang kurang bercakap dan tidak menjawab semua soalan anak-anak. Beliau lebih cenderung membiarkan Si Sahabat, rakan-rakan dan anak-anak buahnya akan faham sendiri dengan aqal sihat yang di beri Allah swt suatu hari nanti. Beliau tidak melafazkan bahawa inilah kifarat terhadap yang empunya diri, tidak menghiraukan nasihat dan prinsip haraki.
Al-Marhum bertindak bijaksana apabila beliau berkunjung ke rumah Anwar pada tahun 1982 untuk menasihati Anwar, malah al-Marhum menyerlahkan lagi kebijaksanaan kepimpinannya apabila turut menziarahi Anwar dikediamannya pada tahun 1998. Hasrat yang tinggi menggunung untuk membimbing dan memimpin seorang individu ummah tidak mampu diusahakan dengan sebaiknya kerana tanggungjawab al-Marhum bukan terhadap sahabat beliau seorang. Lebih-lebih lagi tahap kesihatan beliau sendiri mulai uzur dan selepas itu Si Sahabat tadi pula merengkok di penjara menyukarkan lagi hubungan akan kembali intim seperti zaman muda. Dalam keuzuran dan berjauhan beliau masih setia malah sayang serta kasih terhadap nilai-nilai persahabatan sejati, sanggup membimbing tangan-tangan mereka yang `lemah` ke jalan kebenaran, al-Marhum di depan, beliau yang menunjukkan jalan dan arah perjuangan.
Ummah menyayangi, tetapi Allah swt lebih mengasihi dari segala yang mengasihi, al-Marhum dijemput kembali ke rahmatullah pada ketika UMNO dalam berparti pemimpinnya berhenti dengan sendiri. Pemimpin ummah masih tiada pengganti, ummah tengah tercari-cari bakal pengganti. Pemimpin PAS, Hj Hadi lah yang sepatutnya menjadi jurumudi, tetapi yang veteran pula tak pandai mencontohi al-Marhum Yusuf ar-Rawi, jawatan dibuat macam hakmilik sendiri. Mampukah Hj Hadi menggalas tugas-tugas yang diberi dengan teliti, terutama berhadapan dengan pelbagai situasi, provokasi malah tribulasi dari musuh dan rakan-rakan sendiri? Al-Marhum dari segi fizikalnya bertubuh lemah tetapi terbukti cekal hati dan berprinsip dari semua segi. Semua yang kuat-kuat, profesional malah yang `degil` terpaksa akur bila al-Marhum `sudi`. Hj Hadi bertubuh sasa, suka berkuda malah ramai pengikut setia tetapi tempoh 7 tahun berlalu macam tak percaya.. dia diletakkan dalam raga untuk orang lain heret dengan kereta kuda. Orang utara kata, kalau lagu ni.. cacamerba! Kalau ummah tak sedar juga alamat bahaya bakal menimpa. Nauzubillah! Dari -Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/
الحضارة~*BIL:55/Syaaban 1430
AL–HADHARAH
Mata~Rantai Perjuangan Ummah Perlu Disambung
Seeru a`la barakatillah… Berjalanlah kamu semoga sentiasa dengan keberkatan dari Allah. Selawat dan salam dari pengikut kepada Nabi Junjungan Muhammad saw, kaum keluarga dan para sahabat yang diredhai Allah sekelian. Salam perjuangan kepada guru-guru serta pemimpin-pemimpin ummah yang banyak meninggalkan panduan dan tunjuk ajar kepada generasi mutaakhirin.
Firman Allah bermaksud; Di antara orang yang beriman itu ada di kalangan mereka yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menunaikan janjinya itu (lalu gugur syahid). Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu gilirannya; dan mereka tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (al Ahzab 23)
Bila disebut perjuangan ummah, ia adalah kesinambungan perjuangan orang-orang beriman yang membina hadharah Islamiyyah dahulu dan diwarisi pula oleh mereka yang juga beriman dengan sebenar-benarnya iman di masa sekarang, iaitu yang berusaha bersungguh-sungguh membangunkan hadharah Islamiyyah kini. Lalu insyaAllah akan disambung kepada generasi seterusnya pada masa yang akan datang yang tetap meneruskan pembinaan hadharah Islamiyyah sehingga menguasai seluruh alam dengan izin Allah. Perbezaan yang ada di antara mereka (lalu, kini & akan datang) hanyalah masa atau zaman mereka hidup ketika generasi tersebut beramal di jalan Allah swt. Perjuangan mereka sama atau satu cuma, tidak berubah-ubah. Mereka semuanya tunduk menurut ajaran Nabi-Nabi dan Rasul mereka yang berpandukan Kitabullah iaitu wahyu Allah swt. Mereka insyaAllah teguh memegang janji mereka kepada Allah azawajalla dan menunggu-nunggu giliran untuk bertemu dengan Tuhannya.
Mereka tidak meminda-minda perjuangan mereka untuk menurut hawa nafsu golongan musta`jilun (gelojoh/gopoh). Mereka teguh dengan prinsip Islam yang sebenar, tidak terpesona dengan golongan hubbud dunya (sayang &lalai kepada dunia). Mereka kekal istiqamah menuruti kehidupan kesederhanaan Rasulullah saw dan para sahabat serta para salafus soleh sebagai suri tauladan di sepanjang jalan perjuangan. Mereka tahu dan sedar mereka berhadapan dengan kejahilan serta ibu segala kejahatan yang sentiasa `canggih` dan berubah-rubah memperbaharui keterampilan mereka dalam masyarakat manusia. Mereka yakin dan percaya hanya dengan berkekalan berada di atas jalan kebenaran sahaja yang mampu menghadapi semua tipu daya di sepanjang perjuangan warisan Nabi-Nabi ini.
Kemenangan atau kejayaan bagi mereka bukanlah dengan mendapat sokongan ramai penduduk bumi ini. Kemenangan atau kejayaan bagi mereka bukanlah dengan ramainya pengikut serta rakan yang tidak tahu menghormati prinsip Agama Islam. Kemenangan atau kejayaan bagi mereka bukan bererti ramainya orang yang sudi berdamping dan berkawan dengan mereka. Kemenangan atau kejayaan bagi mereka bukan pula bererti majoriti orang ramai suka dengan cara mereka melayani kemahuan rakyat jelata semuanya.
Tetapi… kemenangan dan kejayaan bagi mereka ialah, apabila mereka mampu memperkatakan kebenaran dari Allah swt walaupun ramai penduduk bumi ini tidak menyokong mereka. Kemenangan dan kejayaan bagi mereka ialah, apabila mereka mampu kekal tegak menghormati prinsip Agama Islam walaupun minoriti yang mengikut dan tiada rakan yang bersama. Kemenangan dan kejayaan bagi mereka ialah, apabila mereka mampu membuktikan istiqamah terhadap prinsip aqidah perjuangan sendiri walaupun semakin ramai musuh yang membenci. Kemenangan dan kejayaan bagi mereka ialah, apabila mereka mampu meneruskan hasrat murni suruhan Ilahi walaupun semua musuh mula bersatu, tak kira bangsa dan segala agama serta semua ideologi gila, `al-kuffrun millatun wahid` - Pihak-pihak kufur itu hakikatnya hanya satu kumpulan sahaja.
Kemenangan dan kejayaan bagi mereka ialah apabila mereka tidak melayani dan menuruti kemahuan orang ramai tetapi hanya mencari keredhaan Allah swt jua yang maha Pencipta, itulah matlamat perjuangan mereka dahulu… kini… dan insyaAllah selama-lamanya.
`Bertanyalah (Wahai Muhammad): “Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbir langit dan bumi?” Jawablah: “Allah! ” Bertanyalah lagi: “Kalau demikian, patutkah kamu menjadikan benda-benda (pihak/ajaran/sistem) yang lain daripadaNya sebagai penolong-penolong dan pembantu, yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri, dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya? ” bertanyalah lagi: “ Adakah sama, orang yang buta dengan orang celik? Atau adakah sama, gelap gelita dengan terang? Atau adakah makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu bagi Allah itu telah menciptakan sesuatu seperti ciptaanNya, sehingga ciptaan-ciptaan itu menjadi kesamaran (kekeliruan) kepada mereka? ” Katakanlah: “Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dialah yang maha Esa lagi maha Kuasa.” (ar-Raddu 16)
Wahai saudara muslimin dan muslimat sekelian, persoalan yang sama juga mari kita tanyakan kepada diri kita yang mendakwa di depan Allah swt, bahawa kita beragama Islam lalu memperjuangkan Islam. Persoalan yang sama juga kita ajukan kepada saudara dan rakan kita dari PAS, ABIM, JIM bekas al-Arqam, NGO dan lain-lain yang tak tersebut mereka di sini samada individu atau kumpulan. Persoalan yang sama juga saudara-saudara kita lanjutkan kepada ahli dan penyokong UMNO serta BN……
Persoalannya:-
- Adakah sistem demokrasi itu ciptaan Allah swt atau demokrasi itu cetusan fikiran makhluk yang tak beriman kepada Allah ?
- Adakah ajaran Islam yang kita anuti ini belum lengkap sepenuhnya, sehingga perlu sebahagian kecil dari kehidupan kita berpandu atau menggunakan khidmat sistem demokrasi ?
- Jika sistem demokrasi itu `sungguh hebat` mampukah sistem demokrasi dan pengamalnya yang setia mempertahankan `prinsipnya` sendiri dari dinoda malah diperkosa oleh penjaga serta pengawal `berhala demokrasi` ?
- Jika demikian hina dan lemahnya demokrasi berbanding ajaran Allah swt (Islam), patutkah kamu jadikan segala benda dan ajaran serta prinsipnya yang lapuk dan buruk itu sebagai penolong dan pembantu yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi membangunkan sistemnya sendiri ?
- Adakah sama golongan yang bersungguh-sungguh mengikut ajaran Allah swt dengan mereka yang ikut sebahagian dan ragu pula sebahagian ?
- Adakah sama mereka yang berusaha menegakkan amalan hidayah dengan mereka yang bersusah-payah mempertahankan sistem jahiliyyah walaupun dah tahu goyah ?
- Adakah sama gelap gerhana berbanding siang cerah terang benderang ?
- Adakah sama mereka yang buta berbanding mereka yang celik ?
- Adakah sama mereka yang mendapat hidayah dengan golongan yang meraba-raba mencari pegangan sedangkan kitab hidayah berada disekelilingnya tetapi sengaja dijauhkan ?
- Adakah sama hidangan yang busuk, berulat lagi pekung berbanding hidangan yang segar, tersimpan lagi terpelihara keasliannya ?
Ya ! Saudara-saudara ummah sekelian, jawapannya tak perlu dimampirkan di sini, ianya dapat diusahakan oleh hati nurani kita masing-masing. Cuma saya teringat kata-kata, orang-orang bijak pandai zaman dahulu kala `Carilah kejernihan di keheningan malam, semoga ianya akan berhasil mencerahkan hari- hari esokmu` Itulah juga harapan saya, kerana kebenaran mesti dicari, ia tidak hadir di hati yang membenci… Sekian wallahua`lam. Dari - Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/
الحضارة~*BIL:56/Syaaban 1430
AL-HADHARAH
PEMERGIANMU (YA RASULULLAH SAW)
( Ya.. Rasul…)
Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa..
Senyuman yang mententeramkan setiap insan yang kebimbangan… woo..woo..wo..
Hakikatnya tak tertanggung lagi derita di pangkuan isterimu Humaira
Menunggu saat ketikanya diangkat rohmu bertemu Yang Esa
Tangan dicelup di bejana air.. kau sapu ke muka.. mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih pada ummat dan akhirat..
*Dan tibalah waktu.. ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu…
Linangan airmata syahdu iringi pemergianmu
Oh.. sukarnya untuk ummat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua bahawa manusiakan mati akhirnya
Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya
*Dan tibalah waktu.. ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu…
Linangan airmata syahdu iringi pemergianmu
Oh.. sukarnya untuk ummat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua bahawa manusiakan mati akhirnya
Ya Rasulullah..
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya kami merinduimu.
Lagu / Lirik: Frizdan, Nyanyian: Kumpulan Inteam.
Demikianlah sebuah lagu nasyid kontemporari tempatan yang sedikit sebanyak berjaya meninggalkan kesan positif kepada jiwa kanak-kanak, terutamanya apa yang saya lihat berlaku terhadap anak-anak saya sendiri… Mungkin juga perlu untuk orang-orang tua, dewasa dan ustaz-ustaz maupun ustazah memiliki cdnya untuk menghilangkan sedikit resah atau `tension` kehidupan seharian kita yang sentiasa bertarung dengan jahiliyyah. Tak perlulah ustaz-ustaz atau ustazah pula menghilangkan `strees` dengan menikmati lagu Siti Nurhaliza atau menonton filem Hindustan.
Isteri saya seorang Ustazah cukup `geram` dengan gelagat seorang al-Hafiz kononnya, tetapi di dalam blog beliau baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau juga seorang peminat Siti. Dek kerana tak berkesempatan untuk mengikuti konsert penghibur tersebut di negeri `Atas Kayangan` baru-baru ini atas sebab-sebab tertentu. Sebagai peminat dan ahli politik mungkin…(yang memerlukan sokongan semua) beliau melahirkan juga rasa minat terhadap penghibur tersebut dengan cara yang beliau lakukan iaitu menceritakan sudut-sudut tertentu Siti yang menjadi perhatian dan minat beliau… terutamanya `kemerduan atau kelembutan` suaranya, serta Siti dikatakan seorang artis yang `bersopan`. Siap dengan `posting` gambar Siti lenggok menyanyi.
Isteri saya marah sangat bukan apa… kerana al-Hafiz yang sama juga tidak lama dulu menulis beberapa artikel dalam akhbar-akhbar tabloid menyerang SIS dan fahaman pluralisme agama. Rupanya dulu tu dia orang marah sangat kepada gerakan anti Islam kerana mereka itu, individu atau anak-anak pemimpin UMNO. Dia hanya marah dengan orangnya sahaja tidak dengan budaya atau tabiat pluralisme dan libralisme itu sendiri. Sebab itu bila dia sendiri telah terikut-ikut mencari `ketenangan` dengan menikmati kemerduan suara Siti dia tak perasan… asas-asas budaya libralisme dan pluralisme menguasai jiwanya.
“Kenapa boleh jadi begitu hanya dalam jangka waktu yang singkat sahaja ?” Tanya isteri saya hairan.. Jawab saya kepada isteri, “Mungkinlah… mereka jenis taat kepada pemimpin atasan mereka yang dah menerima baik golongan artis, lebih-lebih lagi yang pandai ambil hati pergi berkunjung menziarahi `tok-tok guru politik`. Begitulah juga terjadi kepada mantan Ketua DPPNPP Ustaz Hafiz yang terpaksalah bergelut sendiri menghadapi kes mahkamah perhimpunan haram menentang IFC sikit masa dulu. `Mood` ahli dan penyokong PAS lani bukan seronok nak layan issu-issu sensitif agama atau aqidah lagi. Tak hairan bila Ir Nizar pun boleh pi bertafakur memegang lilin… sambutan depavali pun dah biasa dengan orang-orang PAS.” Dia pun diam tak bertanya lagi.
“Tuu lah padahnya bila semua perkara ditengok melalui jendela politik… jadi lagu tu la.. bila mengaji sifir politik dan tak tengok dah sifir aqidah, sifir Islam main pakai kulit sahaja.” Saya pun terus naik sheik dan banyak lagi perkara yang saya kaitkan bersama. Isteri pula hanya mengangguk tanda bersetuju. Kami suami isteri memang dah biasa berdiskusi hal-hal perjuangan Islam ini, jadi rutin harian. Saya tak malu untuk menyatakan di sini bahawa isteri saya salah seorang tempat rujuk yang penting bagi saya berkaitan ilmu agama kerana saya tak berkesempatan mendalami bahasa Arab hingga ke universiti sepertinya. Tiba-tiba setelah lama tak bersuara, Si isteriku pun berkata, “ Hidup ni nak lama mana sangat…, sampai masa semua akan mati juga. Ahli politik pun mati, Michael Jackson pun mati, tok guru politik pun akan mati, yang berjuang Islam pun mati dan yang tak mau berjuang Islam yang sebenar pun akan mati. Bila mati baru tau siapa yang sebenar-benar beriman menepati kehendak Allah swt.”
Apabila isteri dah berkata begitu, saya pula yang mengangguknya. Betullah teringat saya dalam hati, kerana di pentas dunia ini semua boleh kata dia yang betul dan musuhnya yang salah. Begitu juga sebaliknya musuh kata dia betul juga dengan program-program dan projek-projek Islam mereka. Jadi ummah nak ikut yang mana…? Bagi saya kita yang memperjuangkan Islam jangan menambahkan kekusutan atau kekeliruan ummah dengan menyuruh ummah memihak kepada kita sahaja dan meninggalkan musuh kita. Sepatutnya dari awal lagi kita mesti adil dan berlapang dada menyeru ummah supaya memilih berdasarkan kayu ukur sebenar iaitu al-Quran, al-Hadith, Ijma` ulama` dan Qias tak kira dari mana pun ia datang dari pihak kita atau musuh sekali pun jika bertepatan dengan kayu ukur tadi. Sebab itu bagi pandangan saya satu kesilapan besar bila PAS meninggalkan agenda `perpaduan ummah` apabila bersama dengan PR dan menolak dengan sombong ajakan UMNO untuk berbincang agenda perpaduan ummah.
Ya! PAS boleh berkata UMNO tak ikhlas, tapi PAS bolehkah menjamin PKR dan DAP ikhlas ? Perpaduan ummah itu sendiri bagi PAS bagaimana ? Adakah dengan DAP dan PKR ? Bagi saya berurusan dengan musuh yang kita dah kenal lama lebih baik berbanding bersahabat dengan rakan yang baru kita kenali.
Kami pun terus bersama-sama anak-anak menonton cd-cd nasyid lepas satu, satu diselang seli dengan kisah-kisah Nabi-Nabi dan cerita tauladan. Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
~*BIL:57/ Syaaban1430 الحضارة
AL – HADHARAH
Seruan Islam Untuk Semua: Ya, PAS Untuk Semua: Salah!
“ ( Mengapa kamu masih berdegil ) Bukan kah telah datang kepada kamu khabar berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad dan Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka ? Tiada siapa pun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh Rasul-RasulNya dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: “Sesungguhnya kami kufur (menolak) ingkarkan apa yang -mengikut dakwaan kamu- Kamu diutus membawanya, dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan syak yang meragu-ragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya.” (Ibrahim 9)
Alhamdulillah ! Syukur kita kepada Allah swt yang telah mengizinkan kita untuk bertemu lagi dalam bicara kali ini. Selawat dan salam juga kepada Nabi Muhammad saw al-Mustaffa, kaum keluarga serta seluruh sahabat yang cukup tinggi kedudukan mereka di sisi Allah pada pandangan kita, InsyaAllah.
Sejak PAS mula memperkenalkan slogan `PAS Untuk Semua` @ `PAS For All` jiwa saya dah mula menggerutu tak puas hati terhadap apa yang mereka putuskan itu. Bagi saya itu menandakan permulaannya PAS akan membuka keahlian parti tersebut kepada bukan Islam suatu hari nanti. `Syibran bi syibren,` sedikit demi sedikit dengan menaikkan status Kelab Penyokong PAS, seterusnya menjalinkan hubungan `mesra` dengan pelbagai `pejuang kufur` lebih menjelaskan lagi usaha ke arah itu. Sebagai ahli PAS saya tetap tidak redha dengan apa yang berlaku. Inilah baru saya berkesempatan khusus untuk menulis berkaitannya.
Al-Islam sebagai ad-Deen yang diturunkan oleh Allah swt kepada Rasulullah saw memang jelas untuk seluruh ummat manusia. Malah semua makhluk jin yang pernah nampak atau tak nampak pun tertakluk kepada seruan untuk menerima agama Islam sebagai Deen yakni cara hidup sebelum menemui ajal masing-masing. Dalam meneruskan bicara ini wahai saudara dan saudari ummah, 2 kalimah atau perkataan ini perlu kita fahami terlebih dahulu maksudnya; 1) al-Islam atau selalu kita sebut Islam yang menjadi agama anutan kita insyaAllah. 2) PAS akronim kepada Parti Islam Se Malaysia, sebuah pertubuhan politik yang juga dianggap oleh sebahagian ummah sebagai wadah bagi perjuangan untuk memertabatkan Islam di Malaysia.
Islam, ia bukan benda atau objek yang kita boleh lihat atau tengoknya macam kita tengok benda-benda yang bersifat fizik. Ia bersifat roh atau metafizik yang bersifat ajaran risalah dari Allah swt untuk manusia mengambil, menghidupkannya sebagai panduan kehidupan. Ia roh yang hidup justeru langsung diciptakan oleh Pencipta Rabbul Jalil dan akan dapat menghidupkan manusia yang mengambil, menganutnya.
Manakala PAS sebuah pertubuhan yang ditubuh, digerak dan diusahakan oleh sebahagian ummat manusia semenjak tahun 1951 di Malaysia untuk menjadi wadah bagi memudahkan mereka mencapai cita-cita politik makhluk manusia tersebut. Ringkasnya PAS ialah hasil persetujuan manusia untuk manusia itu sendiri. Sampai qiamat pun tak boleh nak disamakan Islam dengan PAS atau PAS itu Islam, Islam itu PAS. PAS adalah wadah atau bekas dulang untuk mengangkat air minuman kepada tetamu, air minuman itu sendiri kita tuangkannya ke dalam cawan-cawan (wadah kecil) dan diletakkan di atas dulang untuk memudahkan kita menghidangnya kepada hadirin tetamu. Air minuman dipersilakan minum… tetapi dulang atau cawan yang diangkatkannya. Dalam konteks ini, air boleh dinisbahkan kepada Islam dan dulang kepada PAS, manakala cawan pula adalah individu-individu ahli PAS. Mana boleh orang yang sama menghidangkan minuman atau makanan halal serta haram di atas satu wadah dulang ?
Justeru Islam memang diturunkan untuk manusia, tak mengira rupa bangsanya manusia itu. Semuanya perlu diberitahu dengan kata lain didakwahkan agar menerima Islam, menganut Deennya sebagai cara hidup. Dalam usaha-usaha ini ummat Islam tidak boleh memaksa orang yang belum Islam menganut ajaran Islam. Ini jelas `La ikraha fiddeen` tiada paksaan dalam beragama, walaupun orang bukan Islam itu mendiami dalam negeri Islam, beliau hanya dikenakan `jizyah`(cukai warganegeri/individu) sahaja. Tugas PAS atau orang PAS sepatutnya berdakwah kepada sesiapa sahaja supaya memeluk Islam, bila dah `confirm` menganut Islam baru layak menyertai PAS. Itu yang sepatutnya berlaku jika pemimpin dan ahli PAS sedar.
Begitu juga sebaliknya jika ahli-ahli PAS atau pemimpinnya sendiri `confirm` terkeluar dari Islam / murtad, (Nauzubillah Min Zalik) semua ahli dan pimpinannya wajib memecat keahlian individu yang dah murtad tersebut. Mereka dah hilang kelayakan secara automatik. Mungkin saudara-saudari ummah rasa pelek dan terkejut bila logiknya begitu. Maaf ..! saya menulis ini bukan nak ikut selera atau kemahuan kebanyakan orang-orang PAS yang fanatik dan gila kuasa. Saya menulis untuk mencari kebenaran supaya diredhai Allah swt bukan redha pemimpin-pemimpin PAS. Jika saya silap dan salah saya sedia mendengar lalu menerima ayat atau perkataan mana yang salah tersebut berpandukan hukum Allah swt jua.
Nabi Nuh as selama ratusan tahun sabar dan taat menjalankan tugasnya menyeru orang ramai tak kira siapa pun mereka, supaya menerima risalah Islam, beriman kepada Allah swt. Semua kita insyaAllah mengetahuinya cerita tersebut kerana ada dicatitkan dalam al-Quranul-Karim. Setelah sekian lama Nabi Nuh telah diperintahkan oleh Allah swt membina sebuah `bahtera` walaupun negerinya itu seperti Negeri Afghanistan sekarang yang tidak berpantai dan tasik besar. “Hey Nuh ! Ke mana mahu dilayarkan bahtera besar ini ? Mahu ditarik oleh sapi di padang pasir atau dibawa oleh jin ke bukit ?” Ejekan dari musuh Islam semasa waktu itu. Nabi Nuh dan orang-orang yang beriman besertanya walaupun sedikit tidak menghiraukan caci nista musuh Allah, mereka terus membina dan membangunkan sebuah wadah iaitu bahtera untuk mereka mengikut perintahNya. Mereka tetap yakin dengan janji Allah swt.
Bahtera atau wadah inilah yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah swt akhirnya apabila banjir besar melanda. Apa yang saya nak berkongsi dengan saudara-saudari semua ialah tidak ada seorang pun penumpang wadah bahtera tersebut yang terselamat, dari kalangan yang tidak beriman kepada Allah swt, kerana wadah itu hanya khusus untuk ummat Islam sahaja. Hatta anak Nabi sendiri tidak diizinkan oleh Allah untuk menyertai ummat Islam walaupun bapanya Nabi Nuh berusaha sedaya upaya. Yang pelek tetapi benar, segala jenis haiwan termasuk anjing dan babi boleh pula bersama-sama terselamat menaiki wadah bahtera Nabi Nuh tersebut dengan izin Allah.
Lalu… yang saya faham jika wadah itu adalah wadah untuk ummat Islam memperjuangkan Islam, mempertahankan keimanan mereka kepada Allah swt jua, maka ditegah sama sekali mereka yang kufur tidak beriman kepada Allah dari menyertainya. Kalau ditakdirkan ada anjing dan babi di Pegheleh boleh berbicara dan memohon menjadi ahli PAS, pada ketika itu barulah saya fikir tidak salah PAS mempertimbangkan keahlian bersekutu bagi makhluk jenis itu untuk bersama dalam satu wadah perjuangan. Sebab itu saya ulangi sekali lagi saya tetap tidak redha untuk berada dalam satu wadah dengan mereka yang kufur kepada Allah swt.Bukanlah niat saya untuk menghina mana-mana pihak, tetapi setiap pihak seharusnya memahami kedudukan sebenar di sisi Allah swt yang mana mulia dan yang mana pula hina. Penganut AgamaNya tentulah mulia dan golongan yang ingkar dengan sengaja setelah sampai seruan Agama Islam itu kepada mereka namun mereka sendiri yang memilih hina pada sisi Allah.
Dalam nak berdakwah kepada semua orang, macam Hassan al-Banna ke kedai kopi atau kelab malam mestilah faham saranan as-Syahid Syed Qutb supaya menguzlahkan `jiwa dan minda` pendakwah dari khalayak sekeliling yang jahiliyyah, baru boleh insyaAllah membersihkan ummah. Jika seseorang yang `pengotor` (suka / cenderung kepada jahiliyyah) mana mungkin berjaya bersama-sama `menjaga tepi kain ummah.` Wallahua`lam Bissawab. Dari Ibnu Ramadhan. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
الحضارة ~*BIL: 58 /Syaaban 1430
AL - HADHARAH
Adakah Hiburan Haram Di Dalam Islam ?
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Alif, Laam, Miim. Kitab Al Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya) Ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang hendak bertaqwa.-al Baqarah :1 & 2. Selawat dan salam buat Junjungan Nabi Muhammad saw, ahli keluarga, para sahabat serta mujahidin mujahidat yang telah berjuang untuk menegakkan cara hidup Islam di dalam segenap segi kehidupan mereka.
Alhamdulillah dengan izin Allah saya cuba untuk duduk sejenak di depan komputer meninggalkan sebentar hambatan-hambatan tugas yang bertali arus sebagai seorang ibu, zaujah dan pendidik di Madrasah al Hadharah. Mengambil satu sudut perbincangan yang agak kontroversi yang mungkin merupakan hasil cetusan rasa tidak puas hati saya terhadap seorang al-Hafiz, tidak sepatutnya berhibur dengan mendengar kemerduan suara penyanyi wanita seperti yang ditulis oleh Ibnu Ramadhan baru-baru ini…
Sesungguhnya Islam tidak pernah mengharamkan seseorang itu muslim atau muslimah untuk menikmati kehidupan dari apa yang baik yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada mereka samada yang berkaitan dengan pakaian, perhiasan, makanan, minuman, hiburan, hubungan dan pergaulan sesama manusia dan sebagainya. Bahkan lebih daripada itu Islam sangat-sangat melarang ummatnya daripada mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah kepada hambanya untuk dinikmati segala kebaikan dan keindahan ciptaanNya.Firman Allah : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang Allah telah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas.”- al Maaidah : 87
Namun dalam menikmati kehidupan dan segala kurniaan Allah, seseorang muslim dan muslimah perlu sedar dan jelas, bahawa di sana ada batasan dan peraturan yang perlu diikuti dan dipatuhi, ada perkara yang diizinkan dan ada perkara yang tidak diizinkan. Ini bermakna kebebasan di dalam Islam bukanlah kebebasan mutlak. Maka demi kebaikan dan kemaslahatan hambaNya, Allah swt yang Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani tidak meninggalkan hambanya teraba-raba dan mencuba-cuba serta membuat tajribah bagi mencari antara kebenaran dan kebatilan, kebaikan dan kejahatan, keadilan dan kezaliman, cahaya petunjuk dan kesesatan. Dan sememangnya kemampuan aqal serta kudrat yang ada pada manusia tidak akan mampu mencapai semua itu. Justeru Allah Taala telah menggariskan perkara-perkara haram yang perlu dijauhi oleh manusia supaya mereka tidak terjebak dalam kancah kebinasaan di dunia dan mendapat azab yang pedih di akhirat sana.
Kembali kepada topik asal …Seharusnya kita perlu ingat cara berhibur seseorang adalah berkait rapat dengan budaya atau cara hidup seseorang. Ia merupakan salah satu faktor penting kepada apakah corak atau bentuk hadharah yang hendak kita bina. Ia bukanlah perkara main-main. Mengenai suara wanita adakah ia aurat atau tidak sehingga boleh mendayu-dayu memukau lebai-lebai yang ada penyakit di dalam hatinya, rasanya eloklah kita berbincang secara ilmiah. Pendapat di dalam kitab al Feqh a’lal Mazahib al Arbaa’h menyebutkan bahawa suara muslimah bukanlah aurat, kerana di dalam Islam muslimah diharuskan berjual beli, bersaksi di depan hakim dan yang pentingnya muslimah difardhukan mendalami ilmu-ilmu Islam serta menyampaikannya. Di mana dalam melaksanakan tuntutan-tuntutan ini perlu kepada suara yang jelas. Sesungguhnya Ummahatul Mu’minin telah menjadi guru dan meriwayatkan hadis-hadis serta memberi fatwa kepada para sahabat ra yang terdiri daripada lelaki ajnabi. Ia adalah satu hujah yang mengatakan suara wanita bukanlah aurat.
Namun begitu, muslimah perlu mengambil peringatan Allah swt dalam bermua’malah dengan suaranya supaya tidak menimbulkan fitnah sekalipun ketika membaca al Quran, maka ketika ini (ketika suara tadi boleh mendatangkan fitnah) suaranya adalah aurat. Firman Allah swt : “janganlah kamu berbicara dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian itu boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan (sebaliknya) berkatalah dengan ucapan dan perkataan yang baik (sesuai dan sopan)” al Ahzab : 32
Ayat di atas dengan jelas menunjukkan bahawa Islam melarang seseorang muslimah melembut dan memanja suaranya ketika berbicara dengan lelaki yang ajnabi takut menimbulkan fitnah, maka apatah lagi bagi wanita yang menceburkan diri dalam bidang nyanyian dan seumpamanya yang memerlukan suara yang merdu dan mendayu-dayu tentulah lebih-lebih lagi terlarang dan sesuatu yang jelas haramnya. Mafhum mukhalafah atau hukum sebaliknya tentulah haram bagi lelaki mendengar dan berhibur dengan lemak merdu suara wanita. Jadi tak perlulah ustaz-ustaz nak meminta izin pula terlebih dahulu… untuk menampakkan mereka bersopan, sedangkan perkara tersebut jelas terlarang ! Itu belum lagi dibincang masalah melihat aurat tubuh wanita yang bertabarruj seperti wanita-wanita jahiliyyah lagi, berhias dengan memperlihatkan kecantikan wajah, keelokan serta kemewahan pakaian dan perhiasan serta menampakkan bahagian yang meransang sambil berjalan lenggang lenggok dan bergaya supaya diperhati oleh lelaki yang bukan mahram yang sudah tentu haramnya.
Apa yang peliknya suatu ketika dahulu kerajaan PAS Kelantan seingat saya hingga kini masih menghalang dan melarang muslimah dari menyertai Musabaqah tilawah al Quran dari mewakili Kelantan. Tetapi bagaimana pula Qariah dari Perak semasa PAS menjadi Menteri Besarnya boleh pula dan menjadi Qariah jemputan pula semasa Muktamar PAS tahun lalu. Kenapa kita perlu berdolak-dalik, memejam mata memekakkan telinga dalam masalah hukum suara wanita yang satu ini. Adakah maruah muslimah di dalam PAS mudah diperdagangkan, penampilan dan kehadirannya hanya diperlukan untuk memancing dan meraih undi di mana ternyata pengundi wanita lebih ramai dari lelaki. Itu yang orang nampak…walaupun pemimpin PAS tak nampak dan tak mengakuinya; demi kepentingan politik PAS boleh ubah apa saja.
Sebagai manusia biasa saya hanya mampu berbicara atau menegur berdasarkan perlakuan yang terzahir sahaja, tak tercapai saya untuk membuat telahan yang bersifat ladunni ataupun kasyaf, apatah lagi tentang niat suci serta hatibudi seseorang dalam melakukan sesuatu amalan atau kegemaran. Bagi saya yang mengaji tak setara mana sangat ni berpegang dengan kaedah Agama iaitu mengambil dan menghukum atas apa yang zahir dari sesuatu tersebut. Saya tidak perlu malah tidak mampu untuk menyelami niat suci seseorang. Persoalan niat dan batin seseorang saya serahkan kepada Tuan punya makhluk itu sendiri Allah swt. Bagi saya Nabi Musa as yang gagah dan kuat jasmaninya pun tidak mampu membaca segala rahsia perlakuan Nabi Khidir ketika mereka bersama-sama. Inikan pula saya dari kaum yang serba serbi lemah…
Adalah menjadi harapan saya sejak dahulu lagi, sepatutnya PAS terutama pemimpin atasannya memberi galakan atau dorongan kepada bentuk-bentuk hiburan alternatif terutamanya kumpulan-kumpulan nasyid dan yang seumpamanya, yang telah `berjuang` puluhan tahun dengan cara mereka bagi memberi imej baru hiburan kepada ummah yang ingin menjauhkan dari unsur-unsur lagha serta maksiat. Tetapi yang mendapat `sentuhan emasnya` dari PAS ialah mereka yang ada imej-imej rock, blues, country, pop balada dan entah apa-apa lagi. Tanda tanya bagi saya, PAS ni nak membentuk budaya @ hadharah apa kepada ummah ? Politik saja nak kepada alternatif, bidang pendidikan, ekonomi, hiburan dan lainnya bagaimana ?
Ummi ! Ummi ! “ Boleh dak nak tengok cd cerita Nabi Musa dengan Khidir ” pinta anak kecilku pelajar PASTI. “Boleh, tapi suruh Abang atau Kak Ngah yang buka, jangan buat sendiri” kataku kepadanya. Sekian, dari Ummu el-Husna. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
~*BIL:59/ Syaaban1430 الحضارة
AL – HADHARAH
Tok Guru Rempit @ Pemimpin Haru-birukan Perjuangan ?
Ya Qahhar ! Ya Jabbar ! Ya Muntaqim… ya Zaljalali wal ikram. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw, pemimpin sejati ummah serta kaum keluarga dan para sahabat Baginda seluruhnya.
Maksud firman Allah“ Dan di antara manusia itu ada yang berkata: “Kami beriman dengan Allah serta hari akhirat” sedang mereka – bukanlah orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan menipu orang-orang yang beriman, tetapi mereka (sebenarnya) menipu diri mereka sendiri. Dan tidaklah mereka itu menyedari. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya itu; untuk mereka siksaan yang amat pedih disebabkan mereka berdusta.” al-Baqarah 8-10.
Maksud Hadith Nabi saw, “ Sesiapa yang keluar dari jamaah sekadar satu jengkal, sesungguhnya ia telah merungkai ikatan Islam dari tengkuknya; meskipun ia masih menunaikan sembahyang, berpuasa dan menyangka dirinya Muslim.”
Bertemu kembali, saudara muslimin, muslimat sekelian semoga dirahmati Allah swt. Menjelang Ramadhan, Ehya Ramadhan kali ini saya fikir perlu kita semua membuat muhasabah kembali kepada diri masing-masing tentang duduk perkara kita dalam perjuangan Islam yang sebenar. Persoalan al-wala`- memberi thiqah (kepercayaan) dan memberi taat setia dalam perjuangan, menjadi fokus tulisan kali ini insyaAllah.
Parti PAS berbanding rakan gerakan-gerakan ummat Islam yang lain di Malaysia lebih terkedepan di dalam mengeksploitasi maksud hadith Nabi saw di atas untuk kepentingan menjaga `keutuhan` parti tersebut sebagai sebuah parti politik semasa. Ahli-ahli dan penyokongnya dikelirukan atau tak sedar memberikan wala` yang `lagha` (sia-sia) kepada jamaah atau pemimpin yang telah lari dari orbit perjuangan Islam dan hanya tertumpu kepada meraih kekuasaan melalui peti undi, berhala demokrasi.
Jamaah yang dimaksudkan di dalam hadith Nabi saw tersebut adalah Jamaah yang menepati ciri-ciri Jamaah Muslimin yang dibangunkan oleh Baginda saw. Amat tidak kena pada tempatnya, jika hanya `title` yang dimahukan oleh PAS tetapi ciri-cirinya langsung diabaikan tanpa memperdulikannya untuk sekian lama. Wala` kepada pemimpin atau parti sekalipun tidak boleh membelakangkan risalah kebenaran (Islam) yang menjadi asas serta matlamat perjuangan itu sendiri.
`Persoalan al-Wala` – memberikan thiqah dan ketaatan kepada risalah perjuangan dan pimpinan – merupakan sebahagian dari persoalan besar dalam gerakan Islam dan sesebuah gerakan yang benar-benar ingin berada di atas landasan perjuangan yang kukuh mestilah berusaha menyelesaikan persoalan ini. Gerakan Islam dahulu dan kini telah melalui berbagai pengalaman yang menyebabkan mereka mencapai kematangan di mana antara pengalaman-pengalaman itu ialah bertukar-ganti dan jatuh-bangun para pemimpinnya.` Ustaz Hafid Muhammad Uthman, Bandung. Pengantar Buku al-Wala` (Said Hawa) Pustaka Fajar.
`Sesebuah gerakan yang benar cara dan tarbiyyahnya sudah pasti dapat melalui dan memahami bagaimana persoalan ini perlu diselesaikan. Dalam hubungan ini ahli-ahli jamaah sudah semestinya dididik agar mereka memberi wala` hanya sanya kepada orang-orang atau para pemimpin yang berjuang menegakkan risalah yang benar dan dengan cara yang benar pula. Ketaatan dan kepatuhan mereka berterusan selagi pemimpin tersebut berada di atas landasan kebenaran iaitu dengan tetap berada di dalam wadah atau badan yang memperjuangkan kebenaran. Keadaan ini tentunya boleh menyelamatkan sesebuah gerakan Islam seandainya berlaku penyelewengan atau penyimpangan di kalangan pemimpinnya.` Pengantar Buku Pembebasan al-Wala` Said Hawa Pustaka Fajar.
Jika PAS konsisten dengan perjuangan kebenaran (Islam), PAS yakni pemimpin dan ahli serta penyokongnya tidak akan `resah gelisah` dengan komen-komen atau kritikan-kritikan yang menuntut supaya kebenaran diutamakan mengatasi kepentingan diri dan kelompok sendiri. Lainlah halnya jika PAS sekarang telah `pandai` mewarisi perjuangan seperti zaman `khalifah-khalifah` yang mabuk dengan kuasa dan dunia dahulu yang hanya mengizinkan suara-suara `puji-pujian` dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada penguasa-penguasa yang zalim. Maka beranak-pinaklah sokongan yang membawa rebah kepada kejatuhan Khilafah Islam selepas itu.
` Sesungguhnya al-wala` merupakan kayu-ukur yang amat penting; yang memisahkan seseorang insan itu sama ada iman atau kufur; wala` jugalah yang mengenal-pastikan seseorang insan itu sama ada mereka berada dalam kategori Parti Allah atau Parti Syaitan. Apabila betul-sahih wala`nya maka betul-sahihlah kedudukan seseorang itu dan manakala sesat serta batil wala`nya akan menyelewenglah seseorang itu dari Islam meskipun ia beramal dengan amalan-amalan Islam.` Ramli Awang Manir Terengganu, Penterjemah Buku al-Wala`.
`Sifat-sifat seperti `ananiyah jamaiyah` (taasub/fanatik kepada jamaah) juga membayangkan wala` yang tidak betul. Mereka `menghentam` sesama mukmin dan membisu kepada golongan jahiliyyah (toghut); mendakwa merekalah satu-satunya yang betul, yang lain semuanya salah. Inilah kekeliruan yang berlaku – hasil dari kefahaman tentang wala` yang kabur lagi keliru. Mereka lupa bahawa tugas mereka adalah wajib memberikan wala` (kerjasama) kepada sesama golongan mukmin dan memutuskan secara total wala`nya kepada golongan kufur dan munafiq juga kepada golongan fasiq.`
`Hakikat ini juga membayangkan kepada kita betapa sesatnya manusia-manusia kini: Mereka memberikan wala` mereka kepada yang tidak diizinkan oleh Allah seperti mereka memberikan wala` mereka kepada pertubuhan-pertubuhan atau parti atau persatuan-persatuan yang tidak berasaskan kepada Islam atau tidak memberi wala` mereka kepada golongan mukmin.` Ustaz Ramli Awang Manir Terengganu.
` Dengan itu, apabila seseorang muslim yang memberikan wala`nya kepada komunis dengan seluruh kepercayaan komunis itu serta beramal bersertanya adalah tidak dihitung lagi sebagai seorang muslim.
Begitu juga seorang muslim yang memberikan wala` kepada watan (negara) yang tiada berhubungan dengan `tali Allah` (Agama Allah) dengan seluruh `kemaslahatan watan` yang samar (tidak jelas) adalah tidak dihitung kira sebagai muslim. Muslim yang memberikan wala`nya (kerjasama) kepada `missionary dunia` yang kufur, mulhid (atheis) lagi murtad dengan seluruh sifat-sifat `keinsanan` adalah juga tidak dikira sebagai muslim.` as-Syeikh Said Hawa Pengarang Kitab Jundullah.
Dulu.. zaman muda-muda, saya selalu mendengar “Kita tegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah” tetapi sekarang ketika dah berumur saya dengar dendangan lain pula, `Pulihkan Demokrasi, Tegakan Islam`, `Membedah Demokrasi`, `Selamatkan Demokrasi di Malaysia`. Seruan Islam itu dah tenggelam timbul di celah-celah perjuangan demokrasi dan hanya bertindak sebagai penyeri majlis laungan reformasi serta bahan kelicikan parti tulen Democratic Action Party (DAP). Lalu… apa yang saudara dan saudari ummah dapat harapkan memberi wala` atau kerjasama kepada mereka yang memberikan wala` serta kerjasama mereka pula kepada sistem demokrasi dengan menutup terus ikhtiari manusia untuk meneroka dan membangunkan sistem Islam itu sendiri.
Ummah bayangkan apa yang terjadinya bila `mat-mat rempit` bermaharajalela mengemudi laluan perjalanan; tanpa etika, tiada malu, tak perlu fikir panjang, kepuasan untuk dinikmati sendiri, aku jadi idola-nya semua orang nak tengok, angkat roda depan, meniarap atas motor, aku meghawet-am dan akulah Tok Guru rempit kepada budak-budak tuu. Sekian dari Ibnu Ramadhan.``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -
الحضارة~*BIL:60/Ramadhan 1430
AL–HADHARAH
Antara Murka Tok Guru, Murka Sultan @ Murka Allah
Ahlan wa sahlan, Ramadhan Kareem ! Syukur kepada Allah swt kerna memberi peluang kepada kita insyaAllah sekali lagi menjalani Ramadhan al-Mubarak. Selawat dan salam penuh penghormatan kepada Junjungan Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat sekelian. Seterusnya kepada alim-ulama` serta mereka yang terus memperjuangkan kebenaran walau di mana saja mereka berada, mendepani para tirani.
Allah swt dengan segala keBesaran, keAgungan dan segala sifat-sifat keSempurnaan bagiNya telah mengutuskan Ramadhan al-Mubarak kepada seluruh ummat Islam pada setiap tahun. Ramadhan itu juga telah datang menyerah dirinya sebulan penuh pada saban tahun untuk ummat Muhammad saw yang beriman bagi melayaninya sebaik mungkin sebagai tetamu Agung dari Pencipta Allah azawajalla.
Allah swt berfirman maksudnya; Dan khabarkanlah kepada mereka, perihal tetamu Nabi Ibrahim. Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “ Selamat sejahtera kepadamu! ” Ia berkata: “ Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu!” Mereka menjawab: “ Janganlah engkau takut, sebenarnya kami hendak menggembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu.” Nabi Ibrahim berkata: “ Betulkah kamu menggembirakan daku (dengan berita yang demikian), pada hal aku telah tua; maka dengan jalan apakah kamu menggembirakan daku? ” Mereka menjawab: “ Kami menggembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar; oleh itu, janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa.” (al-Hijr 51-55)
Nabi Ibrahim berkata: “ Dan tiadalah sesiapa yang berputus-asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat.” Nabi Ibrahim bertanya pula: “ Apahal kamu wahai utusan Tuhan? ” Mereka menjawab: “Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (kaum Luth untuk membinasakan mereka). Melainkan keluarga Nabi Luth; sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka sekeliannya, kecuali isterinya; kami telah tentukan (menurut keputusan Tuhan), bahawa sesungguhnya ia dari golongan orang-orang yang tinggal (menerima kebinasaan)” (al-Hijr 56-60)
Maka apabila (malaikat-malaikat) utusan itu datang kepada kaum Nabi Luth, Nabi Luth berkata: “Sesungguhnya kamu suatu kaum yang tidak dikenali (serta tidak diketahui baiknya kedatangan kamu).” Mereka menjawab: “(Kedatangan kami bukan untuk mendukacitakanmu) Bahkan kami datang kepadamu untuk membawa azab yang mereka ragu-ragukan kebenarannya. Juga membawa kepadamu perkara-perkara yang betul benar (tentang kebinasaan mereka); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar. Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada waktu malam serta ikutlah di belakang mereka, dan janganlah seseorang pun di antara kamu berpaling (kebelakang); serta pergilah terus ke arah yang diperintahkan kamu menujunya.” (al-Hijr 61-65)
Dan Kami wahikan kepadanya tentang kesudahan perkara itu; iaitu mereka akan dibinasakan pada waktu pagi, sehingga punah ranah dan terputus keturunan mereka. Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar itu dengan bergembira (dengan tujuan jahat). Nabi Luth berkata: “Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepada ku. Dan takutlah kamu kepada Allah, serta janganlah kamu menghinakan daku.” Mereka menjawab: “Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (untuk memberi perlindungan kepada mereka)” Nabi Luth berkata: “Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal)” (al-Hijr 66-71)
Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta-tuli dalam kemabukan maksiat mereka. Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka kami jadikan negeri kaum Luth itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang mengenali sesuatu serta memerhati dan memikirkannya. Dan sesungguhnya Negeri kaum Luth yang telah dibinasakan itu, terletak di jalan yang tetap (dilalui orang). Sesungguhnya keadaan yang demikian, mengandungi satu tanda yang memberi kesedaran kepada orang-orang yang beriman. (al-Hijr 72-77)
Dan sebenarnya penduduk kampung Aikah (semasa Nabi Syuaib) itu, adalah orang-orang yang berlaku zalim. Maka Kami membalas kezaliman mereka itu dengan azab yang membinasakan; dan sesungguhnya kedua-duanya itu, terletak di jalan yang terang (yang masih dilalui orang). Dan demi sesungguhnya penduduk al-Hijr (kaum Thamud zaman Nabi Soleh) telah mendustakan Rasul-Rasul. Dan Kami telah berikan kepada mereka tanda-tanda (yang membuktikan kebenaran Agama dan Rasul Kami); dalam pada itu, mereka terus juga berpaling (mengingkarinya). (al-Hijr 78-81)
Dan mereka memahat sebahagian dari gunung-ganang, sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman (dari sesuatu bahaya). Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggempakan bumi, pada waktu pagi. Maka apa yang mereka telah usahakan itu, tidaklah dapat menolong mereka sedikit pun. (al-Hijr 82-84)
Dan (Ingatlah!) tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah; dan sesungguhnya hari qiamat itu tetap akan datang, oleh itu, biarkanlah (golongan kafir yang mendustakanmu itu wahai Muhammad) serta layanlah mereka dengan cara yang elok. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang menciptakan sekelian makhluk, lagi yang amat mengetahui (akan hal mereka). (al-Hijr 85-86)
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya, dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya. Janganlah engkau menujukan pandangan mu (serta menaruh-hati) kepada nikmat kesenangan yang Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (yang kafir itu), dan janganlah engkau merasa dukacita terhadap mereka (kerana mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam sebagaimana yang engkau harapkan); dan sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari golongan faqir miskin yang dhaif). Dan katakanlah: “Sesungguhnya aku ini, adalah seorang Rasul pemberi peringatan dengan bukti-bukti yang nyata (tentang turunnya azab ke atas orang-orang yang ingkar)” (al-Hijr 87-89)
Demikianlah ayat-ayat al-Quran al-Karem yang saya petik maksudnya dari Tafsir Pimpinan ar-Rahman karangan Sheikh Abdullah Basmeih keluaran JAKIM, Pusat Islam Malaysia edisi jawi cetakan tahun 2000.
Aiyyuhal ummah! Sebagai ummat Islam kita semestinya menyedari sabda Nabi saw `La thoo`ata lilmakhluqi fi maksiatil khaliq` maksudnya; Tidak ada taat atau ketundukan serta kepatuhan di antara sesama makhluk dalam perkara-perkara yang membawa maksiat kepada Khaliq (Pencipta).Jadi kepada PAS yang begitu berbangga dengan `konsep syuranya` dan meletakkan `tok-tok guru` sebagai pimpinan tertinggi, mengapa pula terjadi pimpinan tertinggi tersebut begitu kerdil atau tidak lut pula bila berhadapan dengan gelagat serta karenah sultan-sultan menyalah-gunakan hak serta harta ummah. Sepatutnya tok-tok guru tersebutlah yang selalu bersama mereka mencegah dan menyampaikan seruan Islam dalam ertikata yang sebenarnya tanpa berpolitik. Adakah kerana mereka tidak mengundi, tidak perlu diceramahi mereka? Adakah Iman dan Islam yang ada pada perjuangan PAS masih tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan Negeri yang meletakkan mereka adalah Ketua Agama `Islam` di bumi daerah ini ? Wallahu`alam.
Dari Ibnu Ramadhan @ hambaAllah. ``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal, 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan