Halaman

Sabtu, 18 September 2010

Ummah Perlu Merungkai Kekusutan Secara Tuntas - Bil 115 / Syawal 1431

~* الحضارة


Firman Allah swt : Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." al Baqarah : 208. Segala puja dan puji hanya layak untukMu ya Allah Tuhan Pentadbir sekelian alam. Tidak pernah dilupakan Selawat dan Salam buat Rasul yang Mulia penunjuk jalan kebenaran, ahli keluarga serta sahabat baginda yang diredhai semuanya. Salam Allah , rahmat dan kasih sayangNya buat ummah yang dikasihi.


Alhamdulillah, dengan izinNya saya dapat berbicara semula bersama ummah untuk seterusnya, setelah tamat ‘berpantang’ bagi cahaya mata yang kelapan yang merupakan putera ketiga keluarga Sanaabel. Putera yang saya doa dan harapkan menjadi satu lagi batu-bata, bakal meneruskan pembinaan kembali Hadharah Islamiyyah yang telah lama sirna dari kehidupan ummah, insyaAllah. Kesibukan sebagai seorang ibu, pendidik kepada anak-anak dan suri rumah memang tak terhela lagi, namun sebagai seorang muslimah, mukminah, mujaahidah.., saya tak akan berdiam diri daripada menulis.. menyatakan kebenaran insyaAllah.

Masa begitu pantas bergerak menuju ke destinasinya yang dijanjikan oleh Allah yang entah bila penghujungnya. Ramadhan yang diberkati telah pun melabuhkan tirainya, manakala Eidil Fitri yang menjelma  adakah bersama kemenangan atau kekalahan buat seseorang pejuang ? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Begitu juga dengan sambutan kemerdekaan, berlalu dengan pelbagai peristiwa yang penuh tragis. Setelah 53 tahun bersama @ seiring dengan sistem demokrasi yang diwarisi daripada penjajah, rupa-rupanya kita perlu membayar harga yang cukup mahal untuk sebuah kemerdekaan yang telah kita kecapi selama ini. Pembunuhan, pembuangan anak, keruntuhan akhlak, murtad dan berbagai gejala sosial begitu gawat terpaksa ummah hadapi.

Semakin hari statistiknya semakin meningkat. Para pemikir sekular, tokoh masyarakat, ahli politik, penceramah dan pakar motivasi agama  masih tidak menjumpai jalan penyelesaian yang sesuai dan tuntas. Bahkan mereka menyembunyikan kebuntuan mereka dalam mencari apakah punca kekusutan atau penyebab sebenar kepada permasalahan yang berlaku. Ada yang menyalahkan ibu bapa, pendidik, kawan-rakan dan faktor suasana masyarakat sekeliling. Seterusnya dibuat resolusi.. bagaimana cara dan kaedah penyelesaian. Tapi usahanya tampak tak menjadi…dan tak akan berjaya selama-lamanya …, kambus lubang sini, berlubang lagi besar di sana-sini. Oh..! bagaimanakah nasib generasi ummah untuk meneruskan lestari kehidupannya di bumi tercinta ini, khususnya Malaysia tanahairku! Inilah Negara Malaysia yang kita warisi dan sambut penubuhannya baru-baru ini. Hakikatnya inilah kesilapan UMNO (parti bangsa Melayu yang sebahagian besarnya beragama Islam) 53 tahun yang lalu apabila bersedia menerima kemerdekaan bersistemkan demokrasi penjajah Barat. Hasilnya yang kita nikmati sekarang adalah sebuah negara yang bankrup dengan keimanan, persaudaraan dan kemanusiaan.

Assyahid Sayyid Qutb rahimahullah pernah menegaskan bahawa umat Islam tidak ada pilihan lain untuk menjana kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, melainkan kembali menegakkan sistem perundangan Islam seluruhnya. Hujah beliau, dunia telah menyaksikan 2 kali perang dunia dalam tempoh seabad yang akibatnya, tegak di seluruh dunia sistem kembar  iaitu falsafah hidup mengagungkan kebendaan semata-mata, sama ada di bawah sistem demokrasi barat ataupun sistem  komunis @ sosialisme timur.
Akibat dominasi global.. pola kehidupan sistem asing itu, umat Islam bukan saja tersepit, kehilangan identiti, malahan sentiasa menjadi mangsa penindasan, kesengsaraan dan kezaliman kuasa-kuasa besar dunia.
Sejujurnya saya ingin mengajak ummah berfikir secara ikhlas dan amanah dengan aqidah Islam yang kita imani, melihat permasalahan dari kaca mata Islam. Punca sebenar dan asas permasalahan adalah sistem penjajah yang kita warisi itu sendiri. Sistem yang dipakai selama inilah yang telah melahirkan ibu bapa yang bermasalah, pendidik yang tidak amanah dan masyarakat yang punah. Sekali lagi saya ulangi jangan takut untuk bersikap jujur dengan agama yang kita anuti bahawa segala permasalahan wajib diselesaikan dengan perubatan @ kaedah kembali menghidupkan cara hidup Islam seluruhnya sepertimana yang diseru oleh Allah Taala dalam ayat di atas, masuklah kamu ke dalam Islam semuanya samada dari segi siyasah (politik), ekonomi, pendidikan, bermasyarakat dan sebagainya, sesungguhnya Allah menjanjikan ganjaranNya syurga seluas langit dan bumi.

Kita juga perlu sedar bahawa kita sedang menghadapi jihad akbar pada abad ini, seperti yang telah dinyatakan oleh baginda Rasul saw lebih 1400 tahun yang lalu di mana bentuk serangannya menyeluruh ke setiap sendi-sendi penting ummah. Musuh telah menghala serangannya terhadap aqidah, serangan pemikiran, serangan budaya, serangan psikologi, serangan terhadap pendidikan, serangan terhadap siyasah (politik) dan berbagai lagi serangan yang begitu seni sifatnya yang telah melumpuhkan Hadharah Ummah untuk sekian lama. Terakhirnya… barulah dengan mudah mereka menguasai pemerintahan ummah dimana-mana bahagian dunia ini. Senjata yang digunakan adalah senjata yang paling murah di pasaran terbuka maupun pasaran gelap iaitu senjata hawa nafsu kita sendiri. Apabila ditawarkan dengan sedikit habuan dunia, kebendaan, kuasa… penangannya begitu dahsyat sekali, sehingga ummah dari kepalanya yang berserban sampai bawahnya yang berkaki ayam…… jatuh tersungkur, terkulai layu.

Ummah yang masih tersedar terpinga-pinga, di manakah harus dimulakan kebangkitannya ? Ummah sering tertipu dan selama-lamanya akan ditipu dan dipermainkan sekiranya ia tidak mengambil Islam secara yakin dan bersungguh-sungguh untuk dipraktik serta dijadikan panduan dalam kehidupannya. Ya! Islam sebagai ad deen wajib diberi ruang menempati setiap segi dalam realiti kehidupan kita secara peribadi, berkeluarga, berjiran dan dalam masyarakat keseluruhannya, yang akhirnya akan membentuk satu budaya kehidupan Islam atau Hadharah Islamiyyah . Maka Hadharah Islamiyyah inilah yang akan sedikit demi sedikit menghakis dan menyahkan segala rangkaian sistem Hadharah Jahiliyyah yang telah membumi dalam kehidupan ummah selama ini insyaAllah. Ia bukanlah suatu perkara mudah seperti yang dicakapkan, pembinaan hadharah ini memerlukan pejuang-pejuang yang sanggup disisih oleh arus perdana Hadharah Jahiliyyah, dipandang sepi kawan taulan, dihina @ dikeji oleh musuh perjuangan dan sanggup menanggung kesempitan serta kesusahan hidup serba sederhana dengan menjauhkan diri daripada segala maksiat yang diharamkan oleh Allah swt. Kenapa pula.. seorang pejuang Islam tidak sanggup bersama pusingan putaran roda Islam? Jika Islam ketika ini di bawah kita juga di bawah, jika Islam dihina kita juga terhina, kalau Islam ditentang kitalah para pejuang yang sanggup menggadai nyawa menjadi galang gantinya.

Justeru itu saya melihat amat malang sekali nasib PAS yang telah menanggung amanah perjuangan ummah (Islam) oleh ulama’ dan pemikir Islam serta ummat yang ikhlas dahulu, kini telah diselewengkan oleh pemimpin dan penyokongnya yang tamak dan rakus. Saya berpandangan, PAS hanya akan mengulangi kesilapan UMNO apabila berpakat untuk mengambil demokrasi sebagai dasar perjuangannya bersama PKR dan DAP. Apakah PAS harus memusnahkan roh perjuangannya yang sebenar (perjuangan ummah) disebabkan ahlinya tidak peka tetapi pekak dan buta dalam menilai di manakah intan, yang manakah kaca. Tepuk dada tanyalah iman kita, jangan tanya selera politik saja. Adakah PAS sebagai jamaah ummat Islam begitu hina, harus mewarisi segala kebankrupan negara untuk menjadi pencuci.. membaikpulih sistem demokrasi jahiliyyah dan segala kerosakan yang telah dihasilkannya. Atau PAS dengan penuh amanah tampil mengambil tanggungjawabnya membina kembali Hadharah Ummah yang mulia seterusnya dengan penuh izzah jika diizinkan Allah swt untuk memerintah negara.

Saya akhiri buletin kali ini dengan kata-kata hikmah yang ditinggalkan oleh al-Marhum Ust Fadhil Noor; “kita tidak rela Islam dijadikan tempelan untuk memperbaiki kerosakan yang terhasil dari kegagalan sistem masyarakat materialis yang menguasai politik negara pada masa kini” Petikan buku Masyarakat Madani Alaf Baru 2003 M. Sekian,  semarakkan perjuangan dari Ummu el-Husna.
qulil haq walau kana murron’
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com layari: http://buletinal-hadharah.blogspot.com/ @ : http://sanaabel.blogspot.com/

Sabtu, 4 September 2010

Wajarkah Laungan Takbir Bagi Golongan Yang Menafikan Kebenaran ? - Bil 114/ Ramadhan 1431


~* الحضارة
Allah swt berfirman maksudnya; “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” an Nisa` 135. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw, al-Amin dan kaum keluarga serta para sahabat baginda semuanya.


Muslimin dan muslimat.. saudara ummah yang dikasihi. Ramadhan sebagai gelanggang berburu seperti yang saya sifatkan sebelum ini, sudah mendekati penghujungnya. Lazimnya berburu, ada kala ‘mengena’ berhasil.. dan banyak pula yang meleset.. hampa…kecewa. Semoga Allah swt memasukkan kita semua dalam golongan pemburu yang berjaya. Ketika merenung kembali ke dalam diri di keheningan… malam-malam terakhir Ramadhan al-Mubarak yang seperti merajuknya pergi… Saya teringat bait-bait terakhir puisi nukilan teman seperjuangan Ibnu Ibni YahyaSaksi Semalam;
“Ayuh! Bangunlah! Biarpun cuma seketika.
Papahlah! Kerana hanya itu kudrat yang ada.
Berbicaralah! Walaupun tanpa suara.
Berdaganglah! Biarpun dipenuhi pancaroba.
Tadahkanlah telapak mu! Biarpun hitam legam penuh noda.
Amin! Ya Rabbal Alamin!”
Keseluruhan puisi tersebut banyak meninggalkan kesan pada saya, sebab itu dimasukan pada helaian akhir buku sulung saya 3 tahun yang lalu (1428H) iaitu ‘PAS Kehilangan Warna’ (Suatu Sisipan Perjuangan Kebenaran). Apa yang saya nak sebut atau kaitkan di sini ialah.., di situlah (PAS Kehilangan Warna) detik bermulanya tulisan atau kritikan-kritikan saya kepada PAS secara terbuka yang sebelum ini hanya terbuku di sanubari atau pun cakap-cakap saja tanpa menulisnya.

Apakan daya.. “berani buat berani tanggung…” itu yang dapat saya katakan kepada mereka yang ingin atau bercita-cita menyanggah arus…(menegak kebenaran) di mana-mana pun, tempat atau zaman. Kalau tidak ikut saja apa yang dah ada… selamat..dunia. Tapi ingat..! akhirat belum tentu. Buku sulung saya tersebut hanyalah sebuah buku kecil tak lebih daripada 30 m/surat pun, telah diharamkan di sebuah Markaz PAS Negeri. Notisnya dilekatkan di papan kenyataan siap dengan sample buku sekali. Dalam mesyuarat yang membuat keputusan supaya buku tersebut diharamkam persis macam mahkamah tentera Saddam Hussein. Saya yang juga ajk mesyuarat, tiba untuk bermesyuarat dan menjelaskan di mana perkataan atau baris yang mereka kurang jelas…Tiba-tiba.. buku-buku tersebut melayang di depan muka dilempar oleh teman seperjuangan sendiri. “Kami telah membuat keputusan…” bla, bla, bla… (lebih kurang samalah hujah dengan adik-adik saya Don Mufasya dan Meriam Buluh serta lain-lain).

Bukan pula maksud saya merendah-rendahkan pandangan serta usia mereka, mungkin mereka lebih tua dari saya yang berusia 46 tahun ikut kiraan hijrah @ 44 ikut masehi. Tetapi syor dan cadangan yang idealis itu banyak dah yang saya lalui, hanya sesuai untuk … mungkin makhluk jenis lain kut! Terus terang saya katakan bahawa saya pun tidak menganggap semua buku atau tulisan-tulisan saya selama ini, benar-betul belaka (100%). Tidak! Mungkin banyak juga yang silapnya kerana kelemahan manusiawi. Sebab itu saya suka sangat jika budaya tegur menegur sesama ummat Islam sihat serta digalakkan dalam realiti kehidupan.

Masalahnya adik-adik saya ini, bila melihat saya tidak ‘tibai’ UMNO macam yang mereka mau.., depa kata saya sokong UMNO pula. Sekali lagi saya nak berterus-terang di sini. Cubalah tengok.. atas.., bawah, depan dan belakang kamu, dalam masyarakat ummah yang kita sama-sama diami ini ada dua jenis mahkluk tu saja ka? Ada 2 jenis tu saja ka yang sedang dok bertarung untuk perlu hidup? Kalau sokong PAS mesti bermusuh (berperang) dengan UMNO. Sebaliknya jika tidak tibai / berperang dengan UMNO tentu agen @ bermusuh dengan PAS. Nasihat saya kepada kamu secara khusus dan ummah umumnya, jika kamu berfikir dengan cara begitu, ternyata kamu hanya menggunakan sisi sebelah kiri otak kamu yang negatif tanpa menggunakan pun sisi sebelah kanan pemikiran kamu yang positif. Sedangkan pemikiran-pemikiran yang baik adalah apabila kita saksamakan (adil) berpandangan, pendapat pada dua-dua sisi, walaupun ke atas diri kita sendiri. Saya tak nafi, banyak mengkritik PAS kerana saya terasa PAS lebih dekat dengan saya (ahli) dan kasihnya saya kepada perjuangan PAS sebelum ini, berbanding sayangnya saya kepada orang-orang UMNO yang sebangsa serta seagama dengan saya (walaupun bukan ahli).

Maaf ! Jika saya katakan, ketika saya berada di tempat @ level perjuangan ummah yang al-Marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor gagas dan tinggalkan sekarang, “Saya tidak nampak kamu dan pemimpin-pemimpin kamu mampu mewarisi kebijaksanaan beliau. Sepanjang yang saya sempat mengikuti kepimpinan ummah era al-Marhum samada dari jauh maupun dekat, beliau tahu dengan siapa beliau berkawan dan tahu malah bijak pula dengan siapa beliau harus berkelahi. Al-Marhum.. bagi saya, adalah contoh unggul dan hidup sebagai pemikir serta  pemimpin ummah.”

Masalahnya lagi, kamu dan yang lain-lain pernah hidup, berjuang, bersenda-gurau bersama dengan al-Marhum sama seperti saya dan ramai yang lain-lain lagi, tetapi kamu… macam yang saya katakan di atas tadi suka menilai atau melihat dari satu sisi sahaja iaitu politik tanpa mahu @ cuba melihat dari sisi perjuangan ummah beliau. Kepimpinan ummah yang kosong terbiar setelah ditinggalkan pergi oleh al-Marhum, kamu tak nampak. Yang kamu nampak hanya kelincahan al-Marhum bersiasah dalam dunia politik kontemporari. Sedangkan kelincahan al-Marhum kerana beliau ada matlamat dan agenda perjuangan ummah ternyata kamu kabur lalu mengabaikannya. Kamu terkejar-kejar menari mengikut rentak yang orang lain palui.

`Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya, serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya..
Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian kafir, kemudian beriman (pula), kemudian kafir lagi, kemudian bertambah kekafirannya, maka sekali-kali Allah tidak akan memberi ampunan kepada mereka, dan tidak (pula) menunjuki mereka kepada jalan yang lurus.
Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat siksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu ? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah.
Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir di dalam Jahannam.`
an-Nisa 136 -140.

`Maka kecelakaan yang besarlah di hari itu bagi orang-orang yang mendustakan kebenaran, (iaitu) orang-orang yang bermain-main dalam kebatilan,` at-Thur 11-12.
`(Mereka menuduh Nabi Muhammad termasuk ummatnya dengan yang bukan2), bahkan mereka mengatakan; “(Muhammad) itu seorang penyair yang kami tunggu sangat kebinasaannya” Katakan (wahai Muhammad serta ummat) “Tunggulah kamu (akan apa yang kamu anggapkan itu), maka sesungguhnya aku pun dari orang-orang yang menunggu bersama-sama kamu ( akan apa yang dijanjikan Allah)”. at-Thur 30-31. Salam Eidul Fitri kepada seluruh ummat Islam,
dari Ibnu Ramadhan.  
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com layari: http://buletinal-hadharah.blogspot.com/ @ : http://sanaabel.blogspot.com/